Kawan-kawan kakcik
Isnin, 25 Julai 2011
Kebaikan...
biar hanya secebis dan tidak diingati oleh orang yang baik budi itu adalah sangat manis untuk dikenang. (*_*)
22/07/2011 @ jam 11.00 pagi - aku selamat mendarat di Lapangan Terbang Sandakan (LTS). Bersendirian (walaupun penumpang lain hampir memenuhi pesawat) dan terpinga-pinga. Maklumlah pertama kali menjejakkan kaki ke sini.
Sehingga penumpang terakhir mengheret beg keluar dari tempat tuntutan bagasi, aku masih duduk termenung memerhati. Pesawat yang membawa suamiku dari Kota Kinabalu hanya akan tiba pada jam 1.00 petang nanti. Sebenarnya, suamiku terlebih dahulu telah 'terbang' ke Kuching pada hari Khamis 21/07/2011. Dari Kuching, beliau ke Kota Kinabalu dan seterusnya ke Sandakan. Suami telah memberitahuku bahawa beliau akan meminta 'seseorang' menjemputku di LTS sebelum ketibaannya. Memandangkan aku 'bukan sesiapa', jadi tak perlulah aku terlalu mengada-ngada. Aku cakap pada suami - dua jam bukanlah terlalu lama untuk aku menunggu.
Melihatkan aku yang bersendirian, seorang anggota polis LTS telah menegurku. Aku memberitahunya akan hal yang sebenar. Beliau dengan senyuman dan bahasa yang sangat baik, memberitahu ada tempat yang lebih sesuai untukku menunggu. Dengan sopan juga dia menunjukkan aku restoran berhawa dingin di Tingkat 1 LTS. Katanya, bersebelahan restoran itu ada surau dan aku boleh berehat juga bersolat dengan selesa di sana. Anggota polis yang berwajah persis Erik Estrada di waktu muda itu memang sangat menyenangkan hatiku.
![]() |
Erik Estrada - Peminat Siri CHiPs (California Highway Patrol) pasti pernah menggilai wajah ini |
Sewaktu hendak balik ke Kuala Lumpur pada 24/07/2011, sekali lagi aku bertemu dengan En. Polis itu. Tentu saja aku boleh berpura-pura tidak pernah bersapaan dengannya! Sewaktu itu beliau bertugas mengawasi penumpang yang akan masuk ke balai pelepasan. Sebaik bertemu, aku tersenyum padanya dan beliau menyapa 'sekejap saja Puan?'. Aku membalas 'suami saya dah habis mesyuarat'. Ada satu peristiwa kecil terjadi sewaktu suamiku masuk melalui pengimbas tetapi En. Polis itu melayan dengan senyuman bagai tiada apa-apa yang terjadi.
Sungguh, aku sangat-sangat terkesan dengan budi baik En. Polis itu! Semoga beliau terus cemerlang dalam kerjaya dan membawa imej yang baik untuk organisasi yang menaunginya.
Langgan:
Catatan (Atom)