Kawan-kawan kakcik

Khamis, 26 Julai 2018

Selama mana kita mampu menipu?...

Ikan gelama ikan kerapu
dimasak gulai dimakan bertiga
selama mana hendak menipu
akhirnya akan terdedah juga

Dimasak gulai dimakan bertiga
lebih seronok jika berempat
akhirnya akan terdedah juga
eloklah bertaubat sebelum terlambat

Lebih seronok jika berempat
bergelak ketawa di bawah cahaya
eloklah bertaubat sebelum terlambat
walaupun orang sukar percaya

Bergelak ketawa di bawah cahaya
bersukaria biar berpada
walaupun orang sukar percaya
kasih Ilahi sentiasa ada
 

 

Selasa, 24 Julai 2018

Masak lemak rebung madu...

Rebung madu ini jiran makcik yang bagi.  Makcik tanya kawan-kawan di facebook, rebung ini hendak masak apa?  Ramai yang bagi cadangan untuk buat masak lemak dengan daging salai atau daging tetel.  Ada juga yang cadangkan untuk dicincang dan buat ulam atau masak lemak putih sahaja.

Makcik kupas kulitnya dan ambil hanya bahagian yang lembut sahaja...

...kemudian makcik hiris nipis (tak lah nipis sangat)...

...dan rebus untuk melembutkan dan menghilangkan rasa pahitnya. Air rebusan itu dibuang dan jiruskan rebung yang telah direbus dengan air paip.

Sebiji bawang besar, seinci kunyit hidup dan enam biji cili api (cili api yang makcik guna ini memang sangat pedas) ditumbuk atau di kisar.

Dalam peti sejuk makcik tiada daging salai atau daging tetel.  Yang ada hanya isi ayam yang dah kejung.  Jadi makcik biarkan isi ayam itu lembut dahulu dalam air dan potong kecil-kecil.

Rebung, isi ayam, bahan kisar bersama dua keping asam gelugur (asam keping) dan dua batang serai, makcik masukkan ke dalam periuk.  Tambah segelas air dan jerang atas api hingga mendidih. Kemudian masukkan secawan santan pekat.  Masukkan juga garam secukup rasa...


...siap.

Isnin, 23 Julai 2018

KENDURIAN (Kenduri Durian)...


Bersama Makchaq
Menerima undangan dari Datin Azilah @ Makchaq (dah lupa password blog agaknya Makchaq ni) untuk hadir ke rumah beliau pada 22/7/2018 (Ahad).  Katanya ada majlis makan durian untuk kawan-kawan blogger (kebanyakannya bekas blogger rasanya sebab ramai yang sudah tidak lagi berblog).

Seperti biasa kalau dengan En Suami, jemputan  jam 11.30,  jam 11.00 kami sudah sampai.  Tapi tidaklah terus singgah.  Nampak ramai orang sudah ada di bawah khemah halaman rumah Makchaq tapi tiada yang kami kenali.  Jadi kami pusing dulu di kawasan sekitar sebelum masuk meletak kereta di belakang rumah. 

Rupa-rupanya Makchaq sedang melayan adinda Raja Perlis yang turut berkunjung ke rumah beliau.  Tak mengapa, kami sudah biasa layan diri...
Tengoklah pakcik tu.  Dah macam penjual durian!  600kg durian Pakchaq dan Makchaq tempah dari Batu Kurau, Perak.
 
Ada yang cantik isinya dan ada juga yang tidak.
Kami datang 3 beranak.  Selalunya anak-anak tidak suka hendak ikut.  Tapi disebabkan Si Bongsu sangat menggemari durian, jadi dia setuju untuk ikut pada kali ini walaupun dia siap pesan hendak balik awal untuk menyiapkan kerja sekolah.
Yang sebenarnya, majlis ini lebih kepada untuk mengeratkan silaturrahim bersama kami.  Memang semua blogger (atau bekas blogger) yang datang asalnya makcik kenali melalui dunia maya ini.  Tapi setelah sekian lama, hubungan kami masih rapat walau jarang sangat dapat bertemu.  Terima kasih Makchaq untuk majlis ini...
Bersama Nekcik 

Bersama Atuk Baik, Yunus Badawi dan Aizamia.

Bersama Azieazah (blog dah masuk muzium kot)

Antara yang hadir.  Ada Mimiey, Acu Sayang, Rai Ourkizuna, Azian Elias, Junaina, Ida Mahmud dan Wangi.

Ada juga GadisBunga dan CikPuanLawa.  Makcik balik sebelum sempat jumpa beberapa orang lagi yang datang kemudian.  Bagaimanapun, semoga ukhwah akan terus berpanjangan.  Kepada Makchaq dan Pakchaq (Datin dan Dato'), jangan serik untuk menjemput kami lagi.  Keikhlasan kalian sangat-sangat kami hargai.  InsyaAllah selepas ini kita akan berjumpa lagi.