Kawan-kawan kakcik

Rabu, 18 Mei 2016

Bolehkah lelaki mendapat penyakit barah payudara?...

Sesungguhnya tiada yang mustahil bagi Allah SWT.  Jika DIA berkehendakkan sesuatu itu terjadi, maka terjadilah ia.  KUN FAYAKUN...

Artikel di bawah ini disalin sepenuhnya dari SINI untuk rujukan dan bacaan sendiri dan sesiapa yang ingin membacanya...


Kanser payudara? 

Soalan seperti ini tidak mustahil akan terpacul kala dikaitkan dengan kalangan lelaki, lantaran ia sangat jarang didengari berbanding lazimnya berlaku di kalangan wanita. Ini mungkin disebabkan perbezaan fizikal di antara golongan Adam dan Hawa ini sangat ketara terutama pada saiz payudara. Pun begitu, jangan pandang remeh kerana walaupun nisbah peratusannya agak kecil iaitu kira-kira 1:100, namun tidak mustahil boleh menyerang golongan lelaki. Malah, peratusan ini kini semakin meningkat di Amerika Syarikat.

Menurut Pakar Bedah Gastroentestinal & Laparoskopi Hospital Pakar DEMC Shah Alam, Dr. Lukman Mohd Rashid, kebanyakan kes kanser payudara lelaki menyerang pesakit sekitar usia lebih lanjut sekitar 50-60 tahun.

“Dari segi perbezaan, sebenarnya tidak banyak perbezaan ketara kerana dari segi simptomnya adalah sama. Berdasarkan kes yang ditemui, peratusannya juga sangat kecil iaitu kira-kira 1:100. Ini kerana lelaki mempunyai hormon testeron berbanding estrogen pada wanita. Walau bagaimanapun, ia tidak mustahil untuk lelaki juga berisiko terutama apabila terdapat simptom berkaitan kanser payudara ini.

“Berbanding wanita juga, lelaki lebih mudah rasa simptom yang terdapat pada badan mereka kerana perbezaan saiz payudara. Jika ada di antara ahli keluarga yang pernah menghidapi kanser, risikonya adalah lebih besar untuk lelaki mendapat penyakit ini. Kebanyakan lelaki pada masa kini yang membuat suntikan hormon juga berpotensi untuk terkena kanser payu dara,” jelasnya.


Faktor-faktor risiko

Antara faktor-faktor yang meningkatkan faktor kanser payudara lelaki termasuk:
·         Umur lanjut iaitu lelaki dalam lingkunan umur 60-70 tahun.
·         Terkena sinaran radiasi. Jika anda telah menerima rawatan radiasi terutama pada bahagian dada seperti yang digunakan untuk merawat kanser di bahagian dadah, anda lebih cenderung untuk menghidap kanser payudara di kemudian hari.
·         Pendedahan kepada estrogen misalnya menerusi pengambilan ubat-ubatan yang berkaitan dengan estrogen seperti yang digunakan sebagai sebahagian daripada prosedur seks perubatan. (Dadah estrogen juga boleh digunakan dalam terapi hormon untuk kanser prostat).
·         Sejarah dalam keluarga di mana mungkin salah seorang ahli keluarga pernah menghidap kanser.
·         Sindrom genetik atau juga dikenali Kline felter yang berlaku apabila lelaki dilahirkan dengan lebih daripada satu salinan kromosom X. Sindrom ini menyebabkan perkembangan tidak normal buah zakar. Hasilnya, lelaki dengan sindrom ini menghasilkan tahap hormon lelaki (androgen).
·         Jika anda mempunyai penyakit hati seperti sirosis hati, hormon lelaki anda boleh dikurangkan sementara hormon wanita pula akan menjadi lebih.
·         Obes mungkin menjadi salah satu faktor risiko di kalangan lelaki kerana ia meningkat bilangan sel-sel lemak dalam badan. Sel-sel lemak akan menukarkan androgen kepada estrogen yang boleh menyebabkan peningkatan jumlah estrogen dalam badan.



Apakah simptomnya?

Memandangkan ia penyakit yang bukan lazim di kalangan lelaki, adalah dinasihatkan kepada mereka yang mempunyai simptom-simptom berikut segera berjumpa pakar untuk mengetahui lebih lanjut lagi berkaitan.

“Memandangkan lelaki mempunyai buah dada yang lebih kecil daripada wanita, oleh itu ia lebih mudah untuk membuat pemeriksaan sendiri di rumah. Sekiranya terdapat simptom-simptom seperti ketulan di bawah puting atau kelenjar (benjolan di bawah ketiak), lekuk-lekuk pada bahagian payudara, puting berdarah, segeralah berjumpa dengan pakar,” ujarnya lagi


Berikut adalah ciri-ciri kanser yang boleh anda kesan sendiri atau telitikan:-


Payudara

Payudara anda akan mengalami perubahan saiz dan rupa. Sekiranya anda dapat melihat seperti lekuk pada bahagian payudara selain mungkin melibatkan penemuan ketulan atau berlakunya penebalan kulit payudara.


Puting berdarah

Puting berdarah. Walaupun ada kalanya terdapat cecair keluar dari puting, ia adalah perkara biasa. Namun, keadaan ini boleh jadi membimbangkan sekiranya puting berdarah.


Puting tertarik ke dalam

Ia mungkin satu keadaan normal dan semula jadi pada sesetengah wanita. Walau bagaimanapun sekiranya keadaan ini baru berlaku dan terjadi tanpa sebab, anda harus berjumpa dengan doktor. Ketulan atau penebalan kulit dan diikuti dengan kehadiran cecair keluar daripada puting juga harus dipandang serius. Segeralah berjumpa doktor.


Ruam

Ruam di bahagian puting dan persekitaran kulitnya juga boleh menjadi simptom serangan kanser payudara. Penyakit Paget ada kaitan dengan serangan kanser payudara. Ruam di puting atau kawasan persekitaran puting boleh terjadi akibat daripada ekzema.


Lengan

Terdapat ketulan atau bengkak pada sekitar ketiak.


Rawatan

Sekiranya anda telah disahkan menghidap kanser payudara, segeralah menjalani rawatan kerana harapan masih ada untuk anda menyelamatkan nyawa. Antaranya adalah melalui pembedahan dan seterusnya rawatan lanjut seperti kimoterapi dan radioterapi.

“Walau bagaimanapun, apa yang penting adalah menjalani gaya hidup sihat. Jangan mengambil estrogen, minum arak, merokok dan sebagainya yang berbahaya kepada kesihatan kerana ia mungkin salah satu penyumbang untuk anda berisiko menghidap kanser payudara,” nasihat Dr. Luqman.


4 ulasan:

  1. Assalamualaikum kakcik
    seram nya bila dengar penyakit barah payudara ni
    itulah bila terasa ada sakit kat mana2 memang nak cek balik simpton2 ni
    mudahan lah kita semua di jauhi dari segala penyakit ni ye dak kakcik

    BalasPadam
  2. saya dah lama tau tapi tak berapa amik tau..huhuuu...tapi skrg ni semua kene amik kira!

    BalasPadam
  3. pernah sengar jugak kanser ni boleh jadi kat lelaki cuma peratusan kecil jer la.. doakan yang baik, semoga kita semua diberikan kesihatan yang baik sepanjang usia.

    BalasPadam
  4. Saya pun pernah terbacalah Kakcik tentang ni. Takda yang mustahil. Lelaki pun boleh dapat kanser payudara. Mungkin tak begitu ramailah kot berbanding dengan wanita.

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.

Ada pertanyaan dan segan nak letak komen? Sila emel ke : kakcikseroja@gmail.com