Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 29 November 2019

Kalaulah anak-anak tahu...

...tentang resah hati seorang ibu :

anak pulang lewat - ibu sukar melelapkan mata

anak tidak sihat - ibu berdoa sakit itu pindahkan padanya

anak ingin makan - ibu gelisah andai tak dapat siapkan

anak rapat dengan kawan - macam-macam juga yang ibu fikirkan

anak hanya tahu meminta - ibu kesal kerana dia tak kaya

anak enggan bekerja - ibu nasihat bukan kerana penat membela

anak meninggi suara - ibu fikir salah silap masa lalunya

anak ingin bebas - ibu berdoa agar Tuhan memberi belas

anak dalam kesempitan - ibu berusaha memberi bantuan 


pelbagai lagi yang ibu rasakan, namun anak buat-buat tidak perasan...


Isnin, 25 November 2019

Tilam yang empuk bukan jaminan tidur yang lena...

Suatu pagi, sekitar jam 4.00 pagi, aku yang tidak boleh lena dan suami yang baru terjaga dari tidur, keluar berdua untuk 'melawat kawasan'.  Begitulah kami, sesekali bila mata tidak mahu lena, kami akan keluar dengan menaiki kereta untuk melihat suasana pagi di sekitar Ampang atau Kuala Lumpur.

Sambil berbual berdua, mata juga asyik memerhati suasana sekeliling yang biasanya sunyi sepi.  Kadangkala kami singgah di kedai mamak yang masih buka sekadar untuk menghirup minuman panas.  Terlihat juga anak-anak muda yang duduk-duduk dengan bungkusan minuman di atas meja dan telefon bimbit di tangan masing-masing.  Walaupun beberapa orang, tapi masing-masing senyap menumpukan perhatian pada telefon sendiri.

Lebih menarik perhatianku pada keluarga (ibu bapa masih muda) dengan anak kecil di bawah 2 tahun pun masih melepak di kedai mamak pada waktu itu.  Mungkin agaknya rumah mereka tidak selesa untuk didiami atau pun sekadar untuk mengisi perut yang lapar.

Satu lagi pemandangan yang mencuri perhatianku adalah mereka yang tidur lena di kaki-kaki lima.  Ada yang tidur tanpa beralas apa-apa selain simen kaki lima itu.  Ada juga yang berselimut dengan sehelai kain.  Semuanya kelihatan nyenyak tidur mungkin sedang dibuai mimpi indah. Tak perlu pun tilam dan bantal yang empuk lagi selesa.

Aku?  Ada tilam, bantal, selimut dan bilik berhawa dingin.  Masih juga mata enggan lena apa lagi hendak menganyam mimpi.

Begitulah.  Jangan fikir orang yang ada segalanya itu, bahagia hidupnya.  Begitu juga sebaliknya...

Khamis, 21 November 2019

Biarlah seadanya begini...

cermin mata patah...
ada aku kisah

telefon bimbit tak dengar suara...
kubiarkan sahaja

api dapur tidak menyala...
aku guna mana yang ada

aku sudah malas hendak melayan segalanya
cukuplah sekadar apa yang ada

kalau ada seringgit dua...
keperluan keluarga lebih utama

Selasa, 19 November 2019

Terima kasih...

te ri ma  ka sih

hanya  lima sukukata
dan dua patah perkataan

tapi...

ramai yang enggan mengucapkannya

kenapa?

kerana rasa diri lebih baik?
tak layak untuk diucapkan
walau setelah menerima pertolongan?

entah...
jawablah sendiri...

 

 

Rabu, 13 November 2019

Buat perangai pelik, orang maki, kita dapat pahala...

hmmmm...entahlah!

Macam-macam keanehan sekarang ini.  

Kalaulah semudah itu Allah melimpahkan 'pahala' , maka tak perlulah kita berbuat baik, solat, mengerjakan segala suruhan agama dan meninggalkan segala laranganNya, ya?

Makcik bukan orang yang 'alim dan berpengetahuan luas dalam hukum hakam.  Tapi kalau sudah sengaja kita 'membuat perangai demi perangai', kemudian meletakkan segala kesalahan ke atas orang lain, kononnya tertekan dengan tohmahan, makcik sendiri tak tahu nak kata macam mana.

Setahu makcik, salah tetap salah.  Mengumpat pun salah.  Tapi bila sengaja mencuri dengan harapan orang yang menangkap kita mencuri itu yang dikenakan hukuman dan kita pula diberi anugerah, apakah kita hendak mengatakan hakim itu bodoh?

Jawablah sendiri... 

 

Selasa, 12 November 2019

Kakitangan Pejabat Kerajaan, berubahlah...

Catatan ini ditujukan kepada mereka yang 'masih belum berubah'.  Yang sudah berubah, diucapkan TAHNIAH.

Makcik juga bekas kakitangan Pejabat Kerajaan dan makcik bukanlah seorang kakitangan yang baik.  Namun, selama puluhan tahun sebagai penjawat awam, banyak yang makcik lihat dan rasa.  Dari dulu, penjawat awam merasakan mereka berada dalam 'situasi selamat' berbanding pekerja swasta.  Kerja ikhlas tak ikhlas, kerja 'ikut suka' atau sebagainya, habis-habis pun penilaian prestasi saja 'tidak mencapai sasaran'.  Tapi kalau pandai ampu sana ampu sini, tidak mustahil juga boleh dapat anugerah!

Eh... dah membebel pula makcik ni.  Sebenarnya yang makcik hendak tegur ialah tentang pandangan masyarakat terhadap penjawat awam.  Pandangan sejak berdekad-dekad 'hmmmm...biasalah.  Ofis gomen.  Lembab.'  Sedangkan sebenarnya sekarang, sudah banyak ofis gomen yang sangat baik perkhidmatannya.  Layanan cekap dan mesra.  Timbulnya rungutan hanya disebabkan segelintir pekerja gomen yang masih selesa bersikap acuh tak acuh terhadap amanah yang dipikul.  

Ada yang masih menjawab panggilan telefon dengan jawapan 'saya tak tahu, itu bukan kerja saya'.  Tidak bolehkah diubah ayat itu kepada 'maaf, nanti saya dapatkan pegawai yang boleh jawab pertanyaan Encik / Puan.  Sebentar ya'.  Tapi janganlah pula 'ditendang' panggilan itu ke sana sini hingga berjanggut orang yang menanti.  Pastikan kita tahu ke mana  soalan itu akan mendapat jawapan yang betul.  Buatlah kerja sedikit untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab  untuk sesuatu soalan itu.  Takkanlah dalam satu pejabat, kita tidak tahu siapa buat kerja apa.  Carta organisasi dan carta aliran tugas bukankah ada?

Jangan jawab 'ah...tak ada masa aku nak ambil tahu semua'.  Menghadap telefon pintar ada pula masa?

Kenapa tiba-tiba makcik bangkitkan soal ini selepas bertahun-tahun bersara?  Sebabnya, baru-baru ini makcik berurusan di sebuah  Jabatan Kerajaan Negeri. Makcik datang pada hari Jumaat.  Jam sudah 11.30 pagi.  Tak lama lagi hendak masuk waktu rehat panjang.  Ada beberapa orang kakitangan (semuanya wanita) dalam pejabat yang sunyi itu.  Ada seorang budak lelaki juga (mungkin anak kepada salah seorang kakitangan itu).  Walaupun terdapat banyak fail-fail di atas meja mereka, nampaknya mereka lebih senang melayan telefon pintar masing-masing dari melayan fail-fail tersebut.  Sesekali mereka melayan budak lelaki itu.

Kedatangan makcik untuk bertanya juga seolah-olah mengganggu mereka.   Tak mengapalah.  Makcik maafkan.  Siapa suruh datang dekat-dekat waktu rehat, kan?

Tidak sampai dua bulan pun lagi kita akan melangkah ke tahun 2020.  Mana yang belum berubah, berubahlah.  Jangan niat kerja kerana hendak dapat gaji semata-mata.  Niatlah kerana hendak mempermudahkan urusan orang.  Semoga dengan itu, Allah juga akan mempermudahkan urusan kita.  InsyaAllah.

6 tahun lalu ketika masih bertugas. Kurus dan pucat 
sehingga hilang berat hampir 20kg
 akibat hyperthyroidism

Rabu, 6 November 2019

Entah...

...aku sendiri tidak pasti
tentang denyut dan rasa hati
sejujurnya aku senang bersendiri
sudah lali tiada yang peduli

entah esok atau sebentar nanti
aku akan dipanggil kembali
dengan segala kekurangan diri
balasan di sana tetap menanti

entah siapa yang ambil tahu
walau mereka yang konon sayang kepadaku
seringkali aku termangu-mangu
seolah-olah sepi itulah teman baikku...

Senyumlah walau hati sedang terluka...