Kawan-kawan kakcik

Isnin, 4 Januari 2016

Sibongsuku dulu dan sekarang...

Sehingga usianya 12 tahun dia sangat montel
dan matanya memang sepet sangat...
Hari ini - 04/01/2016, dia melangkah ke Tingkatan 3.
Sudah kurus dan tingginya sudah menenggelamkan
mak ayah malah abang-abangnya.
Tapi matanya tetap sepet. :)

Keindahan yang kadangkala tidak terlihat oleh mata....

di remang senja masih memandu
hasrat bertandang ke rumah Encik Abu
biarpun awan kelihatan kelabu
tetap indah di pandangan mataku
di pagi hari meredah jalan
tentu ada arah tujuan
malu-malu sinar kelihatan
namun silaunya memukau pandangan
bangunan tinggi berdiri kaku
saat penghuninya mengurus diri
kurakamkan keindahan mengikut naluriku
walaupun yang lain tak pernah peduli
setiap hari mengukur jalan
tapi jaraknya tak pernah kupeduli
biar orang memandang hairan
kesukaan merakam kuikut hati
membawa diri keluar kota
ada ketika ingin bersendiri
nikmat Tuhan yang mana hendak didusta
melihat keindahan terbentang begini
terbang riang si rama-rama
hinggap di bunga pelbagai warna
pandangan orang memang tak sama
bagiku beginipun nampak mempesona
datang bertandang di pagi hari
belum pun sempat menggosok gigi
kalau bukan kita yang merhargai
hendak diharap siapa lagi?
sepohon kayu megah berdiri
akarnya tegap memegang bumi
sambil menilai diri sendiri
nikmatMu Tuhan tetap kusyukuri
pelbagai warna menghias alam
memberi ilham untuk dikarang
merenung semula masa yang silam
banyaknya keburukan perlu dibuang
banyak kenderaan di kanan dan kiri
tujuan pemandu sudahlah pasti
sejauh mana membawa diri
jangan lupakan tempat kembali
megah cahayanya terang benderang
mungkin boleh menimbulkan iri
walau gagah dilihat orang
sunyi hatinya siapa mengerti

Sabtu, 2 Januari 2016

Polisi Insurans Kesihatan - hanya untuk orang yang sihat??

Kalau kita diketahui ada penyakit yang katanya boleh membawa mati, maka kita adalah tidak layak mengambil polisi insurans walaupun kita mampu membayar setiap bulan... (kau ingat orang yang sihat itu tak akan mati, ke?)

Sekiranya ada ejen insurans yang membaca catatan ini, silalah beri jawapan ya.  Beri jawapan yang jitu, jangan 'agaknya', 'sekiranya' atau apa-apa 'nya' termasuk 'aaaa...aaaa' yang lain sambil tergagap-gagap...

KES 1 :

Anak bongsuku baru keluar dari hospital selepas beberapa hari duduk di wad kerana demam.  Di lobi hospital, seorang ejen insurans dari Prudential BSN Takaful  mendekati suamiku dan bercerita (sambil memujuk) untuk mengambil insurans.  Selepas perbincangan demi perbincangan, akhirnya suami bersetuju mengambil polisi dengan bayaran RM150.00 sebulan.  Ejen insurans itu berkata dia perlu mendapatkan laporan kesihatan anakku dari doktor (bayaran sebanyak lebihkurang RM160.00 akhirnya terpaksa kami tanggung untuk mendapatkan laporan tersebut).

Akhirnya selepas sekali membayar bayaran bulanan, ejen memberitahu syarikat insurans menolak permohonan polisi insurans untuk anakku kerana laporan doktor mengatakan anakku itu menghidap meningitis.  Bayaran yang telah dibuat, dikembalikan.  Tak mengapalah.

KES 2 :

Anak ketigaku (sekarang berusia lebih 18 tahun) pernah menjalani pembedahan TGA - Transposition of  the Great Arteries.  Pada mulanya ejen insurans dari Great Eastern Takaful  berkata tiada masalah untuk mengambil polisi insurans asalkan ada surat dari Pakar Jantung.  Dalam masa yang sama, beliau menelefon kawannya yang merupakan seorang Pakar Jantung Kanak-Kanak.  Pakar itu berkata, 'pesakit' TGA perlu memakan ubat sepanjang hayat kerana saluran jantung yang dibedah dulu mungkin mengecut seiring peningkatan usia dan boleh menyebabkan 'kematian mengejut' pada bila-bila masa.

Kami suami isteri membawa anak kami ke Institut Jantung Negara (syukurlah kerana aku Pesara Kerajaan dan anakku belum berusia 21 tahun serta masih belajar, jadi tiada bayaran dikenakan). Pakar Jantung yang membedah anakku lebih 18 tahun lalu masih ada di sana dan baliau (yang telah bergelar Dato'), mengesahkan bahawa jantung anakku sangat sihat dan tiada masalah selepas melakukan beberapa ujian dan imbasan. Surat pengesahan juga telah diberikannya.

Bila diberitahu kepada ejen insurans berkenaan, beliau bertegas bahawa syarikat insuransnya sama sekali tidak akan menerima permohonan kami untuk mengambil polisi insurans dari mereka, walaupun ada jaminan tersebut.

Maka bagi aku, kesimpulannya walaupun kau kelihatan dan disahkan sihat tapi kau ada sejarah perubatan yang menunjukkan kau boleh mati pada bila-bila masa, tak usahlah berangan untuk memiliki polisi insurans kesihatan!!!