Kawan-kawan kakcik

Sabtu, 28 Disember 2019

Dulu dan sekarang...

1986 - baru bergelar isteri
2019 - sudah ada dua cucu yang berusia 5 dan 3 tahun 

27/12/2019 - ulangtahun perkahwinan kami yang ke 33.  Alhamdulillah.

Jumaat, 27 Disember 2019

Gerhana matahari cincin

26/12/2019 - gambar-gambar dari iPhone anak buajangku...





Maha Suci Allah yang menjadikan setiap sesuatu untuk kita berfikir tentang kekuasaanNya...

Isnin, 23 Disember 2019

Naqiu dan Hady Mirza - sudah tertulis rezeki mereka...

 

Kita hendak bising-bising pun, kita bukan dapat apa-apa, kan?  Lainlah kalau bila tunjuk ketidakpuasan hati, hadiah itu boleh dapat kepada kita... hahaha...

Tapi... makcik memang beremosi sedikit dengan senikata lagu Srikandi Cintaku itu.  Menyentuh hati...


Dingin malam tirai kenanganku
Menyerlahkan sekurun ingatan
Tercsiptalah rimba kehidupan
Percintaan dalam perjuangan

Kesetiaan sebagai bekalan
Bisikan penuh pengharapan
Tiada garis dapat memisahkan
Segalanya kudratMu Tuhan

Alam bagai mengerti
Segala yang terjadi
Embun menitis panas simpati
Pertemuan tiada awal akhir

Perutusan berdarah ku terima

Gugur kuntum di tengah halaman 
Medan ini kurasakan sepi
Terpaku pilu
 

Ku semaikan pepohon kemboja
Yang bunganya adalah hati ku
Semadilah dalam kedamaian
Semangatku tetap bersamamu

Kan kuusung oh! jenazah cinta
Semadikan nisan kasih suci
Semangatmu tetap bersamaku
Selama pasti

Debu malam meragut kenangan
Menyedarkan dari lamunanku
Percintaan dalam perjuangan
Kau abadi Srikandi Cintaku

Rabu, 18 Disember 2019

Permata Untuk Isteri...


Tiba-tiba terngiang-ngiang lirik lagu dendangan Kopratasa ini :

Telah ku siapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku

Sabtu, 14 Disember 2019

Mengenali Pengasas Min's Kitchen..





*MUHAMMAD MUHAIMIN BIN MUSTAPHA*
(MINS RICH EMPIRE.)

Dari seorang bekas pelajar degree dalam bidang Events Management yang datang dari latar belakang keluarga yang sederhana kini beliau membina empayar bisnes yang semakin meningkat naik dalam kalangan pelajar dan mereka yang bekerjaya dengan memperkenalkan Lontong Royale (sebelum ini dikenali sebagai #LontongOhsem) sebagai satu hidangan tradisi yang cukup istimewa. Siapa lagi kalau bukan *Muhammad Muhaimin Bin Mustapha* atau lebih dikenali sebagai Chef Min atau lebih mesra sebagai Bro Min, founder kepada Min’s Kitchen. Beliau merupakan bekas graduan dari MSU (Management & Science University) dalam bidang diploma in Culinary Arts.

Bro Min adalah seorang yang sangat menggemari makanan seawal usia 6 tahun. Waktu kecil banyak di habiskan di dapur dengan menolong dan memerhatikan cara memasak daripada emak dan makcik-makciknya yang sering datang pada hujung minggu. Pada asalnya perniagaan ini hanyalah bermula dengan memasak lontong untuk hari raya sahaja. Namun atas dasar cadangan kakak ipar, beliau telah mengambil inisiatif untuk cuba menceburi bidang perniagaan hasil bantuan keluarga.


Bro Min juga seorang yang sangat suka mencuba dan mencipta resepi-resepi baru, banyak masa nya dihabiskan didepan laptop dan buku-buku resepi bagi memastikan beliau dapat mengolah resepi-resepi tersebut ke tahap yang lebih tinggi dan berkualiti sesuai dengan citarasa rakyat Malaysia. Dari sini juga terhasilnya menu-menu seperti Yangnyeom Chiken (Ayam Pedas Korea), Buttermilk and Salted-egg buttermilk chicken dan juga bebola donut dengan 3 sos istimewa yang diolah sendiri sehingga menjadi kesukaan ramai.





 

Beliau telah menjalankan bisnes ini pada tahun 2017 secara sambilan dan berhenti seketika pada tahun 2018 atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun, pada tahun 2019, dengan izin Allah beliau membuat comeback dengan menu-menu yang lebih berkualiti dari segi rasa dan tekstur; dan Alhamdulillah mendapat sambutan yang luar biasa daripada setiap lapisan masyarakat. Dalam waktu yang singkat (2019) beliau telah berjaya mempunyai kumpulan peminat sendiri dari masa ke semasa.

Menjadi anak ketiga dalam adik-beradik yang semuanya lelaki beliau bangga mempunyai minat dan bakat memasak dan mengolah resepi. Atas motivasi dan sokongan keluarga serta sahabat-sahabat yang rapat, beliau nekad untuk meluaskan lagi empayar bisnes ini dengan niat ingin membantu golongan muda khususnya untuk berjaya bersama-sama dalam perjalanan ini. Berbekalkan semangat dan wawasan yang besar *Mins Rich Empire* telah didaftar kan di SSM pada tahun ini (2019) dan bisnes FnB merupakan salah satu usaha beliau untuk terus membantu golongan muda.




Rabu, 4 Disember 2019

WW : Gurau-gurau 18... 19...


Komen dari adik-adikku yang lebih mengenali diriku 😃

(Ada kenalan yang marah-marah bila aku 'menawarkan' suamiku
untuk menikah lagi.  Siapa kita hendak menolak ketetapan Ilahi)

Selasa, 3 Disember 2019

Tersentuh hati dengan ucapan seorang bekas suami...

...sampai meleleh airmata makcik...



 Semoga keluarga ini akan terus berada dalam rahmat dan kasih Ilahi.  InsyaAllah.  Aamiin...

Jumaat, 29 November 2019

Kalaulah anak-anak tahu...

...tentang resah hati seorang ibu :

anak pulang lewat - ibu sukar melelapkan mata

anak tidak sihat - ibu berdoa sakit itu pindahkan padanya

anak ingin makan - ibu gelisah andai tak dapat siapkan

anak rapat dengan kawan - macam-macam juga yang ibu fikirkan

anak hanya tahu meminta - ibu kesal kerana dia tak kaya

anak enggan bekerja - ibu nasihat bukan kerana penat membela

anak meninggi suara - ibu fikir salah silap masa lalunya

anak ingin bebas - ibu berdoa agar Tuhan memberi belas

anak dalam kesempitan - ibu berusaha memberi bantuan 


pelbagai lagi yang ibu rasakan, namun anak buat-buat tidak perasan...


Isnin, 25 November 2019

Tilam yang empuk bukan jaminan tidur yang lena...

Suatu pagi, sekitar jam 4.00 pagi, aku yang tidak boleh lena dan suami yang baru terjaga dari tidur, keluar berdua untuk 'melawat kawasan'.  Begitulah kami, sesekali bila mata tidak mahu lena, kami akan keluar dengan menaiki kereta untuk melihat suasana pagi di sekitar Ampang atau Kuala Lumpur.

Sambil berbual berdua, mata juga asyik memerhati suasana sekeliling yang biasanya sunyi sepi.  Kadangkala kami singgah di kedai mamak yang masih buka sekadar untuk menghirup minuman panas.  Terlihat juga anak-anak muda yang duduk-duduk dengan bungkusan minuman di atas meja dan telefon bimbit di tangan masing-masing.  Walaupun beberapa orang, tapi masing-masing senyap menumpukan perhatian pada telefon sendiri.

Lebih menarik perhatianku pada keluarga (ibu bapa masih muda) dengan anak kecil di bawah 2 tahun pun masih melepak di kedai mamak pada waktu itu.  Mungkin agaknya rumah mereka tidak selesa untuk didiami atau pun sekadar untuk mengisi perut yang lapar.

Satu lagi pemandangan yang mencuri perhatianku adalah mereka yang tidur lena di kaki-kaki lima.  Ada yang tidur tanpa beralas apa-apa selain simen kaki lima itu.  Ada juga yang berselimut dengan sehelai kain.  Semuanya kelihatan nyenyak tidur mungkin sedang dibuai mimpi indah. Tak perlu pun tilam dan bantal yang empuk lagi selesa.

Aku?  Ada tilam, bantal, selimut dan bilik berhawa dingin.  Masih juga mata enggan lena apa lagi hendak menganyam mimpi.

Begitulah.  Jangan fikir orang yang ada segalanya itu, bahagia hidupnya.  Begitu juga sebaliknya...

Khamis, 21 November 2019

Biarlah seadanya begini...

cermin mata patah...
ada aku kisah

telefon bimbit tak dengar suara...
kubiarkan sahaja

api dapur tidak menyala...
aku guna mana yang ada

aku sudah malas hendak melayan segalanya
cukuplah sekadar apa yang ada

kalau ada seringgit dua...
keperluan keluarga lebih utama

Selasa, 19 November 2019

Terima kasih...

te ri ma  ka sih

hanya  lima sukukata
dan dua patah perkataan

tapi...

ramai yang enggan mengucapkannya

kenapa?

kerana rasa diri lebih baik?
tak layak untuk diucapkan
walau setelah menerima pertolongan?

entah...
jawablah sendiri...

 

 

Rabu, 13 November 2019

Buat perangai pelik, orang maki, kita dapat pahala...

hmmmm...entahlah!

Macam-macam keanehan sekarang ini.  

Kalaulah semudah itu Allah melimpahkan 'pahala' , maka tak perlulah kita berbuat baik, solat, mengerjakan segala suruhan agama dan meninggalkan segala laranganNya, ya?

Makcik bukan orang yang 'alim dan berpengetahuan luas dalam hukum hakam.  Tapi kalau sudah sengaja kita 'membuat perangai demi perangai', kemudian meletakkan segala kesalahan ke atas orang lain, kononnya tertekan dengan tohmahan, makcik sendiri tak tahu nak kata macam mana.

Setahu makcik, salah tetap salah.  Mengumpat pun salah.  Tapi bila sengaja mencuri dengan harapan orang yang menangkap kita mencuri itu yang dikenakan hukuman dan kita pula diberi anugerah, apakah kita hendak mengatakan hakim itu bodoh?

Jawablah sendiri... 

 

Selasa, 12 November 2019

Kakitangan Pejabat Kerajaan, berubahlah...

Catatan ini ditujukan kepada mereka yang 'masih belum berubah'.  Yang sudah berubah, diucapkan TAHNIAH.

Makcik juga bekas kakitangan Pejabat Kerajaan dan makcik bukanlah seorang kakitangan yang baik.  Namun, selama puluhan tahun sebagai penjawat awam, banyak yang makcik lihat dan rasa.  Dari dulu, penjawat awam merasakan mereka berada dalam 'situasi selamat' berbanding pekerja swasta.  Kerja ikhlas tak ikhlas, kerja 'ikut suka' atau sebagainya, habis-habis pun penilaian prestasi saja 'tidak mencapai sasaran'.  Tapi kalau pandai ampu sana ampu sini, tidak mustahil juga boleh dapat anugerah!

Eh... dah membebel pula makcik ni.  Sebenarnya yang makcik hendak tegur ialah tentang pandangan masyarakat terhadap penjawat awam.  Pandangan sejak berdekad-dekad 'hmmmm...biasalah.  Ofis gomen.  Lembab.'  Sedangkan sebenarnya sekarang, sudah banyak ofis gomen yang sangat baik perkhidmatannya.  Layanan cekap dan mesra.  Timbulnya rungutan hanya disebabkan segelintir pekerja gomen yang masih selesa bersikap acuh tak acuh terhadap amanah yang dipikul.  

Ada yang masih menjawab panggilan telefon dengan jawapan 'saya tak tahu, itu bukan kerja saya'.  Tidak bolehkah diubah ayat itu kepada 'maaf, nanti saya dapatkan pegawai yang boleh jawab pertanyaan Encik / Puan.  Sebentar ya'.  Tapi janganlah pula 'ditendang' panggilan itu ke sana sini hingga berjanggut orang yang menanti.  Pastikan kita tahu ke mana  soalan itu akan mendapat jawapan yang betul.  Buatlah kerja sedikit untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab  untuk sesuatu soalan itu.  Takkanlah dalam satu pejabat, kita tidak tahu siapa buat kerja apa.  Carta organisasi dan carta aliran tugas bukankah ada?

Jangan jawab 'ah...tak ada masa aku nak ambil tahu semua'.  Menghadap telefon pintar ada pula masa?

Kenapa tiba-tiba makcik bangkitkan soal ini selepas bertahun-tahun bersara?  Sebabnya, baru-baru ini makcik berurusan di sebuah  Jabatan Kerajaan Negeri. Makcik datang pada hari Jumaat.  Jam sudah 11.30 pagi.  Tak lama lagi hendak masuk waktu rehat panjang.  Ada beberapa orang kakitangan (semuanya wanita) dalam pejabat yang sunyi itu.  Ada seorang budak lelaki juga (mungkin anak kepada salah seorang kakitangan itu).  Walaupun terdapat banyak fail-fail di atas meja mereka, nampaknya mereka lebih senang melayan telefon pintar masing-masing dari melayan fail-fail tersebut.  Sesekali mereka melayan budak lelaki itu.

Kedatangan makcik untuk bertanya juga seolah-olah mengganggu mereka.   Tak mengapalah.  Makcik maafkan.  Siapa suruh datang dekat-dekat waktu rehat, kan?

Tidak sampai dua bulan pun lagi kita akan melangkah ke tahun 2020.  Mana yang belum berubah, berubahlah.  Jangan niat kerja kerana hendak dapat gaji semata-mata.  Niatlah kerana hendak mempermudahkan urusan orang.  Semoga dengan itu, Allah juga akan mempermudahkan urusan kita.  InsyaAllah.

6 tahun lalu ketika masih bertugas. Kurus dan pucat 
sehingga hilang berat hampir 20kg
 akibat hyperthyroidism

Rabu, 6 November 2019

Entah...

...aku sendiri tidak pasti
tentang denyut dan rasa hati
sejujurnya aku senang bersendiri
sudah lali tiada yang peduli

entah esok atau sebentar nanti
aku akan dipanggil kembali
dengan segala kekurangan diri
balasan di sana tetap menanti

entah siapa yang ambil tahu
walau mereka yang konon sayang kepadaku
seringkali aku termangu-mangu
seolah-olah sepi itulah teman baikku...

Senyumlah walau hati sedang terluka...
 

Ahad, 27 Oktober 2019

Renungan untuk anak-anak...

...dan ingatan untuk diri sendiri.

Untuk anak-anak yang masih punya ibubapa...

...untuk ibubapa agar ingat akan dosa-dosa kita.

Selasa, 22 Oktober 2019

Mangga asam boi...

...ada yang berminat? Sebekas lebihkurang 400 gram = RM8.00
Antara bahannya : cili api...

...asam boi...

...dan semestinya hirisan mangga.

Sama ada dalam botol...

...atau bekas ini, berat dan harganya tetap sama.

Jumaat, 18 Oktober 2019

Mengimbau kembali pertemuan blogger di rumah kakcik...

...pada hari Ahad 23/10/2011 (sudah 8 tahun berlalu)...

Antara yang hadir...

...tetapi ramai yang sudah tidak aktif berblog...

...namun ada yang masih aktif di facebook.

Senarai kehadiran, tetapi ada beberapa orang yang lupa mencatat kehadiran mereka...
Sedikit ucapan terima kasih dari kakcik selaku tuan rumah (yang hanya menyediakan tempat pertemuan, tetapi makanan dibawa oleh mereka yang hadir) DI SINI

Susulan dari pertemuan di atas, beberapa siri pertemuan berikutnya diadakan kebanyakannya di Musollah Ihsan iaitu kediaman Ybhg. Prof. Dato' Dr. Haji Abdullah Al-Hadi.

Walaupun kini sudah ramai yang tidak didengari khabar berita, tapi kenangan pertemuan ini adalah sesuatu yang manis untuk diingat. 

Tidak akan terjadi sesuatu perpisahan sekiranya tidak dimulakan dengan pertemuan...

 

Khamis, 17 Oktober 2019

Jangan sombong...

...kerana sebenarnya kita juga mengharapkan ehsan yang diturunkan Ilahi melalui jalan yang ditentukanNya...

Selain Snowy, ada beberapa ekor kucing lain datang menumpang berteduh, makan dan minum di hadapan rumahku.  Kucing-kucing ini nampaknya ada yang boleh 'bertegur sapa' sesama mereka.  Tetapi ada juga yang menunjuk sombong.  Pantang kucing lain datang dekat, dia akan cuba tunjuk garang dan bersiap sedia untuk menerkam.

Eleh... sama-sama datang menumpang, suka hati saja nak tunjuk garang.  Sudahlah dia tu datang kemudian dari yang lain, hendak berlagak bagai abang kawasan.  Dia tak tahu, sekali tuan rumah bertukar jadi singa, semua sekali kena hambat keluar!
 
Dia suka dimanja

Sebenarnya, hanya Snowy yang ada 'lesen' untuk masuk ke dalam rumah dan boleh tidur baring sesuka hati kerana dia pandai bawa diri.  Tidak menyepah mahu pun membuang di sana sini.

Makan pun tidak mahu berkongsi bekas yang sama

Yang inilah suka sangat tunjuk garang
Begitu juga kita manusia.  Hendak tunjuk sombong kerana apa?  Bukankah segala yang kita ada, boleh hilang bila-bila masa?  Kenapa hendak berkasta-kasta juga?

Rabu, 16 Oktober 2019

Rumahtangga - selama mana pun, dugaan tetap ada...

Gambar hiasan. Rasanya gambar ini sudah berusia 9 tahun.

Jangan kata baru setahun jagung, yang sudah berakar umbi pun belum tentu akan 'selamat'.  

Ujian tetap akan datang.  Bukan hanya dari pasangan yang mungkin tergoda dengan persekitaran - kawan-kawan, ransangan dari 'kaum berlainan jenis', campur tangan kaum keluarga.  Ujian dari keadaan kewangan yang sentiasa tidak cukup.  Ujian dari salah seorang yang mungkin memandang remeh pada suruhan dan larangan agama.  Ujian dari kiri kanan atas bawah yang tidak terjangka!

Jadi, kebahagiaan yang Allah kurniakan saat ini, bukanlah tiket untuk kita menunjuk-nunjuk bahawa kononnya kitalah pasangan yang punya rumahtangga serba sempurna.  Sebagaimana nyawa kita yang dalam genggamanNya, begitu jugalah setiap sesuatu yang kita ada.  Segalanya hanya pinjaman belaka.

Sentiasalah bersedia dan berdoa juga berusaha agar apa yang kita ada itu DIA redha dan memberkatinya...

Isnin, 14 Oktober 2019

Sudah lebih 10 tahun rupanya aku berblog...

Aku mula berblog dalam bulan April 2009 melalui blogku yang pertama iaitu INILAH AKU...
Kerana sesuatu sebab, aku tidak meneruskan blog tersebut sebaliknya memulakan blog KAKCIK SEROJA ini dalam bulan April 2010.  

Catatan pertama di blog INILAH AKU :


Tiada sebarang ulasan pun... hahaha

Antara catatan lain dalam blog tersebut :

Juga tiada ulasan.

Sampai bila aku akan berblog?  Entahlah...

Jumaat, 11 Oktober 2019

Makan-makan di Teluk Intan...

Walaupun ada beberapa restoran Mamak yang terkenal di Teluk Intan dan menjadi persinggahan wajib sesetengah orang yang datang, tapi suami dan anak-anak tahu bahawa makcik kurang berminat dengan makanan Mamak.

Oleh kerana itu, seboleh-bolehnya kami akan mencari restoran atau kedai makan yang menyediakan makanan / masakan ala kampung atau restoran Melayu.

Antara restoran yang sering kami suami-isteri singgah jika ke Teluk Intan adalah Restoran Udang Galah.   

Gambar dari arkib Pakcik Google :




Bila singgah di restoran ini, makcik memang jadi rambang mata dan rambang selera.  Tak tahu nak pilih hidangan yang mana.  Tapi memanglah makcik tak ambil lauk udang galah.  Makcik lebih tertarik kepada  hidangan sayuran kampungnya yang pelbagai.  Masak lemak rebung, masak lemak pisang muda, masak lemak pucuk paku @ pucuk ubi serta macam-macam ulam-ulaman segar.  Ikan juga ada macam-macam - keli, patin, kembung, cencaru.    Harga yang dikenakan juga tidaklah mahal...

Pergi pada waktu tengahari, pelanggan memang memenuhi restoran ini.  Jadi pilihlah cepat-cepat ikut selera dan dapatkan tempat makan lalu makanlah dengan berselera...
Selain restoran ini, ada satu restoran yang terletak di tepi jalan iaitu di Taman Cicely.  Tak ingat pula makcik nama restorannya.  Makanan di sini juga sedap dan murah.  Restoran ini rasanya buka pada waktu malam sahaja...

Makanan ala Thai yang kami pilih.  Alhamdulillah.
Sarapan pagi di sebuah warung yang kami 'terjumpa secara tak sengaja' di Teluk Intan :

Mee kicap pilihan pakcik...

...dan mee kari pilihan makcik.