Petang tadi suamiku mendapat panggilan dari pegawai atasannya supaya segera pergi ke satu lokasi. Seorang pemandu kepada pegawai kanan Syarikat (PKS) dikhabarkan pengsan di dalam kereta sewaktu menunggu anak kepada PKS itu keluar dari sekolah.
Ketika suamiku tiba ke lokasi tersebut, beliau (suamiku) mendapati bahawa pemandu itu telah pun meninggal dunia. Masalahnya, mangsa meninggal dunia di dalam kereta yang enjinnya masih hidup serta semua pintu terkunci. Kebetulan ada sebuah kereta peronda polis yang lalu di situ. Suamiku meminta bantuan anggota polis berkenaan untuk memecahkan cermin tingkap. Wah! 'keras' rupanya cermin tingkap kereta Camry. Berkali-kali dihentak dengan pemotong besi masih susah hendak dipecahkan.
Kakitangan ambulans yang tiba kemudiannya mengesahkan bahawa mangsa telah pun meninggal dunia.
Gambar-gambar berikut adalah hasil rakaman telefon bimbit suamiku:
Gambar-gambar berikut adalah hasil rakaman telefon bimbit suamiku:
Mangsa adalah seorang lelaki berbangsa India yang baru berusia 44 tahun.
Kira-kira jam 6.00 petang, aku dan suami ke Hospital Kuala Lumpur. Disebabkan jalan yang sesak, kami hanya tiba di HKL hampir jam 7.00 petang. Suamiku perlu berjumpa dengan waris simati untuk urusan-urusan tertentu. Selepas bedah siasat dilakukan, mangsa didapati meninggal dunia disebabkan sakit jantung dan terdapat tanda beliau cuba mendapatkan pertolongan/keluar dari kereta sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.
Aku dan suami kemudiannya menunaikan solat Maghrib di surau HKL sebelum bergerak pulang.
Iktibar dari kejadian ini ialah kita tidak akan dapat menjangka bilakah waktu untuk kita dijemput kembali akan tiba.