Kawan-kawan kakcik

Selasa, 3 Ogos 2010

Di Puncak Kinabalu.

TAHNIAH untuk suamiku dan rakan-rakannya yang berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu.



Kuala Lumpur - Kota Kinabalu (Bhg. 5)

29/07/2010

Hari terakhir di Kinabalu Park.  Aku dan Leen dibawa untuk bersarapan di Nabalu Cafe.  Kami mengambil tempat di sebelah luar di bawah pokok.  Dari sini kami dapat melihat ke arah kawasan Kundasang yang masih dalam pembangunan dan juga pandangan ke arah gunung ganang serta awan dan langit.
Gunung Kinabalu di belakang sana.

Pandangan yang mendamaikan perasaan

Atas nama pembangunan...

Perkampungan di lereng bukit

Hari ini para pendaki akan turun semula ke kaki gunung.  Kami yang menanti di bawah turut bedebar-debar.  Diam-diam kupanjatkan doa kepadaNya agar semua peserta berada dalam keadaan selamat dan sihat.  Peserta pertama selamat tiba hampir pukul 1.00 petang.  Khabarnya dia tidak sampai betul-betul ke puncak.  Suamiku selamat tiba jam 3.00 lebih.  Alhamdulillah, aku sangat bersyukur kerana beliau berada dalam keadaan baik dan sihat.

Sementara menanti ketibaan para pendaki, aku dan Leen hanya menghabiskan masa duduk-duduk dan makan di Balsam Restaurant.  Cuaca pula hujan.  Sejuk menggigit tulang.  Jam 3.00 petang kabus tebal bertiup ke tempat kami duduk.

Penerbangan balik ke Kuala Lumpur dijadualkan berlepas dari KKIA T2 pada jam 9.25 malam.  Seawal jam 5.30 petang, aku dan suami serta lain-lain peserta yang balik dengan penerbangan yang sama bertolak ke KKIA dengan sebuah van dan sebuah Unser. Tiba di KKIA jam 7.40 malam. Leen akan balik pada hari Jumaat.  Sepanjang perjalanan, aku sempat merakamkan gambar-gambar berikut ..



Sampai di kaunter Air Asia, kami dimaklumkan penerbangan akan lewat selama 25 minit.  Tak apalah. Aku, suami dan Jason (rakan suami di KK) mengambil keputusan untuk makan dahulu.


Buruknya gaya makan...

Selepas makan, balik ke KKIA - berita yang tidak menyenangkan menanti.  PENERBANGAN DITUNDA KE JAM 12.30 PAGI KERANA MASALAH TEKNIKAL. Aduhai... puaslah duduk, bersandar, baring (bayangkanlah badanku yang comel ni baring di kerusi lapangan terbang tu..).  Suami sempat melelapkan mata dalam surau (dia boleh lelap mungkin sebab terlalu penat - sedangkan aku puaslah menahan segala rasa serba tak kena).  Sampai di LCCT jam 3.15 pagi dan tiba di rumah hampir 4.30 pagi.  Jam 6.45 aku ke pejabat dan suami memang menyambung cuti.


Isnin, 2 Ogos 2010

Kuala Lumpur - Kota Kinabalu (Bhg. 4)

28/07/2010

Setelah LEEN datang semula, urusetia membawa kami keluar untuk makan dan 'berjalan-jalan' ke Poring Hot Spring.  Malangnya, sewaktu hendak menukar pakaian, disedari bahawa pakaian Leen dan rakan-rakan sebiliknya malam tadi berada dalam pacuan empat roda yang sebuah lagi (ada 6 beg kesemuanya) dan kenderaan tersebut telah pun pulang ke Kota Kinabalu yang jaraknya lebihkurang 2 jam perjalanan!  Mujur juga Leen ada pakaian yang hendak dibawa mendaki gunung, tapi beg duitnya berada dalam beg pakaian tersebut.  (Beg tersebut hanya dihantar semula pada esok pagi).  Dari Hot Spring, kami dibawa makan di Nabalu Cafe, Kundasang.  Dari tempat ini kami boleh melihat pemandangan di bawah bukit dan juga ke Gunung Kinabalu.  (Sila jangan muntah menatap gambar yang berderet-deret ini).....


Ini namanya buah terap - rasanya manis, bijinya kecil sebesar kacang tanah.

Dalam perjalanan balik, singgah sebentar di Strawberry Cafe.  Tak sempat masuk ke ladangnya pun.  Strawberry pun tak banyak.  Sepeket RM10.00.  Buahnya kecil-kecil sahaja.  Aku tak beli pun sebab aku tak suka makan benda-benda masam walaupun wajahku tidaklah manis.



Pandangan ke bawah dari Strawberry Cafe...

Sebelah malam, kami dibawa makan ke restoran tidak jauh dari Kinabalu Park (aku lupa namanya).  Walaupun aku dan Leen tertanya-tanya status restoran-restoran di sini, tapi kami tak punya pilihan.  Ke mana dibawa orang, ke situlah kami pergi.

Nasi goreng ikan masin - Leen punya


Bubur ayam - aku punya

Memang 'lumayan' banyaknya.  Tak terhabis dek kami.  Mungkin perutpun masih kenyang.  Balik ke bilik, kami tidak terus tidur.  Menonton apa yang ada di televisyen.  Nak menelefon atau bersms, telefon genggamku kehabisan bateri.  Pengecas yang dibawa, patah pula kakinya - tak dapatlah aku mengecas telefonku. Teringat juga untuk membeli pengecas - tapi tak jumpa kedai yang menjualnya. Nak pinjam pengecas telefon Leen, lain pulak jenamanya.  Tapi, Leen memang baik, dia bagi aku pinjam telefonnya untuk aku hubungi anak-anak di kampung rumah dan suami yang di atas gunung sana.  Terima kasih Leen.