Kawan-kawan kakcik

Rabu, 12 Julai 2017

Suara hati yang tidak tersuarakan...

...di hati seseorang itu, apatah lagi hati seorang ibu tua seperti aku, sebenarnya banyak (malahan kadangkala terlalu banyak) benda atau perkara yang ingin disuarakan...

Namun, segalanya tidak mudah.  Hendak membuka mulut dan melontarkan suara pun terpaksa berfikir beribu kali, ditimbangkan baik buruk akibat kata-kata yang bakal keluar, akhirnya DIAM bersama rasa yang terpendam.

Menjaga perasaan orang lain hingga mengenepikan perasaan sendiri sudah seperti menjadi makanan ruji.  Akibatnya tidak juga selalu baik.  Kerana terlalu 'memikirkan', akhirnya memakan diri sendiri. Menanggung rasa marah, kesal dan sebal yang tidak terluah membuahkan rasa sakit yang akhirnya terzahir menjadi penyakit yang berulang-ulang.  Tekanan darah naik.  Serangan lelah dan semput tiba tanpa diundang.

Siapa yang peduli?  Sakit tanggunglah sendiri.

Ada yang cuba membaca isi hati?  Tiada.  Malahan tidak pun cuba untuk mengerti.

Meniti hari-hari yang masih berbaki, alangkah bagusnya jika membawa diri mencari redha Ilahi.  Oh...waktu datang dan pergi. Di celah-celah saat yang berlari, kita perlu menangkap waktu sendiri kerana ia tidak menanti.  Kesibukan datang walau tidak dicari hingga kita alpa dan lalai sendiri.  Lalu waktu berlalu dan tak pernah menanti.  Terkapai-kapai akhirnya sia-sia hanyut menuju mati...

Khamis, 6 Julai 2017

Siapakah yang sebenarnya melacurkan Bahasa Melayu?...

... tidak lain melainkan bangsa Melayu sendiri!

Bangsa lain, sudah tentulah bukan bahasa mereka, jadi terpulang kepada mereka bagaimana menuturkan Bahasa Melayu. Begitupun, sebahagian bangsa 'lain' itu, begitu bersungguh-sungguh untuk membetulkan sebutan dan susunan ayat mereka ketika bertutur mahupun menulis Bahasa Melayu.

Bangsa Melayu?  Ah...mungkin terasa tidak cerdik kalau bertutur tanpa mencampuradukkan Bahasa  Melayu dengan sepatah dua bahasa lain terutamanya Bahasa Inggeris.  Setidak-tidaknya, hendak juga sebut perkataan I see, at least, you know, by the way walaupun tak kena gaya dan tempat.

Tonton sahaja siaran di televisyen.  Tak kisahlah siaran berita yang ada temubual ke, (siaran drama merapu tak payah sebutlah), siaran dokumentari ke, pasti bahasa rojak sangat selesa dituturkan.  Dari marhaen ke menteri, semuanya sama.  Siaran berbahasa Melayu, diacarakan oleh pengacara Melayu, ditonton oleh penonton Melayu, tapi selesa menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa rojak.  Apakah matlamatnya?

Marahkan anak-anak menggunakan bahasa 'entah apa-apa' dengan ejaan 'menyakitkan jiwa', sebenarnya hendak salahkan siapa?.  Bila yang sudah tidak remaja pun 'seronok' mengikut rentak anak-anak, adakah patut cikgu di sekolah disalahkan bila keputusan peperiksaan Bahasa Melayu anak-anak jatuh merudum?

Sekarang sibuk dilaungkan tentang MENDAULATKAN BAHASA MELAYU.  Satu ketika dulu, Bahasa Melayu disebut dengan sebutan BAKU - bagaimana dieja, begitu disebut.  Contohnya : BAGAIMANA tidak disebut BAGAIMANE.  Tapi kerana pertelingkahan politik, semuanya ditidakkan dan dikembalikanlah kepada sebutan lama.  Itu masih tidak mengapa, kerana kita sudah faham dan sudah selesa. Masih lagi menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

Tapi, bila Bahasa Melayu sedikit demi sedikit dilacurkan di Tanah Melayu, bayangkan hasil yang lahir dari pelacuran itu.  Sudah tidak asing lagi susunan ayat : 'you knowww, I bukan tak nak pergi. Tapi kan, my mother tu kolotlah.  Semua yang I buat tak betul. At least, bagilah I keluar dengan kawan-kawan. But I tak kisah, tahulah macam mana I nak go out nanti...' 

Bila anak-anak yang masih belajar sudah biasa menggunakan ayat begini, maka terbawa-bawalah mereka sewaktu mengarang di sekolah.  Agaknya, bagaimanakah Guru Bahasa akan memberikan markah?

Tepuk dada tanya jiwa!

Artikel berkaitan : DI SINI