Kawan-kawan kakcik

Isnin, 29 Disember 2014

Sebuah ketakutan di suatu malam yang panjang...

...kebetulan penerbangan balik kami (baca - aku dan suami) dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur adalah dengan penerbangan AirAsia AK5121 yang dijadualkan berlepas pada jam 8.15 malam. Pagi hari yang sama, pesawat AirAsia QZ8501 dilaporkan hilang.

Ada empat penerbangan Air Asia (termasuk penerbangan yang akan kami naiki) akan berlepas pada petang itu (dalam tempoh jam 6.00 petang hingga 8.30 malam).  Walaubagaimanapun, semua penerbangan lewat berlepas lebihkurang 30 minit setiap satu berikutan cuaca di KLIA dilaporkan 'tidak menentu'.

Gambar hiasan...

Pesawat yang kami naiki akhirnya berlepas lebihkurang jam 8.45 malam.  Aku berharap sangat agar aku boleh tidur sepanjang penerbangan.  Hanya Allah yang tahu isi hatiku walaupun tidak putus-putus kupanjatkan doa sepanjang perjalanan.  Sewaktu penerangan keselamatan diberikan, aku terfikir bahawa penumpang pesawat QZ8501 juga telah diberikan penerangan yang sama sedangkan waktu ini entah bagaimana nasib mereka.

Turun di KLIA2 pada jam 11.00 malam, aku mengheret kaki yang hampir tidak berdaya untuk satu perjalanan yang sangat jauh rupanya.  Suami ke tempat tuntutan bagasi manakala aku dimintanya untuk membuat tempahan teksi.  Mendapat kupon pada jam 11.43 malam, aku diberitahu bahawa kadar teksi akan berlainan harga apabila melepasi jam 12.00 malam.  Mujur juga rupa-rupanya walau mendapat teksi pada jam 12.15 malam, harga yang telah kubayar tidak berubah (RM84.30).

Setelah menaiki teksi, ketakutanku tidak berkurangan.  Aku takut sekiranya pemandu teksi 'membuat onar' kerana beliau tidak mendapat kadar tambang tengahmalam!  Kurasakan teksi dipandu agak laju dan pemandu teksi tidak ramah walaupun suamiku cuba mengajakanya berbual.  Akhirnya kami diam sepanjang perjalanan.

Tiba di rumah lebih jam 1.00 pagi.  Menguruskan itu ini, akhirnya aku terlelap menjelang jam 4.00 pagi.

Sebenarnya, kenapa perlu takut?

Kita tidak akan takut sekiranya kita tahu bahawa apa yang terjadi atau akan terjadi semuanya adalah kehendak Ilahi.  Kita juga tidak akan takut, kalau kita sentiasa 'bersedia untuk mati'.  Tapi itulah masalahnya, kita lebih mencintai kehidupan dan kita sangat takut dengan ketidakbersediaan kita menghadapi sebuah kematian... (Kita itu merujuk kepada diriku sendiri).  Sekiranya ditakdirkan aku dijemput kembali ke alam yang abadi, aku berdoa agar biarlah mayatku nanti dalam keadaan yang sempurna dan dapat diuruskan dengan baik...

Seandainya tiba-tiba laut itu ditakdirkan bergelora,
apakah daya upaya kita hendak menahannya?

Allah juga Yang Maha Mengetahui entah untuk berapa lama lagi kami dapat bersama...


10 ulasan:

  1. Memang betul kata kakcik, patutnya kita " tak perlu takut" kapal terbang terhempas, sebab kalau belum ajalnya, kita akan selamat sampai...Tapi itulah fitrah kita sebagai manusia, akan rasa takut, risau, lebih2 lagi fresh lagi insiden pesawat AA masih hilang..kalau saya pun mesti turut terdetik kerisauan...Yg pasti, biarlah kita takut mati atas sebab amalan kita masih belum banyak, dosa masih banyak yg belum bertaubat, hubungan sesama manusia masih belum banyak kita perbaiki..

    BalasPadam
  2. sbnrnya kita takut akan mati..kita takut bila diri kita ni xde byk bekalan iman di dlm diri.kita tkt dgn azab dan seksa di alam sana..itu sbnrnya yg paling kita takut.kalo kita tahu kita ni adalah ahli syurga, tentu2 kita bersedia je bila2 utk mati..wallahualam.

    BalasPadam
  3. Saya setuju akhirnya... kenapa perlu takut kan mak..?

    Ajal kita di tanganNya. Di mana pun... bagaimanapun... tiba waktu takkan lambat walau sedetik. Bagi saya itu hikmahnya kita hamba ini disuruh supaya percaya kepada qada dan qadar... supaya kita boleh berusaha bagai hidup 1000 tahun lagi... dan supaya kita beribadat bagai mau mati esok hari.

    Tapi.. satu lagi... saya setuju klia2 tu jauhhhhh sangat nak kena jalan!

    BalasPadam
  4. Alhamdulillah, kak cik dan suami telah selamat sampai..

    BalasPadam
  5. Betul apa kata kakcik tu, patutnya kita tak perlu takut sebab kita memang dah tau mati itu pasti dan kehidupan di akhirat itu hakiki tapi kita ni lebih mencintai kehidupan di dunia dan saya pun macam kakcik sentiasa takut walaupun tau mati itu paling hampir dengan kita..Mudah2an Tuhan merahmati kehidupan kita semua dan seperti kakcik saya mengharapkan kematian saya biarlah dalam keadaan yang baik.

    BalasPadam
  6. Saya rasa semua org takut mati kerana kesakitan sakaratul maut itu sendiri.. tiada yg dapat mengatahui apa rasanya melainkan-Nya... semoga pengakhiran usia kita di rahmati hendaknya... wallahualammm..

    BalasPadam
  7. ye betul... alhamdullilah dah selamat sampai... kata orang ketika naik kenderaan dan pulang ke rumah selain baca doa kenderaan tu, baca lah ayatul kursi supaya perjalanan kita terpelihara dan selamat....

    BalasPadam
  8. salam kenal ... kematian kita sudah ditentukan di mana dan dlm keadaan apa . cuma harapannya biarlah dalam keadaan yg sempurna dan dikelilingi orang2 yg kita sayangi ...

    BalasPadam
  9. Bukan Kakcik sahaja yang merasakan begitu. Hampir semua kita pun mempunyai rasa yang sama - tak bersedia lagi rasanya. Entah bila baru bersedia pun tak tahu sedangkan mati itu pasti akan datang jua akhirnya. Cuma bila dan di mana kita tak tahu. Suami saya tu, walaupun rajin terbang sana-sini dan kalau perlu kembali ke negaranya (nasib baik tak melalui route MH17) memakan masa 8 jam perjalanan, tetap takut Kakcik nak naik kapal terbang!

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.

Ada pertanyaan dan segan nak letak komen? Sila emel ke : kakcikseroja@gmail.com