Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 27 Mei 2016

Tentang FIDYAH...

Assalam kawan2... ini sedikit info berkaitan fidyah. Harap ianya membantu kita2 yg kurang @ tidak faham mngenai fidyah.. Wallahualam

*Fidyah*
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.


*Hukum Fidyah*
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.


*Prosedur Membayar Fidyah*
Perkiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.


*Sebab-sebab dikenakan fidyah*

*Uzur menunaikan puasa wajib* – Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

*Perempuan hamil* – Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

*Ibu yang menyusukan Anak* – Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.

*Orang yang telah meninggal dunia* – Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

*Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)* – Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

*Taksiran fidyah*
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = Fidyah

*Kadar bayaran fidyah*
Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad). Dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 1435H, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.80.


Contoh:
Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah seperti berikut:


*RM1.80 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM16.20*

Untuk makluman anda, jumlah hari puasa yang wajib di qada tetap 3 hari sahaja. Hanya bayaran fidyah sahaja digandakan.

 Kadar fidyah mengikut negeri.

Semoga perkongsian mengenai cara mengira Fidyah ini memberi manfaat pada semua.

(Salin dan tampal dari grup whatsapp)

8 ulasan:

  1. tq kak bagi entry yang berguna untuk kita semua.. memang bermanfaat.

    BalasPadam
  2. terima kasih untuk perkongsian ni kakcik

    BalasPadam
  3. Thanx kakcik, gud info. Nak share dgn sorang kwn ni yg liat nak ganti posa :)

    BalasPadam
  4. alhamdulillah kakcik selagi terdaya kita ganti lah puasa tu kan
    tkyah bayar fidyah
    tapi bila dah M ni senang kan full je puasa takyah ganti2
    dan dpt puasa 6 teruss

    BalasPadam
  5. dulu mase susukan anak memang belajar abis2 bab ni mak..

    BalasPadam
  6. Assalamualaikum,
    info sangat berguna kakcik

    BalasPadam
  7. Baru semalam petang kami adik-beradik berbincang pasal fidyah ini Kakcik
    Sebab tahun ini mungkin bapak dah tak boleh berpuasa. Solat pun kena tunggu. Jalan kena papah. Makan sikit sangat dah kalah org puasa. Sedih.. doakan bapak kakak ye kakcik.

    BalasPadam
  8. Saya pernah kena bayar fidyah ni, Kakcik. Sebelum ni selalu aje bayar puasa sebulan atau dua bulan sebelum Ramadhan datang. Kebetulan pulak masa tu saya pregnantkan si Adik Cute dan mabuk teruk sangat. Tak dapat nak ganti puasa Ramadhan yang sebelumnya. Jadi kenalah saya bayar fidyah. Lepas kejadian tu, takda dah saya tunggu last minute baru nak ganti puasa sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku. Serik dah!

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.

Ada pertanyaan dan segan nak letak komen? Sila emel ke : kakcikseroja@gmail.com