Kawan-kawan kakcik

Isnin, 8 September 2014

Bukan lagi RAHSIA bila kita sudah mula bercerita...

...padahal boleh sahaja kalau kita tak mahu bercerita.  Tapi kononnya kita sesak dada kalau tidak diluahkan.  Maka, kita pun mulalah bercerita dengan seseorang yang kononnya kita boleh percaya.  Siap dititipkan pesanan 'jangan cerita pada sesiapa'.  Dan kawan itu pun buatlah akujanji tidak akan bercerita.

Boleh percaya ke?  Kalau diri kita sendiri pun kita tidak boleh 'tahan' dari bercerita tentang sesuatu yang sepatutnya kita simpan kemas-kemas, apa lagi yang kita harapkan dari orang lain?  Sebaik mana pun kita rasa kawan kita itu dan sejujurnya mana pun dia, dia tetap insan biasa.  Tak mustahil nanti dia akan buka mulut juga dengan pesanannya pula 'kau jangan cerita dengan orang lain.  Kisah ini dia cerita pada aku saja'.

Sikap manusia, bangganya kadangkala tidak bertempat.  Kerana dia bangga telah mendapat rahsia kita, dia pula rasa ingin bercerita.  Iyalah, orang dah percaya dengan kita, mahu tak bangga.  Konon bagai kita termasuk dalam golongan insan terpilih!  Jadi, hendaklah juga orang lain tahu tentang betapa ada orang yang percaya kepada kita walaupun sebenarnya sekelumit pun kita tidak layak dipercayai...

Oleh itu, ada lebih baiknya kita percayakan diri kita sendiri terlebih dahulu sebelum kita percayakan orang lain.

#ingatanuntukdirisendiri

Jumaat, 5 September 2014

Salam Jumaat kawan-kawanku...

hari ini hari Jumaat
ada negeri hari ini untuk berehat
ada negeri hari ini kena juga ke pejabat
jangan lupa tengahari nanti ada fardhu yang kena dibuat

untuk lelaki yang cukup syarat
jangan cari alasan untuk tidak solat Jumaat
seminggu sekali bukanlah berat
fikirkan ganjarannya yang sangat hebat

untuk wanita yang punya waktu rehat
jangan pula Zohor sengaja dilewat-lewat
bagaimana kita mengejar kerja di pejabat
kewajipan terhadap Tuhan jangan diliat-liat

Khamis, 4 September 2014

Walaupun aku telah bergelar seorang pesara...

...aku masih bangun di awal pagi dan terus mandi seolah-olah hendak pergi ke pejabat juga.

Eh... kita ada kewajipan yang mesti ditunaikan...bukan bermakna bila bersara dari kerja pejabat, segala-galanya turut dipencenkan juga, ya tak?

Dapat menghantar suami dan anak (walau hanya dengan pandangan mata dan iringan doa) saat mereka melangkah ke pejabat masing-masing juga merupakan satu nikmat.

Bermula dengan bertatih dalam aturan yang baru ini, semoga aku sempat berlari sebelum langkahku terhenti buat selama-lamanya nanti.  Semoga apa yang kuimpi dan rancangkan akan berjalan dengan teratur.  InsyaAllah.



Kawan-kawan, mungkin sapaan kalian di sini tidak bersambut walaupun aku membacanya, tapi nantikan kunjunganku ke rumah kalian sama ada kalian perasan atau tidak.  Sudah lama aku abaikan segala kunjungan, kini bila ada kesempatan aku akan bertandang perlahan-lahan...