Kawan-kawan kakcik

Khamis, 3 Ogos 2017

Harga minyak naik lagi...


...tapi aku apa peduli
masih lagi aku boleh makan nasi
walaupun terpaksa beli beras ditimbang kati
janji perut terus berisi

esok-esok ia akan turun kembali
jadi untuk apa bersusah hati
ikut sahaja apa kata menteri
'ukur baju di badan sendiri'

kalau tak mampu jangan berlagak
berbelanja biar beragak-agak
pipit tidak akan jadi gagak
makan sedikit biar senang berak

susah kita orang tak tahu
menangislah kita walau tidak berlagu
bukan tidak terasa diri tertipu
namun merungut sahajalah yang kita mampu!


Rabu, 2 Ogos 2017

Orang kata wajah kami sama...

Sama ke?

Sama sepet, sama hidung kembang, sama beruban...

Hujung tahun ini, InsyaAllah kami akan menyambut ulangtahun pernikahan yang ke 31.  Sudah lebih dari separuh usia kami hidup bersama.

Laut yang mana tidak berombak.  Bumi yang mana tak ditimpa hujan.  Begitulah kehidupan alam berumahtangga.  Bahagia macam mana pun yang dipamerkan, pasti ada rasa tersinggung dan tidak 'sama angin'.  Sedangkan lidah lagi tergigit.  Walaubagaimanapun, sebaik-baiknya yang tidak elok itu lebih baik kita simpan rapat-rapat.  Diheboh-hebohkan mungkin lebih banyak buruk dari baiknya.  Orang luar akan sedap bercerita dan mentafsir mahu pun menaksir.  Yang menanggungnya akan berbalik kepada diri kita sendiri.  Ibarat luka yang besar, biarpun sudah kering, parutnya akan tetap ada.

Entah apa pula yang makcik merepek ini!  Tidak ada apa-apa pun. Cuma kebelakangan ini, isu-isu rumahtangga seakan-akan seronok dibuka untuk dibicara.  Bagaikan sangat penting kisah peribadi dijaja hingga menenggelamkan masalah negara.

Kalau zaman makcik muda dulu, ibubapa akan bagi panduan agar 'kisah dalam kain' hendaklah disimpan. Selagi aib boleh dijaga, janganlah ianya dibuka.  Biar orang berbicara, kita diamkan sahaja. Tak perlu sehingga membuat sidang media seolah-olah bangga dengan apa yang terjadi.  Maaf mudah diucap, tapi kesannya bukan bagai menghilangkan sisa kicap!

Oh ya... pakcik di atas itu ke Sabah hari ini.  InsyaAllah, Jumaat nanti baru dia balik.  Ada urusan mesyuarat di sana.  Harapnya, mesyuarat berlangsung dengan lancar dan tidak pula diadakan di bilik karaoke!

Selasa, 1 Ogos 2017

Selamat datang bulan kelahiran...

Ogos 

bulan aku dilahirkan

mungkinkah akan menjadi bulan aku dikapankan?

Tiada siapa yang tahu

kecuali DIA

hanya aku berdoa kepadaNya :

kurniakan segala kebaikan buatku
juga buat keluargaku 
apa jua yang membelenggu
biarlah terlerai punca satu persatu

hatiku kadangkala sedingin salju
membeku
sampai aku jadi keliru
hendak melangkah tak jumpa pintu
buntu

Allah

tolonglah aku
permudahkanlah sisa-sisa hidupku.

Bagai buih ditiup angin, megahnya hanya seketika