Kawan-kawan kakcik

Rabu, 21 September 2022

Sekadar ingatan...

 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua.


Rabu.


*jika di luar lebih selesa, duduklah dengan bersahaja.  Apa perlunya masuk ke rumah, jika dipandang endah tak endah*.


Ada kalanya, orang beriya-iya mengundang kita masuk kerana mereka nampak kita boleh membawa 'hadiah' buat mereka.  Tetapi bila tahu bahawa yang diberi bukan apa yang mereka mahu, akan disisihkan kita dengan apa pun cara.  Pedulikan sahaja, dari sudut mana pun, rezeki tetap dari Ilahi.


Jika ada yang berkata 'tanpa aku, kamu bukan sesiapa', bermakna secara tidak langsung dia telah cuba mengangkat dirinya menjadi Tuhan!


Isnin, 19 September 2022

Filem Tamil - Jai Bhim

 JAI BHIM...

(DISIARKAN DI SALURAN 203, ASTRO) 


Aku menonton filem Tamil ini bersendirian sebelum disertai En Suami di pertengahan cerita.


Tak silap aku, kisah ini berdasarkan kisah benar.


Kisahnya tentang perjuangan seorang isteri yang sarat hamil dan ada seorang anak kecil mencari keadilan bagi suaminya yang mati di dalam lokap polis.  Si suami dituduh mencuri barang kemas di rumah orang kaya, padahal beliau tidak melakukannya.


Di dalam lokap, polis menyiksa si suami dengan teruk hingga membawa maut.  Mayat beliau kemudian di buang ke negeri sebelah dalam jarak sempadan hanya beberapa kaki.


Si isteri dengan bantuan seorang peguam (yang benar-benar berkhidmat untuk marhaen tanpa mengenakan sebarang bayaran), berusaha keras untuk mendapatkan keadilan.


Mereka - isteri dan peguam tersebut - mendapat tekanan dari pelbagai pihak atasan (ahli politik, polis, pendakwaraya) agar menghentikan siasatan.  Malah si isteri ditawarkan ganjaran berjuta rupee.  Si isteri menjawab 'apakah nanti aku akan membesarkan anak-anak dan memberi tahu mereka bahawa segala perbelanjaan ini datangnya dari pembunuh ayah mereka?'


Kesudahan cerita, yang benar akhirnya menang juga.


Tiada seorang pelakon pun yang aku kenal dalam filem ini.  Tapi aku tetap terpaku menonton sehingga habis.  Tiada pelakon yang cantik atau kelihatan bersih kecuali seorang dua (guru wanita dan peguam lelaki).  Benar-benar menggambarkan kehidupan masyarakat orang asli yang dinafikan hak di tanah air sendiri.  Gigi pun berkarat...


(eh... yang aku tulis panjang-panjang ni kenapa?  Bukan orang kisah pun.  Tapi, terus terang aku lebih puas menonton filem ini dari menonton Mat Kilau)


Sudah lama tidak bersiaran...

 Bukan tiada cerita, cuma hendak berkongsi berat terasa.

Sudah tua begini, seboleh-bolehnya hendak tenang-tenang sahaja...


Tanam lada di tempat redup, 

  Dingin terasa di pinggir kali;

Aku masih meneruskan hidup,

  Menanti masa dipanggil kembali.