Kawan-kawan kakcik

Isnin, 3 Januari 2011

Sinis - tapi ada benarnya...

Terbaca komen penyanyi dan pelakon Awie di SINI.  Tertarik dengan kata-katanya yang ini :

"Harapan saya selepas ini para pemain tak akan poyo atau nak mengejar glamor. Lupakan niat nak kahwin dengan artis tapi kalau dah jodoh tak boleh buat apalah. Jadilah ahli sukan yang jujur pada sukan itu sendiri. Lupakan glamour kerana zaman kejatuhan mereka akan sampai apabila mereka mula mengejar glamour. Mainlah bola sepak kerana keikhlasan dan kejujuran."


Gambar diambil dari : photoselebriti.com
Terbayang-bayang pula watak Husin yang dibawa oleh Awie dalam Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah... 'cer citer.... cer citer....'


Malam...

dikaitkan dengan kelam
disangkutkan dengan seram
diimpikan bersama tilam
dimusuhi mahupun diidamkan dalam diam
malam
dalam kelam ada ceria
membawa bersamanya putaran dunia
di sana ada rezeki tersembunyi
bagi mereka yang tak letih mencari
namun biarlah di jalan yang diredhoi
jangan mereka-reka alasan yang sengaja dicipta
demi 'membersihkan' sebuah dosa

malam
mengapa dikaitkan dengan segala yang seram
konon ada yang sedang mengintai
dan kadangkala ia mengilai
usah lakonkan yang bukan-bukan
demi mengaburkan dari penglihatan
usah bercerita dengan keghairahan
andainya kita tidak pasti tentang kesahihan
akhirnya kita mudah dimomok-momokkan
lalu tertinggallah di belakang kemajuan

malam
memang enak dibuai mimpi
apatah lagi di tilam yang tebalnya lebih sekaki
kita lupa masalah yang membelit diri
sedangkan ia belum berlalu pergi
berselawat dan berdoalah sebelum mata terpejam
semoga dalam mimpi tidak terasa direjam
andai kita dijemput dalam diam
setidak-tidaknya kita telah mengucapkan salam

Malam tadi di perjalanan antara Banting - Dengkil

nota hati : sebenarnya aku masih kekeringan ilham di awal tahun 2011 ini...


Ahad, 2 Januari 2011

Terima kasih Tuan Hj Hamzah (Al Lavendari)

Gambar ini diambil tanpa izin.  Harap jangan saman saya, ya Tuan Haji?
 Dua tiga hari kebelakangan ini, aku agak sibuk (entah apa yang aku sibukkan, aku sendiri tidak pasti).  Jadinya, aku agak kurang berjalan ke 'rumah' kawan-kawan.  Rumah sendiri pun antara berkemas dan tidak sahaja.  Baru sekejap ini, aku menerjah ke rumah Kanda AL atau lebih dikenali sebagai Al Lavendari dan aku terjumpa catatan beliau yang INI.

Terima kasih atas penghargaan tersebut Tuan Haji.  Selalunya, saya menulis tentang sesuatu selepas berkali-kali menimbangkan buruk baiknya kesan tulisan saya itu.  Sering juga saya menulis mengikut apa sahaja yang terlintas di fikiran atau apa yang saya perhatikan hingga menerbitkan ilham-ilham spontan.  Saya juga amat sedar dengan kekurangan diri saya ini.  Bak kata Husin dalam Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah 'teman tak ada SPM...'

Sekali lagi, dengan penuh rasa rendah diri, saya mengucapkan terima kasih kepada Kanda AL dan juga semua pembaca blog ini yang merasakan ada manfaatnya tulisan saya selain dari 'cerita-cerita merapu' yang saya titipkan di sini.  Tanpa kalian, blog ini hanyalah satu catatan peribadi yang tiada apa-apa....