Kawan-kawan kakcik

Isnin, 31 Oktober 2016

Mari berbalas pantun...

...sudah kenapa? tiba-tiba pula hendak berbalas pantun?  Tidak ada apa-apa sebenarnya, cuma rindu sewaktu naik pentas dahulu... :)

Pantun-pantun di bawah ini aku reka sendiri untuk aku paparkan di blog ini.  Andai ada yang berkenan, mintalah izin untuk digunakan...barulah ada keberkatan, kan? Jangan curi ya.  Pantun-pantun ini juga tiada tema tertentu. Cuma bagi setiap soalan, ada jawapannya...

ceri merah di Gunung Daik
disira gula bersama cuka
hari cerah cuaca pun baik
mengapa pula tuan berduka?

berbaju kebaya menghadap paduka
sambil bersimpuh dulang ditatang
bagaimana saya tidak berduka
orang ditunggu tak kunjung datang

jangan dipetik melati yang tumbuh
biarkan dia gugur ke bumi
luka di hati bolehkah sembuh
andai dicalar setiap hari?

berlari-lari si anak sekolah
riang bermain sesama sendiri
serahkan hatimu kepada Allah
pasti ia sembuh sendiri

Hang Tuah pahlawan terbilang
Hang Jebat dikata derhaka
sudahku tanya berulang-ulang
inovasi itu maknanya apa?

jangan ditebang pohon kuini
di bawahnya tumbuh ubi dan lada
inovasi itu teknologi terkini
berbeza dengan yang sedia ada

ramai orang ke sana sini
tidaklah tentu arah tujuan
tertanya-tanya di hati ini
erti integriti tahukah tuan?

isi ayam dicarik-carik
agar senang hendak dimakan
integriti itu sikap yang baik
jadikan ia asas perkhidmatan

bunga teratai indah berkembang
di muka tasik berganding megah
seiring teknologi pesat berkembang
bagaimana rasuah hendak dicegah?

serindit menyanyi di hujung dahan
sakit pula sitelinga lintah
tetapkan iman takutkan Tuhan
pasti tak tergamak menerima rasuah

Eh... apalah kau merepek tu labuuuuu...
Jom ke dapur, tengok apa yang boleh dimasak jommmm...


12 ulasan:

  1. Bila bab berbalas pantun ini kakcik mesti ingat zaman sekolah dulu
    Budak sekarang macam tak ada lagilah



    BalasPadam
    Balasan
    1. Zaman sekolah dulu, kakcik lebih suka mengarang sajak dan tak pernah berbalas pantun atas pentas. Naik pentas waktu sudah bekerja... :)

      Padam
    2. ASSALAMUALAIKUM KAK CIK SEROJA. SAYA MOHON KEBENARAN DAN KEIZINAN DARI KAK CIK UNTUK MENGGUNAKAN PANTUN INI UNTUK MAJALAH INTEGRITI SAYA.

      Padam
  2. Tak tahu nak balas. Kakcik berpantun penuh makna..😊

    BalasPadam
  3. waaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa kakcik... mmg tak terbalas dana...
    sedap di dgr betul pantun2 kakcik...

    BalasPadam
  4. orang memberi kita merasa
    Usah di kisah siapa yang punya
    Bila iman nipis didada
    Selagi itulah rasuah berleluasa

    BalasPadam
  5. Saya juga lebih suka menulis sajak dari pantun hinggakan masa exam pun sempat mengarang...

    BalasPadam
  6. Berbalas pantun ni zaman dulu memang pemes
    Sampai kat RTM pun ada rancangan berbalas pantun.
    Suka dengar.

    BalasPadam
  7. KC masuklah rancangan dgn Raja Azura tu. Manalah tahu ada rezeki, menang ...

    BalasPadam
  8. saya selalu fail bab pantun syair ni. sejak sekolah lagi. good to know kakcik mmg terer bab ni

    BalasPadam
  9. tak tumbuh,tak melata..
    minta izin guna ye..

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.

Ada pertanyaan dan segan nak letak komen? Sila emel ke : kakcikseroja@gmail.com