Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 28 April 2017

Ibarat bekas sabun di bilik air...

...walaupun isinya wangi, 'duduk' pula di bilik air yang pasti selalunya tidak kekurangan air, namun ia (bekas sabun itu) tidak dapat membersihkan dirinya sendiri andai tiada tangan atau hati yang teringin menyentuh dan membersihkannya.
Begitu juga dengan institusi pendidikan.  Apapun namanya, berteraskan apapun alirannya, jika dibiarkan dalam ruang litupnya yang tersendiri, mungkin akhirnya keindahan yang ada pada mulanya, akan berlumut dan kusam begitu sahaja.

Manusia (kitalah di antaranya), memang suka melatah.  Terjadi sesuatu isu, bila orang lain bersuara kita pun ingin bersuara sama. Hakikatnya, isu atau hal yang terjadi bukanlah sesuatu yang baru - yang tidak pernah terjadi sebelum  ini.  Beberapa kes yang hangat diperkatakan, adalah antara sekian banyak kes yang mungkin dipendamkan.  Beberapa tahun lalu, beberapa orang pelajar sebuah pusat tahfiz meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya selepas balik dari 'latihan berniaga'.  Gegak gempita seketika kononnya tindakan akan diambil terhadap pemilik pusat tahfiz berkenaan. Namun, ia senyap begitu sahaja akhirnya dan anak-anak di bawah umur itu masih ramai berkeliaran di merata-rata tempat menjalani latihan beniaga kononnya.

Kemudian ada lagi kes pelajar/penghuni rumah kebajikan didera sehingga mati.  Sekali lagi kita turut melatah dan selepas itu kita lupa.

Bila disebut sekolah yang berkaitan dengan agama (agama Islam tentunnya), mudah sahaja kita menuding jari dan menuduh itu ini. Seolah-olah Islam itu agama yang berkaitan dengan kekejaman dan keganasan semata-mata. Sedangkan hakikatnya Islam itu sebaik-baik agama dan tiada lagi agama lain selepasnya yang diturunkan oleh Allah SWT.

Tidak adakah masalah di sekolah-sekolah yang bukan berteraskan agama termasuk sekolah-sekolah berasrama penuh yang terkenal? Pastinya ada (termasuk perlakuan salah laku seksual) apatah lagi di sekolah yang menghimpunkan pelajar sama jantina.  Tapi, ibarat pandai makan pandai simpan, segalanya tertutup rapat dalam 'bekas sabun' yang berbau wangi tapi berlumut tiada yang peduli.

Sikap tidak peduli itulah sebenarnya yang menjadikan masalah tidak akan selesai.  Hanya bila tular (viral) baharulah semua orang ingin bersuara.  Bersuara bukan semuanya membela, tapi ada yang menghentam tanpa tahu punca.

Akhirnya sejarah tetap berulang - lagi dan lagi.  Manusia pun terus melatah lagi dan lagi tanpa ingin menyekat apa yang telah terjadi dari terjadi lagi.  Maka teruslah bekas sabun itu berlumut dan berdaki lalu kewangiannya tidak lagi dapat dinikmati...

#takfahamtakapa
#berkatakatapadadirisendiri
#takberdayameluahkansepenuhnyasegalaisihati
#kiasanuntukfahamansendiri


6 ulasan:

  1. sedih mengenangkan akhir cerita adik Thaqif. sanggupnya.
    ada yang menyalahkan, kenapa masukkan anak ke sekolah tahfiz. saya tak faham lah kak.

    BalasPadam
  2. kadang ada yg mengambil kesempatan kakcik, menggunakan agama utk menutup aktiviti utk mengaut untung

    BalasPadam
  3. Kita manusia memang suka menuding jari, menuduh orang lain sebelum diri sendiri. Dah jadi tabiat juga, bila berlaku sesuatu, tak sudah-sudah manusia berbicara menduga itu, ini punca masalah terjadi. Padahal, kalau dibendung terlebih awal, tak akan adalah sejarah berulang lagi dan lagi...

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.