Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 29 Julai 2011

Hilang selera...

Semalam dan hari ini, aku berpuasa. Puasa ganti.  Jangan tanya kenapa sudah saat akhir baru nak ganti.  Adalah sebabnya. Sekarang pun aku mengambil ubat atas nasihat pakar perubatan.  InsyaAllah, hari ini hari terakhir untukku mengganti puasa yang ditingalkan pada tahun lepas. Hanya Allah yang tahu apa yang kutanggung. 

Seminggu kebelakangan ini dadaku terasa sakit.  Bukan sakit kerana sesak nafas seperti yang selalu kualami.  Tapi sakitnya bagai ada sesuatu yang berat menekan dadaku.  Aku dah jadi malas hendak memikirkan sakit-sakit yang kualami ini.  Belum lagi kaki kiriku yang membengkak (tanpa rasa sakit) bagai ada angin di dalamnya.  Sesekali sewaktu menunaikan solat, aku hilang imbangan hingga hampir terjatuh. Ah! macam-macamlah...

Semalam ada pasar malam berhampiran rumahku.  Jadinya, aku tidak memasak kerana anak-anak lebih suka 'membeli belah' sendiri di pasar malam.  Aku berbuka seadanya sahaja.  Selepas maghrib, teringin rasanya hendak makan nasi beriani.  Lalu suami membawaku dan anak-anak ke JM Beriani.  Sebaik menatap hidangan yang dipesan, aku tiada rasa pun hendak makan.  Jamah sikit-sikit, sudahnya dibungkus sahaja untuk dibawa pulang.  Teh O ais limau kegemaranku juga tidak mampu kuminum.

Balik ke rumah, aku terus naik untuk tidur.  Tidur juga tidak begitu lena.  Akhirnya bangun di jam 4.00 pagi untuk solat, menggosok pakaian dan sahur.  Pagi ini di pejabat ada majlis bacaan Yaasin, sesi bermaafan dan jamuan ringan sempena menyambut kedatangan Ramadhan Al Mubarak.  Elok juga aku sedang berpuasa kerana selera makanku masih belum terbuka...




Sewaktu suamiku menyalakan lampu kereta, terpandang ada pasangan
(wanitanya bertudung)  sedang bercumbuan di dalam kereta di bawah tiang ini.  Tahulah malam Jumaat, andainya mereka suami isteri, tunggulah hingga sampai ke rumah!
Adik pejam mata, Adik tak nampak apa-apa!









Hitam Putih Kehidupan...


ada warna cuba dielakkan
ada warna kononnya lambang kehidupan
ada warna untuk status kebanggaan
sedangkan pulang nanti hanya membawa kain kapan!








Khamis, 28 Julai 2011

Dah besar pun cemburu...

Ingatkan Budak Sepet ni tak pandai nak cemburu sebab dia memang suka dengan budak kecil.  Rupanya, bila adik sepupunya duduk di atas ribaanku, dia berpura-pura main di belakangku.  Sebaik sahaja adik sepupunya turun, dia melompat naik ke atas riba.  Dia ingat badan dia tu ringan sangat!




Segar dari ladang...

Hasil dari dusun buah-buahan sahabat suamiku yang terletak di Hulu Langat.  Semoga terus murah rezeki beliau dan keluarganya. 


Manggis yang segar dan masam-masam manis.

Pn Queenie, yang ini bukan telur tenggiling tau! :)

Ini bukan durian yang diperam.


Gara-gara tak pandai mengopek, isi durian nampak kurang cantik.
Tapi rasanya TERBAIK.  Alhamdulillah.

Puas hati Adik dapat makan buah-buahan segar.  Terima kasih pada kawan Ayah.

Tangisan...

boleh saja terjadi
 tanpa alasan
tanpa paksaan
tanpa deraan
tanpa kepuraan-puraan

tangisan
mungkin tanpa airmata
tanpa kata-kata
tanpa apa-apa yang cedera

tangisan
lahir bersama jiwa yang penuh hiba
atau mungkin juga saat gembira

namun tangisanku
adalah kerana
jiwa yang terasa bisa
dirobek tangan-tangan yang punya kuasa
bicara mereka yang penuh pura-pura
konon segalanya demi sejahtera
tapi diugut pelbagai cara

jangan berani-berani kau ingin mara
segala jentera kawalan telah bersiap sedia
tugasmu hanya mengangguk cuma
jangan membantah demi membuktikan taat setia

tangisan
telah sekian lama kupendamkan
hingga menjadi satu tekanan
yang tak mampu lagi untukku simpan !

nota hati : tidak mengharapkan sesiapa memahami nukilan ini kerana ianya lahir dari jiwaku sendiri sebagai sesuatu yang hanya aku mengerti...



Selasa, 26 Julai 2011

Dari jendela tingkat 8 Hotel Sandakan ...

tidak banyak bangunan yang mencakar langit di sini

'pertemuan kaki langit dan gigi laut' yang tidak pernah jemu untuk kutatap

yang lama dan yang masih dibina


gambar ini sengaja dirakam begini

leka aku memandang pada orang yang bersantai di atas bumbung bangunan



Jalan-jalan di Sandakan...

Mendaftar masuk di Hotel Sandakan.


Antara larangan yang dikenakan.

Dasar orang degil - kami beli juga udang/ikan kering dan bawa masuk ke bilik!

Di luar, boleh dapat air tin pada harga RM1.20 sahaja.

Dah orang bawa, ikut sahajalah...

Aku malas nak kopek kulit udang, jadi aku makan kek ikan sahaja.

Cadangnya, inilah tempat penginapan para peserta kejohanan futsal tahun depan.

Ini pula gelanggang futsal yang dicadangkan.

Labuk Bay - tempat melihat monyet berhidung panjang.

Jalan masuk.

Monyet jantan yang tidak segan silu menunjukkan kejantanannya. Ops!

Melawat pula ke tempat perlindungan Orang Utan, Sepilok.


90% pengunjung adalah Warga Asing.

Hampir sejam menunggu dalam panas dan berpeluh,
barulah beberapa ekor Orang Utan muncul untuk makan.

Ada tak orang menyesal dahulu? ...

Sebab, kalau ikut kata pepatah 'menyesal dahulu itu pendapatan...'

Sewaktu aku dan suami berjalan-jalan menyusuri kedai-kedai di Sandakan, kami berhenti di sebuah kedai menjual pelbagai jenis beg.  Aku bercadang membeli sebuah beg untuk kegunaan Budak Sepet.  Berkenan dengan sebuah beg, aku minta suami bertanyakan harganya.  Gadis jurujual itu menjawab RM79.90.  Mendengarkan harga itu, kami pun terus berlalu.  Gadis itu memanggil kami dan berkata 'oklah... RM50.00 sahaja'.  Kami berpatah balik dan suami berkata pula 'kalau RM40.00, bolehlah'.  Tanpa banyak soal jawab, harga itu dipersetujui oleh pemilik kedai.  Aku dan suami saling berpandangan sambil pantas mulutku berkata 'sepatutnya tadi saya minta RM30.00 sahaja'.

Apa nak dikata, dah ditetapkan begitu, ambillah juga.  Kalau tak beli, macam tak baik pula...  (~_~)

Yang besar itu beg pakaian yang suamiku suka bawa ke sana sini.  Yang kecil itu untuk BS.