Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 29 November 2019

Kalaulah anak-anak tahu...

...tentang resah hati seorang ibu :

anak pulang lewat - ibu sukar melelapkan mata

anak tidak sihat - ibu berdoa sakit itu pindahkan padanya

anak ingin makan - ibu gelisah andai tak dapat siapkan

anak rapat dengan kawan - macam-macam juga yang ibu fikirkan

anak hanya tahu meminta - ibu kesal kerana dia tak kaya

anak enggan bekerja - ibu nasihat bukan kerana penat membela

anak meninggi suara - ibu fikir salah silap masa lalunya

anak ingin bebas - ibu berdoa agar Tuhan memberi belas

anak dalam kesempitan - ibu berusaha memberi bantuan 


pelbagai lagi yang ibu rasakan, namun anak buat-buat tidak perasan...


Isnin, 25 November 2019

Tilam yang empuk bukan jaminan tidur yang lena...

Suatu pagi, sekitar jam 4.00 pagi, aku yang tidak boleh lena dan suami yang baru terjaga dari tidur, keluar berdua untuk 'melawat kawasan'.  Begitulah kami, sesekali bila mata tidak mahu lena, kami akan keluar dengan menaiki kereta untuk melihat suasana pagi di sekitar Ampang atau Kuala Lumpur.

Sambil berbual berdua, mata juga asyik memerhati suasana sekeliling yang biasanya sunyi sepi.  Kadangkala kami singgah di kedai mamak yang masih buka sekadar untuk menghirup minuman panas.  Terlihat juga anak-anak muda yang duduk-duduk dengan bungkusan minuman di atas meja dan telefon bimbit di tangan masing-masing.  Walaupun beberapa orang, tapi masing-masing senyap menumpukan perhatian pada telefon sendiri.

Lebih menarik perhatianku pada keluarga (ibu bapa masih muda) dengan anak kecil di bawah 2 tahun pun masih melepak di kedai mamak pada waktu itu.  Mungkin agaknya rumah mereka tidak selesa untuk didiami atau pun sekadar untuk mengisi perut yang lapar.

Satu lagi pemandangan yang mencuri perhatianku adalah mereka yang tidur lena di kaki-kaki lima.  Ada yang tidur tanpa beralas apa-apa selain simen kaki lima itu.  Ada juga yang berselimut dengan sehelai kain.  Semuanya kelihatan nyenyak tidur mungkin sedang dibuai mimpi indah. Tak perlu pun tilam dan bantal yang empuk lagi selesa.

Aku?  Ada tilam, bantal, selimut dan bilik berhawa dingin.  Masih juga mata enggan lena apa lagi hendak menganyam mimpi.

Begitulah.  Jangan fikir orang yang ada segalanya itu, bahagia hidupnya.  Begitu juga sebaliknya...