Kawan-kawan kakcik

Isnin, 9 April 2018

Dari Hospital Pantai Ampang ke Hospital Ampang...

Lanjutan dari catatan ini : http://kakciknurseroja.blogspot.my/2018/03/pembedahan-memotong-usus-besar.html, anakanda  perlu membuat beberapa temujanji susulan dengan doktor untuk melihat perkembangan kesihatannya.

Seminggu selepas keluar dari wad, kesihatan anakanda tidak begitu baik.  Dia sering demam malam.  Dia merasa sejuk menggigil tetapi berpeluh dan bila dirasa dengan tangan, badannya panas tetapi tangan dan kaki sejuk.

Di temujanji yang ketiga (2/4/2018), makcik minta doktor agar buat surat rujukan ke Hospital Ampang disebabkan oleh masalan ini :  http://kakciknurseroja.blogspot.my/2018/03/bila-peruntukan-insuran-melebihi-had.html.  Setiap kali temujanji, lebih RM200 diperlukan.   Mulanya doktor bagai tidak mahu membuat surat rujukan itu 'sekiranya tiada apa-apa masalah'.  Tetapi setelah membuat ujian ultrasound, didapati ada yang tidak kena dalam perut anakanda.  Ada tompokan cecair (mungkin nanah - yang menyebabkan dia demam) sebesar 6cm x 7cm.  Doktor bersetuju menyediakan surat ke Pakar Pembedahan Hospital Ampang.

Pembantu Doktor berkenaan memberitahu sekiranya surat rujukan dari hospital swasta dibawa ke hospital kerajaan, maka hospital kerajaan akan mengenakan caj yang sama seperti di hospital swasta kepada pesakit.  Makcik tergerak hati untuk menelefon Bahagian Hasil Hospital Ampang (Allah gerakkan hati makcik) untuk bertanya hal tersebut.  Iya, pesakit akan dicaj seperti caj hospital swasta.  Bagaimanapun, wanita yang menjawab panggilan makcik, meminta makcik ke Klinik Kesihatan dan mendapatkan surat rujukan dari Pegawai Perubatan di sana.

Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan.  Layanan di KK Cheras Baru sangat-sangat baik.  Pegawai Perubatan wanita berbangsa Cina di sana melayan dengan cekap dan pantas.  Hasil dari ujian darah, kandungan kuman anakanda didapati sangat tinggi.  Jarum untuk memasukkan ubat dan air terus dipasang ke tangan anakanda.  Pegawai  Perubatan tersebut memberitahu bahawa anakada akan dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans.
Makcik ikut naik ambulans ini dan gambar ini dirakam oleh pakcik yang mengikut rapat di belakang.

Sesampai di Hospital Ampang, anakanda terus disorong ke Zon Kuning (Zon Separa Kritikal). Maka bermulalah episod anakanda di Hospital Ampang dan makcik juga turut bermalam di sana. Syukur kepada Allah atas segala urusan yang dipermudahkanNya.  Seingat makcik, dulu-dulu hanya penjaga lelaki boleh menjaga pesakit lelaki.  Kini tidak lagi.  Ibu boleh jaga anak lelakinya (tapi terhad hanya seorang penjaga sahaja).

Anakanda diberi antibiotik 3 kali sehari dan syukur sejak masuk ke hospital ini, dia boleh dikatakan langsung tidak demam.  Hanya sekali dua bacaan suhu badannya meningkat kepada 38.2 sahaja.  Selebihnya adalah suhu normal. 

Semoga akan segera sembuh sepenuhnya.

Masuk pada petang 2/4/2018 dan keluar pada 7/4/2018.  Berapa caj yang dikenakan?  Lebihkurang RM2.8K tapi jumlah yang perlu dibayar hanya RM116.00 sahaja.  Itu pun diberi penangguhan untuk membayar sehingga mendapat Surat Akuan Pelajar dari universiti disebabkan anakanda dikira masih di bawah tanggungan ibunya seorang pesara. Temujanji akan datang adalah pada 25/4/2018 dan kena masuk wad pada 24/4/2018.  Ujian akan dilakukan pada 25/4 tersebut untuk melihat sama ada tompokan cecair itu sudah surut atau belum...

Kasih seorang ayah mungkin tidak dapat 'dirasa', namun bimbang hatinya siapa dapat menduga...

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas (pegawai perubatan, pembantu kesihatan, jururawat, pemandu ambulans dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung) di Klinik Kesihatan Cheras Baru dan Hospital Ampang yang telah memberikan khidmat terbaik dengan penuh dedikasi lagi mesra.

Anda semua adalah lambang kakitangan perkhidmatan awam era kini yang sangat boleh dibanggakan.  Syabas dan tahniah.

8 ulasan:

  1. selamat pagi
    singgah pagi isnin
    semoga dipermudahkan semua urusan akak

    BalasPadam
  2. Allahu....dugaan kan Kakcik...insyaAllah rawatan demi rawatan..akan beransur pulih dan sihat...amin.

    BalasPadam
  3. Allahu Akbar! Ternyata hospital kerajaan mempunyai kepakaran yg lebih baik. Semoga anak Kakcik cepat sembuh ya

    BalasPadam
  4. Semoga hero kakcik segera sembuh. Saya dah rasa macam mana demam lepas kuar bilik ot.. sejuk menggigil yang tak boleh gambar.
    semoga segalanya pulih seperti sedia kala

    BalasPadam
  5. Semoga diberikan kemudahan oleh Allah dalam setiap urusan dan semoga anak kakcik beroleh kesembuhan

    BalasPadam
  6. ya allah, cam tuh sekali dugaannya kak... sabar ye kak

    BalasPadam
  7. alhamdulillah ya kakcik, tergerak kakcik call bahagian hasil tu, klu tak tak pasal2 dkt 3k melayang... bukan nk berkira cumanya, klu boleh nk jimat biarla jimat kan...
    moga trs di beri kesihatan bt anakanda kakcik...

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.

Ada pertanyaan dan segan nak letak komen? Sila emel ke : kakcikseroja@gmail.com