Kawan-kawan kakcik

Isnin, 31 Oktober 2011

RM10.00 sebiji ...

Dibeli oleh suamiku di Hentian Rehat dan Rawat Air Keroh.
soalan ceputembaga :  apakah rasionalnya telur masin dijadikan bunga telur?  Sudah dua kali aku menerima bunga telur 'bertelur masin'. (~_-)



Sembang-sembang bersama seorang teman...

...setakut mana pun kita pada kematian, ia tetap akan datang juga.  Tiada apa yang dapat membantu kita di sana kecuali ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah serta doa dari anak yang soleh - peringatan untuk diriku sendiri...

Sewaktu ke Melaka semalam, aku bertemu dengan seorang kenalan wanita (kebetulannya, selain dari ahli keluarga Allahyarham sahabat suamiku itu, tiada orang lain yang kukenali di sana selain sepasang suami isteri yang juga sahabat suamiku sejak zaman persekolahan).  Disebabkan suami kami telah bersahabat sekian lama, secara tak langsungnya kami juga menjadi kawan walaupun tidaklah begitu rapat atau mengenali secara mendalam.

Wanita ini adalah seorang saudara baru.  Walaupun suaminya tergolong dalam golongan orang senang/berada, tapi mereka sedang diuji oleh Allah SWT apabila siisteri dikesan menghidap penyakit barah payudara tahap kedua.

Beliau menceritakan pengalaman dan kesakitan yang dilaluinya kepadaku.  Tentang kemoterapi, tentang tekaknya yang kering, tentang rambut yang kian gugur juga tentang rasa kebas. Telah tiga sessi kemoterapi yang dilaluinya, dan masih ada lagi tiga sessi yang perlu dibuat.  Walaupun doktor mengatakan kuman-kuman barah tiada lagi dalam tubuhnya, tapi seperti katanya 'sakit kita hanya kita yang tahu'.

Lalu kukatakan kepadanya (amboiii... mengalahkan pakar motivasi pula aku ini), sakit itu adalah satu kelebihan yang Allah bagi pada kita.  Membuatkan kita akan sentiasa ingat kepadaNya.  Jangan sesekali mempersoalkan kenapa Allah beri sakit kepada kita, bukan kepada orang lain.

Bila kita sakit, jangan pandang orang yang sihat, sebaliknya pandanglah kepada mereka yang lebih derita.  Setidak-tidaknya kita sakit tapi kita berkemampuan mencari ubat yang terbaik, punya keluarga yang sentiasa sayang dan mengambil berat.  Bagaimana dengan mereka yang diduga dengan kesakitan dan tiada pula punya semua kemudahan dan lebih perit tiada pula ahli keluarga yang sudi bersama.  Kita kena sentiasa berfikiran positif dan memotivasikan diri kita sendiri.

Katanya lagi, bila ada rakan-rakan bertanya khabar, dia merasakan masih ada harapan buatnya.  Bila tiada yang bertanya, hidupnya terasa bagaikan tersisih dan sunyi.  Seperti satu ingatan buatku, agar tidak melupakan kawan-kawan yang berjuang dengan kesakitan.  Bukan niat kita sebenarnya untuk melupakan, tapi kekangan-kekangan masa dan pelbagai hal lain membuatkan kita leka.

Pernah juga katanya, ingin sahaja mengasingkan diri dan enggan keluar lagi - tapi, itu tidak akan memberi apa-apa kebaikan.  Lalu, redholah dengan ujian dan terus mendekatkan diri dengan Tuhan Yang Satu, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Gambar sekadar hiasan - tiada kena mengena dengan catatan. Sebenarnya
dalam perjalanan pergi dan balik Melaka, kami terserempak dengan konvoi
kereta  antik seperti yang dinyatakan dalam berita ini.


Selepas 3 tahun, dia dijemput kembali...

Satu kebetulan - pagi semalam, selepas aku membuat catatan ringkas yang terselit perkataan kematian, telefon suamiku berdering.  Kerana suami berada di dalam bilik air, aku menjawab panggilan itu.  Satu suara yang berselang esak tangis, membawa khabar duka 'sahabat karib suamiku sedang tenat'.

Suami meminta aku bersiap-siap kerana kami akan terus ke Melaka.  Setelah adik iparku tiba, kami bertiga terus bergerak ke selatan.  Ketika dalam perjalanan, satu panggilan lagi diterima yang memaklumkan sahabat kami itu telah pun kembali ke rahmatullah. 

Aku agak pelik dengan gaya pemanduan suamiku pada kali ini.  Langsung tidak tergesa-gesa mahupun memandu dengan kelajuan melebihi 110km/j.  Mungkin dia sedang melayan perasaannya bila kehilangan seseorang yang agak akrab dengan kehidupannya.  Cuma kesedihannya kelihatan terhambur bila dia memeluk ibu sahabatnya itu.

Tiga tahun sahabat berkenaan terlantar akibat barah usus - di rumah dan keluar masuk hospital, menjalani rawatan kimoterapi, berbekal ubat-ubatan - akhirnya dia pergi juga menemui Maha Pencipta.  Semoga rohnya ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.  Al-Fatihah.


Pertemuan pada Syawal lepas

Ambillah kematian itu sebagai satu iktibar bahawa kita akan ke sana juga.

Segalanya akan kita tinggalkan juga.

Pergimu ditangisi.  Semoga ada doa ikhlas yang mengiringi.

Selamat jalan.  Setiap kita adalah hakmilik mutlak DIA Yang Menjadikan.

Bersemadilah dengan aman bersama rahmat dan kasih Ilahi.



Ahad, 30 Oktober 2011

Saat bersendirian...

adakah teringat pada kematian
atau selesa melayan perasaan
mungkin juga tenang bersama kesunyian
 bagai hidup tak perlukan teman
Bila kaku begini, tiada apa mampu dilakukan lagi.  Mata terbuka bukan bermakna sedang memerhati.

nota hati lagi : jangan lupa kemungkinan untuk kita bertemu lagi. Andai rasanya akan hadir, isilah borang kehadiran di atas sana, ya? :)

Sabtu, 29 Oktober 2011

Bayang-bayang...

mengekori walau tak dipinta
memberi gambaran bukan yang sebenarnya
bersama bila ada cahaya
dalam gelap entah di mana
dekat tapi tak tercapai juga
tiada warna tapi berguna
menumpangkan teduh tapi tiada balasan diterima
 
 
nota hati :  kepada yang ingin menghadiri pertemuan blogger yang akan datang, sila isi borang kehadiran di bahagian atas blog ini.  Semoga kita dapat bertemu lagi, InsyaAllah.


Jumaat, 28 Oktober 2011

Yang ini En Nuff kata...



Terima kasih kepada semua yang memeriahkan blog kakcik ini.  Tentunya catatan-catatan yang dibuat sempena pertemuan pada hari Ahad, 23/10/2011 yang lepas turut menyumbangkan peningkatan kunjungan kepada blog ini.  Terima kasih sekali lagi.


Pagi ini sangat cerah...



Tapi siapakah kita untuk menentukan bahawa hujan tidak akan turun?  Yang mampu kita buat hanyalah berdoa agar Allah SWT sentiasa merahmati kita semua dan menjauhkan kita dari segala bala bencana walau apapun keadaan cuaca...




Hari ini kakcik bercuti.  Suami ke KK (malas nak ikut kali ini), malam nanti dia balik. :)



Khamis, 27 Oktober 2011

Nak perasan sekejap...


Eleh... bukan boleh percaya pada angka2 tu!

Dari mana datangnya sampai lebih seribu paparan sehari??  Bak kata Usop Wilcha 'nampak beno nipunyeeee'.


Tanpa slogan...

Persahabatan suamiku dengan kawan-kawannya ini telah menjangkau puluhan tahun (lebihkurang 40 tahun).  Mereka masih kekal bersahabat sehingga kini.

Bergurau dan makan semeja menjadi agenda biasa bagi mereka.

Bergelak ketawa walau berbeza bangsa dan agama.
 
Kemesraan antara sepupu ini juga tidak memerlukan apa-apa slogan walaupun
kedua-duanya adalah anak bongsu.

nota hati :  boleh tak kalau aku nak termuntah kerana telingaku geli bagai digaru-garu bilamana mendengar orang 'yang tidak sah percakapannya tanpa menyelitkan bahasa asing', tiba-tiba begitu beriya-iya memperjuangkan Bahasa Melayu - KONONNYA!


Jom makan lagi...

Semalam, suami bawa aku, BS, adik perempuanku dan anaknya makan di tempat ini.  Ini kali kedua aku datang makan di tempat berkenaan.  Apa yang membuatkan kami tertarik untuk datang lagi kerana selain makan yang dihidangkan panas-panas, harganya adalah amat berpatutan.  Satu set makanan besama air minuman hanya berharga lebihkurang RM7.00 sahaja.




'Ada sesiapa rindu kat saya tak?'

Pecal sayur ni nampak saja 'pucat', tapi pedas menyengat.

Pecal ayam - BS yang punya.

Pecal lele (keli) - suami dan adik perempuanku makan yang ini.

Semua sekali (4 set hidangan dan 2 set lagi dibungkus), hanya berjumlah RM38.00

Haaa... inilah 'asas' hidangan!
Memang penuh dengan kereta - tanda ramai yang datang makan di sini.

Alamatnya?  Aku pun tak tahu alamat penuhnya.  Tapi di tepi jalan besar Kampung Pandan (tak jauh dari Sekolah Menengah Aminuddin Baki dan tak jauh juga dari Rumah Pangsa Desa Pandan)

Ada sedikit cerita di sini :

http://akunakduit.blogspot.com/2011/10/tercapai-juga-impianuntuk-bertemu.html



Selasa, 25 Oktober 2011

Apa kes?...

Gambar kereta terbalik dirakam pagi tadi sewaktu aku, suami dan Angah dalam perjalanan ke tempat kerja. Suamiku turun mengelilingi sambil mengambil gambar, tapi tidak kelihatan ada orang di dalam kereta tersebut. Keadaannya bagai sengaja diterbalikkan.





Gambar lain yang tiada kena mengena...
Aku selalu terfikir, apakah faedah yang aku dapat dari menara ini? 
Kebanggaan?? Hmmmm.... MUNGKIN!

nota hati :  nak tengok GEDEK senyum lebar?  Sila klik blog Makcik Apron Merah ini. :)