Kawan-kawan kakcik

Selasa, 29 September 2015

Gara-gara hidup tidak 'bermasyarakat'...

... maka siapa hendak disalahkan bila tidak mengenali jiran terdekat?

Sebenarnya ini adalah kisah diriku sendiri.  Agak memalukan tapi mungkin boleh dijadikan pengajaran.

Kisahnya, aku ada menyertai kumpulan whatsapp wanita taman perumahan tempat tinggalku. Beberapa kali aku pernah menyuarakan kepada En Suami untuk meninggalkan kumpulan itu. Alasanku kerana aku rasa kehadiran bagai 'melukut di tepi gantang'.  Beberapa kali menghulurkan salam bagai tiada siapa yang perasan pun.  Maklumlah, kumpulan itu terdiri dari wanita-wanita berpendidikan tinggi.  Ada yang bergelar Datin dan ramai bergelar Hajjah.  Ada yang sangat aktif dalam pertubuhan politik. Siapalah aku yang hanya merupakan 'bekas pengira biji kopi' ini.  Namun suami kata, jangan keluar.  Setidak-tidaknya kita tahu jika ada berlaku kematian, kesakitan atau jemputan perkahwinan.  Maka, tidak jadilah aku keluar dari kumpulan itu.  Tetaplah aku hanya sebagai pemerhati sahaja.

Baru-baru ini, sebelum tibanya Aidil Adha, salah seorang ahli kumpulan menunjukkan kacang bersalut untuk dijual.  Sebalang hanya RM10.00.  Aku terus rasa teruja.  Lalu aku memesan dua balang.  Siap aku bagi alamat dan kedudukan rumahku agar senang kacang itu dihantar.  Memang ada nama tercatat bersama nombor telefon, tapi aku tidak dapat mengagak siapakah dia.  Apa yang terjadi?  Yang menghantar kacang itu adalah anak kepada sipenjual.  Tahu di mana rumahnya? Hanya selang sepintu dari rumahku!  Selama ini aku fikir namanya lain, rupa-rupanya lain pula.  Walaupun kami pernah juga bertegur sapa tapi untuk beberapa minit sahaja setiap kali. Pasti 'sidia' mengenaliku dan mungkin sakit perut mentertawakan diriku. Padan  muka aku!

Sebenarnya aku mengenali semua jiran-jiran yang berpindah masuk ke fasa perumahan kami pada tahun 1992 dulu.  Tapi ramai juga yang telah menjual rumah mereka dan jiran-jiran 'yang tidak berapa baru' inilah yang kurang kukenali...

Antara aku dan suami, watak kami memang berbeza. Suamiku sangat peramah. Sebab itu kebanyakan kawan-kawanku boleh menjadi kawannya.  Aku pula, sering cepat berasa bosan kalau bersembang lama-lama. Bukan aku tidak suka berkawan, tapi aku tidak suka bersembang tanpa tujuan. Sewaktu bekerja dulu pun, aku lebih senang 'melekat' di kerusi mejaku sendiri dari mencari kawan untuk bersembang.

Sekarang bila sudah bersara, duniaku hanya di dalam rumah.  Aku akan keluar jika bersama suami atau anak-anak.  Buruknya sikapku, andai kata aku sedang menyidai pakaian dan aku ternampak kelibat jiran, aku boleh cepat-cepat masuk ke rumah!  Pengalaman puluhan tahun lalu membuatkan aku jadi begitu.  Bila mula bersembang, perlahan-lahan mula masuk 'kisah orang'.  Sebab aku tahu aku pun bukan manusia yang baik, jadi aku tak mahu terus menambahkan keburukan.

Hasilnya?  Padanlah dengan muka aku bila jiran berselang pintu pun aku tak 'kenal'...
  

17 ulasan:

  1. rasa macam autobiographi saya...tak betah bergurau tak tentu hala,takut silap kata antara penyebab saya pun terasa begitu..

    BalasPadam
  2. Bagi nekcik jiran jiran sekeliling nilah saudara mara nekcik jugak..alhamdulilah...setakat ini..bila rasa nak melencong sikit tu..kita blah lah..he..he..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau sembang lama tu yang suka terbabas ..tapi kalu takat tanya kabar sambil hantar sepiring makanan ke atau tanya ..anak anak sihat..ke...camtu tak ngapa..tak dan nak melencong...

      Padam
  3. heheheheh takpe kakcik... pasni kene lebih kerap2 tgr jiran2 dlm grup tuh... atau kakcik blh rajin2 hantar kuih ke ole2 pd jiran2 sebelah2 biar senang kenal...

    dana pun mcm kakcik jgk tak berapa knl jiran2 sebelah2 umah, tp edy lain dia blh kenal jiran2 tu siap ngn kete2 org tu sekali... sbb tu dana kadang rajinkan diri antar2 kuih kt jiran sebelah tp kadang ada jgk yg jns tak suke berbaik... kite jmpa senyum pun dia bt tak nmpak

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum kak, saya pun macam kak..suka duduk dalam dunia saya sendiri sebab pun sama macam kak, tak suka berlama-lama sembang nanti termengumpat pulak huhu..tapi kena juga bermasyarakat takut jadi camni juga ehehe...kena la belajar ringan mulut sikit huhu

    BalasPadam
  5. Kak, saya pun kadang2 taram jer nama jiran. Jiran saya pun sama, ada puak sendiri.

    BalasPadam
  6. Saya tak pernah duduk dlm kwasan taman perumahan kak...saya memilih utk tidak menetap dikawasn perumahan..rumah yg kami ada pun disewakan..saya duduk kawsan perkampungan yg masih tebal dan utuh semangat kejiranan...persepsi mengumpatbila berkumpul tu kene buang jauh2 kak...saya hampir setiap minggu duduk2 melepak dgn jiran2 sejam dua...dan tidak pula menyentuh soal2 yg bukan2...hanya berbual2 kosong tiada menyentuh pun perihal sipolan dan sipolan...jiran adalah saudara terdekat kala susah senang kita kak...

    BalasPadam
  7. Salam Kakcik,

    Sikap Kakcik ni sama sangat dengan sikap saya...cepat bosan kalau bersembang lama dan takde kena mengena dengan hal sendiri...tak tau la nak di definasikan sebagai sikap yang elok atau tidak...memang orang macam kita tak ramai kawan kan kak, tapi saya redha je...dan terima seadanya diri sendiri..hehehe..saya ni silent reader je, sesekali singgah baca blog kakcik..baru hari ni nak bertegur sapa sebab tajuk sesuai sangat...hehehe

    BalasPadam
  8. Samalah dengan yan juga..yan tak suka buang masa ..sembang benda tak berfaedah

    BalasPadam
  9. hahaha...jiran saya pulak semua macam tu..bukan saya je..semua..jadi saya pun terikut2 cara tu..masing2 buat hal sendiir..heheheh

    BalasPadam
  10. Kita lebih kurang sama kakcik.. ;)
    Apa yang kakcik lalui, itulah yang saya lalui cuma bezanya lorong rumah saya, saya kenal.. tapi jiran belakang rumah (betul2 belakang rumah), boleh saya tak kenal, walhal bukan tak pernah bercakap, cuma kebetulan masa tu, mungkin sebab penampilan lain kot.. eemm.. ntahlah.. tapi malu jugaklah.. hehehe..

    BalasPadam
  11. hahaha kelakar ...tak pe pas ni boleh la berkenalan ....seba baik tmn kami ni muda2 lagi jenis sibuk ngan bisnes part time so bila terserempak kadang tu sembang pasal bisnes nk ngumpat tak sempat

    BalasPadam
  12. hehehe.. takpelah kak.. boleh di buat pengajaran sesama kami ni..
    sy pun kurang bergaul dgn jiran2 setaman.. klu en suami aktif pula, semua org kenal dan mengenali.. tapi bila ada aktiviti kadang sy join juga... :)

    BalasPadam
  13. Okje rasa KC kena ubah sikit sikit, join WA tu kira satu step yg bagus. Kita ni pun bukannya muda lagi KC, anak anak pun dah besar panjang, akan ada satu masa nanti, kita perlukan jiran sangat sangat. Kalau kita tak bercampur, susah jugak tu.....

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.

Ada pertanyaan dan segan nak letak komen? Sila emel ke : kakcikseroja@gmail.com