Kawan-kawan kakcik

Rabu, 18 Mei 2016

Dalam diam aku memerhati...


...hampir setiap minggu aku dan suami ke Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan.  Seperti biasa, sewaktu suami masuk ke pasar untuk 'berbelanja', aku akan duduk bersendirian di dalam kereta. Sesekali aku akan mendengar siaran radio sama ada IKIM.fm atau Sinar.fm.  Tapi selalunya, aku lebih senang jika duduk dalam sunyi.  Tidak membunyikan radio atau CD.  Duduk sambil bermain permainan di telefon atau duduk memerhati apa yang ada di hadapan mata sambil membuat andaian sendiri...


...yang selalu menjadi perhatianku adalah pekerja-pekerja Pasar Borong yang rata-ratanya
warga asing. Seawal pagi mereka sudah menikmati hidangan bagai makan tengahari.
Sepinggan penuh nasi panas (berasap) dengan sejenis dua lauk yang baru dimasak
(juga berasap).  Selalunya mereka akan mengambil nasi yang banyak dan sedikit lauk
tapi lebih kuah.  Mereka makan dengan gembira sambil menyuap mulut dengan suapan
yang penuh.  Ada juga yang hanya duduk memerhati kawan-kawan makan.  Mungkinkah
dia tak punya kemampuan membeli makanan atau sedang berjimat-cermat dan
mengharap ada yang sudi membelanja?  Tidaklah kutahu.  Aku hanya pandai-pandai
membuat tafsiran sendiri...

Walaupun aku tidak masuk ke pasar, tapi aku akan mula 'beraksi' sebaik
masuk ke dapur.  Hidangan yang aku sediakan hanya biasa-biasa sahaja.
Aku memang tak pandai menyediakan pelbagai jenis hidangan atau lauk-pauk.
Cukuplah seadanya.  Mudah-mudahan anak-anakku tahu bersyukur kerana
setidak-tidaknya mereka tak perlu bersusah-payah seperti pekerja warga asing itu.

Sebenarnya sangat jarang sang ketam masuk ke dapur rumahku.
Sesekali suami akan beli bila merasakan harganya 'berpatutan'.  Sekali dalam masa
bertahun-tahun.  Jadi, aku pun  tidaklah pandai sangat hendak memasaknya.
Rugi rasanya beli mahal-mahal sedangkan yang berat itu kulitnya dan isinya
tidak sebanyak mana, kan?
...nenek suka perhati orang, nenek tak tahu Qaid pun diam-diam
perhatikan nenek...hehehe...

Bolehkah lelaki mendapat penyakit barah payudara?...

Sesungguhnya tiada yang mustahil bagi Allah SWT.  Jika DIA berkehendakkan sesuatu itu terjadi, maka terjadilah ia.  KUN FAYAKUN...

Artikel di bawah ini disalin sepenuhnya dari SINI untuk rujukan dan bacaan sendiri dan sesiapa yang ingin membacanya...


Kanser payudara? 

Soalan seperti ini tidak mustahil akan terpacul kala dikaitkan dengan kalangan lelaki, lantaran ia sangat jarang didengari berbanding lazimnya berlaku di kalangan wanita. Ini mungkin disebabkan perbezaan fizikal di antara golongan Adam dan Hawa ini sangat ketara terutama pada saiz payudara. Pun begitu, jangan pandang remeh kerana walaupun nisbah peratusannya agak kecil iaitu kira-kira 1:100, namun tidak mustahil boleh menyerang golongan lelaki. Malah, peratusan ini kini semakin meningkat di Amerika Syarikat.

Menurut Pakar Bedah Gastroentestinal & Laparoskopi Hospital Pakar DEMC Shah Alam, Dr. Lukman Mohd Rashid, kebanyakan kes kanser payudara lelaki menyerang pesakit sekitar usia lebih lanjut sekitar 50-60 tahun.

“Dari segi perbezaan, sebenarnya tidak banyak perbezaan ketara kerana dari segi simptomnya adalah sama. Berdasarkan kes yang ditemui, peratusannya juga sangat kecil iaitu kira-kira 1:100. Ini kerana lelaki mempunyai hormon testeron berbanding estrogen pada wanita. Walau bagaimanapun, ia tidak mustahil untuk lelaki juga berisiko terutama apabila terdapat simptom berkaitan kanser payudara ini.

“Berbanding wanita juga, lelaki lebih mudah rasa simptom yang terdapat pada badan mereka kerana perbezaan saiz payudara. Jika ada di antara ahli keluarga yang pernah menghidapi kanser, risikonya adalah lebih besar untuk lelaki mendapat penyakit ini. Kebanyakan lelaki pada masa kini yang membuat suntikan hormon juga berpotensi untuk terkena kanser payu dara,” jelasnya.


Faktor-faktor risiko

Antara faktor-faktor yang meningkatkan faktor kanser payudara lelaki termasuk:
·         Umur lanjut iaitu lelaki dalam lingkunan umur 60-70 tahun.
·         Terkena sinaran radiasi. Jika anda telah menerima rawatan radiasi terutama pada bahagian dada seperti yang digunakan untuk merawat kanser di bahagian dadah, anda lebih cenderung untuk menghidap kanser payudara di kemudian hari.
·         Pendedahan kepada estrogen misalnya menerusi pengambilan ubat-ubatan yang berkaitan dengan estrogen seperti yang digunakan sebagai sebahagian daripada prosedur seks perubatan. (Dadah estrogen juga boleh digunakan dalam terapi hormon untuk kanser prostat).
·         Sejarah dalam keluarga di mana mungkin salah seorang ahli keluarga pernah menghidap kanser.
·         Sindrom genetik atau juga dikenali Kline felter yang berlaku apabila lelaki dilahirkan dengan lebih daripada satu salinan kromosom X. Sindrom ini menyebabkan perkembangan tidak normal buah zakar. Hasilnya, lelaki dengan sindrom ini menghasilkan tahap hormon lelaki (androgen).
·         Jika anda mempunyai penyakit hati seperti sirosis hati, hormon lelaki anda boleh dikurangkan sementara hormon wanita pula akan menjadi lebih.
·         Obes mungkin menjadi salah satu faktor risiko di kalangan lelaki kerana ia meningkat bilangan sel-sel lemak dalam badan. Sel-sel lemak akan menukarkan androgen kepada estrogen yang boleh menyebabkan peningkatan jumlah estrogen dalam badan.



Apakah simptomnya?

Memandangkan ia penyakit yang bukan lazim di kalangan lelaki, adalah dinasihatkan kepada mereka yang mempunyai simptom-simptom berikut segera berjumpa pakar untuk mengetahui lebih lanjut lagi berkaitan.

“Memandangkan lelaki mempunyai buah dada yang lebih kecil daripada wanita, oleh itu ia lebih mudah untuk membuat pemeriksaan sendiri di rumah. Sekiranya terdapat simptom-simptom seperti ketulan di bawah puting atau kelenjar (benjolan di bawah ketiak), lekuk-lekuk pada bahagian payudara, puting berdarah, segeralah berjumpa dengan pakar,” ujarnya lagi


Berikut adalah ciri-ciri kanser yang boleh anda kesan sendiri atau telitikan:-


Payudara

Payudara anda akan mengalami perubahan saiz dan rupa. Sekiranya anda dapat melihat seperti lekuk pada bahagian payudara selain mungkin melibatkan penemuan ketulan atau berlakunya penebalan kulit payudara.


Puting berdarah

Puting berdarah. Walaupun ada kalanya terdapat cecair keluar dari puting, ia adalah perkara biasa. Namun, keadaan ini boleh jadi membimbangkan sekiranya puting berdarah.


Puting tertarik ke dalam

Ia mungkin satu keadaan normal dan semula jadi pada sesetengah wanita. Walau bagaimanapun sekiranya keadaan ini baru berlaku dan terjadi tanpa sebab, anda harus berjumpa dengan doktor. Ketulan atau penebalan kulit dan diikuti dengan kehadiran cecair keluar daripada puting juga harus dipandang serius. Segeralah berjumpa doktor.


Ruam

Ruam di bahagian puting dan persekitaran kulitnya juga boleh menjadi simptom serangan kanser payudara. Penyakit Paget ada kaitan dengan serangan kanser payudara. Ruam di puting atau kawasan persekitaran puting boleh terjadi akibat daripada ekzema.


Lengan

Terdapat ketulan atau bengkak pada sekitar ketiak.


Rawatan

Sekiranya anda telah disahkan menghidap kanser payudara, segeralah menjalani rawatan kerana harapan masih ada untuk anda menyelamatkan nyawa. Antaranya adalah melalui pembedahan dan seterusnya rawatan lanjut seperti kimoterapi dan radioterapi.

“Walau bagaimanapun, apa yang penting adalah menjalani gaya hidup sihat. Jangan mengambil estrogen, minum arak, merokok dan sebagainya yang berbahaya kepada kesihatan kerana ia mungkin salah satu penyumbang untuk anda berisiko menghidap kanser payudara,” nasihat Dr. Luqman.


Selasa, 17 Mei 2016

Nikmatnya tak sama lagi...

Lebih 40 tahun lalu, dapat menikmati ais kepal yang harganya 5sen atau 10sen satu,
seronoknya tidak terhingga.  Disedut manisnya hingga tinggal ais yang tiada rasa.
Tak pernah peduli atau fikir pun tentang tangan apek yang membuatnya dan
kertas suratkhabar China yang menjadi alas ais kepal itu!

Hari ini - sudah agak mampu membeli dan menikmati semangkuk ABC
yang berharga hampir RM6.00 ini.  Namun nikmatnya sudah berbeza.
Hanya mampu ditelan sesudu dua kerana bermacam alasan - gigi ngilu,
manis sangat, sejuk sangat, hendak cepat dan macam-macam...
Soto ini agak sedap.  Semangkuk RM6.80
Ditelan sebab 'sayang' rasanya hendak membazir.
Ikutkan hasutan atau bisikan-bisikan nafsu yang jahat, mungkin
tak akan di makan.  Berminyaklah, sejuklah dan macam-macamlah...
Hmmmm... bila nenek 'merungut' macam-macam,
Qaid pun sampai tak tahu apa nak dimakan...

Ada yang tak tahu rupa ais kepal itu?

Inilah rupanya dan cara meletakkan air gulanya.
Gambar diambil dari SINI