Kawan-kawan kakcik

Selasa, 11 November 2014

Datuk oh Datuk...

Datuk oh Datuk
jasa apa yang datuk beri
mana ada jasa
ada duit semua jadi

duit oh duit
mengapa kau sangat berkuasa
hendak buat macamana
dah aku kegilaan manusia

manusia oh manusia
kenapa jadi gila
macamana tak jadi gila
kuasa dan harta dipandang mulia

kuasa oh kuasa harta oh harta
kenapa kalian yang dipandang mulia
bukan kami yang diminta
tapi manusia suka berkasta

kasta oh kasta
kenapa kau perlu ada
macamana aku nak tiada
nanti manusia tak boleh berlagak sentiasa



Hehehe... maaf ya Datuk-Datuk semua...

Sebenarnya nak tulis tentang lain.  Tentang 'pengasas-pengasas' produk kecantikan yang rata-ratanya bergelar 'Datuk'. Sesetengahnya pula, siap ada 'Dr', 'Prof'.... ish... macam tak yakin je aku!  Muda-muda pula lagi tu.  Wajah pula macam adik-beradik je...iras-iras gitu!  Bercakap hanya lancar tentang produk yang dijaja sahaja.  Sampai tercungap-cungap aku tengok.  Cuba minta mereka tunjukkan kilang di mana produk mereka dihasilkan. Agak-agaknya ada ke tidak?  Sekarang ini, di siaran berita (waktu utama) pun ada slot untuk iklan produk kecantikan.  Bosan tau!

Setakat ini, aku rasa cuma Pn. Rozita Ibrahim pemilik Sendayu Tinggi dan Jamu Ratu Malaya je yang tak 'hadap' dengan gelaran. Tapi, beliau berjaya juga.  Mampu juga bertahan dengan produk-produknya.  

Orang sekarang dah bijak.  Bukan macam 20 - 30 tahun dulu. Bila dengar je 'Datuk', wah... kembang hidung kalau dapat menyapa walaupun Datuk tu tak kenal atau pandang pun kita...

Jangan nanti, hanya kerana gilakan gelaran konon untuk melariskan jualan, perniagaan jadi buluh kasap - hujung hilang pangkal lesap...


Isnin, 10 November 2014

AF - antara Akademi Fantasia dan Adik Faqihah - derma yang mana lebih bermakna?...

(ambik! bukan main panjang tajuk.  Kalau buat karangan dalam Peperiksaan SPM guna tajuk macam ni, diterima tak? Silap-silap nanti baca tajuk sahaja orang dah tak ingin nak tengok catatan ini. Terpulanglah, kan?...)

Adik Siti Nurfaqihah Huda binti Mohd Abdullah (sila klik pautan), dilahirkan dengan masalah kesihatan.  Lahir setelah berada hanya untuk tempoh 8 bulan dalam kandungan ibunya dengan berat 1.9kg sahaja.  (Kisah selanjutnya, tolong klik pada pautan di atas, ya)...

Kini Faqihah memerlukan rawatan susulan dan kos membeli makanan tambahan yang disyorkan oleh pakar perubatan. Walaupun ibubapa Faqihah adalah penjawat awam, namun aku sangat faham dengan prosedur-prosedur sementara hendak mendapatkan bantuan dari Jabatan Perkhidmatan Awam.   Kadangkala perlu mendahulukan wang yang bukan sedikit jumlahnya untuk membeli keperluan perubatan sebelum boleh dituntut semula yang tempohnya memakan masa agak lama.  

Jika ada belas di hati sesiapa yang membaca catatan ini, hulurkanlah sumbangan sekadar ikhlas dan mampu untuk menampung keperluan Adik Faqihah ke akaun ibunya seperti berikut :

Maybank - 158118035720

Siti Suhana binti Jamaludin




Ahad, 9 November 2014

Bila aku rajin...

...eh! bukankah aku memang selalunya rajin (dengan syarat, ada apa yang aku inginkan) untuk memasak di awal pagi...

Ada orang nak makan atau tidak, itu bukan persoalannya.  Yang penting, atas meja sudah ada hidangan untuk dijamah oleh mereka yang sudi bila perut mereka lapar.  Sering juga makanan yang kumasak tidak dimakan atas alasan-alasan mereka sendiri yang tahu.  Mungkin tidak kena dengan selera mereka atau mereka memang sengaja mengada-ngada.  Itulah jadinya bila mereka tidak pernah merasai apa yang dirasai oleh orang yang tidak punya apa-apa - seperti yang pernah kurasai suatu ketika dulu.  Menekan perut yang lapar dengan harapan ia tidak meragam.  Kadangkala terlena dalam mengharap - manalah tahu, tiba-tiba ada yang sudi menghulur sedikit 'pelapik perut'...

Ah... kenangan!  Ia mendewasakanku dengan keinsafan.  Aku bersyukur kerana hati ini masih ada belas dan ehsannya.  Apakan daya kerana walaupun tidak lagi terpaksa menekan perut menahan kelaparan, aku juga tidak begitu mewah untuk sentiasa bersedekah. Benar, bersedekah tidak akan menjadikan kita papa, tapi kalau hendak bersedekah pun, biarlah bersesuaian dengan keperluan si penerima.    Takkan hendak sedekahkan baju kepada orang yang mengharapkan sepinggan nasi, kan?

Apa pula yang aku melalut di hujung minggu ini?  Entah! Kadangkala bila sudah mula mengetuk papan kekunci, ilham itu datang sendiri tanpa di sedari.  Kadangkala pula, puas dipaksa tapi tak membuahkan apa-apa.  Semuanya dari Allah juga...

Jom tengok 'set nasi lemak' yang kusediakan pagi semalam (hanya habis dimakan malam tadi)...






Pagi ini aku sediakan kuih dadar atau orang kampungku panggil kuih ketayap dan meehoon goreng sahaja.  Malas pula nak letak gambarnya...