Kawan-kawan kakcik

Sabtu, 25 September 2010

Apakah yang anda faham?



Anda menerima arahan begini : 'Tolong cari dan cetak artikel berkenaan ikan patin.  Saya hendak 15 helai'.

Sekali atau dua kali imbas, apakah yang anda faham tentang arahan ini?



(ini bukan soalan objektif, jadi tiada pilihan jawapan disediakan)  (^_^)




Jumaat, 24 September 2010

Jamuan Hari Raya

Petang semalam, aku dan Budak Sepet mengikut suami ke Jamuan Hari Raya di Taman Tasik Titiwangsa.  Yang 'seronok makan', pastinya Budak Sepet itu.  Diakui, makanan yang dihidangkan memang sedap (lupa nak ambil gambar van katerer) walaupun aku hanya makan jemput-jemput dan empat cucuk satay.  Kalau tak percaya, sila tanya Budak Sepet yang makan dua pinggan nasi lemak, sepinggan salad, sepinggan mee goreng dan minum beberapa gelas air!










Khamis, 23 September 2010

Nak tidur....

gambar tiada kena mengena dengan catatan

Nasi dah masak.  Daging masak kicap pun dah siap.  Teh O panas pun ada.  Yang lain-lain?  Nanti dulu ....  pagi-pagi begini, siapa yang nak makan?

Hari ini terpaksa ambil Cuti Kecemasan (oh... tiada siapa yang terpaksa dimasukkan ke Wad Kecemasan!).  Kenapa sampai perlu ambil cuti? (Rugi - tak dapat hadir sambutan Aidilfitri peringkat Kementerian hari ini).

Sebenarnya, aku tak sanggup meninggalkan Budak Sepet bersendirian di rumah.  Selalunya dia tinggal bersama Bangcik sebelum sama-sama pergi ke sekolah.  Hari ini, Bangcik kena pergi awal ke sekolah kerana ada aktiviti.  Budak Sepet pula bercuti sempena UPSR.

Biarlah apa orang nak kata pun (dah biasa dengar ayat-ayat cinta ini) :

i)  alaaa .... anak dah besar pun nak risau sangat (weiii.. lagi besar anak, lagi tinggi tahap kebimbangan, tauuuuu) 

ii) macam dia saja ada anak ....  anak si anu tu, kecil  lagi dah biasa tinggal seorang kat rumah (itu anak dia, bukan anak aku ... kalau jadi apa-apa nanti, nak kesal pun tak berguna dah)

iii) sampai bila nak ambil cuti??  takkanlah setiap kali tak ada orang jaga anak, kena ambil cuti?? (bukan selalu terjadi begini, mungkin sekali atau dua kali setahun sahaja. Eh! aku pernah ambil cuti separuh gaji selama dua bulan untuk jaga anak tau...)

iv) manjakan sangat anak, nanti anak pijak kepala baru tahu! (kalau aku tak manjakan anak - bukanlah maksudnya sampai membiarkan mereka memijak kepala - nanti dia cari 'kemanjaan' di luar sehingga akhirnya mengaibkan keluarga, siapa nak jawab?)

 


Ah .... lantaklah apa orang nak kata ....  aku nak sambung tidur balik ....