Kawan-kawan kakcik

Isnin, 29 Februari 2016

Tahniah kerana dapat melacurkan bahasa dengan jayanya...

...sehingga boleh ditayangkan dengan sewenang-wenangnya di kaca televisyen!

Sudahlah bahasa percakapan seharian pun dirojakkan sekehendak hati, belum lagi bahasa yang digunakan di media sosial yang menyakitkan hati ditambah singkatan-singkatan yang kadangkala sukar dimengerti...

Jangan salahkan guru-guru di sekolah bila anak-anak kita sukar memahami bahasa sendiri dan gagal mengarang dengan ayat tersusun seperti dikehendaki.  Mereka lebih mudah terpengaruh dengan apa yang mereka hadapi saban hari.  Tambahan pula disiarkan di tv, pasti mereka merasakan apa yang dihidangkan itu tiada salahnya lagi.

Alaaaa...macam kau kata 'bahaya makan megi', tapi iklannya kau siar berapi-api.  Tentulah anak-anak kata mana bahayanya kalau ditunjukkan itulah makanan yang sedap dan berkhasiat sekali...

Sudah tiada perkataan Melayu untuk 'married' itu, ya?

Sudahlah isi kandungan drama ketandusan ilham, bahasa juga sudah tandus perbendaharaan kata?

Sinopsis drama ini yang aku ambil dari SINI
(aku tidak langsung berminat untuk menontonnya)

SINOPSIS MARRIED TAPI BENCI
Mengisahkan kisah cinta dua remaja yang terpaksa berkahwin di usia muda akibat diperangkap orang ketiga. Kamal (Shafiq Kyle) merupakan pelajar kolej yang digilai ramai dan seorang pelumba basikal yang sering menjuarai kejohanan. Kehadiran pelajar baharu di kolej iaitu Rina (Azira Shafinaz) dengan menaiki motor berkuasa tinggi telah menarik minat Kamal untuk cuba memikat ditambah lagi Rina turut mempunyai raut wajah yang jelita. Namun, Rina dengan perwatakkan yang sedikit kasar dan benci dengan lelaki akhirnya telah memalukan Kamal di hadapan ramai pelajar lain. Terselit satu rahsia di mana sikap kasar Rina itu adalah sebagai tanda protes kerana ayahnya berkahwin dengan seorang gadis muda setelah kematian ibunya.

Rina pula semakin rapat dengan Daniel (Mustaqim Bahadon), musuh ketat Kamal yang turut ingin bersaing dengan Kamal. Walaupun Kamal tidak suka kepada Rina, tetapi Kamal tidak mahu Rina terperangkap dengan sikap Daniel hanya pandai mengambil kesempatan ke atas wanita. Satu hari, Kamal mengenakan Daniel dengan memutuskan brek motor Daniel tetapi malangnya, Rina yang menjadi mangsa kerana dia bertukar motor dengan Daniel.

Kamal merasa bersalah namun takut untuk mengakui kesalahannya sehinggalah dia melawat Rina di hospital. Hubungan mereka mulai rapat setelah mengetahui kisah sebenar Rina yang membuatkan dia sedikit memberontak. Daniel pula menyimpan dendam dengan memerangkap mereka berdua sehingga ditangkap khalwat. Ibu bapa mereka bersetuju untuk mengahwinkan mereka berdua sebagai jalan untuk mereka belajar untuk menjadi lebih bertanggungjawab untuk masa depan mereka.

Walaupun berkahwin, mereka masih lagi meneruskan aktiviti lasak dan tidak begitu peduli dengan urusan di antara satu sama lain. Kamal masih lagi dengan basikalnya, begitu juga Rina yang sering bersama dengan teman rapatnya. Tetapi dalam tidak sedar, mula muncul perasaan sayang antara Kamal dan Rina. Daniel masih lagi tidak berpuas hati dan ingin menghancurkan kebahagiaan mereka dengan melakukan pelbagai muslihat demi melunaskan dendam yang masih lagi terpalit di hati.

Berjayakah Daniel meruntuhkan rumah tangga yang baru sahaja ingin berkembang mekar? 


Aku sedar dan tahu, blog aku ini bukanlah blog pilihan ramai sehingga boleh sampai isi kandungannya kepada pihak stesyen televisyen mahupun kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk diambil tindakan, tetapi bila sekarang aku melihat rancangan agama yang disiarkan mempunyai sarikata, aku teringat kepada catatanku yang ini.  Walaupun siaran sarikata itu bukan kerana catatanku, tapi setidak-tidaknya aku pernah menyuarakannya melalui blog ini empat tahun yang lalu...

Jumaat, 26 Februari 2016

Rabu, 24 Februari 2016

Kalau baju tu longgar, lebih cantik manis kot...



Kucing di Pusat Perlindungan Kucing Putrajaya terbiar?...

...jika benar, alangkah kejamnya...

Aku pernah menghantar seekor anak kucing ke sini sepertimana catatanku yang INI.  Sedihnya memikirkan entah apa akhirnya nasib anak kucing itu walaupun aku bukanlah seorang pencinta haiwan tapi aku juga punya perasaan...

Aku salin balik dengan ejaan sepenuhnya:
22.02.2016 .. saya pergi melawat tempat perlindungan kucing...
kat Putrajaya... tapi apa yang saya nampak ini bukan tempat
perlindungan kucing tapi ini NERAKA BAGI KUCING. Ya
Allah, kesiannya tengok.  Menitis-nitis airmata sepanjang ada
kat sana... dah banyak kali kes ini tapi tak ada siapa yang
ambil tindakan... seolah pekakkan telinga butakan mata saja
pandang kucing-kucing itu semua... semua dah macam tinggal
rangka saja... pekerja situ tak payah cakap la... dah macam apa
lagi perangai... jawab pertanyaan endah tak endah... minta siapa
yang tahu macamana nak report kes ini tolonglah report segera...
kesianlah kucing-kucing semua... konon kat situ tampal
bukan main tak menyiksalah apa... tapi kucing-kucing kat
situ semua tinggal rangka... mata anak-anak kucing semua
sakit.. tak ada seekor mata yang elok... tak percaya apa
saya cakap anda pergi tengok sendiri... menitis ke tidak
airmata yang tengok semua kucing kat sana... precint 9
Putrajaya... dekat-dekat area petronas... search map
ada alamat dia (aku tambah setelah baca komen -
di map, tempat itu sudah diletak permanently close)

Ada gambar anak kucing dan kucing yang sakit serta kurus kering tapi aku tak letakkan di sini...

Artikel dari laman Umno Putrajaya bertarikh 25 Januari 2014
Semoga Tengku Adnan dapat menjenguk-jenguk tempat ini di celah kesibukan beliau.

Selasa, 23 Februari 2016

Soft Cotton Japanese Cheese Cake...


...tu dia...nama punyalah panjang.  Semalam anak bujangku buat kek ini berpandukan resepi dari facebook Pn. Azlina Ina :

Inilah rupa kek yang dibuat oleh anak bujangku.
Lembut dan gebu.  Dia guna kaedah kukus.

Kepada yang belum tahu resepinya dan ingin mencuba, bolehlah terjah facebook Pn. Azlina Ina di SINI.  Semoga murah rezeki Pn Azlina yang sudi berkongsi banyak resepi di halaman facebooknya. Aamiin...

Isnin, 22 Februari 2016

Berminat dengan anak pokok tin?...

Walaupun 'anak' tapi sudah mengeluarkan buah...
...yang ini rasanya sudah ditempah dan sedang menanti pemiliknya...

Sebenarnya ada buah yang sudah cukup tua, tapi belum sempat aku ambil gambar, sudah selamat masuk ke mulut, tekak dan perut En Suami...:)

Jika ada yang berminat, mungkin boleh bertanya kepada Puan Yati di akaun instagram beliau atau di facebook.

Jalan-jalan ke Hutan Lipur Pangsun, Hulu Langat...

...sambil berangan dan terkenang-kenang...

Jalan masuk yang sunyi dengan kehijauan di kiri kanan...
Pintu masuk ke Gunung Nuang (sayang tulisannya sudah tidak kelihatan)...
...tenang dan damai...
...perkampungan yang sunyi...
...atas nama pembangunan (?)...
...aliran air sungai yang menggamit untuk bermandi-manda...
...namun kerana aku hanya berdua dengan suami, lain kali sahajalah...
...pondok untuk disewa...
...teringat sewaktu aku merakam gambar berlatarbelakangkan sungai di Pahalgam, Kashmir...
...amboiiii besarnya mata!...
...terima kasih kepada suamiku yang tak jemu membawa aku 'bersiar-siar' di hujung minggu setelah sepanjang hari bekerja, aku hanya terperap di rumah sahaja...

Kalah hero Hindustan!

Bahasa apakah?
Tapi aku faham maksudnya:
JOM KITA KE MASJID
HIDUP BERKAT
REZEKI BERTAMBAH

Sabtu, 20 Februari 2016

Kalaulah bekasnya boleh dimakan...

...mungkin sudah kumakan tanpa bersisa...
Nasi putih dan ayam paprik (bawang yang lebih dari isi ayam) = RM10.60 termasuk GST.
Beli untuk anak bongsu sipemakan nasi sementara aku suami-isteri membeli 'barang dapur'
yang sudah kehabisan stok.  Beli barang dapur pun boleh buat aku sakit jantung. Hanya
sesuku troli barangan yang memang diperlukan, sudah RM250.00 terbang...
Beli dua dengan anggaran awal aku sangkakan
paling mahal pun hanya RM15.00 (untuk 2 bungkus)...

Jumaat, 19 Februari 2016

Hubungi mereka sekiranya menghadapi masalah dengan Poslaju / Pos Malaysia...

...InsyaAllah mereka ada jalan penyelesaiannya.  Jika mereka pun tak boleh membantu, mungkin kita boleh usulkan untuk mendapat khidmat warga Bangladesh juga...
Ada nombor telefon dan emel mereka 
Cepat Ketua Pegawai Operasi Poslaju menjawab dan
mengambil tindakan.  Masalah selesai pada hari yang sama.
Tahniah dan Alhamdulillah.

Khamis, 18 Februari 2016

Mungkinkah Poslaju juga perlukan pekerja dari Bangladesh?...

...kerana konon 'katanya', pekerja Bangladesh sangat rajin dan berdisiplin.  Maka, mungkin haruslah juga pihak Poslaju menggunakan khidmat mereka...

Semalam, menantuku 'terkena' dengan pekerja Poslaju.  Sebelum ini pun beberapa kali dia suami-isteri (termasuk Qaid) terpaksa ke pejabat pungutan kerana 'barangan tidak berjaya disampaikan'. Memandangkan menantuku sedang menunggu sesuatu barang yang sangat penting dan tahu pekerja Poslaju akan datang, dia menggantungkan notis di hadapan pintu rumahnya :


Malangnya, bila pekerja Poslaju datang dan menantuku sudah pun menjawab panggilan di pintu dengan meminta pekerja itu menunggu sekejap kerana dia hendak mengenakan tudung, bila keluar ini yang didapatinya :


Mungkin masa menunggu seminit dua itu sangat berharga buat pekerja tersebut.  Jadi, lebih mudah dia meninggalkan slip sahaja.  Kesian menantuku yang sedang hamil, Qaid pun masih kecil, suami pula bekerja.  Bila pula dapat keluar untuk menuntut barang kiriman itu.  Hari yang sama menantuku menghantar emel kepada pihak atasan Poslaju dan memang cepat jawapan yang diterima bahawa mereka akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Aku juga pernah terkena dengan pekerja Poslaju.  Sebaik meletakkan kuali dan menyalakan api, pekerja Poslaju tiba.  Aku hanya meminta seminit untuk mencapai tudung dan memadam api, pekerja itu menjerit 'cepat Cik (Makcik), nak hujan ni'... cantik budi-bahasanya. Itu tak termasuk beberapa kali aku ada di rumah (mungkin di dapur dan tidak mendengar), tapi tahu-tahu hanya slip yang ditinggalkan...

Alahai anak bangsaku, bekerjalah dengan setulus hatimu.  Jangan salahkan bangsa lain bila bidang yang sepatutnya kita kuasai diambilalih oleh mereka nanti...

Rabu, 17 Februari 2016

Qaid ni macam Atuk juga...

...upah orang kemas rumah tapi dia sibuk nak berkemas sama...

Disiplinkan penguatkuasa sebelum mendisiplinkan masyarakat...

...letaklah denda setinggi mana pun,
selagi masyarakat merasakan mereka mempunyai 'pilihan'
maka denda yang tinggi bukanlah sesuatu yang menakutkan.

Kalau mereka cuma diugut :
'hendak masuk mahkamah / lokap / bayar denda yang tinggi'
atau 
'kita selesai di sini'
tentunya ketakutan mereka hanyalah seketika

Kenapa umat Islam tidak takut melakukan dosa
sedangkan mereka tahu adanya neraka?

Kerana mereka akan berkata :
'ah, esok-esok bertaubat, boleh masuk syurga'

Tapi...

apakah pintu taubat sentiasa terbuka sebelum nyawa
meninggalkan kita?

Selasa, 16 Februari 2016

Aku menulis bukan kerana nama...

Hahaha... tajuk bukan main.  Kononlah bukan kerana nama sebab dah bertahun-tahun menulis masih tak berupaya menarik perhatian sesiapa. Cuba kalau tiba-tiba jadi terkenal sekelip mata, silap-silap sudah tak sedar diri sendiri siapa!  Pantang 'tercuit' terus sahaja nak tunjuk sombong.  Tak boleh ditegur dan tak boleh dipertikaikan lagi...  

Sebenarnya, aku hendak bercerita saja.  Aku ni kan, bila pergi ke mana-mana atau makan di mana-mana, kalau aku suka, aku akan tulis tentang tempat itu.  Pemilik tempat itu pun tak tahu bahawa aku menulis tentang tempat mereka.  Iyalah, aku bukan blogger popular yang boleh meminta-minta untuk dibayar atau dijemput untuk menulis.  Aku masih sedar diri...

Kalau akhirnya ada yang tahu tentang apa yang aku tulis, tak mengapalah.  Jarang sekali aku menulis yang 'tidak-tidak' pun.  Jadi, aku tak takut apa-apa. Hanya aku berharap bila aku tulis yang baik-baik, akan jadi pendorong untuk orang lain singgah di tempat berkenaan.  Itu sahaja.

Baru-baru ini aku menerima hadiah berupa seutas (atau sebuah?) jam tangan. Hadiah yang aku tak pernah sangka akan menerimanya. Aku pun tak tahu atas sebab apa aku dihadiahkan jam yang agak mahal bagiku ini. Memang aku ada menulis tentang 'perniagaan' pemberi hadiah ini sama ada di blog sunyiku ini dan juga di lama Trip Advisor.  Tulisanku itu pun bukan ramai yang membacanya. Mungkin mereka menjumpai tulisanku itu atau hanya atas dasar 'menjalin persahabatan'. Wallahhuaklam.  Apa-apa pun aku sangat bersyukur dengan rezeki ini.  Syukur pada Ilahi dan terima kasih kepada yang memberi.  Semoga perniagaan anda akan terus berkembang maju lagi.  Aamiin...


Ice Watch Swarovski

Isnin, 15 Februari 2016

Laksa Johor yang sangat-sangat sedap...

Gaya hidangan bagai di restoran mewah...
...sampai segan rasanya hendak mula makan...
Bagi yang tak tahu, 'laksa' Johor adalah dari spaghetti dan kuahnya sangat pekat likat...
...hahaha, dah pusingan ke dua baru teringat hendak ambil gambar.
Tak senonoh sungguh!

Oh...laksa Johor yang tersangat sedap ini bukannya didapati di mana-mana restoran.  Ini adalah hidangan kasih-sayang yang disediakan penuh ikhlas oleh blogger Azian Elias untukku (perasan pula aku ni...).  Dalam keadaan dirinya yang kurang sihat, Yan gagahkan juga menyediakan laksa Johor yang sedap ini buatku walaupun sebelum ini aku hanya mengusik-usik teringin nak makan.  Tak sangka beliau sanggup bersusah-payah menyediakannya.

Untuk membuktikan laksa ini memang sedap, suamiku yang memang tak pernah suka makan laksa Johor boleh bertambah makan hingga dua mangkuk.  Memang tersandar kekenyangan. Alhamdulillah.  Terima kasih banyak-banyak Yan.  Terima kasih daun keladi ya... :)

Khamis, 11 Februari 2016

Rahsia awet muda En Suami...

Semalam (10/2/2016) - suamiku berusia 56 tahun.  Alhamdulillah, Allah masih beri beliau kesempatan dan peluang untuk terus berada di atas muka bumi ini.  Ada yang tidak percaya bahawa suamiku sudah pun 56 tahun usianya.  Ada yang berkata beliau kelihatan jauh lebih muda dari usia sebenarnya.

Tiada apa-apa petua atau rahsia pun.  Tahun ini kami akan memasuki usia 30 tahun dalam alam rumahtangga.  Sebagai isteri, sudah tentu aku tahu sakit pening, demam atau apa sahaja tawa tangisnya. Memang tiada rahsia. Cuma suamiku seorang yang ceria. Jovial kata orang kampungku. Apa sahaja orang kata tentangnya, jangankan masuk telinga kiri, keluar telinga kanan, bahkan tak masuk langsung.  Dia buat pekak sahaja.

Dia suka bergurau.  Suka menyakat anak-anak saudaranya.  Bergelak ketawa bersama mereka. Dia lebih sayangkan kanak-kanak berbanding dengan diriku sendiri.  Mudah bersimpati dengan mereka yang dalam kesusahan kerana dia (dan aku juga) pernah hidup susah.

Bagaimanapun, dia cuma insan biasa.  Ada waktunya, anginnya naik juga. Bila dapat membebel, jangankan anak-anak, aku sendiri tak kuasa hendak mendengar...hahaha...

Along sudah lali bila disangka adik-beradik
dengan ayahnya sendiri.  Malah lebih sadis (kejam)
bila ada yang menyangka Along adalah abang
kepada ayahnya! 
Ramai yang menduga bahawa isteri kepada suamiku ini
lebih tua beberapa tahun.  Tak mengapalah.  Janji bahagia.
Apakah definisi bahagia itu?
Ia bukan berkaitan dengan hadiah mewah atau
harta bertimbun.  Ia adalah saling mengerti dan
saling percaya mempercayai serta berlaku jujur sesama sendiri.

Lauk kenduri yang sangat sedap...

Hanya lauk pauk 'kampung', tapi sedapnya SubhanAllah...
(Lokasi kenduri : Taman Klang Perdana, Klang)

Mungkin sebab aku sudah semakin tua, atau mungkin juga sebab memang asal-usulku dari kampung, maka dapat makan nasi putih bersama pecal sayur, sambal kentang dan tempoyak daun kayu membuatkan aku rasa bagai mendapat bonus!

Rabu, 10 Februari 2016

Kurta Wildan - terbaru dari Darwish Rich Design...

Boleh lawat laman web saya di SINI




Jagalah adab di meja makan apa-apa majlis juga pun...

Sebenarnya tentang adab sopan ini tak perlu pun masuk belajar ke institusi pengajian untuk melakukannya...

1 - Tentang mengambil makanan (sekiranya hidangan disediakan secara buffet mahu pun makan berhidang) :  sudah banyak kali aku menulis tentang ini sebenarnya...  janganlah ambil sehingga 'tak muat pinggan'. Seolah-olah 'padan muka orang lain tak payah merasa'.  Kalau makan sehingga habis tak mengapalah juga.  Yang sedihnya, cuit-cuit sikit dan buat muka mencebik lalu pinggan ditolak ke tepi. Jangan buat macam itu. Sangat-sangat tak elok.  Membazir dan menghina rezeki namanya. Hantar duduk kat Somalia baru tahu!

2 - Tentang tempat duduk : kalau sudah habis makan dan nampak tetamu ramai yang masih tercari-cari tempat duduk, bangunlah dan tinggalkan kerusi itu supaya orang lain dapat duduk pula. Sekiranya bertemu teman-teman dan hendak bercerita panjang, carilah tempat lain.  Bersembanglah puas-puas sebab kita sudah tidak menghadap makanan, kan?.  Kalau tak ada tetamu yang sedang mencari tempat duduk dan majlis masih lengang, duduklah sampai lebam pun.

3 - Tentang isi perbualan : Kadangkala kita terpaksa duduk bersama dengan tetamu lain yang langsung tidak kita kenali.  Bila kita berbual dengan kawan semeja yang memang 'sahabat kita dunia akhirat', isi perbualan itu tak payahlah ada unsur-unsur hendak menunjuk-nunjuk kepada orang yang tidak kita kenali itu.  Tak perlu hendak ulang-ulang cerita tentang anak kita yang belajar di obesi, tentang negara itu yang bersalji, tentang anak kita kenal orang itu orang ini.  Kalau sekali sebut, mungkin orang tak rasa apa-apa.  Tapi bila cerita itu diulang-ulang macam kaset rosak, mesti orang yang mendengar pun rasa tidak selesa.  Kita bukan kenal pun orang itu, entahkan kerjanya memang round the world, jadi dia tak kisah pun tentang salji mahu pun padang pasir!

4 - Tentang tingkah laku : Ini pun sudah selalu aku tulis :  lepas makan, janganlah sesuka hati mencungkil gigi depan orang yang masih enak melayan selera.  Sudahlah ternganga-nganga membuka mulut, tak cukup guna pencungkil gigi, guna pulak jari!.  Kemudian berludah depan orang. Memanglah mulut kamu, jari kamu. Tapi tahu tak betapa loyanya orang di hadapan kamu?  Tak cukup dengan itu siap berdecit-decit cuba mengeluarkan makanan di celah gigi dengan lidah.  Satu lagi, kalau nak sendawa tu, cuba kawal sedikit... Eh...kau nak kena disekolahkan depan orang ke yang tak reti-reti nak jaga adab ni? 

Hmmmmm....cukuplah empat perkara dulu.  Bebel banyak-banyak pun, kalau yang tak mahu faham, tak akan faham juga...

Ahad, 7 Februari 2016

Sesekali bertemu melerai rindu...

Bersama blogger dan bekas blogger - Atuk Baik, Bujal, Azian Eliaz,
Norhafizah Othman dan Dr. NsHanie Abdullah
Azian Elias dan Norhafizah Othman - kami mengimbau saat bersama di Kashmir...
Bunga Mawar, Ati Radzuan (Puan Rumah a.k.a Mak Pengantin), Roshidayu Che Mat
(Akuzle Ayu), Norhafizah Othman, Su Miloais Milo dan Ida Mahmud

Jumaat, 5 Februari 2016

Memori Cinta Suraya - satu lagi drama bersiri yang 'membunuh' tata-susila Melayu...

Gambar dari :
http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2015/08/08/lpf-memori-cinta/

Dahulu aku pernah menulis tentang drama Cinta Ibadah.  Kali ini aku rasa hendak menulis pula tentang drama Memori Cinta Suraya ini.  Khabarnya drama ini adalah adaptasi dari telenovela Mexico yang bertajuk A Love To Remember.  Drama 148 episod ini mengambil masa penggambaran selama setahun.

Aku tidak mengikuti drama ini dari siri ke siri, cuma sesekali menonton secara sambil lalu bila anakku menontonnya.  Walaubagaimanapun, sebagai seorang tua (Iya, aku sudah tua), walau menonton sekali sekala, hatiku jadi terluka.  Adab sopan dan tata-susila Melayu yang kononnya penuh kelembutan telah hilang sama-sekali dalam drama ini.

1 - anak beranak (mak dengan anak), membahasakan diri I dan YOU sahaja

2 - anak tidak menghormati orang tua

3 - bahasa kasar diucapkan dengan selamba tanpa tapisan, contohnya perempuan sundal, sial dan seumpamanya

4 - bersekedudukan  sementara menanti hari perkahwinan

5 - mengandung luar nikah seolah-olah adalah sesuatu yang biasa dalam masyarakat kita

6 - watak wanita yang tiada maruah.  Wanita bersuami selamba menggoda lelaki lain dan adegan itu ditunjukkan walau secara 'sipi-sipi', tetap boleh difahami

7 - bapa yang berusaha untuk memikat isteri kepada anak sendiri

8 - pakaian yang langsung tidak sesuai, hinggakan menghadiri kematian pun memakai gaun pendek 

9 - seolah-olah Malaysia ini tiada polis.  Pembunuh boleh menyorok di rumah usang (di sini pun ada watak emak yang sempat menggoda teman anaknya) dan dikunjungi dengan bebas oleh anggota keluarga tanpa dapat dikesan oleh pasukan keselamatan

10 - sewaktu di penjara, masih boleh merancang agenda jahat bersama saudara yang berkunjung. Pegawai Penjara itu tunggul ke?  Tidak mendengar perancangan secara terang-terangan melalui telefon sebalik cermin itu?

Eh...banyak sangatlah yang menyakitkan hati bila menonton drama SAMPAH (bak kata Daddy Ziyyad) ini...

Bagaimanalah drama begini boleh dilepaskan untuk siaran dan tontotan?

Para pelakon yang melakonkan watak-watak SAMPAH itu tidakkah ada perasaan malu? Adakah semata-mata kerana wang, sanggup tergedik-gedik berlakon walaupun lakonan bagai tunggul mati?