...tujuannya hanya satu - untuk buat passport bagi anak bujangku yang akan ke Bali untuk LATIHAN INDUSTRI (INTERNSHIP). Dia akan berada di sana untuk 4 bulan (dengan izin Allah).
Pejabat Imigresen UTC Pudu Sentral :
Kami sampai seawal jam 6.40 pagi (walaupun pejabat beroperasi jam 8.30 pagi). Pintu utama untuk masuk ke ruang UTC pun belum dibukan lagi! Di hadapan kami ada sekumpulan 8 orang (7 Cina 1 India). Jam 7.00, pintu dibuka dan kami meluru masuk - ada yang berdiri dan ada yang duduk di kerusi yang disediakan. Kemudian makin ramai orang yang tiba hingga barisan sudah 'berbelok'. Dalam hati aku berkata, apakah kakitangan imigresen ini tiada yang datang awal seperti aku yang sentiasa jadi tukang buka pintu pejabat sebelum jam 6.30 pagi sewaktu bekerja dulu...
Jam 8.00 pqagi baru kelihatan ada kakitang yang masuk dan lampu dalam pejabat dinyalakan. Tiba-tiba kumpulan di barisan belakang terdengar agak bising dan berkumpul sesama sendiri dan kemudian bersurai beramai-ramai. Kami yang di hadapan cuma tertanya-tanya. 10 minit kemudian baru ada petugas yang datang dan memberitahu bahawa sistem tergendala dan tiada urusan membuat/memperbaharui passport dapat dilakukan. Sebelumnya memang ada notis dilekatkan di pintu-pintu menyatakan sistem tergendala pada 25/07/2016 dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam. Betul juga kata seorang lelaki Cina kepada petugas tersebut 'kenapa petugas yang bekerja malam tadi tidak melekatkan notis baru untuk tarikh hari ini (26/07/2016) sedangkan semalam sistem belum pulih?' Petugas itu juga menyatakan mungkin sistem bermasalah untuk seminggu ini.
Kerana telefonku masih bersama suami (telefon suami masih di hospital selepas koma kerana terjun tiruk ke dalam besen air), tiada sebarang gambar atau video dapat kurakamkan...
Aku minta anak bujangku menelefon En Suami. Atas saranan suami, kami berdua beranak menaiki LRT menuju ke Pandan Indah dan suami menjemput di sana. Dari Pandan Indah kami menuju ke Putrajaya.
Pejabat Imigresen Putrajaya
Berpandukan aplikasi WAZE kami ke Putrajaya. Dalam senarai waze, ada tertera Pejabat Passport Putrajaya. Berpandukan itu, kami ke sana. Rupa-rupanya kami di bawa ke kawasan Diplomatik apaentah. Bertanya kepada seseorang, dia pun tak dapat memberi jawapan. Akhirnya aku bertanya dengan kawan-kawan di kumpulan whatsapp. Ada yang sudi menjawab, bahawa pejabat imigresen itu terletak di Presint 2 berhampiran KPDNKK dan Pejabat Suruhanjaya Tenaga.
Naik ke tingkat 3, Menara Ikhlas pada jam 10.15 pagi - tertera notis NOMBOR GILIRAN UNTUK PERMOHONAN BAHARU / MEMPERBAHARUI PASSPORT SUDAH HABIS. Aku cuba juga bertanya kalau boleh diberi kelonggaran kerana hari ini sahaja anakku tiada kuliah dan passport harus diserah pada hari Jumaat nanti. Petugas itu minta surat pengesahan pelajar pula. Aduhai... manalah ada dibawa. Dia kata kalau ada bukti whatsapp pun boleh. Masalahnya, dari siapa hendakku minta tolong walaupun dokumen itu ada di rumah.
Ada kawan di kumpulan whatsapp mencadangkan kami ke UTC Keramat Mall kerana katanya di sana orang tak ramai dan tempat letak kereta pun percuma. Maka ke sana pula kami...
Pejabat Imigresen UTC Keramat Mall
Tiba di sini pada jam 12.20 petang. Masalahnya sama juga dengan masalah di Pejabat Imigresen UTC Pudu Sentral - sistem tergendala! Hendak ke Jalan Duta pula, takut masalah yang sama juga berlaku. Telefon berkali-kali, jangan haraplah nak ada orang angkat...hmmmmmm...
Mungkin esok pagi anakku terpaksa ponteng kuliah waktu pagi untuk cuba nasib pula di Pejabat Imigresen Shah Alam.