Kawan-kawan kakcik

Selasa, 9 Julai 2019

Pantun Berkait : Rahsia Hati...

Atas pelantar menjemur peria
Peria dibawa dengan perahu
Riak wajah tergambar ceria
Luka hatinya siapa yang tahu

Peria dibawa dengan perahu
Perahu disewa dari Pak Taib
Luka hatinya siapa yang tahu
Andai dicerita membuka aib

Perahu disewa dari Pak Taib
Upah dibayar tidak berlengah
Andai dicerita membuka aib
Dipendam lama menjadi nanah

Upah dibayar tidak berlengah
Tidak ditangguh walau sedikit
Dipendam lama menjadi nanah
Akhirnya membusuk jadi penyakit

Tidak ditangguh walau sedikit
Janji dibuat hati ke hati
Akhirnya membusuk jadi penyakit
Rahsia disimpan bawa ke mati


Gambar sekadar hiasan...

2 ulasan:

  1. dalam betul maksud pantun kakcik tu... indah betul pantunnya... walaupun hakikatnya ada kesedihan yg mendalam di pantun tu

    moga apa jua yg dihadapi, di permudahkan ya kakcik

    BalasPadam
  2. Diluah mati emak..ditelah mati bapak..

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.

Ada pertanyaan dan segan nak letak komen? Sila emel ke : kakcikseroja@gmail.com