Kawan-kawan kakcik

Sabtu, 31 Ogos 2019

Ibu Mertuaku sudah tiada...

31/08/2018 - bertepatan dengan sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke 62, ibu mertuaku kembali kepada Penciptanya.

Allahhumaghfirlaha warhamha wa'afihi wa'fu'anha.


Selasa, 27 Ogos 2019

Ibu Mertuaku...

Usianya kini (mengikut kad pengenalan) sudah 91 tahun.  Tapi mak kata, usianya sudah 100 tahun.  Mungkin juga, sebab dulu-dulu memang ada masalah lewat mendaftar kelahiran dan sebagainya, kan?

Badan mak sekarang memang sangat lemah.  Hanya tinggal kulit dan tulang.  Sedih sangat melihat keadaannya yang bagai tiba-tiba (dalam beberapa bulan kebelakangan ini) hilang upaya.  Bercakap juga sudah antara dengar dan tidak...

Dalam seminggu, sudah dua kali mak dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Ampang kerana mengadu sesak dada dan sukar bernafas.

22/08/2019 - 11.00 malam.  Selepas beberapa jam di wad kecemasan ini, mak di benarkan balik.

22/08/2019 - 11.00 malam.  Kali ini bila adik ipar menelefon sambil menangis memberitahu keadaan mak, aku dan suami bersama bangcik bergegas ke rumah adik ipar.  Sampai di sana, aku buat keputusan menelefon ambulans.  Anggota paramedik datang dan membuat rawatan ringkas sebelum membawa mak ke hospital dengan menaiki ambulans.

En Suami bersama mak
Mak ada 12 orang anak yang masih hidup semuanya - 6 lelaki dan 6 perempuan.  Buat masa ini, mak bergilir-gilir tinggal bersama keluarga dua orang anaknya - seorang anak lelaki dan anak perempuan bongsunya.  Aku tabik dengan keluarga kedua adik iparku itu.  Mereka menjaga mak dengan sangat baik dan penuh kasih.  Anak menantu yang lain akan menziarahi mak di dua buah rumah tersebut mengikut di mana mak berada.

Aku sendiri tidak mampu hendak menjaga mak kerana kesihatanku juga tidak begitu stabil.  Suami pula masih bekerja.  Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kedua keluarga adik iparku itu.  Semoga juga Allah mempermudahkan segalanya buat mak.  Aamiin...

Isnin, 26 Ogos 2019

Hadir ke majlis sambut menantu di rumah Makchaq...

Alhamdulillah, di hari ulangtahun kelahiranku yang ke 58 pada 24/8/2019, dapat memenuhi undangan blogger Datin Azilah (Makchaq) ke majlis menyambut menantu beliau yang ke 3.

Jam 12.00, aku dan suami ke Bandar Baru Bangi dengan niat untuk menunaikan solat Zohor di kediaman Dato' Dr Prof Abdullah Al Hadi dan Datin Aishah.  Kami sudah berjanji dengan Dato' dan Datin untuk membawa mereka bersama ke majlis Makchaq memandangkan Dato' dan Datin tidak boleh memandu dalam jarak yang agak jauh.

Kerana jalan yang sesak, kami tiba di kediaman Dato' sudah jampir waktu Zohor.   Ida Mahmud (dulu blognya Nyanyi Sunyi) juga ingin menumpang kami kerana beliau 'tak berani' memandu jauh.  Jadinya, kami pergi berlima.  

Sewaktu tiba, memang jemputan sudah ramai.  Ada orang-orang terkenal juga memandangkan Pakchaq adalah seseorang yang berkedudukan penting dalam sebuah jabatan kerajaan...

Kami tidaklah lama di sana dan aku juga tidak seperti biasa suka mengambil gambar sana sini.  Tidak banyak gambar yang ada.  Gambar di bawah ada yang aku ambil (dengan izin) dari facebook Hajjah Azwa Kamar...

Gambar dari Hjh Azwa

Gambar dari Hjh Azwa juga.  Bersama Makchaq.  Lihatlah betapa 'sihatnya' tubuh badanku yang menjadi-jadi naiknya selepas Hari Raya tempohari walaupun makan tak banyak mana...


Dalam perjalanan balik, Dato' beriya-iya juga hendak belanja makan sempena hari ulangtahun kelahiranku.  Kami singgah di Satay Hj Samuri dan akhirnya hanya air yang habis.  Satay dibungkus bawa balik.  Terima kasih Dato' dan Datin...