Kawan-kawan kakcik

Isnin, 15 Mei 2017

Kenapa aku hadir di SBB2017?...

Apakah itu SBB?  SBB adalah singkatan untuk Sepetang Bersama Blogger.  Satu acara yang dianjurkan oleh pasukan Denaihati Network untuk para blogger.  Acara ini telah menjadi acara tahunan sejak tahun 2012.  Aku sendiri telah menghadiri acara ini sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2014, tahun 2016 dan tahun 2017. Khabarnya SBB2017 ini mungkin yang terakhir diadakan. 😲😲

Kenapa aku hadir di SBB2017?  

Sebenarnya hatiku berbolak-balik sama ada akan hadir atau tidak. Jika aku mahu hadir, aku perlu mengeluarkan sedikit wang untuk bayaran yuran pendaftaran.  RM30 untuk hadir waktu petang sahaja dan RM50 untuk hadir petang hingga malam.  Dalam keadaan sekarang, wang itu sangat besar maknanya buatku.  Biasanya, dalam mana-mana acara pun, aku akan hadir bersama suami.  Jadi, aku perlu membayar untuk dua orang.

Dua hari sebelum acara berlangsung, aku minta izin dari suami untuk pergi sendiri.  Setelah mendapat izin, aku pun mendaftar untuk hadir.  Eh...sebelum itu, aku hantar pertanyaan kepada Izwa di facebook sama ada dia akan hadir atau tidak.  Aku perlukan seseorang yang dikenali kerana aku akan hadir sendiri (aku lupa bahawa mati pun nanti aku tidak akan berteman).  Bila Izwa kata dia pergi, aku rasa ada kekuatan untuk hadir.

Aku ingin pergi kerana aku ingin juga mengenali mereka yang pernah bertegur sapa denganku sama ada di blog atau di facebook mahupun di instagram.  Selain itu, aku juga ingin mendapatkan ilmu tentang berblog.  Ingin tahu bagaimana para blogger boleh menjana pendapatan melalui blog dan sebagainya.  Walaupun aku telah mula berblog dari tahun 2009, blogku ini masih terlalu 'kecil'. Ibarat setitis air di lautan luas yang hadirnya tidak disedari langsung.  Aku tahu bahawa aku mungkin akan jadi peserta tertua yang hadir, tapi aku kuatkan juga hati.

Jauh di sudut hati, pastinya aku mengharap agar menjadi peserta yang akan memenangi hadiah cabutan bertuah 😅😅

Akhirnya, dengan lutut yang berbalut dan diiringi hujan gerimis, aku sampai juga (dihantar suami) ke majlis yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di Jalan Ampang itu...


Adakah aku dapat apa yang aku cari di SBB ini?  Siapakah yang aku temui?  

Nantikan (eleh...perasannyaaaa) episod seterusnya...

Jumaat, 12 Mei 2017

Cencaru sumbat kelapa...

Assalamu'alaikum, Salam Jumaat dan Salam Nisfu Syaaban...

Sementara menanti ilham yang lebh baik untuk dikongsikan di sini, aku kongsikan dulu gambar ikan cencaru sumbat kelapa yang aku masak tengahari semalam :

Sebenarnya, anak-anakku lebih suka makan sambal kelapa
yang disumbat itu berbanding dengan isi ikannya.

Nak resepi sambal kelapa itu?

Mudah sangat.

Kelapa parut secukupnya
Cili api / cili merah ikut kepedasan yang disukai
Beberapa biji/ulas bawang merah
Sedikit air asam jawa
Garam

Tumbuk semuanya di dalam lesung batu
hingga sebati.  Lepas itu sumbat saja
ke belakang ikan cencaru yang telah
dibelah itu.  Goreng dalam minyak
panas yang banyak hingga garing.

Rabu, 10 Mei 2017

6 tahun berlalu bersama rindu...

10/5/2011 - 10/5/2017...

6 tahun berlalu dan rinduku tak pernah padam.

Tenanglah Pak (Mansor bin Hj Mohd) di sana bersama rahmat dan kasih Ilahi.

Aku rindukan leterannya
Aku rindukan pesanan-pesanannya
Aku rindukan segala-galanya...😩😩