Kawan-kawan kakcik

Isnin, 22 April 2019

Ibu...walaupun kadangkala hatinya ingin membeku...

...namun tetap juga cair demi anak yang dikandung dan dilahirkan.  Buatlah bagaimanapun, dimalukanlah seantero alam, tetap juga segala duka dipendam dalam diam...

(catatan ini terlahir selepas menyaksikan satu peristiwa antara anak dan ibu - anak yang tidak berdaya masih tega menengking ibu yang menguruskannya)

Mungkin kerana sianak merasakan dia lebih pandai, lebih 'terkini', lebih tahu dan lebih segala-galanya, maka dia lupa bahawa dia lahir dengan disaluti kekotoran dan langsung tidak berdaya dari rahim seorang ibu yang kini dipandang 'hodoh dan bodoh'.

Anak, hari ini kau rasa kau lebih segala-galanya dari ibumu (walaupun sebenarnya kau dalam keadaan tidak berdaya).  Apa mungkin kau menyangka ibumu yang diam itu hatinya tidak terluka?  Apa kau rasa sangat bangga kerana ibumu tidak menjawab walau sepatah kata?  Malu dia hanya Allah Yang Maha Tahu.  

Dalam diam, dia mungkin menyesali dirinya sendiri.  Dia marahkan dirinya kerana 'tidak pandai mendidikmu' sehingga seharusnya kau jadi anak yang berbudi bahasa.  Ingatlah anak, redha Allah terhadapmu bermula dari redha ibubapamu.   Namun ibu tetap ibu, senyumnya menyembunyikan kedukaan hatinya.  Biar berubah riak airmukanya, namun dia cuba untuk ketawa.  

Anak, hari ini kau bangga membuatkan ibumu hilang harga diri.  Esok lusa nasibmu adakah kamu dapat menjangka bagaimana?  Benar, ada anak yang berjaya dan kaya raya walaupun menderhaka.  Tapi bahagiakan hatinya?  Boleh sahaja kamu mengaku bahawa kamu bahagia, tapi rasa 'tidak kena' akan mengekorimu ke mana-mana...

Sewaktu ibumu masih ada, hargailah dia.  Jangan nanti bila sudah tiada baru kau berpura-pura bahawa kehilangannya amat kau rasai dan sangat kau tangisi.  Sedangkan sebenarnya, jauh di sudut hati kau rasa kehilangan 'seseorang yang sudah tidak boleh kau buat hamba abdi!'

Wajah seorang ibu bernama aku.  Bersolek atau tidak, mata itu tetap 'memberikan cerita yang sama'...
  

Isnin, 15 April 2019

Anak bongsuku kemalangan...

Selepas habis menduduki peperiksaan SPM tahun lepas, anak bongsuku ini bekerja dengan 'food truck' di Bukit Ampang View Point.  Waktu kerjanya lebihkurang dari jam 9.00 malam hingga 4.30 pagi.  Selalunya dia akan sampai di rumah antara 5.00 hingga 6.00 pagi.  Kadangkala dia singgah makan di mana-mana atau singgah sekejap di cyber cafe.  Dia akan bagitahu di mana dia berada bila ditanya.

Pada subuh 13/4/2019, dia tidak menjawab whatsapp yang aku hantar.  Hati ini sudah mula bimbang.  Selepas solat Subuh, aku semak whatsapp dan aku nampak ada jawapan (yang aku baca)  'adik boleh call jap tak'.  Aku terfikir kenapa pula dia tanya nak call?  Aku baca sekali lagi 'acik boleh call jap tak'.   Jantungku mula berdegup kencang.  Aku terus telefon dan ternyata yang menjawab adalah kawannya. 'Acik datang ke Hospital Ampang sekarang.  Di wad kecemasan.'

Allah Ya Allah... Pada waktu yang sama, suamiku baru balik dari solat Subuh di surau berdekatan.  Aku salin pakaian dan terus ke hospital bersama suami.  Beberapa orang kawan anakku berada di luar wad kecemasan.  Mereka dah uruskan pendaftaran dan sebagainya.  Mereka juga yang berjaya menahan kereta yang melanggar anakku dari 'lari'.  Syukur Alhamdulillah atas keprihatinan mereka.  Mereka bawa anakku ke hospital dengan kereta yang melanggarnya kerana lambat dapat menghungi ambulans dan polis.

Menurut kawan-kawan anakku dia terus kejang dan mulutnya berbuih sebaik dilanggar dan terjatuh ke atas jalan.


Waktu aku masuk melihatnya, anakku masih mamai dan baru lepas muntah.  Dia memang tak ingat apa-apa...

Selepas 12 jam dipantau di wad kecemasan, dia dimasukkan ke wad pembedahan untuk pemantauan seterusnya kerana dibimbangi berlaku sesuatu di dalam tubuhnya.  Hasil keputusan x-ray dan CT Scan, tidak menunjukkan ada sebarang keretakan atau patah tulang.  Alhamdulillah. 

Setahun yang lalu, aku menunggu abangnya di hospital yang sama kerana masalah selepas pembedahan.  Kali ini menjaga adik pula.  Ingat boleh lena?  Tambahan bila doktor yang datang menyatakan hasil ujian CT Scan yang baru didapati pada malam itu menunjukkan ada sedikit pendarahan di dalam kepalanya sebelah kanan.  AllahhuAkbar...

Lelaki Cina yang menunggu ayahnya di katil berdekatan menyarankan agar aku mengambil 'kerusi malas' di bilik yang disediakan agar aku boleh berehat (tidur) dengan lebih selesa.

5.45 pagi dia kemalangan, 5.45 petang baru masuk wad

Luka di bahagian bahu, pinggang dan pergelangan kaki (buku lali).  Gambar ini selepas aku salinkan pakaiannya tanpa mandi. Alhamdulillah dia boleh tidur lena.

Selepas lebih 24 jam dipuasakan dan dia sangat lapar, aku beri dia makan roti.  Habis sebuku roti itu.  Aku papah dia ke bilik air untuk kencing (sebelumnya dipasang saluran untuk kencing kerana dia tidak berupaya untuk bangun).

Sekarang anakku sudah berada di rumah.  Motorsikalnya mengalami kerosakan teruk.  Laporan polis juga sudah dibuat.  Semoga urusan selepas ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan semoga anakku segera pulih sepenuhnya.  Aamiin.

Rabu, 10 April 2019

Mencari BAJU RAYA untuk anak lelaki?...

Jom singgah ke laman sesawang Darwish Rich Design (klik pautan ini) dan tengok-tengok kalau ada yang berkenan dan bersesuaian.  DRD juga mempunyai koleksi terbaru hasil kerjasama dengan produksi animasi Omar dan Hana

Ya...makcik tahu, Ramadan pun belum tiba sudah sibuk nak raya, kan?  Bukan apa, kalau beli awal kan senang?  Ramadan nanti tak lagi perlu susah-susah fikir nak beli baju anak-anak.  Boleh tumpu kepada hal lain terutamanya amal ibadah.  Tak gitu? 😀

Antara koleksi DRD x Omar & Hana


Model dua beradik...hahaha

Hendak ke mana tu, cu?

Comelnya dia...

Pssssttttt...jom lah singgah di DRD...

Kacak tak kami?

Aktres Yana Shamsudin  dan suami pun pernah mendapatkan koleksi pakaian DRD buat putera mereka...
DRD juga pernah menjadi penaja pakaian pelakon kanak-kanak dalam beberapa drama tempatan (yang terbaru adalah dalam drama En Imam Ekspres)

Gambar dari Google Image :