Kawan-kawan kakcik

Selasa, 30 Jun 2015

Bersahur dengan durian sahaja...

...Gara-gara tak tahu nak makan apa dah dan selera bagai tiada, durian juga yang membuka selera.   Tapi tak boleh makan banyak,  nanti panas badan tambahan kalau kurang minum air kosong...

Dulu dan sekarang...

3 tahun dulu dia masih montel...

...sekarang dah kurus dan lebih tinggi dari
diriku.  Apa-apapun dia tetap sibongsuku.

Isnin, 29 Jun 2015

Hikmah membalas makian dengan ketenangan...

Terbaca di laman sosial tentang seorang selebriti yang sangat suka terlibat dengan kontroversi bertanya tentang tempat makan yang sedap. Maka disebutkanlah oleh seorang wanita tentang nama satu tempat.  Memang sebutannya kedengaran kasar jika mengikut dialek satu daerah.

Maka melentinglah selebriti tadi dengan bahasa kesatnya lengkap dengan carutan dan makian.

Namun wanita tadi tenang menjawab bahawa yang disebutkan itu adalah nama sebuah restoran yang terkenal dengan makanannya yang mewah dan mahal kerana menggunakan daging terbaik.

Sudah menjadi rezeki wanita itu bila pemilik restoran berkenaan terbaca tentang kontoversi tersebut lalu menawarkan hidangan kepada beliau dan keluarnya menjamu selera di restoran berkenaan. Jumlah bil yang hampir mencecah RM5K dibiayai sepenuhnya oleh pemilik restoran. Alhamdulillah.

Bagitulah.  Bila kita dimaki hamun, jawab sahaja dengan tenang kerana api tidak akan padam jika disimbah minyak.  Sebaliknya buih yang kelihatan lembut bisa sahaja mengawal maraknya api...


Ahad, 28 Jun 2015

Ada tak menteri yang nak cadangkan agar rakyat guna kereta lembu sahaja?...

Tadi En Suami tukar 4 biji tayar kereta.  Sebelum GST dulu, yang dibayar hanyalah harga tayar. Upah pekerja pun tak perlu bayar.  Sekarang GST punya pasal, kenalah keluarkan RM72.00 lebih dari harga 4 biji tayar yang dibayar itu.  Sebab bawa wang tunai cukup-cukup untuk harga tayar, jumlah RM72.00 terpaksa guna kad hutang (nanti kena GST juga atas RM72.00 tu, jangan tak tahu).

Terima kasihlah kepada menteri-menteri yang cerdik pandai yang akan membuat kenyataan bagaimana hendak mengelakkan GST sewaktu menukar tayar nanti.  Sudahlah ada menteri yang kata jangan gunakan jalanraya kalau tak mahu bayar tol.  Dan ada juga menteri yang kata kalau tak mahu kadar tol naik, cukai lain akan dinaikkan...

Hmmmm...redho dan pasrahlah!  Bersyukur kerana negara kita masih aman walaupun bumi sudah mula bergegar!

Sabtu, 27 Jun 2015

Tamar (kurma) untuk mengatasi lapar dan dahaga waktu berpuasa...

Alhamdulillah, hari ini sudah 10 Ramadhan 1436H.  Sekejapan sahaja kan?  Terlalu pantas masa berlalu.

Beberapa hari kebekangan ini, aku kehilangan selera makan.  Cuba makan nasi, tapi bagai tersekat di tekak.  Tak boleh hendak dipaksa-paksa.  En Suami seboleh mungkin suruh aku makan kerana dia bimbang aku akan jadi tidak berdaya di siang hari walaupun aku sudah tidak bekerja di pejabat lagi.

Aku membuat percubaan sendiri.  Sewaktu berbuka, aku minum teh O suam yang di dalamnya aku rendam dengan sebutir kurma.  Sewaktu bersahur pula aku masukkan sebutir atau dua kurma ke dalam milo panas yang kuminum.  Eh...kurma-kurma itu tidak aku buang.  Sebaliknya aku makan bila teh O atau milo habis kuminum.  Setakat ini, Alhamdulillah, aku tidak merasa lapar atau dahaga bila berpuasa.  Badan juga tidak letih.  Cuma memanglah, dah tak ada apa hendak dibuat, pantang terluang aku akan tidur!  Tidaklah tidur sepanjang siang.  Cuma sekejap-sekejap sahaja...

Beginilah rupa kurma yang aku makan.
Gambar dari : gilerkentang.com
Kepada anda yang membaca catatan ini, kalau tidak berselera makan tu bolehlah cuba seperti yang aku buat.  Tapi kalau kurma pun anda tak makan, tak tahulah aku nak bagi petua apa... :)



Jumaat, 26 Jun 2015

Padamu ku bersujud (dendangan Afgan)...

Ku menatap dalam kelamTiada yang bisa ku lihatSelain hanya nama-Mu Ya Allah

Esok ataukah nantiAmpuni semua salahkuLindungi aku dari segala fitnah

Kau tempatku memintaKau beriku bahagiaJadikan aku selamanyaHamba-Mu yang slalu bertakwa

Ampuniku Ya AllahYang sering melupakan-MuSaat Kau limpahkan karunia-MuDalam sunyi aku bersujud
https://youtu.be/BJ63206KaSo

Khamis, 25 Jun 2015

Memadailah bilis goreng dengan bawang...

mungkin beginilah yang dirasakan  oleh Almarhum Ayahandaku dulu :

 usah kau hidangkan ayam golek
tak mungkin seleraku akan tertarik

usah kau tayangkan lauk pauk bermacam rupa
tidak sedikit pun membangkitkan selera

duhai anak, jangan kata aku mengada-ngada
sebenarnya nafsuku sedikit demi sedikit ditarik olehNya

telah jauh perjalananku
kian singkat langkahku
telah banyak yang kutelan
kini masanya semua kutinggalkan

beruntunglah kamu yang masih punya selera
tapi suatu masa nanti mungkin kau rasa apa yang kurasa
jadi eloklah kamu berpada-pada
jamulah seleramu waktu berbuka
tapi Maghribmu jangan kau lupa

jangan sia-siakan puasamu sepanjang hari
bila solat kau tolak ke tepi
jangan seronok menayangkan itu ini
sedang apa yang kau dapat semata-mata atas izin Ilahi.


Kabur pula gambar ini - mungkin sekabur seleraku
yang kian hilang seiring usia yang kian singkat.

Rabu, 24 Jun 2015

Sebak hatiku...

entah...

tiba-tiba sahaja aku rasa begitu

hinggakan terhenti bacaanku

Ya Allah...

ampunkan mereka

janganlah kerana hatiku yang luka

tidak tenang jadinya hidup mereka

mereka tak tahu apa-apa

mungkin mereka rasa mereka sudah cukup 'gagah'

lalu orang lain semuanya kelihatan salah

dan mangsanya hatiku yang terbelah-belah...

Ampunkan mereka Ya Allah

tenangkan hatiku Ya Allah

segalanya padaMu kembali aku berserah.


Sekejap sahaja hari ini sudah 7 Ramadhan 1436H - bila-bila masa sahaja nafas akan terhenti. Sepanjang hidup, kita tak lepas dari melakukan dosa.  Allah yang Maha Pengampun memberi kita peluang dan peringatan.  Namun kerana angkuhnya kita, kita anggap peringatan itu hanya bagai kitaran hidup yang biasa, lalu kita pun terus menjadi pendosa yang marah bila ditunjukkan jalan yang benar...  AllahhuAkbar!


Doa hari ke 7 Ramadhan...

"Ya Allah bantulah aku untuk mengerjakan puasa dan ibadah malamnya. Jauhkanlah aku daripada dosa-dosanya. Dan berilah aku zikir untuk mengingati Mu secara berterusan, dengan taufik (petunjuk) Mu wahai pemberi petunjuk kepada orang yang sesat."

Selasa, 23 Jun 2015

Hari ibu, hari bapa - aku dan suami tak mengharapkan apa-apa...

...lagipun bukan tradisi kami meraikannya.

Kami tak  perlukan hadiah atau ucapan dari anak-anak.

Cukup sekiranya anak-anak mengerti bahawa kasih kami kepada mereka tak pernah luak.

Cukup andainya mereka tidak menyebabkan perasaan kami terkoyak.

Memadailah sekiranya mereka boleh melemparkan senyum setiap kali melangkah masuk ke rumah bersama ucapan salam.

Rumah ini rumah kami.

Kami besarkan mereka di sini.

Kami asuh mereka dan berikan segalanya buat mereka.

Mudah-mudahan mereka tidak lupa tentang itu.

Kami belum pun menumpang mereka, maka janganlah mereka buat hati kami terluka.

Mudah-mudahan anak-anak mengerti.

Bahawa kami punya perasaan dan hati.

Mata kami tak pernah lepas dari memerhati.

Kami faham setiap bahasa tubuh dan gerak geri.

Jangan buat kami rasa tersisih di rumah sendiri.

Hanya doakan penghujung hayat kami nanti kalian tidak akan kami bebani...

Isnin, 22 Jun 2015

Doa hari ke 5 Ramadhan...


"Ya Allah, tempatkan aku di kalangan orang yang sentiasa memohon keampunan. Jadikanlah aku hambaMu yang soleh serta jadikanlah aku di kalangan auliya (orang yang mendapat keutamaan Mu) yang hampir di sisiMu dengan kelembutan Mu, wahai Tuhan yang Maha pengasih daripada segala pengasih"

Sabtu, 20 Jun 2015

Temui Abil Fikri (Warkah Buat Isteri)...

...di Bazar Ramadhan Dataran Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya.  Kepada 'peminat-peminat' Duda Idaman Malaya (DIM) ini, bolehlah bertemu beliau di sini.  Tapi jangan sampai mengganggu perniagaannya, ya.  Kalau nak beli jualannya itu adalah lebih bagus. Beliau membantu adiknya berniaga ayam goreng rangup di bazar ini. Biasanya beliau akan berada di sini sehingga jam 6.45 petang sahaja sebelum bergegas balik untuk menunaikan kewajipan-kewajipan yang lain pula...


Ada iras tak wajah kami?
Hubungan kami sudah bagaikan
adik-beradik sahaja...

Jumaat, 19 Jun 2015

Jiranku sangat susah hati...

...bila dia tahu aku pergi bercuti
lalu pada satu waktu hampir dinihari
pada suamiku dia bertanya sendiri
'benarkah isterimu pergi bercuti?'
'atas alasan apa dia kau bawa sekali?'
'siapakah yang membelikan tiket untuk dia ke Delhi?'

aduhai jiranku...
janganlah sampai begitu
tak pernah pun aku mengganggu hidupmu
jauh sekali mempersoalkan apa yang kau mampu
walaupun deretan keretamu hingga ke depan pagar rumahku
aku lebih senang duduk diam membisu

tapi bila kau dah mula berbunyi
aku jadi tak sedap hati
meskipun suamimu seorang yang dikenali
bukan maksudnya kau juga wajib dihormati

hingga kini aku tertanya-tanya
sakitnya kamu itu di mana?
perlukah apa yang kubuat dibentangkan semua?
atau marilah ke sini blogku ini kau baca sahaja!

suamiku ini seboleh mungkin ke mana
dia pergi, dia ingin aku turut sekali...

Khamis, 18 Jun 2015

Ramadhan - bukan bulan untuk berpesta makan...

...dan akhirnya menjadi pembaziran.

Ingatlah dengan segala 'kesempitan' yang kita rungutkan kebelakangan ini.

Harga barang yang tiba-tiba naik - belum lagi dengan GSTnya.

Harga minyak yang turut naik - sila faham, bukan hanya 10 sen setiap kali isi, tapi 10 sen bagi setiap liter.  Bukan dulu isi RM50.00 sekarang cuma bayar RM50.10 - bukan bukan bukan...

Ingatlah kepada rasa simpati yang kita luahkan pada mereka yang ditimpa musibah - sedang kita tidak pun rasa bersalah bermewah-mewah - walaupun sebenarnya kita tidak semampu mana tapi kita hendak turutkan nafsu juga...

Petang ini Bazar Ramadhan (BARAM) atau Pasar Ramadhan (PARAM) akan bermula. Jangan gelap mata.  Membeli bagaikan esok dah tiada.  Akhirnya apa yang dibeli sekadar untuk menjamu mata dan wang dikeluarkan jadi sia-sia - jangan jangan jangan...

Waktu yang kita masih ada, manfaatkan agar boleh menjadi bekal ke sana.

Salam Ramadhan buat semua, mohon maafkan segala tulisan saya yang mungkin rasanya serba tak kena.  Andai ada yang tersinggung atau terasa, dengan rendah hati saya mohon, maafkanlah saya.

Rabu, 17 Jun 2015

Sembang santai bersama jutawan tak didendang...

Satu tengahari.

Di kedai makan.

Sembang-sembang santai.

Dia hanya seorang lelaki tua berusia 60an.
Berpakaian biasa - kemeja lengan pendek dan seluar panjang.
Dia hanya bersekolah setakat Darjah 6.
Banyak kerja yang berkaitan dengan perniagaan dia buat (tidak termasuk MLM).
Dia buat tempe dan jual.  Dia juga berniaga makanan di gerai.
Sekarang dia berniaga di bidang yang lain.  Pendapatan bersihnya mencecah antara RM5K ke RM10K SEHARI.

Dia tidak menayangkan kekayaan atau kemewahan di mana-mana termasuklah media sosial. Tak perlu menghebahkan dia membeli kereta secara tunai atau sebagainya.

Katanya 'kita sediakan jalan untuk anak-anak.  Terpulang bagaimana mereka hendak mencantikkan jalan itu untuk sampai ke taman yang penuh bunga'. 

Selesai makan, beliau meminta pekerja membungkus makanan (lauk pauk) yang tidak habis.  'Dalam makanan ini ada keberkatan.  Jangan membazir' katanya....

Sangat ringkas orangnya tapi ramai yang menumpang rezeki melaluinya dengan izin Allah Yang Maha Berkuasa.

bukan sengaja aku tidak menghabiskan 
lauk itu tapi hanyirnya sangat terasa...

Salam Ramadhan...

Selamat menunaikan ibadah puasa yang akan bermula esok = Khamis (18/6/2015)...

Selasa, 16 Jun 2015

RM6.00 tapi sedap...

(Kisah sebelum masuk wad semalam)

...makan dulu di gerai berhampiran.  Sedap masakannya.  Berbaloi harganya. Sekali dengan minuman baru RM6.00 SAHAJA. Tak kisahlah walau kena GST pun. 

Tak perlu nak mengada-ngada tunjuk makanan tanpa GST yang digoreng sendiri tapi menyerlahkan kebodohan seorang pemegang degree!

Yang ini makanan yang disediakan pihak hospital. Makan jangan banyak komplen.  Bayangkan mereka yang terpaksa mengais pasir untuk mencari sisa-sisa makanan yang boleh dimakan.

Bersedia untuk 'dipengsankan'...

...kepada Allah aku berserah...

Isnin, 15 Jun 2015

Ahad, 14 Jun 2015

Jalan-jalan di Pasir Gudang dan Johor Bahru...

...keluar dari rumah pada petang 8/6/2015 dan tiba semula ke rumah pada malam 12/6/2015...

Menginap di Hotel Selesa dan bersarapan di sana

Sempat singgah di Hutan Bandar tapi disebabkan hujan lebat, tak sempatlah hendak meninjau keseluruhan kawasan sekitar...


Hari terakhir, bertemu lagi dengan adikku ini yang
datang ke bilik hotel.  Malam pertama tiba, aku
menumpang tidur di rumahnya.

Jalanraya di Pasir Gudang sangat
'menggerunkan' hatiku.  Banyak
lori besar dan panjang dipandu laju
di sana. Aduhai...

Perjalanan pulang.  Alhamdulillah.

Sempat makan tengahari untuk 3 hari berturut-turut di Noy Restoran Kampung Danga.  Untuk melihat gambarnya, sila rujuk catatanku DI SINI (klik pautan)...

Sabtu, 13 Jun 2015

Sudah sampai ke 'goreng pisang popular sebelah hotel Thistle '...

...kuih-muih berharga RM0.50 sebiji dan 4 biji buah melaka berharga  RM1.50...

Tiba di sini pada 11/6/2015 jam 2.30 ptg lebihkurang.

RM1.50 sebekas
RM0.50 sebiji
Semua ini berjumlah RM7.30
Kakcik dah sampai, tapi tak jumpa pun IMAF kat sana...

Khamis, 11 Jun 2015

Ke Pasir Gudang membawa diri...

Menginap di Hotel Selesa yang 'selesalah juga walau tidak dibekalkan wifi percuma'. InsyaAllah esok petang akan kembali ke rumah sendiri...

Bertemu dengan adik angkatku (sebelah kanan) dan
blogger Kisah Si Dairy (sebelah kiri). Kedua2nya aku kenali lebih 10 tahun yang lalu...

Rabu, 10 Jun 2015

Jalan-jalan dan singgah makan...

...di Noy Restoran Kampong Danga, Johor Bharu.  Restorannya luas, bersih dan pilihan makanannya pun banyak.

Sedap?  Ikutlah penilaian tekak masing-masing kerana citarasa semua orang adalah tidak sama, kan?

Selasa, 9 Jun 2015

Nasi Bamboo Sg. Klah...

Balik dari Bali, esok dan lusanya dua hari berturut-turut suami mengajakku ke Sungkai.  Hari pertama berjumpa kawan di Klinik Kesihatan Sungkai dan mencuci luka kesan pembedahan di ibu jari kaki suamiku.  Hari kedua, kami singgah di Nasi Bamboo Sungai Klah. 

Jomlah layan gambar-gambar yang kurakam...

Set asas begini - 2 nasi, semangkuk kuah dan set serunding / ulam / sambal dan serunding serba sedikit berharga RM5.00
Seketul ayam goreng + kerabu taugeh + kerabu pucuk paku
berharga RM12.00
Semangkuk cendol pulut berharga RM2.00
Beginilah rupa nasinya...
Penuh sesak...
Pelbagai jenis bidkut tradisional juga ada dijual.
Pelbagai lauk pauk tambahan.
Tak tahulah apa cerita di sebalik nama 'bunian' itu.
Pelbagai kerabu dan masak lemak ala kampung juga disediakan.
Berderet kereta pelbagai jenis...

Isnin, 8 Jun 2015

Kembara Bali - perjalanan di sini akan terhenti...

Kalau belum baca catatan sebelum ini, jemputlah baca di sini :

http://kakciknurseroja.blogspot.com/2015/06/kembara-bali-perjalanan-bermula.html

http://kakciknurseroja.blogspot.com/2015/06/kembara-bali-mari-kita-mula-mengembara.html

http://kakciknurseroja.blogspot.com/2015/06/kembara-bali-jom-jalan-jalan-lagi.html

http://kakciknurseroja.blogspot.com/2015/06/kembara-bali-banyak-lagi-tempat-hendak.html

Sarapan dulu sebelum berjalan-jalan...

Pagi ini kami hanya berjalan menyusuri Pantai Kuta.  Separuh (7 dari 14) anggota rombongan akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan petang nanti.  Waktu yang ada (kali ini dah tiada banyak gambar hendak dikongsikan), kami menyusuri dari hotel penginapan ke pantai.  Jauh juga rasanya kami berjalan.  Selepas menyusuri pantai, kami susuri pula lorong-lorong dan kedai-kedai (walaupun tidak membeli apa-apa - eh! kami terjumpa jam rolex yang dijual di kaki lima dengan harga Rp 350K sahaja tau) di sepanjang Legian Street.

Bertambah sakit lutut dan kakiku.  Peluh yang mencurah usah dikira, hingga basah tuala kecil yang kubawa...





Dalam perjalanan menghantar rombongan yang akan pulang, kami singgah untuk makan tengahari terlebih dahulu di Nasi Pecel Bu Tinuk.  (Entah di mana pula gambar makanan yang kuambil waktu di sini.  Sebab dah terkena makanan pedas sewaktu makan malam, kali ini aku hanya mengambil makanan yang langsung tidak bercili).

Selepas makan, kami berpecah kepada dua kumpulan - kumpulan yang hendak ke lapangan terbang dan kumpulan yang hendak membeli-belah (akulah yang berlebih-lebih hendak ke Cening Bagus lagi tu).  Tujuanku untuk membeli kemeja yang dipesan oleh adik iparku (akhirnya kemeja ini menjadi milik adik lelakiku kerana tidak muat dipakai oleh adik iparku).  Perjalanan sehala dari hotel ke Cening Bagus ini rupa-rupanya memakan masa satu jam juga.  Kemeja batik seperti dalam gambar di bawah ini hanya berharga Rp129,000 (murah rasanya, kan?)

Kemeja batik lengan panjang

Kemeja batik lengan pendek

Malam terakhir di sini, aku pergi mengurut kaki
di spa berdekatan.  Bayaran yang dikenakan Rp70K
untuk sejam.  Sebenarnya ada yang cuma berharga
Rp50K tapi kononnya kami mencari sedikit keselesaan.

Esoknya...

Akhirnya waktu untuk berangkat pulang pun tiba.  Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam kembara ini.  Syukur kepada Allah yang memberikan aku peluang serta kesihatan yang agak baik. Terima kasih kepada Encik Suami yang memberi izin...

Aku datang tanpa diduga, aku kembali pada waktu
dijangka.  Andai Allah masih memberikan izinNya,
esok-esok mungkin lagi kita berjumpa...

...habis dah kot...