Kawan-kawan kakcik

Selasa, 28 Februari 2017

Waktu untuk bertenang...

...buat sementara ini, aku tutup facebookku, instagramku

dan...

blog ini juga mungkin akan terbiar...

Sekiranya Allah SWT masih mengizinkan kita
untuk 'berjumpa semula'...

akan adalah nanti.

Sehingga itu :

anak-anak pergi ke sekolah
mencari ilmu sesungguh hati
andai ada silap dan salah
mohon dimaafkan setulus hati.


Assalamualaikum.

p/s : aku tidak ke mana-mana

Jumaat, 24 Februari 2017

Aku bangga dengan negaraku, tapi...



Sewaktu aku mengikut suami ke India dua tahun lalu, betapa kembang rasa hatiku melihat bendera Malaysia berkibar menyambut kedatangan kami dan rombongan.  Entah, tidak tahu hendak digambarkan bagaimana rasa gembira dan bangga itu menyelinap dan berkembang di dalam hati ini.

Aku juga bangga bila orang mengenali dan mengetahui tentang MALAYSIA.  Tidak lagi dibayangi oleh negara jiran yang lebih dikenali oleh masyarakat luar.

Namun beberapa tahun kebelakangan ini, MALAYSIA lebih dikenali dengan hal-hal yang 'mengecilkan hati'.  Di manakah silapnya?  Rasanya biar kita hanya sesekali dikenali dengan hal yang baik-baik, bukan tiba-tiba meletup dan jadi tumpuan dunia kerana perkara-perkara yang memalukan.

Sesungguhnya Allah juga Yang Maha Mengetahui.  Hukuman tidak turun hanya kepada yang melakukan dosa, sebaliknya yang tidak terlibat tapi berlagak seolah-seolah tiada apa yang berlaku, akan turut terkena tempiasnya....

Rabu, 22 Februari 2017

Semua orang pun hendak cepat...

...tapi, bila undang-undang dibuat untuk dilanggar, yang diharapkan cepat itu pastinya sukar mencapai matlamat.

Jom ramai-ramai duduk atas petak kuning...

...kalau orang lain boleh buat, takkan kita tak boleh!
Pedulikanlah orang dari arah lain yang sudah berkali-kali lampu
bertukar hijau itu...

#janganlah berbuat sesuatu perkara yang kita tidak suka orang lain buat#

Selasa, 21 Februari 2017

Jangan cepat menjatuhkan hukuman...

...kerana kita bukan Tuhan.

Bila hidayah itu diberikanNya
tiada sesuatu yang dapat menyekatnya
begitu juga dengan hidup kita
bila sampai ke hujungnya
sesaat tidak ia lambat tiba

cuma sama-samalah kita berdoa
agar kita pergi dalam keadaan sempurna
mungkin saat itu kita tidak pun bersedia
tapi jangan sampai pemergian kita menjadi caci nista...

Sebenarnya, semalam di kumpulan whatsapp ada ahli yang bercerita tentang seorang lelaki telah datang ke surau (terus-terang, aku bukanlah seorang 'kaki' surau).  Lelaki tersebut kini telah bekerja. Dia datang berjumpa dengan seorang jemaah lelaki dengan wajah penuh penyesalan.  Dia menghulurkan sejumlah wang. Menurutnya sewaktu dia di sekolah menengah dahulu, dia pernah mencuri wang tabung surau.  Dia mengharapkan agar wang yang diberinya kini, cukup (atau lebih) dari jumlah yang pernah diambilnya. 

Mungkin ketika itu dia sangat terdesak hingga sanggup mencuri. Kita pun tidak tahu apa keperluannya waktu itu.  Yang kita tahu, mencuri itu salah dan patut dihukum, sedangkan kita tidak ingin pun bertanya 'kenapa?' 'untuk apa?'...

Tidak semestinya yang bersalah akan terus dalam kesalahan dan tidak juga ada jaminan bahawa yang bersikap baik itu akan berakhir dengan kebaikan...

Fikirkanlah.

Isnin, 20 Februari 2017

Tak kena kepada kita, bolehlah seenaknya kita berkata...

❤❤❤
...tiada siapa yang mahukan celaka
tiada siapa suka derita
tiada siapa suka diduga

namun...
walau tidak ditempah
terjadi sesuatu sebagai amaran dari Allah
bukan hanya untuk yang terkena
tapi untuk orang sekeliling juga

jangan cuba-cuba jadi jaguh
bercakap bagaikan iman kita sangat teguh
sedangkan sebenarnya hati kita pun rapuh
cuma belum berkecai jatuh

jangan tambah pedihnya luka
dengan mencurah kata-kata bercuka
bayangkan kita di tempat mereka
apa pula yang kita rasa

hari ini hari mereka
mungkin akan tiba hari untuk kita
memang kita tidak meminta
mungkin ia datang waktu kita leka

bersama-sama kita berdoa
semoga kita semua dalam lindunganNya
apa yang terjadi bukan 'percuma'
pasti ada pengajaran di sebaliknya...

Sekadar untuk rujukan :



Khamis, 16 Februari 2017

Untung jadi artis...

...berkawan, didoakan bercinta
bercinta, didoakan berkahwin
putus cinta, peminat yang kecewa
(padahal artis itu hendak lariskan 'produk' sahaja)

berkahwin, ditunggu dapat cahayamata
bila ada anak, dipuja pula
tak tunjuk wajah anak, dikata-kata
eh...peminat hendak tahu semuanya

biodata artis dihafal semua
tapi surah pendek gagap dibaca
(bukan orang lain yang aku nak kata,
hanya aku sendiri yang tak sedar diri tua)
boleh saling tuduh-menuduh kata-mengata
bila terjentik artis yang dipuji puja

bila sudah terlalu memuja
kita pun jadi leka
lupa barang yang semuanya sudah naik harga
melatah pun sekali sekala
disua drama meloponglah kita
walaupun tajuk entah apa-apa
walaupun pelakon hanya bersandarkan rupa
sedangan pengisian dan pengajaran satu pun tiada

sampai bilakah kita terlupa mencari jalan ke syurga?

Rabu, 15 Februari 2017

Kata kuncinya : kemahuan dan kesungguhan...

Tanpa kemahuan, tiada rancangan akan terlaksanakan.
Tanpa kesungguhan, kemahuan mungkin menemui kegagalan.

Selasa, 14 Februari 2017

Set nasi beriani murah di Saujana Utama, Sg. Buloh...

Pada 12/02/2017, aku mengajak suami mengunjungi kedai makan kawanku yang terletak di Saujana Utama, Sg. Buloh, Selangor.  Alhamdulillah, suami menerima ajakanku.  Iyalah, kadang-kadang kalau dia tak mahu, macam-macam alasannya - panaslah, jauhlah, mengantuklah, minyak mahallah...

Kerana belum pernah sampai ke kedai kawanku ini (walaupun kami sudah pernah masuk ke kawasan Saujana Utama), beberapa kali jugalah aku dan kawanku saling berbalas panggilan bertanya/menunjuk arah.  Boleh pula waze enggan bekerjasama kali ini!  Biasalah, kan? waktu pergi rasa jauh bukan main, bila balik sekejap dah sampai...

Setelah berjumpa dan bersembang seketika, kawanku mempelawa untuk mencuba set nasi beriani yang ada dijual di kedai makannya...
Sudah lebih 20 tahun kami saling mengenali.  Dulu rakan
sepejabat.  Kemudian berpisah bila bertukar tempat kerja.
Dia pernah menjagaku di hospital bila aku menjalani pembedahan
tulang belakang.  Agak lama juga kami tidak bersua...
En Suami yang banyak cakap.  Suami kawanku mendengar
sambil memerhati sahaja gelagat suamiku itu...😏

Set nasi beriani kambing.  Terperanjat aku dan suami
melihat nasinya yang banyak.  Boleh makan dua orang.
Mengetahui bahawa suamiku memang tidak makan banyak,
aku menyangka nasi ini tidak akan habis. Sesuap demi sesuap
dia makan sambil bersembang dengan suami kawanku...



...tahu-tahu dah habis! Walaupun suamiku kata dia lebih suka
nasi yang 'tiada warna', tapi tengoklah tu...

Set nasi beriani kambing ini hanya berharga RM9.00
(set beriani ayam masak merah hanya RM7.00)

Sudahlah banyak, murah pula. Semua makanan dan minuman
yang dijual di sini memang murah harganya.  Aku juga memesan
dua bungkus mee goreng, dua keping lempeng kelapa (setiap
keping lempeng sebesar pinggan makan) dan dua gelas barli panas
serta segelas barli ais - hanya berjumlah RM15.00 (tidak termasuk
set beriani tadi).

Kepada yang ingin mencuba makan di kedai kawanku ini, bolehlah datang ke : 

Aura Beriani Enterprise
No : 21, Jalan Dahlia 4
Bandar Saujana Utama
Sg. Buloh, Selangor.

Tempahan untuk katering juga diterima.

Isnin, 13 Februari 2017

Makan-makan di Owlery Dine and Grind...

Tarikh : 10/2/2017 (Sempena hari ulang tahun kelahiran En. Suami, anak menantu belanja makan.  Terima kasih Along dan Kaklong) 

Tempat : Owlery Dine and Grind
               Taman Dagang Avenue
               Ampang, Selangor.

Kalau ikutkan aku, cukuplah beli makanan atau masak sendiri dan makan sahaja di rumah...

Jomlah tengok apa yang dipesan.  Aku cuma pesan teh O ais limau sahaja, makan aku tumpang-tumpanglah apa yang ahli keluarga pesan...


Hiasan comel.  Geram saja Qaid nak buat main.
Mujur ada sudut mainan untuk kanak-kanak, jadi
lekalah dia di sudut itu...

Sibongsuku yang semakin tinggi.

Zayyan ni ikut sikap Atuk yang suka sengih kot!

Teh O ais limau (dalam tiub di sebelah itu air gula)
RM8.00 - huhuhu

Buku Menu

Long Black (RM5.00)

Tiger Prawn Fried Noodle (RM18.00)

Asian Lamb Penne (RM20.00)

Owlery Sambal Fried Rice (RM18.00)

Pancrispy Norwegian Salmon (RM25.00)

Cheezy Spring Chicken (RM56.00)
Apake mehei bebenor?

Orang yang diraikan memegang Teh Tarik
(harga Teh Tarik RM5.00)

Gambar ini dirakam oleh Bangcik
(mak tak ada iPhone)

Ceasar Salad Grilled (RM17.00)

Qaid tiada dalam gambar sebab seronok bermain.
Angah pula memang jarang ada.  Waktu ini Angah
keluar dengan kawan-kawannya...

Semoga  Allah SWT membukakan seluas-seluasnya pintu rezeki buat anak-anak dan menantuku.  Semoga juga mereka menjadi insan yang tidak terpesona dengan rezeki yang dikurnia sehingga menjadi sombong dan bongkak.

Aamiin Ya Rabbal Alamiin...


Gigitan seorang cucu...

...perit menembusi bajuku
masih berbekas setelah berminggu-minggu
sesekali berdarah bila digaru

jeritanku dianggapnya lucu
tersengih dia tersipu-sipu
hendak dimarah bukannya dia tahu
silap imbangan memang dah kena luku

tapi cucuku ini memangnya cerdik
terangkan kepadanya baik-baik
tengok ini daging nenek dah hampir carik
nanti jangan pula dibuat kepada adik

sayangkan cucu bukan tak boleh dimarah
yang elok dipuji, ditegur bila salah
jangan dimanja sampai dia tersalah arah
lentur sewaktu rebung, dah jadi buluh mungkin patah

belum tiga tahun usianya
bercakap bagaikan orang dewasa
sekali cakap terakam di mindanya
jadi hati-hatilah sewaktu menutur kata...

Apa yang kita cakap kepadanya, akan diucapkannya
semula jika ada yang berbuat perkara sama. Suatu
hari, dia berkata selamba kepada bapa saudaranya
'jangan buat macam itu, tak elok' bila bapa saudaranya
menjelirkan lidah sewaktu bermain dengannya.
Yang ini belum pandai berkata-kata, tapi sangat
suka bila diagah.  Menangis bila ditinggalkan sendiri.

Rabu, 8 Februari 2017

Peristiwa 2016 yang diharap tidak berulang di 2017...

Anak beranak termasuk cucu menghuni wad hospital...

Sibongsu sampai masuk ICU kerana denggi

Angah juga masuk wad kerana demam

Qaid masuk wad kerana demam juga

Aku juga masuk wad kerana
tekanan darah mencanak naik

Bangcik masuk wad kerana sakit perut

Qaid masuk wad sekali lagi kerana 'rotavirus'

Zayyan tinggal di wad selepas lahir
kerana demam kuning
Mudah-mudahan di tahun 2017 ini anak cucuku dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah SWT.  Sesungguhnya tubuh badan yang sihat itu juga rezeki (tapi jarang disedari untuk disyukuri).


Selasa, 7 Februari 2017

Ambillah...tapi biarlah ia sudah cukup matang...

Di hadapan rumahku ada sebatang pokok mangga.  Dulu ada 3 pokok, tapi dua sudah ditebang oleh Pihak Berkuasa Tempatan atas permintaan suamiku kerana kedudukan pokok-pokok itu yang sangat hampir dengan 'Rumah TNB' atau Pencawang Elektrik.

Pokok mangga yang sebatang ini boleh dikatakan hampir tidak putus-putus mengeluarkan buah. Sudah ramai yang dapat merasai buahnya.  Entah dari mana sahaja datangnya orang yag mengambil buah itu.  Ada yang datang berjalan kaki, ada yang bermotorsikal dan ada yang berkereta.  Ada yang meminta izin dan ada yang mengambil begitu sahaja.

Pernah juga aku 'menyergah' beberapa kali kepada yang mengambil sesuka hati.  Iyalah, datang sampai bawa karung guni.  Kalau hendak makan sendiri, pastinya cukup sedikit.  Tapi gayanya datang menunggah bagai hendak berniaga.  Ada juga yang mengambil sampai habis luruh mangga yang masih putik.  

Kata orang, kalau kita biarkan buah-buah dipokok diambil orang, maka pokok itu akan terus mengeluarkan buah.  Bagaimanapun, bila buah tak sempat hendak matang sudah dikait, pasti akan jadi satu pembaziran...

Aku tak kenal siapa mereka.  Ditegur pun mereka buat 'pekak' sahaja.  Tak mengapalah, aku pun bukan suka makan mangga jika rasanya masam, cuma aku rasa sayang bila buah yang masih putik jatuh bergelimpangan.  Buah itu halal, cuma cara ia diambil (dan kemudian dimakan atau dijual), biarlah Allah yang tentukan hukumnya...



Nampak tak mangga yang masih 'kecil' bergelimpangan dibiarkan.


Isnin, 6 Februari 2017

Selamat Pengantin Baru Afizzat & Jirada...

Afizzat dan Jirada datang dari dua negara berjiran - Malaysia dan Thailand.  Kedua-duanya insan istimewa yang tidak boleh mendengar dan bertutur.  Tapi Allah SWT kurniakan mereka kelebihan lain. Mereka boleh menulis dan 'membaca' dengan dengan cemerlang...

Aku dan suami keluar rumah pada jam 6.30 pagi menuju
ke Kuantan di mana majlis menyambut menantu diadakan.

Mulanya kami singgah di RnR Temerloh, tapi punyalah ramai
orang.  Hendak beli air pun kena berbaris.  Jadi kami teruskan
perjalanan dan berhenti di Hentian Sebelah Maran.


Bila berhenti, En Suami akan ambil kesempatan untuk tidur
seketika dan Pn Isteri tiada kerja lain - ambil gambar!

Kami tiba di Taman Bukit Rangin, Kuantan
lebihkurang jam 10.30 pagi.

Bersama ibubapa pengantin (di sebelah kananku).
Hubungan kami sudah bagaikan adik-beradik.  Kami mula kenal
lebihkurang 12 tahun yang lalu, di zaman Mawi menyertai
Akademi Fantasia.

Yang penting adalah ukhwah, makan minum sekadar mengalas
perut sahaja.  Ini antara yang aku makan, nasi dan lauk pauk
pun aku 'hadap' juga...😋😋


Kebetulan pula baju yang aku pakai sama
warnanya dengan pakaian pengatin.
Untuk Afizzat dan Jirada, Bonda doakan
agar kehidupan berumahtangga kalian sentiasa
dalam rahmat, kasih dan peliharaan Allah SWT.
Semoga berbahagia bersama hingga ke syurga,


Sabtu, 4 Februari 2017

Minyak masak TIARA - RM2.95 seliter...

Dalam keadaan Ringgit Malaysia yang semakin kecil nilainya ini, setiap sen yang dibelanjakan perlu diambilkira (untuk rakyat biasa yang berada dalam kategori miskin bandar seperti aku. Untuk yang duit itu tiada nilainya bagi mereka, tak perlu kata apa-apa).  Jadi bila kita ada pilihan untuk mendapatkan sesuatu keperluan dengan harga yang lebih murah dari biasa, mengapa harus dilepaskan peluang itu, kan?

Beberapa bulan lepas, harga minyak masak telah naik dengan mendadak.  Jika sebelumnya aku akan membeli minyak masak setiap kali membeli barang keperluan dapur, tapi bila harganya mendadak naik hingga hampir RM10.00 sebotol 5kg, aku tidak lagi membelinya seperti selalu.  Biarpun stok di rumah kian kurang, aku akan membeli hanya bila perlu sahaja.

Baru-baru ini, melalui perkongsian rakan di facebook, aku dapat tahu tentang minyak masak TIARA yang boleh dibeli dengan harga bersubsidi (katanya) RM2.95 untuk satu liter.  Jauh lebih murah dari jenama lain yang berharga lebih RM5.00 seliter.  Menariknya, minyak ini didatangkan dalam botol dan bukan dalam paket plastik (aku selalu melihat minyak masak yang dijual dalam paket plastik menjadi beku, jadi aku tidak berminat untuk membelinya).

Sewaktu membeli belah di pasaraya, aku 'mencari dan jumpa' minyak masak TIARA ini. Setelah berbincang dengan suami, kami bersetuju membeli 5 botol minyak 1 liter ini (setiap pelanggan hanya dihadkan untuk membeli 5 botol pada setiap pembelian).  5 botol X RM2.95 = RM14.75.  Minyak masak dalam botol 5kg, paling murah pun sekarang RM21.95.  Aku tak pasti adakah 5 liter sama banyaknya dengan 5kg?


Mempunyai jaminan HALAL

Minyak masak jenama TIARA ini keluaran
Delima Oil Products Sdn Bhd iaitu Ahli Kumpulan
FGV (Felda Global Ventures)

Nanti boleh beli lagi untuk buat simpanan

Walaupun pasaraya yang aku pergi ini masih menyediakan beg
plastik kecuali pada hari Sabtu, aku lebih senang 'melatih diri'
untuk membawa beg sendiri.  Tak guna merungut dikenakan caj
0.20sen jika kita sendiri MALAS mendisiplinkan diri. Rasa rugi
kononnya membayar 0.20sen untuk membawa barang yang dibeli
tapi tak rasa rugi pula membazir bila beli makanan tapi kemudian
dibuang kerana tidak kena dengan selera...

Jumaat, 3 Februari 2017

Khamis, 2 Februari 2017

Bila sawah menjadi tasik...

ikan sungai kulitnya bersisik
dibuat gulai tambah kerisik
bila sawah menjadi tasik
hati pesawah pasti terusik

masak gulai janganlah cair
kelak tidak berbeza dengan bubur
biar sawah digenangi air
tetap berdoa padi akan subur

nasi dimasak dah hampir hangit
akibat diri asyik berangan
melihat mendung di dada langit
hati di dalam turut terkesan

masa berpantang pakailah bengkung
agar ia mengempiskan perut
jika begini air bertakung
berapa lama ia kan surut

timba air dari perigi
disimbah terus ke atas api
ujian tetap datang dan pergi
tabahlah pesawah dalam menghadapi


...sepertimana mendungnya cuaca dalam gambar-gambar di atas, begitu juga sendunya hatiku di saat ini...