Kawan-kawan kakcik

Khamis, 6 Julai 2017

Siapakah yang sebenarnya melacurkan Bahasa Melayu?...

... tidak lain melainkan bangsa Melayu sendiri!

Bangsa lain, sudah tentulah bukan bahasa mereka, jadi terpulang kepada mereka bagaimana menuturkan Bahasa Melayu. Begitupun, sebahagian bangsa 'lain' itu, begitu bersungguh-sungguh untuk membetulkan sebutan dan susunan ayat mereka ketika bertutur mahupun menulis Bahasa Melayu.

Bangsa Melayu?  Ah...mungkin terasa tidak cerdik kalau bertutur tanpa mencampuradukkan Bahasa  Melayu dengan sepatah dua bahasa lain terutamanya Bahasa Inggeris.  Setidak-tidaknya, hendak juga sebut perkataan I see, at least, you know, by the way walaupun tak kena gaya dan tempat.

Tonton sahaja siaran di televisyen.  Tak kisahlah siaran berita yang ada temubual ke, (siaran drama merapu tak payah sebutlah), siaran dokumentari ke, pasti bahasa rojak sangat selesa dituturkan.  Dari marhaen ke menteri, semuanya sama.  Siaran berbahasa Melayu, diacarakan oleh pengacara Melayu, ditonton oleh penonton Melayu, tapi selesa menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa rojak.  Apakah matlamatnya?

Marahkan anak-anak menggunakan bahasa 'entah apa-apa' dengan ejaan 'menyakitkan jiwa', sebenarnya hendak salahkan siapa?.  Bila yang sudah tidak remaja pun 'seronok' mengikut rentak anak-anak, adakah patut cikgu di sekolah disalahkan bila keputusan peperiksaan Bahasa Melayu anak-anak jatuh merudum?

Sekarang sibuk dilaungkan tentang MENDAULATKAN BAHASA MELAYU.  Satu ketika dulu, Bahasa Melayu disebut dengan sebutan BAKU - bagaimana dieja, begitu disebut.  Contohnya : BAGAIMANA tidak disebut BAGAIMANE.  Tapi kerana pertelingkahan politik, semuanya ditidakkan dan dikembalikanlah kepada sebutan lama.  Itu masih tidak mengapa, kerana kita sudah faham dan sudah selesa. Masih lagi menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

Tapi, bila Bahasa Melayu sedikit demi sedikit dilacurkan di Tanah Melayu, bayangkan hasil yang lahir dari pelacuran itu.  Sudah tidak asing lagi susunan ayat : 'you knowww, I bukan tak nak pergi. Tapi kan, my mother tu kolotlah.  Semua yang I buat tak betul. At least, bagilah I keluar dengan kawan-kawan. But I tak kisah, tahulah macam mana I nak go out nanti...' 

Bila anak-anak yang masih belajar sudah biasa menggunakan ayat begini, maka terbawa-bawalah mereka sewaktu mengarang di sekolah.  Agaknya, bagaimanakah Guru Bahasa akan memberikan markah?

Tepuk dada tanya jiwa!

Artikel berkaitan : DI SINI

5 ulasan:

  1. Kita jugalah yang kena mendaulatkan Bahasa Melayu

    BalasPadam
  2. Untuk menguasai bahasa lain tidak salah..TETAPI terlebih dahulu sayang,hayati,hargai dan hormati bahasa bangsa sendiri.Kalau bangsa lain mencintai bahasa ibunda kita..mengapa kita sendiri sewenang wenangnya memperkecil dan merendahkan Bahasa Melayu sendiri.

    BalasPadam
  3. ontahlah .. maleh den nak cakap banyak .. nanti dikato ea kolot.

    BalasPadam
  4. Tulah tak agree jugak dgn isu baru baru ini .... Kalau bukan kita yg nak mendaulatkan Bahasa Melayu siapa lagikan KC. Takut lepas ni generasi baru tak kenal dah Bahasa Melayu

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.