Kawan-kawan kakcik

Rabu, 11 Januari 2017

Berhutang hingga gaji jadi kosong...

Tajuk di atas adalah tajuk dan artikel yang aku baca di Harian Metro :

Putrajaya: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa melahirkan kebimbangan dengan kadar keberhutangan yang tinggi segelintir penjawat awam dan mahu ketua jabatan memantau gaya hidup warga kerja masing-masing.
Menurutnya, beliau dimaklumkan ada penjawat awam membawa pulang gaji sifar ke rumah kerana gajinya dipotong untuk membayar hutang.
"Ada yang 'take home pay' (gaji yang dibawa pulang) penjawat awam kurang daripada 40 peratus yang kita syaratkan. Ada yang kosong peratus.
"Kita lihat ada yang ingin hidup mewah dan pada masa sama banyak meminjam sehingga membawa gaji kosong ringgit ke rumah. Perkara ini perlu diatasi," katanya pada majlis penganugerahan surat kenaikan pangkat pegawai pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana di sini, hari ini.
Beliau meminta Jabatan Akauntan Negara dan ketua jabatan memantau penjawat awam yang tidak berbelanja secara berhemah.
"Ketua Setiausaha Perbendaharaan juga meminta Jabatan Akauntan Negara meneliti potongan gaji penjawat awam," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 8:08 PM

Benarkah gaji jadi 'kosong' kerana ingin hidup mewah?

Aku bergelar penjawat awam di usia 21 tahun.  Gaji permulaan pada waktu itu jika tidak silap ingatanku hanya RM395.00 + Elaun Khidmat Awam (EKA) RM40.00, itu belum potong KWSP. Tahun bila?  Tahun 1982.  Sewaktu dapat surat tawaran, Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya aku walaupun di surat itu tercatat jadual kenaikan gaji di mana gaji akhir cuma RM9XX (aku tak ingat jumlah sebenarnya, tapi memang tak sampai pun RM1000). Beberapa bulan selepas mula bekerja, aku mendapat tawaran untuk mengikuti kursus kejururawatan di Hospital Universiti bagi tempoh 2 tahun, tapi aku tolak tawaran itu.

Sepanjang bergelar penjawat awam sehingga aku bersara pilihan sendiri pada 1/9/2014 (gaji pun belum maksima lagi tapi tidaklah hanya RM900++), tidak pernah pula penyata gajiku berbaki 'RM0.00'.  Tapi itu hanyalah atas penyata, di luar penyata jangan ditanya.

Adakah aku hidup bermewah-mewah?  Tidak.  Aku ini jenis 'hadap apa yang ada'.   Tapi cukupkah gaji yang aku terima? Orang kata 'sikit itu cukup' jika duit/rezeki yang diterima itu berkat. Betullah itu. Tidak pernah pula anak-anak aku kekurangan makanan, walaupun mereka tak pernah tahu kadangkala aku sendiri menahan keinginan demi mencukupkan keperluan dan kemahuan mereka.

Eh... apa sebenarnya yang aku ingin tulis di sini?

Berbalik kepada kononnya gaji jadi '0' kerana mahu hidup mewah. Betulkah?  Dengan gaji di bawah RM1000.00 dan duduk di bandar besar seperti Kuala Lumpur, pinjaman/sewa rumah perlu dibayar. Kalau pun tiada kereta/motorsikal untuk diisi minyak, tambang pengangkutan kena disediakan.  Makan minum?  Keperluan anak-anak (mungkin yang bujang kuranglah bebanannya)?  Itu baru 'yang wajib'.  Pergi ke pejabat, kena juga bersedia dengan sedikit duit.  Tiba-tiba ada pula kutipan 'derma kilat'.  Tolaklah bab kematian, ketua bahagian lain hendak bersara pun kadangkala dipaksa bagi sumbangan dengan jumlah yang ditetapkan (dengan seikhlas hati konon).  

Setakat gaji RM3,000.00 pun, kalau hanya seorang (tak kiralah suami atau isteri) yang bekerja, ada anak-anak 3 atau 4 orang yang masih bersekolah, di zaman ini jumlah itu adalah terlalu kecil. Lainlah zaman aku baru masuk kerja dulu.  RM3,000.00 itu gaji pegawai atasan yang telah mencapai gred Ketua Jabatan kot. Dengan harga barang keperluan harian yang 'naik tanpa bunyi' dari masa ke masa dan gaji hanya banyak itu juga, kemewahan apakah yang dapat dikecapi?  Gaji KOSONG kerana berhutang untuk bermewah?  Adakah membeli rumah dan kereta (kereta buatan tempatan sahaja) itu dianggap bermewah?

Entahlah labuuuuu...kita tak akan dapat menyelami kesusahan orang lain hanya dengan melihat dengan mata kasar sambil duduk bersilang kaki di kerusi empuk dan dengan segala kemudahan yang kita ada...

17 ulasan:

  1. walaupun saya tinggal di bandar kecil, saya memahami dan merasai apa yg kakchik sampaikan. Dgn gaji yg diterima sekarang ni, hakikatnya keperluan semasa adalah lebih besar dari itu.

    Hanya mampu bersyukur dgn apa yg diterima kerana jika dibandingkan dgn org lain yg takde, mungkin nasib saya lebih baik. ^_^

    BalasPadam
  2. Betul tu kakcik..
    Dengan gaji sekarang dan ekonomi sekarang ..
    Memang terasa peritnya..
    Sehingga almarhumah mak pernah kata..
    Kalau macam skrg belanja sekolah ..
    Korang mungkin tak sekolah..
    Saya masih ingat membawa duit yuran sekolah menengah masa tu sebanyak RM8.50..
    Skrg duit yuran sekolah rendah dah RM500 utk tahun 4 huhuhuhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mahalnya....tapi ada je kenalan yang memilih untuk menghantar anak ke sekolah swasta. Lagi takut dengar yurannya.

      Padam
  3. betul puan. perkara ini banyak berlaku kepada rakan sekerja saya sehingga rasa kasihan kami hampir menjadi amarah. ini akibat terlalu impikan gaya hidup yang melampau sehingga mendatangkan mudarat. gajinya bukan kecil puan, tapi hujung bulannya adalah derita untuk kawan -kawan kerana kami bagaikan membiayai hujung bulannya untuk bermewah . bagaikan kami berjimat menyimpan untuk beri padanya. semua akan mengelakkan dia kalau boleh.

    BalasPadam
  4. hahahahah.. siapa yg labu sebenarnya?? Perlukah kita membiarkan luncai terus terjun dgn labu2nya?? Sy suka entry ini.. terbaikk!

    BalasPadam
  5. sekarang saya dah faham, apa tu makna merempat negara sendiri yg cikgu beritahu zaman sekolah dulu2... huhuhu

    BalasPadam
  6. Berapa keratlah labu yg faham scenario ini Kakcik
    Atau sebenarnya dia tahu tapi buat-buat tak tahu.
    Ramai rakyat yg ter'cekik' sebenarnya.
    Dpt gaji bukan gembira tapi bertambah sesak dan terseksa sedih.

    BalasPadam
  7. Gaji takde baki bukan kerana hendak hidup bermewah2, tetapi kadar gaji yang dah tak sesuai lagi dengan keadaan semasa.
    Bagaimana nasib anak cucu kita pada masa akan datang.
    Sekarang bukan kira pasal gaji, nak dapat kerja sesuai pun susah.

    BalasPadam
  8. Sebab tu orang putih kata 'spend only after you saved' dan bukan spend duit sebelum menyimpan..

    BalasPadam
  9. setiap bulan bila dapat gaji memang hati sangat gembira...gembira sebab duit gaji tu cukup2 nak bayar hutang je, makan minum pulak dah kena usaha lain. hai la dunia

    BalasPadam
  10. hiduplah sederhana. nak mewah sampai berhutang tak best pun kemudian hari

    BalasPadam
  11. ada kakcik yg berbelanja sampai keterhutangan serius berhutang sbb bermewah, kt opis dana penah jumpa yg begitu...

    tp ada jgk sebab kos hidup sekarang nih, yg tinggi, kebetulan pula ada ramai anak mmg lah boleh buat gaji jd 00.00

    BalasPadam
  12. jangankan dekat KL..even dekat Sabah, gaji 1K tu..nilainya seciput ja dengan keadaan ekonomi sekarang ni hurmm :(

    BalasPadam
  13. Hmmm....saya dulu pun bermula dengan gaji 250 + elaun 50. Tapi cukuplah pula zaman 80an dulu...

    BalasPadam
  14. Kan duduk KL ni nak bernafas pun susah!

    BalasPadam
  15. Kak cik kalau la mereka yg berckp dan menuding jari tu tahu erti kesusahan rakyat dan pekerja bawahan ...pasti mereka tak berckp mcm ni ... mereka diberi kereta, diberi elaun tol diberi elaun minyak ... yg dibawah2 dpt apa ... parking sudah la mahal di sini parking mereta kena clamp dan didenda ..belm lagi di saman polis/penguatkuasa .......pandai berckp tp tak mengalaminya

    jgn beri cdgn naik pengangkutan awam untuk berjimat... kami ada anak2 bersekolah yg perlu diuruskan ...

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.

Ada pertanyaan dan segan nak letak komen? Sila emel ke : kakcikseroja@gmail.com