Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 3 Julai 2015

Doa hari ke 16 Ramadhan...


Bismillahhirrahmannirrahim...

"Ya Allah, berilah kemampuan kepadaku untuk menjalani kehidupan seperti mana kehidupan orang baik. Jauhkan bagiku kehidupan orang yang melakukan kejahatan. Lindungilah aku dengan rahmatMu hingga ke alam akhirat, demi ketuhananMu wahai Tuhan sekalian alam."

Aamin Ya Rabbal 'Alamin.

Khamis, 2 Julai 2015

Andainya orang tuaku tahu...

...mungkin mereka akan menangis tersedu-sedu
'kenapakah begini sekali nasibmu anakku
kembalilah kamu meneruskan hidup bersamaku'

Sewaktu aku dapat kerja dulu
betapa bangga kedua orang tuaku
tertera tawaran gaji beribu
'pasti nanti berubah nasibmu anakku'

ke tengah kota anakmu melangkah
masuk ke pejabat dengan perasaan megah
bagai terlepas segala penat lelah
setelah bertahun belajar dan otak diperah

kiranya ini hanya mimpi yang indah
dugaan pertama sebaik mendapat 'upah'
kusisih-sisih untuk semua keperluan termasuk sewa rumah
yang tinggal tak cukup nak hantar kepada mak dan ayah

keluhanku diperhati kawan sebelah
dengan nada enak dia mengajak agar nasib diubah
ditayang kepadaku hidupnya yang konon mewah
katanya hasil perniagaan yang cukup mudah

tergoda dengannya aku pun ingin mencuba
kelaburkan sedikit yuran 'seumur hidup' katanya
tapi akhirnya aku terpinga-pinga
tanpa bimbingan aku hendak berniaga bagaimana?

lalu aku kembali ke jalan asal
bekerja dan bekerja jangan cari pasal
syukur dan syukur itulah cogankata yang dibekal
hingga kadangkala aku rasa tak lebih dari sibebal

sewa rumah makan minum
tambang pergi balik kucatu seminimum
pakaian harian kupakai berulang-ulang
segala hiburan takku beri ruang

makin hari kian menghimpit
harga barang keperluan membuatkan kutersepit
kenaikan kenaikan yang bukan sedikit
lalu jiwa ini sakit sedikit demi sedikit...


Syukur kerana masih ada makanan
dan tak perlu menyelongkar tong
sampah demi untuk mengalas perut.

Rabu, 1 Julai 2015

Jangan bersedih duhai ayah dan ibu...

...anakmu tidak lagi boleh pulang seperti selalu
bukan kerana telah lupa kepada ayah dan ibu
tapi kerana tuntutan hidup tidak lagi sama seperti dahulu
segala-galanya kian menekan dan menusuk kalbu

duhai ayah dan ibu
ampunkan anak-anakmu
hutang piutang negara anakmu kena fikirkan dulu
berhempas pulas dengan gaji yang kecil kami turut membantu
mungkin tiada siapa yang tahu
tapi kami dikenakan cukai ini dan itu
hingga makan pun turut dicatu

redhakanlah duhai ayah dan ibu
andai lebaran ini kita tidak bertemu
perjalanan yang jauh beratus batu
tak mungkin kami harungi dengan hanya berkereta lembu

hendak menaiki kenderaan yang kami beli dulu
duit petrol dan tol walaupun tidak sampai beribu
tetap membuatkan langkah tersekat di pintu
belum lagi keperluan lain buat cucu-cucumu

senangnya mereka memberitahu
naik sahaja kenderaan awam jika tidak mampu
tol dan petrol bukan lagi tanggungjawab kamu
tapi sudahkah mereka berfikir dahulu
bagaimana hendak kami angkut barang yang berkilo-kilo itu
serta keperluan lain yang memang perlu
untuk kami berdua dan deretan cucu-cucumu
harga tiket pun bukan murah seperti satu masa dahulu

ampunkan anak menantumu wahai ayah dan ibu
begitu juga dengan cucu-cucumu
andai kami kelihatan seperti tidak lagi menyayangimu
hingga di pagi lebaran kami berkunjung ke rumah pemimpin nombor satu
seolah-olah sokongan kami kepadanya begitu padu
sebenarnya kami mengharap-harapkan sesuatu
manalah tahu dapat duit raya seorang satu
kalau banyak bolehlah kami pulang untuk kita bertemu!