Kawan-kawan kakcik

Isnin, 27 Mac 2017

Lama rasanya tidak bertemu...

...bila sesekali bertemu, terlerai rindu dan gelak ketawa tetap seperti dulu.  

Bersama Dato' Abdullah dan Datin Aishah.  Kenal sudah
lebihkurang 6 atau 7 tahun melalui alam blog.  Kini mesra
bagaikan saudara...

Rancangan tergempar namanya.  Mereka ingin berkumpul dan
bersarapan di rumahku.  Maka, yang aku tahu masak hanyalah
mee kari serba ringkas.  Alhamdulillah. Azie Azah dan suami
yang pertama tiba, sempatlah kami santai-santai bercerita...

Bersama Dr. Anyss yang manis...

Ada Cik Gadis Bunga dan Cik Puan Lawa bersama...

Juga Intan Mawaddah yang berwajah ceria.

Kuah Mee Kari yang ringkas tanpa ayam, udang atau kerang,
Kek ikan, bebola ikan dan tahu kering semata-mata.

Bahan-bahan sampingan seadanya.

Terima kasih Azieazah (dia dah 'sorok' blognya 😢), Dato' Abdullah Al Hadi, Anyss, Cik GadisBunga, Cik Puan Lawa dan Intan Mawaddah (tak tahulah mana dia sorok blog dia...😎) kerana sudi datang dan menjamah hidangan yang seadanya.  Yang penting adalah ukhwah dan silaturrahim yang berterusan walaupun kita sudah jarang berjumpa dan kalian juga sudah tidak aktif berblog lagi...

Semoga ada lagi pertemuan lain yang dapart mengumpulkan lebih ramai kawan-kawan yang asalnya dikenali hanya melalui alam blog...  In shaa Allah...

Rabu, 22 Mac 2017

Panas salah hujan pun salah..

Bersiar-siar di Tanjung Pelepas
Penat berjalan berpeluh-peluh
Sifat manusia tak pernah puas
Panas mengeluh hujan pun mengeluh

Masak ubi bersama cekur
Makan bersama jangan berkelahi
Jadilah manusia yang tahu bersyukur
Agar tak putus rahmat Ilahi

Selasa, 21 Mac 2017

Mahalnya harga durian...

Yang ini durian Musang King.
Di luar musim, harganya mencecah hingga RM85.00/kg

Yang ini pula durian D24,
Mahal juga, RM45.00/kg

Buah kundang (mungkin datang dari Thailand).
Di sesetengah tempat, harganya hingga RM50.00/kg

Makcik hanya mampu tengok sahaja dan makan bila ada yang sudi membelanja...😆😆

Isnin, 20 Mac 2017

Meraikan tetamu dari Kashmir...

Zubair (pemandu pelancong sewaktu aku dan kawan-kawan ke Kashmir dulu), datang ke Kuala Lumpur bersama kawannya Ishfaq. Pemuda ini punya keperibadian yang baik, jadi mereka yang pernah menggunakan khidmatnya sewaktu ke Kashmir tidak lokek untuk meraikan kedatangannya.  Masing-masing bergilir untuk bertemu dan meraikannya.  

Ketibaannya di KLIA disambut oleh Puan Azian Elias dan beberapa urusan Zubair juga dikendalikan oleh Pn. Azian. Zubair dan kawannya tiba pada pagi 16/3/2017.  

Sabtu (18/3/2017), aku whatsapp Zubair bertanya apa rancangannya untuk hari itu.  Katanya, ada kawan hendak menjemputnya di hotel.  Kebetulan aku dalam perjalanan ke pusat bandar Kuala Lumpur untuk membeli sesuatu.  Setelah berbalas-balas whatsapp, Zubair kata kawannya akan datang sebelah petang. Jadi, adalah masa untuk aku bertemu dengannya.

Aku dan suami menjemput mereka di hotel dan bercadang membawa mereka bersarapan (walaupun aku dan suami telah bersarapan sebelumnya - sudah hampir jam 11.00 pagi pun.  Waktu di Kashmir lewat 2 jam 30 minit dari waktu di Kuala Lumpur).

Setelah berbincang dengan suami, kami (aku dan suami) sepakat membawa mereka makan di Restoran Beriani Asif di Bukit Bintang.  Mudah, sebab pastinya hidangan di restoran tersebut kena dengan selera mereka.  Kami tiba sewaktu restoran baru hendak memulakan perniagaan untuk hari tersebut, jadi lamalah sikit menunggu.  Tak mengapalah, Zubair dan Ishfaq boleh ambil peluang berbual dengan pemilik dan pekerja restoran kerana mereka boleh bertutur dalam bahasa yang sama.


Kami biarkan mereka pilih apa yang mereka suka...

...dan inilah pilihan mereka :


2 keping Garlic Naan (RM6.00 sekeping)

Chicken Tikka (RM12.00)

Ada Beef Masala dalam mangkuk itu (RM15.00)

Lamb Beriani (RM20.00)

Garlic Cheese Naan (RM7.00)

Kami juga pesan satu jug Manggo Lassi (RM18.00)


Alhamdulillah, syukur kami berpeluang juga meraikan kedatangan
mereka.  Aku juga bersyukur kerana En Suami sentiasa mahu
bersama melayani permintaan isterinya.  Cuma sedikit masalah,
kedua-dua kami tidak fasih berbahasa Inggeris. Janji faham saja!

Selepas makan, kami tanya mereka mahu ke mana sementara menanti kawan mereka tiba.  Hendak bawa jauh-jauh , takut tak sempat.  Cuaca pula sangat panas, merah padam muka mereka dan aku sendiri pun berpeluh-peluh...

Singgah sekejap di Tasik Titiwangsa...

...kemudian bawa mereka ke Tugu Negara

Hero Kashmir sedang berangan!

Dari Tugu Negara cadangnya kami akan bawa mereka ke Masjid Negara untuk solat tapi kata Zubair kawannya dalam perjalanan untuk mengambil mereka di hotel.  Kami hantar mereka terus balik ke hotel penginapan...


Semalam (Ahad = 19/3/2017), kami berkumpul seketika di rumah Pn. Azian Elias dan mereka dihidangkan dengan makanan dan buah-buahan tempatan.  



Hari ini (Isnin = 20/3/2017), Zubair dan Ishfaq bercuti ke Langkawi pula.

Khamis, 16 Mac 2017

Bila ikan kembung sekilo RM duapuluh...



...rakyat kebanyakan hanya mampu mengeluh
nelayan tetap tinggal di pondok yang hampir roboh
cuaca pula bukan sepanjang tahun tengkujuh
maka menteri akan beri alasan nilai ringgit kian jatuh!



Selasa, 14 Mac 2017

Cek terakhir dari Nuffnang buatku?

...mungkin iya, mungkin tidak.  Kalau Allah kata masih ada rezeki buatku dari Nuffnang, adalah.  Blog yang suam-suam kuku macam blog Kakcik Seroja ini, jangankah hendak dapat tajaan, Nuffnang pun malas hendak pandang...

Inilah cek terakhir yang aku terima.
Cukup-cukup RM50.00 sahaja.

Jumlah keseluruhan yang pernah aku terima.
Untuk tahun 2013 dan 2014, satu sen pun tak ada. 😞😞
Dan sekarang cuma ada RM2.61 'dalam tabung'.
Agak-agaknya berapa tahun baru boleh sampai ke RM50.00?

Jika sudah ditakdirkan rezeki itu untuk kita, pusing ke mana pun, ia akan sampai juga kepada kita.  Tapi bila ianya bukan untuk kita, sampai dibibir pun akan terluah tidak tertelan...

Isnin, 13 Mac 2017

Sesekali berjumpa, kemesraan tetap ada...

Kami berkenalan pada Mei 2013 sewaktu sama-sama
mengerjakan ibadah umrah.  Selepas pulang, kami tidak lagi
berjumpa sehingga setahun selepasnya, kami menerima jemputan
ke majlis perkahwinan anak mereka.  Dan pada 5/3/2017 lepas,
sekali lagi kami memenuhi undangan majlis perkahwinan seorang
lagi anak mereka di Taman Idaman, Klang.

Syukurlah En Suami aku ini sangat peramah orangnya.  Jadi,
berbanding dengan diriku, dia lebih diingati.  Mudah sahaja
orang mengingati dan mengenalinya.

Alhamdulillah, yang penting adalah ukhwah yang terjalin.
Makan sekadar meraikan majlis.  Ini pun agak banyak yang aku
ambil.  Semoga pengantin dan keluarga mereka dirahmati
kehidupan mereka...

Jumaat, 10 Mac 2017

Makan untuk hidup...

Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera serta Salam Jumaat buat semua...

Ada orang, hidupnya adalah untuk makan sehingga nikmat untuk menikmati makanan itu ditarik kembali.  Tapi lebih ramai orang yang makan untuk hidup, ertinya makan untuk membolehkan dia terus melakukan keperluan-keperluan dalam sebuah kehidupan... #takfahamtakapa

Pada suatu hari sewaktu mengikut suami,
dari dalam kereta aku memerhati,
ketika hujan menyiram bumi,
terlihat seorang lelaki duduk menyendiri.
Bersandar di dinding gudang yang dia awasi,
membuka bekalannya dan diam-diam makan sendiri.
Alhamdulillah, untuknya masih ada rezeki, walau
tidak mewah tapi mencukupi.

Dari sudut yang sama aku memandang,
terlihat timbunan guni-guni beras di dalam gudang.
Burung-burung kecil datang tanpa diundang.
Mematuk-matuk tanpa dihalang. Banyak mana sangatlah
butir beras yang hilang.  Sekadar memenuhi perut kecil
sebelum kembali terbang...

Khamis, 9 Mac 2017

Inilah hadiahnya...

Ini hadiah cabutan bertuah pusingan pertama...

....dan ini hadiah 'cabutan main-main' itu...

Yang penting bukan nilainya tapi semangat kesukanan yang tinggi dan kegembiraan berada di kalangan kawan-kawan, itu yang utama....

Rabu, 8 Mac 2017

Bukan main suka lagi dia...

Tarikh : 4/3/2017 (Sabtu)
Tempat : Ampang Superbowl @ eCurve, Mutiara Damansara
Acara : Pertandingan Bowling Kelab Bernas Ibu Pejabat



Selaku Timbalan Yang Dipertua Kelab Bernas HQ,
En Suami membuat cabutan dan menyampaikan hadiah
cabutan bertuah (semua peserta sebenarnya menerima
hadiah cabutan ini).  Walaupun tidak begitu 'tahu' bermain
bowling, suamiku tetap datang atas dasar 'tanggungjawab'.
Iyalah, jawatan datang bersama tanggungjawab. Jangan
terima jawatan sekiranya tidak sanggup menerima tanggungjawab.
Walau hanya jawatan sukarela, apatah lagi jika jawatan bergaji...
jangan sesekali diabaikan tanggungjawab yang diberi kerana
Allah SWT tidak lepas dari memerhati.

En Suami bersama Yang Dipertua Kelab Bernas HQ
yang menerima hadiah cabutan bertuahnya.

En Suami menerima hadiah 'cabutan main-main' yang terakhir...

Semua orang kelihatan tergelak besar sampaikan Pn Cyanamoose
pun tertunduk-tunduk menahan ketawa. Sebabnya?  Pn Cyana
meminta siapa yang ada bawa kad pekerja dan menunjukkan
kepadanya, akan dapat hadiah terakhir itu.  Secepat kilat
En Suami mengeluarkan kad pekerja yang berada dalam poketnya.
Siapa sangka, kan?  Bukan hari bekerja, jadi kemungkinan ada
yang membawa kad itu adalah sangat tipis...
Oh...aku tetap menjadi peneman setia En Suami.
Kepada yang mengandai-andai dan memandai-mandai
merasakan aku ada masalah rumahtangga bila aku membuat
status sendu, sudah-sudahlah ya.  Setakat ini, aku dan suami
masih lagi sherashi bershama selagi Allah SWT mengizinkan.

Isnin, 6 Mac 2017

Kemeja ekslusif 'Little Gentleman' dari Darwish Rich Design...

Ingin anak bujang comel anda bergaya selesa? Pastikan anda dapatkan koleksi terkini kami Little Gentleman iaitu Kemeja Ekslusif. Comelnya anak bujang ni. Kacak kan? Jom dapatkan sekarang.
Little Gentleman keluaran Darwish Rich Design direka khas untuk si COMEL anda. Penghasilannya menggunakan kain material terbaik yang bermutu tinggi.   Sesuai untuk bayi hingga dewasa. Kualiti kain yang menyerap peluh, tidak jarang dan  mudah diurus. Juga tidak mudah berkedut dan senang digosok. 
Diberi sentuhan yang berbeza dari kemeja lain kebanyakan di pasaran, Little Gentleman mempunyai DUO BOTTON yang unik. Sangat menarik perhatian sesiapa saja yang melihatnya. 
Jahitan yang sangat kemas dan teliti, serta cuff di lengan yang sungguh selesa.
Little Gentleman mempunyai potongan baju dan ukuran yang tepat untuk si comel anda. Mudah disesuaikan dengan seluar panjang polos, jeans dan yang lain juga. Baju yang longgar mudah untuk si comel anda bergerak. 
Teruja dengan pelbagai pilihan warna-warna ceria untuk anda. Semestinya warna-warna menarik dan lembut yang membuatkan si comel anda tidak sabar-sabar untuk menggayakannya. 
Jaminan kami, anda pasti tidak mahu ketinggalan untuk memilikinya buat si comel tersayang. Stok adalah terhad dan eksklusif...