Kawan-kawan kakcik

Khamis, 9 Oktober 2014

Kisah seorang pendatang tanpa izin (PATI) bernama Aman...

Kisah ini bukan kisah rekaan.  Ia adalah seperti apa yang diceritakan sendiri oleh Aman (bukan nama sebenar) kepadaku dan suami pada suatu malam beberapa ketika dulu... Nama sebenar Aman terpaksa kurahsiakan kerana aku terlupa bertanya apakah statusnya di sini - sama ada masih seorang pendatang atau penduduk tetap atau sudah memiki kewarganegaraan...

Aman masuk ke negara ini dari negara asalnya dengan segala susah-payah dan terpaksa berhutang demi mencari sebuah kehidupan yang lebih baik. 18 tahun dahulu ketika berusia 22 tahun, Aman menempuh satu perjalanan darat yang jauh, sukar dan memenatkan.  Merentasi beberapa negara sebelum berjaya masuk ke negara ini dan bersembunyi di dalam hutan dengan hanya makan roti dan minum air kosong sebelum berjaya 'diseludup' masuk ke Kuala Lumpur.

Setelah berjaya mendapat penempatan, bukan bermakna hidupnya mula bersinar.  Pelbagai kerja dilakukan.  Dari bekerja kontrak di tapak pembinaan sehingga menjadi tukang masak di kedai Mamak. Semuanya dilakukan oleh Aman demi perut yang perlu diisi.   Sehingga pada suatu hari, majikan Aman meminjamkannya sebuah motorsikal untuk memudahkannya pergi bekerja dari Bukit Bintang ke Petaling Jaya.  Tanpa lesen dan sebarang dokumen, Aman pernah beberapa kali ditahan oleh pihak berkuasa, tetapi dilepaskan 'selepas dihukum di tepi jalanraya'.  Motorsikal itu akhirnya diambil semula oleh majikan Aman apabila dijumpai semula selepas satu kejadian curi.  Majikannya bimbang terjadi sesuatu yang tidak ingini.

Beberapa tahun kemudian, Aman berkenalan dengan seorang wanita tempatan yang merupakan rakan sekerjanya.  Selepas lima tahun berkawan mereka akhirnya berkahwin (dan kini telah dikurniakan sepasang cahayamata - lelaki dan perempuan berusia 7 dan 6 tahun).  Selepas berkahwin, kehidupan Aman belum juga bersinar walaupun beliau melakukan pelbagai pekerjaan.  Atas nasihat beberapa rakan dan saudara, Aman cuba membuka gerai makanan berasaskan makanan negara asalnya. Isterinya membuat pinjaman dan membelikan Aman sebuah motorsikal bagi memudahkan Aman membawa makanan yang telah dimasak dan dijual di sekitar Bukit Bintang.  Kadang-kadang jualannya laku hanya separuh dan ada masanya tidak terjual langsung.

Pada suatu hari, seseorang telah datang makan di gerai tempat Aman berniaga.  Esoknya, lelaki itu datang lagi dengan membawa kawan-kawannya.  Begitulah dari sehari ke sehari, pelanggan Aman makin bertambah sehingga beliau tak perlu lagi pergi menjaja.  Nasib Aman mula berubah.  Gerainya tidak putus-putus dikunjungi lebih-lebih lagi di waktu makan tengahari.

Kini, Aman telah mampu untuk menyewa restoran dengan kadar RM8,000.00 sebulan dan menggaji beberapa orang pekerja dari negara asalnya dan warga tempatan.  Dalam perniagaan, hasad dengki tak pernah lari.  Restoran Aman pernah diserbu atas aduan beberapa orang yang malas berusaha, tapi dengki dengan kejayaan yang orang lain ada.  Setelah dibawa ke mahkamah, Aman dijatuhkan denda sebanyak RM30,000.00...  

Tetapi kata Aman,  'Alhamdulillah, tigapuluh ribu itu telah terbayar semula berkali-kali ganda'. Restoran Aman kini bukan sahaja menjadi kunjungan pekerja pejabat atau warga sekitar.  Ahli perniagaan, ahli potilik dan mereka 'yang ada nama' juga gemar menjadikan restorannya sebagai tempat pertemuan sambil menjamu selera dengan hidangan yang enak dan berpatutan harganya. Kalau pergi di waktu tengahari dan tidak membuat tempahan, memang sukar mendapat tempat duduk.  Tapi sekiranya datang di waktu malam, keadaannya lebih tenang dan selesa.  Dan kerana ketenangan dan keselesaan itu, kami dapat bercerita panjang walaupun makan tetap kena bayar tanpa kurang sesen pun...hahaha..

Kisah Aman ini adalah bertepatan dengan pepatah DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU ADA JALAN dan KALAU TIDAK DIPECAHKAN RUYUNG, MANAKAN DAPAT SAGUNYA...

Orang asing sanggup menempuh pelbagai halangan untuk mendapatkan 'emas' di negara ini sedangkan kita masih enak dan lena dibuai subsidi... eh! dibuai mimpi...

13 ulasan:

  1. bukan nak kata ape lah..org luar lebih sng buat perniagaan di negara sndiri...cube kalo org sndiri buat bisness mkn kecil2 gni..mesti pihak perbandaran dh dtg kutip brg2 tu... ( Ni dilalui sndiri bukan sy lah, tp sedara) :-(

    BalasPadam
  2. area umh saya tu mak, banyak je kedai runcit warga aceh yang berniaga. milik mereka sendiri lak tu. pastu lagi maju dari bangsa kita.

    BalasPadam
  3. Orang asing lebih berjaya di negara orang dari di negara sendiri, itu realiti. Mungkin jika Aman tinggal di negaranya dia susah nak berjaya, tapi cabaran menjadikan dia tabah dan berjaya di Malaysia. Teringat saya dengan seorang saudara bau-bau bacang yang pernah menjadi pekerja restoran makanan segera di Malaysia dengan pendapatan tak seberapa. Akhirnya dia berhijrah ke Swizerland dan berjaya sebagai pekerja restoran makanan segera dan yang terakhir dia sudah jadi manager di sebuah restoran makanan segera di sana. Katanya yang balik bercuti ke Malaysia Raya Puasa lepas, dia tak mungkin berjaya jika masih kerja di Malaysia. Seperti juga katanya orang-orang Cina yang menjadi taukeh besar di negara ini mungkin cuma menjadi petani jika terus tinggal di China....

    BalasPadam
  4. semuanya kerana usaha yg tak pernah kenal erti putus asa kan kakcik..

    BalasPadam
  5. Semangat beliau yang kuat akhirnya mampu beroleh kesenangan..
    Kita masih ada yang lena dengan subsidi.. ;)

    BalasPadam
  6. bak kata ayah saya, kalau mak jadi org yang berjaya jadilah perantau..hehe..rasulullah pon merantau spjg hayat baginda (^_^)

    BalasPadam
  7. rasa takut melihat generasi kini tak tahu mencari peluang.akhirnya peluang yg ada diambil org luar

    BalasPadam
  8. Tabah sungguh Aman. Tetiba teringat filem Kuch Kuch Hota Hai di mana watak Aman didukung oleh Salma Khan. Kihkih..

    P/s: minum coke sewaktu tekak gatal berkemungkinan tuannya pun mmg gatal nak minum. Pssstt.. Jgn bgtau adik Kakcik naa? Haha

    BalasPadam
  9. Orang luar lebih celik matanya..mereka nampak segale peluang bila sampai kesini..tapi orang kita masih lagi sibuk nak menadah tangan minta disuap

    BalasPadam
  10. dimana ada kemahuan disitu ada jalan kak.. Allah sentiasa menunjukkan jalan kalau kita berusaha.. tpi satu lah kat negara kita ni kdg2 .. susah nak cakap lah !

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.

Ada pertanyaan dan segan nak letak komen? Sila emel ke : kakcikseroja@gmail.com