Kawan-kawan kakcik

Sabtu, 27 April 2019

Azhan Rani - bakat lakonannya kini diperkatakan di sana sini...

Aku pernah menulis tentang pelakon ini pada 7 Oktober 2014 di SINI.  Di akhir tulisan itu, aku ada menyatakan harapan berikut :
... dan gara-gara drama NUR dan NUR 2,  nama Azhan Rani yang membawa watak Ustaz Syed Hamadi  menjadi sebutan.  Dia dikecam dan dibenci menunjukkan lakonannya memang menjadi.

Aku sendiri hanya menonton drama Nur untuk beberapa episod sahaja.  Untuk Nur 2, aku langsung tidak menonton (aku rakam episod terakhir tetapi akhirnya aku tidak menontonnya juga).  Aku memang suka dengan lakonan Azhan.  Banyak drama lakonannya aku ikuti.  Tetapi aku tidak menonton drama Nur / Nur 2, kerana aku tidak mahu jantungku 'bekerja keras'.  Membaca ulasan di sana sini sahaja sudah membuatkan aku semput, apatah lagi jika aku menontonnya 😅😅.

Diakui bahawa Azhan Rani tidak datang dalam pakej TAMPAN dan SEGAK BERGAYA.  Namun lakonannya jauh lebih baik dari mereka yang mengharapkan wajah kacak semata-mata.  Benar, bakat boleh digilap.  Tapi selama mana?  Sekadar menjadi watak utama dalam drama-drama berbaur cinta dan menjadi anak orang kaya (pergi ke pejabat tapi atas meja hanya ada komputer riba dan kertas sehelai dua), apa sebenarnya pengisian yang cuba dibawa?  Akhirnya untuk melakukan drama, diciptalah cerita-cerita cinta di luar layar...huh!

Azhan Rani - lelaki berusia 43 tahun berasal dari Tanjung Karang, Selangor (kusangkakan  berasal dari Kuala Kangsar - daerah kelahiranku...hahaha), tidak memerlukan cerita-cerita luar layar untuk mengangkatnya menjadi popular.  Watak lakonannya sudah cukup hebat hingga melayakkan beliau diangkat sebagai Pelakon Antagonis Pilihan DFKL. 

Syabas Azhan Rani.

Jumaat, 26 April 2019

Ramadan sudah tidak jauh...

...entah sempat atau tidak untuk sampai kepadanya, hanya Allah juga Yang Maha Mengetahui.



 Assalamualaikum dan Salam Jumaat.

Selasa, 23 April 2019

Bukan selalu aku rajin...

... tapi sesekali bila aku rajin, belum jam 11.00 pagi aku dah siap memasak.  Dan sedihnya (bukan sadis ya, SADIS tu maknanya KEJAM), kadangkala sampai malam tiada siapa yang sudi makan... huhuhu...

Ini gambar masakan yang aku masak dua hari lepas :

Masak lemak udang dengan kacang panjang.  Udang tu sengaja aku buang semua kulitnya sebab nanti jadi masalah pula pada yang memakannya. Kalau aku sendiri yang makan, memang tiada masalah sama ada berkulit atau tidak.

Telur dadar.  Hanya telur yang kuaduk dengan bawang besar hiris bersama garam.  Letak macam-macam nanti rakyat jelata tak suka.

Sardin.  En Suami suka sardin yang dimasak begini.  Dia tak suka sardin yang dimasak macam sambal tumis.  Yang ini, cuma hiris cili merah dan bawang besar serta tomato.  Tumis sekejap.  Masukkan sardin.  Tambah jus asam jawa serta garam.

Keropok goreng.  Ada yang tak 'pandai' goreng keropok sekaligus banyak macam ni ya?  Takut hangus katanya.  Caranya, panaskan minyak sehingga betul-betul panas.  Kemudian masukkan beberapa keping keropok.  Sekejap saja ia akan kembang.  Terus angkat gunakan penyepit atau penapis.  Siap...