Kawan-kawan kakcik

Isnin, 30 November 2015

Terima kasih Iryanti Ahamad...

Terperanjat juga bila menerima sampul surat yang tertera nama Kakcik Nur Seroja ini. Memang tahu ianya datang dari blogger (sebab blogger saja yang gunakan nama Kakcik Nur Seroja bila mengirim sesuatu untuk kakcik).  Tapi bila fikir balik, kakcik sudah lama tiada menyertai apa-apa peraduan yang dianjurkan oleh mana-mana blogger...

Comel...
Bila baca nama Yan tu, kakcik tahulah ianya datang dari Iryanti Ahamad.
Terima kasih Yan.  Semoga berpanjangan ukhwah kita.

Sabtu, 28 November 2015

Delhi - 18 hingga 21 November 2015...

Seminggu selepas balik dari Kashmir dan Delhi (tiba di KLIA2 pada subuh 12/11/2015), aku terbang semula ke Delhi (juga menggunakan pesawat Malindo Air) pada petang 18/11/2015.  Aku tidak merakamkan banyak gambar pada perjalanan kali ini.  Hanya sedikit rakaman untuk ingatan dan kenangan...


Seperti biasa, aku tidak akan melepaskan peluang menikmati keindahan awan dari tingkap pesawat...

Maha Suci Allah... segalanya kelihatan indah...

Pelbagai coraknya...

Ufuk merah menandakan siang akan melabuhkan tirainya...

SubhanAllah!

19/11/2015 - menyusuri Yamuna Expressway menuju ke Agra.  Perjalanan ini mengambil masa lebihkurang 4 jam...

Cuaca waktu ini dingin dengan suhu lebihkurang 13C...

Walaupun tidak banyak kenderaan di lebuhraya, kereta tetap dipandu  mengikut kelajuan yang ditetapkan.  Amaran dan kamera ada di mana-mana.  Bertabahlah melayan mata sahaja.  Jika di Malaysia 'kirim salam' rasanya pemandu hendak mematuhi hadlaju bila jalan lengang...

Pondok tol yang sangat 'ringkas'...


Ada beberapa hentian di sepanjang lebuhraya ini.  Tempat begini sentiasa dijaga dan tandasnya pun agak bersih.

Menghampiri Taj Mahal...

Oleh kerana aku sudah pun masuk ke Taj Mahal pada bulan Mei lalu, kali ini aku mengambil keputusan untuk hanya memerhati dari luar.  Kaki kananku masih sakit, tambahan baru sahaja seminggu balik dari 'melasakkan kaki' di Kashmir...

Tambah lagi aku tak sanggup hendak bersesak-sesak dengan umat yang terlalu ramai.  Kebetulan pada hari ini tiada bayaran masuk dikenakan sempena World Heritage Week.  Tiket masuk untuk warga asing pada hari biasa ialah sebanyak Inr750.

'Aku perhatikan sahaja perangai mereka'...

...dan ralit juga aku memerhatikan tupai-tupai cantik yang bermain-main di sekitar tempat aku berehat.

Balik dari Taj Mahal, singgah di tempat perusahaan membuat perhiasan dari marmar...

...sangat teliti kerja mereka.  Aku tak beli pun.  Tak mampu woooo...
Tapi di sini aku beli dua helai 'pashmina' yang kemudiannya seperti biasa aku akan menyesal sebab aku rasa harganya mahal!

20/11/2015 - menuju ke Karnal yang juga mengambil masa lebihkurang 4 jam perjalanan.
Hebat mereka kan?  Ini namanya lori 3 tingkat kot!

Bayangkanlah kalau perjalanan mereka jauh dan mengambil masa berjam-jam.  Tidakkah sakit tubuh badan mereka?

'Teksi' yang disumbat selagi boleh dengan penumpang adalah pandangan biasa di sini.  hinggakan tempat pemandu yang sepatutnya hanya seorang pun boleh diasak dengan penumpang di kiri dan kanan...

Singgah makan di sebuah restoran.  Kerana sukar mencari restoran halal di Karnal ini, makanan yang dipesan hanya berasaskan ikan dan sayuran.  Bawang dan jeruk buah (seperti acar buah) ini kononnya adalah pembuka selera. Tak sanggup nak makan weiiii...

Pencuci mulut - aiskrim dan sejenis manisan yang panasnya boleh meleburkan lidah jika terus dimakan.

Akhirnya bila semua sudah selesai, dihidangkan jintan dan gula batu untuk 'mewangikan mulut'...

21/11/2015 - menyusuri jalanraya dan melalui pondok tol yang jadi bahan ketawa kerana dikatakan seperti tandas di tempat kita!.  

Sebelum berangkat pulang pada sebelah malam, sempat juga ke Ambience Mall (aku rasa macam masuk ke Lot 10) untuk melihat-lihat. Aku memang bukan orang yang mampu hendak berbelanja berlebih-lebihan.  Keluar dari Ambience Mall ini, singgah pula di Sarojini Nagar Market.  Adalah sehelai dua saree dan pashmina yang diperbuat dari serat batang pisang yang kubeli di sini.  Aku tidak merakam sebarang gambar di kedua-dua tempat ini entah atas sebab apa...

Sarojini Nagar Market - gambar dari : www.indianholiday.com 
Aku masih belum 'serik' untuk ke India.  Sudah memasang angan-angan untuk ke Kashmir lagi pada musim panasnya bersama Yan. Jom siapa nak ikut...

Selamat tinggal Delhi, nanti aku datang lagi...

Wajah riang kerana akan pulang bertemu kesayangan yang telah lebih seminggu ditinggalkan...

Dalam senyum tetap berharap agar ini bukan pengembaraan yang terakhir ke negara orang...

InsyaAllah, suatu hari nanti aku akan cuba ambil tempat duduk di Kelas Perniagaan yang tambangnya kadangkala jauh lebih murah dari tambang Kelas Ekonomi.

Selamat tinggal dulu, minggu depan aku datang lagi ya...

Alhamdulillah.  Kami tidak menghadapi masalah lebihan berat bagasi.



Sedihlah kononnya tu...


Selamat tinggal India...


Vegetables Lasagne.  Isi perut dulu sebelum terbang...

Kacak dan cantik model tandas mereka...


Puas tidur, menonton, terjaga dan gelisah dalam penerbangan selama lebih 5 jam...

Mendarat dengan selamat di KLIA2 pada jam 6.00pagi (12/11)
tetapi lebih sejam menunggu bagasi.  Bagaimanapun, beg biru
ini aku bawa ke kabin untuk dijadikan tongkat. Dengan menggunakannya
aku kuatkan langkah menuju ke pintu keluar...
Alhamdulillah.

Apa-apapun syukur ke hadarat Ilahi yang memberi peluang kepadaku meneroka tempat orang di hujung-hujung usia ini.

Terima kasih kepada suami yang memberi keizinan untuk aku berpergian.

Terima kasih kepada kawan-kawan serombongan yang memberikan bantuan saat aku kelelahan.

Terima kasih kepada anak-anak kandungku terutamanya Bangcik yang tak putus-putus mendoakan agar Allah SWT memberikan aku kekuatan dan kesihatan yang baik.

Terima kasih kepada adik-adikku dan keluarga mereka yang mengambilberat tentang suami dan anak-anak yang kutinggalkan sementara.

Terima kasih kepada anda semua yang sudi membaca dan menatap gambar-gambar yang bukan sedikit bilangannya (itu pun tidak sampai separuh yang kusiarkan - hanya gambar-gambar dari rakaman telefon bimbitku, belum lagi gambar yang dikongsi dari rakaman telefon dan kamera rakan serombongan!)

Jumaat, 27 November 2015

Semalam di Delhi...

Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami singgah dulu di Delhi...

Tiba di Indira Ghandi International Airport pada hari perayaan Deepavali dirayakan di sana. Penerbangan dari Srinagar ke New Delhi mengambil masa 1 jam 15 minit sahaja.

...dari lapangan terbang terus ke Radisson Blu Plaza Hotel

Sementara hendak mendaftar masuk,
rakam sahaja apa yang ada di hadapan mata :)

Sangat selesa katil ini

Bilik air pun selesa...

Selepas mendaftar masuk, misi seterusnya adalah untuk mengisi perut.  Masing-masing sudah kelaparan kerana belum makan tengahari dan ada yang belum bersarapan pun...

Ke sinilah tujuan kami...
Restoran Karim.  Sebab tidak mudah mencari
makanan halal di Delhi, sesak pun sanggup kami redah.

Alhamdulillah.  Walaupun sepatutnya kami kena ke tingkat bawah untuk membuat pesanan makanan, tapi kami dibenarkan terus masuk dan duduk di tingkat atas.  Mungkin pekerja di situ nampak aku yang tehencot-hencot berjalan menaiki tangga...

Menu dan harganya...

...jangan terperanjat bila membayar kerana
caj perkhidmatannya agak tinggi...

Aku ok je makan bawang ni...

...sebab lapar, dah tinggal banyak ini baru teringat
hendak ambil gambar!

Semangkuk begini boleh mengenyangkan perut
3 orang yang tak kuat makan...

Karim's roll. Macam kebab...
Selepas makan, singgah sekejap di India Gate.  Aku tak masuk pun ke kawasannya.  Hanya memandang dari kereta.  Tak larat dah. Ingat nak tidur je...


Dahlah muka gelap, ambil gambar dalam gelap pula!
Pemandangan dari tingkap bilik di waktu pagi ...



Bersarapan di hotel :
Pertama kali aku jumpa hidangan begini.  Taugeh ke tu?



Hanya aku, Yan dan Lina.
Zura, Nadia dan Iyra dalam misi menjelajah Delhi...

Yan sedang bertanyakan sesuatu kepada Abishek (sebab namanya macam nama pelakon, senang aku nak ingat).

Lambang Radisson Blu (agaknyalah).


Kami bertiga ke hospital...

...disamping untuk bertemu Dr Sayed yang merupakan kenalan Yan...
...juga untuk mendapatkan rawatan buat Lina yang kurang sihat...


Ralit aku memerhatikan lelaki ini menuang minuman untuk kami...

...hanya plastik menggantikan cerek...

Masala tea yang enak...