Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 30 Mei 2014

Jaga yang tidur...

Pagi ini aku sampai di pintu pejabat waktu jam menunjukkan belum pun pukul 6.15pagi.

Memang belum ada umat lain yang sampai kecuali pengawal keselamatan syarikat yang diupah. 

Aku tengok pintu masuk masih  berantai dan bermangga.   Tak apalah.  Aku tunggu dulu.  Tunggu punya tunggu, sampai hampir setengah jam masih tiada siapa datang buka mangga.

Aku pun berjalan ke pondok pengawal berhampiran pintu pagar utama.   Mengah juga aku dibuatnya.   Bila kena sergah (sergahan lembut je), pengawal itu boleh jawab 'belum buka? Sorilah...saya lupa'

Huhuhu... rasa macam menggelegak je darahku.  Mujurlah pagi Jumaat 1 Syaaban ni aku masih boleh beristighfar dan berfikir dengan waras!

Rabu, 28 Mei 2014

Hanya kerana dia bukan sekutu kita...

Apa sahaja yang dibuatnya kita tak suka
kata-katanya kita persenda
tingkahlakunya ada sahaja yang menyakitkan hati kita
penampilannya menjadi bahan untuk dicerca
...sedangkan sebenarnya kita dan dia tak pernah pun kenal mesra apa lagi bersua muka...

Tapi andainya dia sekutu kita
apa dibuatnya dipandang manis belaka
kalau dia berkata dusta
kita iyakan tanpa sesiapa memaksa
kalau dia tidak menutup auratnya
kita kata 'kita doakan hidayah buatnya'
kita hanya mahu mendengar puji-pujian buatnya
...walaupun kita di matanya hanya langau yang membingitkan telinga...
...dan kita menjadi bangga walau hanya pernah sekali berjumpa...

Selasa, 27 Mei 2014

Tahniah untuk babi...

kerana babi orang dah jijik dengan kedburi
...walaupun mendedahkan aurat itu pun haram hukumnya

kerana babi orang dah lupa dengan panda
...walaupun panda itu membuatkan kita tercekik juga

kerana babi orang lupa badminton tak jadi juara
...sedangkan kita selalu laungkan majulah sukan untuk negara

kerana babi orang mula prihatin tentang kandungan makanan mereka
...walaupun ayam yang kita masak sendiri belum tentu betul sembelihannya

kerana babi baru kita tersentak kita ini Islam agamanya
...walaupun saban hari kita makan daging saudara kita (mengumpat)

kerana babi kita menjadi sangat berjaga-jaga
...walaupun rokok dan 'riba' kita bedal juga

Cuba kawan-kawan sambung...

Takutlah kepada doa orang yang dizalimi...

Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengutuskan Muadz ke Yaman dan Baginda berpesan kepadanya : 'Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi kerana doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dengan Allah'

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pesanan di atas adalah untuk kita juga.  Jangan ingat bila kita berkuasa,  kita bebas untuk menzalimi orang bawahan kita.   Apatah lagi bila yang dizalimi itu bukan seorang dua.  Bila mereka berdoa pasti ada diantaranya termakbul doa.

Awaslah kerana kita ini hanya menumpang.   Pemilik mutlak akan menyingkirkan kita bila-bila masa yang Dia kehendaki sama ada dengan atau tanpa amaran...

Isnin, 26 Mei 2014

Bila orang lain yang mati, kenapa kita pula yang suka hati?...

dia mungkin musuh kita
...tapi kita bukan pewaris hartanya

dia mungkin pemimpin negara
...paling kuat pun dapat cuti sehari sahaja

dia mungkin seorang raja
...mungkin hanya darah yang sama warnanya

tak payahlah kita beriya-iya menambah dosa
...menutur atau menaipkan kata-kata yang mungkin dusta semata

lebih baik kita mengirimkan doa
...agar orang lain pun tidak berat untuk berdoa buat kita...


Catatan tidak kena mengena dengan madah seloka :

aku baru kehilangan besan lelakiku pada tarikh 25/05/2014.  Perginya cukup mudah, hanya sakit dada sehari dua.  Beliau menghembuskan nafas terakhir dalam kereta yang dipandu anaknya sewaktu perjalanan ke hospital.  Sebelumnya beliau mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di mana doktor di situ mengatakan 'tiada apa yang perlu dirisaukan'.  Kerana tidak berpuas hati, anaknya terus membawa pula ke hospital.  Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Hj. Othman bin Sarjo.  Perginya di usia 63 tahun meninggalkan seorang balu, 3 orang anak dan seorang cucu serta segala-galanya.  Al- Fatihah.

Jumaat, 23 Mei 2014

Khamis, 22 Mei 2014

Kalau kerja hakiki pun tidak dibuat seikhlas hati...

...bagaimana agaknya kita hendak berharap agar rezeki yang didapati itu diberkati dan dirahmati?

Orang minta tolong - kita tunjuk muka sombong.

Orang datang dengan senyum - kita balas dengan mulut muncung.

Orang datang penuh harap - kita pandang bagai dia sikucing kurap.

Orang suarakan ketidakpuasan hati - kita kata 'ada aku peduli'.

Kita lupa satu perkara - Allah makbulkan doa orang yang teraniaya.

Pesanan untuk diri sendiri yang selalu lupa...

Rabu, 21 Mei 2014

Panda oh Panda...

panda oh panda
kenapa engkau datang

macam mana aku tak datang
Malaysia panggil aku
Malaysia panggil aku

Malaysia oh Malaysia
kenapa panggil panda

macam mana aku tak panggil
rakyat hendak tengok
rakyat hendak tengok

rakyat oh rakyat
kenapa nak tengok panda

siapa kata aku nak tengok
anak aku pun tak sempat nak jumpa
anak aku pun tak sempat nak jumpa

anak oh anak
kenapa tak sempat nak jumpa

macam mana mak ayah nak jumpa
mereka sibuk bekerja
mereka sibuk bekerja

mak ayah oh mak ayah
kenapa sibuk bekerja

macam mana tak sibuk bekerja
sekarang ini duit adalah segalanya
sekarang ini duit adalah segalanya

duit oh duit
kenapa semua nak gunakan kau

macam mana tak gunakan aku
kau ingat panda tu tak perlu dibiaya ke
kau ingat panda tu tak perlu dibiaya ke?????

Isnin, 19 Mei 2014

Pantun buat anak...

banyak rumpun di dalam semak
ada semalu juga keladi
dewasa mana pun seorang anak
di hati ibu kau tetap bayi

harum melati wanginya cempaka
tempat bersarang si kunang-kunang
saat hatimu kecewa dan luka
jiwa ibumu turut tak tenang

Ahad, 18 Mei 2014

Lebih 2.9 juta dan 10 ribu bukaan...

Orang lain dapat 10 ribu bukaan dalam sejam buat catatan, kita dapat selepas dua tahun pun jadilahhhh...

Siapa pulak agaknya yang rajin tengok profile google+ tu, ya?  Kawan-kawan dalam google+ cuma ada seribu lebih je.  Setakat tengok tapi 'malas' nak berkawan kot...hehehe

Khamis, 15 Mei 2014

Biar hampir rebah, jangan sesekali mengalah...

...biar apa pun tekanan
teruslah bertahan

...biar angin ribut
berdirilah selagi belum reput

...biar melintang patah
baktimu tetap melimpah

Hidup ini sebolehnya kita inginkan berlalu mengikut aturan kita.  Namun bagaikan alat kawalan jauh, walaupun milik kita, adakalanya kita tidak berupaya merampas dari tangan orang lain yang lupa bahawa dia hanya menumpang sahaja...

Akhirnya,  pada Allah jugalah tempat pergantungan kita.

Apa yang hendak diceritakan...

...bila ilham enggan bertandang.

Boleh sahaja kalau hendak bergossip
...tapi adakah ia memberi manfaat

Boleh juga kalau hendak menyindir
...tapi adakah kita orang yang sempurna

Boleh juga buat catatan sesuka hati
...tapi apakah faedah yang boleh didapati

tunggulah sekejap lagi, manalah tahu ada ilham mengetuk hati...

Tayang sarapan pagi ini : lempeng dengan ayam masak kari. 

Tambah kapsyen

Rabu, 14 Mei 2014

Kalau anak kena demam kuning...

...ibu yang menyusukan anak itu hendaklah berpantang dari memakan :

- halia
- kunyit
- lada hitam

Ini bukan makcik yang cakap, ya.  Ini adalah pesanan dari doktor dan jururawat dari hospital/klinik kerajaan.

Makcik pun tak tahu.   Makcik ikut orang dulu-dulu yang kata ibu baru bersalin elok makan benda-benda kat atas tu untuk panaskan badan dan buang angin.  Rupa-rupanya ia tidak elok untuk bayi yang sedang menyusu badan.

Kalau ikut kata pakar perbidanan dan sakit puan yang merawat makcik dulu, tiada istilah berpantang makan untuk ibu-ibu yang baru melahirkan.

Tapiiiii... sendiri mau ingatlah, kan?  :)

'Orang bisnes jual barang bayi'...

...pada setiap hari Ahad, suamiku mengupah seorang wanita Indonesia dengan bayaran RM80.00 untuk membantuku membuat kerja rumah seperti menggosok pakaian, mencuci dan mengemas rumah.

Selalunya bila dia sedang buat kerja rumah, kami suami isteri lebih senang untuk tidak berada di rumah.  Kami akan keluar sejam dua supaya dia senang melakukan kerja-kerjanya.  Kami tinggalkan pesanan kepadanya 'kunci pintu, kalau ada orang tak dikenali datang,  jangan buka pintu'.

Ahad = 4/5/2014, menantuku selamat melahirkan seorang bayi lelaki.  Sewaktu 'bibik' datang, memang belum ada bayi di rumah.

Ahad = 11/5/2014 pun bayi tiada kerana masuk wad semula untuk rawatan demam kuning.  Bibik diberitahu tentang hal itu.

Bila kami balik beberapa jam kemudian, bibik memberitahu 'tadi ada orang bisnes jual barang bayi datang.  Saya beritahu bayi di hospital.  Dia pun balik.  Betullah, kan?  Saya beritahu yang betul'.

Aku pun menjawab 'macamana orang tu tahu di rumah ini ada baby?'

'Tak tahulah saya, kak' jawab bibik.

Walaupun di fikiranku terlintas sesuatu yang lain, aku layankan saja apa yang bibik beritahu.

Tahu apa yang aku fikirkan? 

Yang datang itu mungkin jiranku membawa hadiah (hamper) untuk cucuku.

Alahai bibik...

Isnin, 12 Mei 2014

Dalam hati dan jiwa seorang ibu...

ibu
dalam senyummu ada sendu
dalam tawamu ada duka
dalam ketawamu ada rahsia
dalam tangismu ada cerita

ibu
betapa dalam lautan biru
dalam lagi kau pendam keluhmu
betapa tinggi langit ke tujuh
tinggi lagi harapan tulusmu

ibu
biar lapar perut kempismu
terasa kenyang bila anakmu tertawa kekenyangan
biar kering tekakmu kehausan
terasa dingin di rengkung bila anakmu tersenyum keriangan

Ahad, 11 Mei 2014

Benarkah ibu ratu hatimu?...

sejauh mana kamu menyantuninya?
benarkah dia kebanggaanmu?
pernahkah terlintas kau malu beribukannya?
adakah sebenarnya bagimu kawan-kawan lebih bererti bagimu?

Jumaat, 9 Mei 2014

Cucu sulungku Muhammad...

...semoga terus membesar dengan sihat
dewasa sebagai muslim yang hebat
tidak teragak-agak menjauhi maksiat
bukan semata-mata kerana ganjaran kamu berkhidmat

Cucuku Muhammad

semoga rahmat Ilahi sentiasa bersamamu
menjauhkan dirimu dari gangguan syaitan dan 'hantu'
menyelimuti dirimu dengan iman dan ilmu
menjadikanmu disantuni kawan dan seteru...

Khamis, 8 Mei 2014

Jangan angkuh, ya anak-anak...

...kerana dengan izin Allah, keangkuhanmu akan terjawab dengan sendirinya nanti.

Jangan bila kau sudah dewasa, hanya kata-katamu yang benar belaka.  Tidak lagi kau pedulikan perasan ibubapa.

Memang kau tak pernah ingat
Betapa ibuayahmu berkeringat 
Tidur malam pun tersekat-sekat
Terkejut bagai digigit pepijat

Tangismu kadang sukar ditelah
Sama ada kau lapar atau lampinmu basah
Tapi ibuayahmu tidak berkeluh kesah
Apapun perlakuanmu dilayan penuh tabah

Anak,
usah berpura-pura
mengucapkan selamat hari ibu atau hari bapa
hanya untuk mendapatkan komen 'suka'
dari mereka yang tak tahu apa-apa
dan kau pun senyum sampai ke telinga

sedang di satu sudut ibubapamu memendam duka
kerana tak pernah kau cuba gembirakan mereka
status-statusmu hanyalah palsu belaka...

satu ketika nanti, mungkin akan kau rasa apa yang telah ibubapamu rasa,  jadi sebelum terlewat - betulkan yang biasa dan biasakanlah yang betul...

Rabu, 7 Mei 2014

Gambar pelacur dan bapa ayam...

...setiap hari keluar sama ada di media elektronik mahu pun media cetak.

Bila berita tentangnya setiap hari, maknanya masalah tidak berkurangan apalagi terhapus.

Memetik kata-kata suamiku 'apa kata kalau gambar pelanggan yang disiarkan?   Tak perlu dikaburkan wajah mereka,  sebaliknya siarkan terang-terangan.  Mungkin dengan cara itu,  barulah gejala ini dapat dikurangkan'.

Soalannya,  wartawan mana atau editor akhbar mana yang sanggup memikul tanggungjawab itu.  Wartawan hiburan yang kaki gossip pun hanya berani menyindir dari mendedahkan hakikat,  kan?

Tapi,  kalau pemerintah patuh pada hukum agama, pengikut pun mesti tak takut untuk bertindak di landasan yang benar.  Betul atau tidak?

#MH370 - dua bulan berlalu...

...mungkin ramai yang mula lupa
tapi aku masih juga tertanya-tanya
kau sebenarnya hilang di mana
atau rajukmu yang terpaksa
kau bawa lara ke mana

tiada saudaraku di perutmu
kalau ada pun mereka yang seagama denganku
namun aku terus berdoa tanpa jemu
agar apa pun keadaanmu
tetap juga dapat ditemu

#masihmengharap #pulanglah #doauntukmh370

Selasa, 6 Mei 2014

Hospital Kerajaan sekarang jauh lebih baik...

...berbanding sewaktu aku bersalin lebih 26 tahun yang lalu...

Masihku ingat,  dalam wad kelas tiga, hospital bersalin itu aku diletak atas katil tambahan.   Wad memang sesak dengan ibu-ibu yang akan bersalin.  Ada wanita yang ke hulu ke hilir dengan kandungan yang sudah tidak bernyawa.   Diberi ubat dan disuruh balik sehingga ada rasa hendak melahirkan baru boleh datang semula.

Ramai juga wanita 'seberang' yang hiruk pikuk berbual dalam bahasa mereka dan tidak dapat kufahami butir bicaranya.

Pemandangan-pemandangan yang tidak harus dilihat tapi terpaksa dilihat terbentang di hadapan mata.

Para doktor dan jururawat yang kurang mesra bersama raut wajah dan tutur kata berbisa adalah sesuatu yang dianggap biasa.

Namun hari ini, suasana itu sudah jauh - sangat jauh berbeza.  Ruang hospital yang luas siap berlangsir, memberikan keselesaan buat para ibu dan bakal ibu.

Jururawat dan doktor muda yang kacak dan comel (walaupun masih ada yang menganggap diri mereka lebih tahu dari ibu-ibu yang sedang kesakitan - tapi jumlahnya boleh dikira) sangat peramah dan cuba 'meletakkan diri mereka' dalam diri pesakit.  Seorang doktor berbangsa Cina yang mungkin baru menerima ijazah kedoktoran,  duduk dengan mesra di katil pesakit sambil bercakap dalam bahasa yang mudah difaham.  Senyum dan tuturkatanya memang boleh mengurangkan rasa sakit walaupun beliau tidak memberi apa-apa ubat.

Semoga para petugas hospital kerajaan akan terus menambahbaik perkhidmatan mereka dari semasa ke semasa sehingga segala kekurangan-kekurangan lalu tidak akan diingati lagi sama sekali...

Isnin, 5 Mei 2014

Suamiku seorang Datuk...

...tapi aku bukan seorang Datin!

Alhamdulillah.   Menantuku telah selamat melahirkan cucu sulung kami pada 4/5/2014 jam 8.22 pagi.  Seorang bayi lelaki seberat 3.60kg.  Sempurna sifatnya.  

Anugerah dan amanah dari Allah SWT yang perlu dan wajib kami 'jaga' sebaik-baiknya mengikut segala suruhan dan laranganNya.   Pastinya di dunia serba mencabar dan pantas ini, ia bukanlah sesuatu yang semudah mengerdipkan kelopak mata.

Gambar?   Maaf, kerana Along belum membenarkan wajah 'Muhammad' didedahkan terlalu awal di maya ini.  Bukan berlagak sombong, cuma waktunya belum tiba.  InsyaAllah,  esok-esok ya...

Jumaat, 2 Mei 2014

Gadis berseluar pendek...

Suatu petang...

rumahku dipenuhi dengan adik-adikku bersama suami/isteri dan anak-anak mereka.

Selepas Maghrib, kawan kepada menantuku datang untuk menghantar barang yang dipesan. 

Menjelang Isyak, adik-adikku bersama keluarga mereka beransur pulang ke rumah masing-masing.   Di luar masih ada sebuah kereta yang enjinnya masih hidup dan lampu hadapan dinyalakan.  Rupa-rupanya ada seorang gadis di dalam kereta itu.  Dia ialah kakak kepada kawan menantuku.

Kemudiannya aku diberitahu bahawa gadis itu enggan keluar dari kereta kerana dia berseluar pendek.  Mulutku memang celupar dan laju berkata 'dia nak pinjam kain ke?'.  Fikiranku laju sahaja membayangkan seluar yang dipakai oleh gadis itu hanya separas paha!

Setengah jam berikutnya,  sewaktu suamiku hendak keluar, dia memanggilku agar mengajak gadis berseluar pendek itu masuk ke rumah.  Bila aku turun, seorang gadis bertudung labuh, berbaju longgar dan berseluar hitam sedang masuk ke rumahku.   Ternganga aku dibuatnya.   Laju pula aku katakan berkali-kali kepadanya 'makcik ingat awak pakai seluar pendek paras paha!'

Balasnya : 'oh, saya dah tarik sikit seluar ini turun.  Tadi saya tolong mak masak di rumah.   Bila adik saya nak keluar,  takkan saya nak biarkan dia sorang2 dah malam2 ni.  Seluar saya ni atas buku lali, nak cepat saya terus keluar'.

Bila dia nak masuk jumpa adiknya, dia ternampak Along.  Lantas langkahnya terundur ke belakang. 'Ada lelaki', katanya.   'Saya tak pakai stokin' sambungnya lagi.   Aku masuk ke bilikku dan aku serahkan sepasang stokin hitamku kepadanya.  Aku izinkan dia ambil terus stokin burukku itu.

Ya Allah!  Baiknya gadis itu sedangkan andaian awalku terhadapnya sangat tersasar ketika aku belum melihatnya.   Sangat jahatnya hati seorang manusia bernama aku yang menghukum tanpa melihat bukti...