Untuk kawan-kawan yang katanya telah bersedia setahun sebelum GST dilaksanakan dan memandang sinis kepada orang lain yang mengeluh akibat GST, aku hanya boleh ucapkan 'tahniah dan syukur kerana Malaysia masih aman'. Tak mengapalah anda tidak merasa kesannya kerana wang anda sudah cukup untuk tujuh keturunan berbelanja tanpa kesan apa-apa...
Yang aku hairan, pelik lagi ajaib, katanya (kata Abu Bakar Omar) GST ini untuk menggantikan cukai 16% (10% cukai Kerajaan dan 6% cukai perkhidmatan) yang dikenakan sebelum ini. Jadinya, semua barang akan jadi lebih murah kerana hanya 6% GST sahaja yang akan dikenakan bermula 1 April 2015. Mungkin sebab aku tak belajar sampai dapat Ijazah (Diploma pun aku tak ada), maka aku adalah sangat lemah bab kira mengira walaupun lebih 30 tahun aku bekerja sebagai pengira biji kopi...
Apa yang terjadi selama dua hari ini (semalam dan hari ini) adalah sebaliknya. Kalau sebelum ini aku makan di kedai, apa yang dikira, itulah yang dibayar. Tak ada pulak cukai 16% ke apa (kecualilah makan di restoran berjenama seperti Secret Recipe atau yang sewaktu dengannya). Alih-alih, hari ini (2/4/2015), bil yang kena dibayar adalah meliputi 6% GST. Hmmmmm
![]() |
| Mesinkira yang ada aplikasi GST kata'nya' belum diterima tapi nombor GST ada di situ. |
Begitu juga, sebelum ini bila aku pergi mengurut kaki atau badan, apa yang tertera pada harga pakej, itulah yang aku bayar. Tapi hari ini, aku dikenakan 6% GST untuk perkhidmatan yang diterima. Pengurangan yang bagaimanakah ini? Aku ambil pakej urut dan bekam = RM60.00 untuk sejam, tapi aku kena bayar RM63.60. Sekali lagi, bila diminta resit, kata'nya' mesin belum siap. Ada pelanggan yang berkeras di kaunter tak mahu bayar GST sekiranya tiada resit. Terpaksa pekerja di situ menelefon 'bossnya'...
![]() |
| Hanya surat ini ditunjukkan sebagai bukti bahawa mereka dibenarkan memungut GST. |
![]() |
| Memanglah 0.15sen sahaja. Tapi cuba kumpulkan... |
Kesimpulannya, aku benar-benar tak faham. Tiada pengurangan kononnya dari 16% kepada 6%, sebaliknya peningkatan dari 0% dari 6%!



