Dulu kalau aku tak mahu makan pun, mak tetap akan memasak. Walau hanya nasi putih dan ikan bilis goreng campur bawang besar dan sebotol kicap, mak tetap sediakan.
Aku tak nampak mak makan, tapi masakannya mak letak bawah tudung saji. Aku tahu, mak harap aku akan makan untuk mengalas perutku.
Selalu juga aku memberontak - 'mak tak tahu masak benda lain ke?'. Balik-balik mak masak benda yang sama. Bila aku tak mahu makan, mak sanggup memujuk dan dengan muka sedih yang aku buat-buat tak nampak, mak cuba suapkan makanan ke mulutku. Antara mahu dan tidak, aku buka mulut dan telan juga makanan yang mak suap.
Aku tak pernah ingin tahu apa yang mak rasa. Mak sedih atau lapar, itu mak punya pasal. Tugas mak, membesarkan aku dan memberi semua keperluanku. Kalau mak tak mampu, kenapa mak perlu ada aku?
Mak tak perlu nak mengada-ngada atau mengeluh mengharapkan simpati sesiapa. Aku tahu apa yang aku hendak, mak kena adakan.
Tapi... mak ni dah kenapa?
Sekarang mak seolah-olah tak peduli pada aku lagi. Riak wajah mak pun susah hendak aku teka. Kadang-kadang aku tengok mak bagai situa yang tak berdaya. Matanya tiada cahaya. Senyum di bibirnya sudah lama tiada.
Mak bagai dalam dunianya yang tersendiri. Mak tak peduli lagi sama ada aku makan atau tidak. Mungkin sebab mak rasa aku dah cukup dewasa untuk menguruskan diriku sendiri.
Tapi... mak ni dah kenapa?
Aku tiba-tiba rasa kehilangan!
