Kawan-kawan kakcik

Rabu, 30 April 2014

Hati Seorang Pesakit...

syukur -
kerana Allah masih beri kesempatan

untuk -
merenung dan memperbaiki kesilapan

mungkin -
tidak banyak lagi yang boleh dilakukan

namun -
masih boleh memohon dan memberi kemaafan

saat bila bersendirian -
terasa ada ketenangan
terasa ada keterasingan
terasa bagai dilupakan
terasa makin perlu dakapan Tuhan...

Terima kasih kawan-kawan...

(saat ini kakcik masih di wad dan menaip dengan tangan yang sedikit menggigil akibat tiroid dan kesan sedutan ventolin - terima kasih kerana mendoakan kesembuhan kakcik)

Kepada yang sudi singgah dan mengikuti blog yang tiada apa-apa ini juga berbanyak terima kasih kakcik ucapkan.   Malangnya kakcik masih belum berkesempatan untuk berkunjung balas mahupun mengikuti semula blog anda.

Saban hari kakcik perasan ada pertambahan bilangan sama ada yang mengikuti blog Kakcik Seroja secara langsung mahupun di Google+ Kakcik Nur.  Terima kasih sekali lagi.

Selasa, 29 April 2014

Kesedaran yang terlewat tapi belum terlambat...

Apa pula perbezaan antara terlewat dan terlambat tu, ya?

Kalau bagi contoh ayat begini,  boleh faham tak?

'Ali terlewat bangun tidur tapi belum terlambat untuk pergi kerja'

ada perbezaan tak kalau ayat itu diubah begini :

'Ali terlambat bangun tidur tapi belum terlewat untuk pergi kerja'?

Apa-apa sahajalah,  kan?

Kisah sebenarnya adalah tentang diriku yang sengaja melewat-lewatkan datangnya kesedaran itu.

Dulu bila ditahan di wad, aku tidak begitu menitikberatkan soal aurat begitu juga dengan solat.   Alasannya,  aku kan sakit?

Walaupun mulut menyebut nama Allah tapi suruhanNya aku abaikan.   Sedangkan Islam itu agama yang mudah.  Kalau tak mampu solat mengikut aturan yang biasa, dalam keadaan baring mahupun sekadar isyarat pun boleh bersolat.  

Namun manusia dan alasan berpisah tiada. Dengan kata-kata 'Allah Maha Mengetahui' kita pun meneruskan kejahilan kita. 

Begitu juga dengan penjagaan aurat.   Kita selalu bimbang kelihatan tidak cantik di mata sesama manusia,  tapi kita tidak bimbang kelihatan hodoh bila mengingkari perintah Allah SWT.   Alasan kita? Allah itu Maha Pengampun.  Esok-esok boleh bertaubat.

Soalannya : adakah kita pasti esok akan sentiasa ada untuk kita?

Eh...apa pula yang aku melalut dari katil hospital ni?

Ahad, 27 April 2014

Bila orang hendak datang...

...takkanlah aku nak halang
tambahan orang itu bukan calang-calang
silap haribulan boleh jadi perang

selalu kulaungkan pintu rumahku sentiasa terbuka
siapa yang datang kuterima
dalam hati orang bukan tahu apa yang kurasa
wajah tersenyum jiwa terluka

bila kuletak Tuhanku di tempat kedua
pasti tiada damai setiap detik dan masa
bila terlalu kuagungkan sesama manusia
bersedialah aku untuk diperkotak-katik semahunya...

Jumaat, 25 April 2014

Hari ini aku sedih sangat...

...aku sendiri pun tak tahu kenapa.

Yang pasti kebelakangan ini, aku tak boleh :

- dengar hon (tambahan lagi bunyi hon yang berpanjangan) saat aku di dalam kereta.  Aku boleh jadi berdebar-debar dan gugup dalam waktu yang berpanjangan.

- orang bercakap kasar, tak kisahlah  walaupun katanya sekadar bergurau.   Aku akan jadi murung dan tertekan walaupun ianya tidak kena mengena dengan diriku.

Mungkin kerana aku sudah di hujung usia...

Khamis, 24 April 2014

Hadiah dari seorang anak...

setelah Along dan Angah memberi hadiah kepada mak mereka, sekarang giliran Bangcik pula bermurah hati menghadiahkan maknya dengan sarung telefon bimbit siap ada nama lagi yang dibeli dengan duit yang dikumpulkannya sendiri.   Alhamdulillah.

Rabu, 23 April 2014

Apa tujuan kita mendekati mereka yang popular?

adakah untuk...

- tumpang popular

- mencari rahsia untuk sama-sama menjadi popular

- supaya bila nama mereka disebut, kita boleh mengaku bahawa mereka adalah kawan kita

- atau ada sebab-sebab lain?

cer cerita...

tapi... adakah kita pasti bahawa 'kawan kita yang popular' itu benar-benar kenal dengan kita?   ;-)

Selasa, 22 April 2014

Bila kerani sibuknya lebih dari menteri...

...kita nak bertanya pun jadi tak berani
manalah tahu kalau-kalau dia ada Ijazah PhD
lalu dia lupa yang dia hanya buat kerja kerani
pertanyaan kita dibalas sudi tak sudi

kerani sekarang hebat-hebat belaka
kita bertanya dia buat muka mencuka
belum lagi tona suara yang meremangkan roma
mungkin sebab kerja tak setimpal dengan gaji yang diterima

sebab tak tahulah orang bertanya
kalau dah tahu buat apa nak buang masa
kalau tak mahu layan taklah mengapa
esok-esok jangan merempan bila diri sendiri terkena...

Sanggup dia bawa nasi ke dalam bilik...

...mungkin dia rasa dirinya kian diabaikan
atau mungkin juga dia rasa kasih untuknya kian berkurangan

atau

ada kemungkinan-kemungkinan lain yang tidak dapat kubaca...

katanya :

'Adik lapar.   Adik nak makan.  Adik nak mak yang suapkan'

Sedangkan seperti selalu, pada waktu itu maknya akan duduk diam-diam dalam bilik selepas menyelesaikan segala tugasan yang sepatutnya.

Usianya sudah hampir 13 tahun.  Tapi dia tetap anak kecil bagi maknya.  Cuma mungkin maknya tidak lagi kerap memanjakannya seperti dulu.  Sesekali mungkin dia rasa kecil hati dan mahukan perhatian.

Bila dia minta disuapkan, haruskan keinginannya ditolak?  Jangan.  Jangan buat begitu.  Bukan berat pun kemahuannya.   

Dia bawa nasi dan lauk serta minuman ke dalam bilik maknya.  Nampak kepuasan dan kegembiraan di wajahnya seusai maknya menyuapkan makanan sehingga habis sepinggan.

Alhamdulillah.   Semoga Allah SWT terus menyirami rasa kasih dan rahmat buat kami.

Isnin, 21 April 2014

Tubuh badan anak kita itu adalah aurat juga...

...jadi jangan sewenang-wenangnya melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah!

Sebenarnya apa yang kutulis di atas adalah sedikit sedutan dari rancangan Al Khawater di TV Al Hijrah yang kutonton menjelang waktu Maghrib petang semalam (20/04/2014).

Antara lain yang diperkatakan :

- boleh meminta pembantu rumah (atau mesin basuh) membasuh pakaian, tapi tugas memakaikan pakaian kepada anak-anak adalah tugas ibubapa.

Sewaktu memakaikan pakaian anak-anak (tentunya anak yang masih kecil), ibubapa boleh mengesan sekiranya terdapat sebarang 'cacat cela' di tubuh anak-anak.

- pembantu rumah boleh memasak makanan,  tetapi ibubapa hendaklah menyuapkan makanan ke mulut anak-anak.   Dengan demikian ibubapa boleh membina hubungan yang lebih rapat dengan anak-anak di samping boleh mengajar anak-anak membaca doa.

Sedikit pesanan :

Untuk mendapat ilmu yang nampak macam semua orang tahu tapi sering diabaikan,  tontonlah rancangan Al Khawater di TV Al Hijrah.   Mungkin lebih berfaedah dari menonton drama yang 'balik-balik itu juga jalan ceritanya'.

Wallahuaklam.

Antara pekerja kaunter kedai serbaneka, 'anak kapal' dan pelayan restoran hotel...

...apa bezanya bila mereka yang beragama Islam terpaksa melayan kehendak pelanggan yang mahukan sesuatu (makanan/minuman) yang ditegah oleh agama Islam?

Bukankah mereka dikira bersubahat?

Tapi mengapa hanya petugas di kedai serbaneka yang dipandang serong?  Kenapa tidak diberikan pandangan yang sama kepada 'anak kapal' mahupun mereka yang bekerja di restoran/dapur hotel mewah?

Kenapa tak salahkan pemerintah yang membiarkan rakyatnya terpaksa membuat kerja yang tidak di landasan yang betul?

Maaf,  ini bukan catatan yang berkaitan dengan politik.  Kalau hendak bercerita tentang politik dan mencari populariti, lain cara dan gaya bahasanya...

Ahad, 20 April 2014

Kasihan anak-anak muda di kaunter itu...

mereka sebangsa denganku
pasti agama yang tertera di pengenalan diri juga sama denganku

mungkin tidak banyak pilihan yang mereka ada
mencari rezeki demi hidup yang perlu diteruskan
menjadi juruwang atau pekerja mengangkat barang
minuman haram pun mereka uruskan
daging haram juga terpaksa mereka sentuh

siapakah yang memaksa mereka?

andai mereka tidak bekerja
nanti dicop mereka pemalas
bila mereka bekerja begitu
nanti ditanya 'takde kerja lain ke?'

selamanya manusia hanya lebih pandai berkata-kata dari memberikan pilihan yang tepat...

Jumaat, 18 April 2014

Anakanda...

saat kau hadir dalam rahim bonda
gembiranya ayahanda dan bonda tidak terkata
kaulah kurniaan Ilahi yang tidak terhingga nilainya
setiap detik bonda mengira penuh teruja

lelah dan letih bonda tak peduli
detik demi detik hari demi hari
tak sabar bonda menanti
untuk menatap wajahmu yang comel lagi suci

setelah hadirmu dalam hidup kami
dibelai dan diasuh agar kau tidak disakiti
sanggup bonda berjaga hingga ke pagi
asalkan dirimu lena dan dilindungi

bila dirimu meningkat remaja
susah hati bonda jangan dikira
keselamatanmu jadi agenda utama
pelajaranmu juga untuk dunia dan agama

setelah kau dewasa dan ingin berkeluarga
resah bonda tak juga reda
pelbagai persoalan berlegar di jiwa
apakah nanti kau boleh bahagia

Duhai anakanda

selagi bonda bernafas dan bernyawa
rasa tanggungjawab kepadamu sentiasa ada
biarpun kau sudah berjaya dan bahagia
doa bonda buatmu tiada hentinya...

Khamis, 17 April 2014

Grrrrrrrrrrrr...

Karpal Singh meninggal dunia...

... telah sampai ajalnya
kita pun akan menyusul juga
cuma marilah kita berdoa
agar kita diambil kembali dalam keadaan elok dan sempurna

jangan seronok terkinja-kinja
hanya kerana pegangan kita berbeza
sentiasalah ingat dan waspada
bahawa buah yang elok kadangkala busuk waktu gugurnya...

Rabu, 16 April 2014

Zaman remajaku dulu, hendak bergambar dengan kawan lelaki pun takut...

... masa tu memang masih jahil,   bukan takut dengan Allah sangat tapi lebih takut dengan ibubapa.

Padahal dengan teman sekelas saja pun, bergambar berduaan atau berdekatan walau dalam kumpulan merupakan sesuatu yang boleh mendapat hukuman berbentuk ceramah yang menusuk jiwa raga sampai tak boleh hendak mengangkat muka!

Hanya kerana takutkan hukuman begitu, jangankan hendak bergambar,  hendak bercerita tentang teman lelaki memang jauh sekali.

Berbeza dengan zaman ini, bukan setakat ibubapa (lebih sedih kadangkala ibubapa pun tak tahu), seluruh dunia boleh menyaksikan kemesraan pasangan anak muda yang kononnya sedang bercinta.  Bukan hanya bergambar berdekatan tapi siap dengan aksi yang keterlaluan dan dengan pakaian yang menjolok pandangan.

Itu baru bab anak muda.   Ada juga yang tak berapa muda turut berlagak dan bergaya bagai baru nak belajar kenal 'mimpi pertama'.

Hanya kembali berpegang pada ajaran agama dan tahu serta patuh pada hukum halal haram, mungkin bala bencana akan menjauhi kita.  Mudah-mudahan. 

Aku juga mempunyai anak remaja dan jujurnya aku sangat bimbang dengan suasana hari ini di mana aku sendiri mungkin tidak dapat mengawal tingkah laku mereka...

Aku pun belum sempurna berhijab...

...tapi aku tak berani mempersoalkan hukum yang Allah turunkan, apalagi untuk membolak-balikkannya agar 'sesuai' mengikut kehendakku...

Selasa, 15 April 2014

Suatu petang di sebuah restoran...

... mak, ayah dan Budak Sepet yang kelaparan  ( yang lapar adalah Budak Sepet - sila faham)

... pesan makanan untuk Budak Sepet

... makanan tiba dan Budak Sepet pun makan

... mak dan ayah Budak Sepet bersembang sambil tunggu Budak Sepet makan

... tiba-tiba seorang wanita Cina berdiri sebelah mak Budak Sepet

... wanita Cina itu pandang ayah Budak Sepet dan bercakap dengan laju dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu campur aduk

... 'saya ada kanser' katanya sambil pura-pura nak selak baju T yang dia pakai

... 'minta sepuluh ringgit, saya takde duit nak makan' katanya lagi

... ayah Budak Sepet keluarkan beberapa keping duit seringgit dan lima ringgit

... ayah Budak Sepet hulurkan seringgit saja tapi

... wanita Cina tak puas hati, dia minta lima ringgit lagi

... ayah Budak Sepet cuma tambah lagi seringgit

... wanita Cina pergi tanpa terima kasih

SEBENARNYA ADAKAH KAMI KEJAM ATAU KAMI DITIPU?

Ah...jangan fikir.  Dah beri jangan ungkit.  Anggap sahaja bagai buangan dari perut yang tak pernah kita ingati bila sudah keluar dengan selamat dari usus besar dan usus kecil...

Banyak yang aku hendak...

...tapi bila fikirkan anak-anak
surut segala keinginan yang membuak

bila terasa ingin bercuti
atau berjalan jauh menyenangkan hati
kufikir siapa yang hendak menguruskan anakku nanti
tenangkah fikiranku bila mereka yang bermain di hati

bila kurasa ingin membeli belah 
tiba-tiba pula terbit rasa bersalah
keperluan anak-anak masih ada yang tidak lengkap
haruskah kuteruskan niat tanpa peduli anak yang mengharap

Adakah anak-anak mengerti
tentang niatku yang sering tidak kesampaian
atau adakah mereka ingin menghargai
akan segala jerih dan pengorbanan
atau diam-diam di dalam hati
mereka kata itulah tanggungjawab yang perlu ibubapa lunaskan...


Cerita lain...

Tayang-tayang gambar makan-makan malam tadi yang ditaja oleh Along.  Alhamdulillah.   Pada paginya, sewaktu dalam perjalanan pergi kerja, Angah telah menaja minyak kereta.  Syukur ya Allah.  Walaupun anak-anakku bukan dari kalangan yang cemerlang, gemilang dan terbilang,  tapi mereka masih ada hati untuk berbakti...

Isnin, 14 April 2014

Bunyi pesawat di ruang udara...

walau hanya sekadar bunyi
tanpa dapat kulihat kelibatnya
namun ada sayu dihatiku
tak terucap tapi dapat dimengerti

bunyi itu bagaikan irama yang sayu
berlagu tanpa kata
berbisik tanpa suara
berisyarat tapi tidak difahami

Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui...

#masihmengharap #pulanglah #doauntukmh370

Apa perasaan kita bila 'memanjangkan' sesuatu perkara yang tidak baik?...

Contohnya macam kita memaparkan gambar wanita berpakaian sendat dan ketat yang kita lihat di mana-mana.

Memanglah perkara itu kelihatan sangat tidak elok.   Tapi kita bukan tahu andainya esok-esok dia berubah menjadi lebih baik dari kita sedangkan kita belum tentu dapat memohon maaf dari orang yang kita umpat itu, kan?

Macamana pula bila hasil dari sebaran yang kita buat, lebih ramai yang turut mengumpat dan menyebarkan gambar berkenaan?   Agak-agaknya kila dapat saham MLM (multi level mengumpat) tak?

Wallahuaklam.

Ahad, 13 April 2014

#MH370 - Semoga wartawan lebih 'bertimbangrasa' dalam menulis berita...

...bila keluar berita begini,  seolah-olah satu kegembiraan kehilangan ahli keluarga kerana boleh mendapat 'keuntungan' berlipat ganda yang tak pernah terduga...

Jumaat, 11 April 2014

Dalam gelap dan sunyi...

...kucuba fahami hidup yang kulalui
cuba mengerti dan mentafsir sendiri
bersama ujian Tuhan yang kuhadapi
segala-galanya bagai dipaksa berhenti

bila aku menangis dan berduka
kudengar kata-kata memujuk agar aku bersabar dan bersikap terbuka
ini hanyalah ujian Tuhan semata-mata
kepada umatNya mengikut upaya

bila kuukirkan sedikit senyuman pemanis muka
kudengar pula kata-kata yang menghiris luka
kata mereka aku tak peka
saat diuji masih mampu senyum ketawa

Lalu sebenarnya apa yang mereka mahu
itu tak kena ini tak betul
mungkin mereka lebih suka
andai kelibatku tidak kelihatan di depan mata...

Catatan ini tiada kena mengena dengan penulis, tapi dari pemerhatian suasana sekeliling semata-mata.

Khamis, 10 April 2014

Rupanya rakyat Malaysia ini ramai yang kaya raya...

...walaupun bekerja 'makan gaji' dengan pangkat yang biasa-biasa sahaja,  tapi boleh 'bagi' beratus-ribu malah berjuta kepada Mat Afrika yang menyamar sebagai wanita jelita atau jejaka tampan.

Ramai juga yang banyak duit semata-mata untuk mendapatkan 'gelaran' - mungkin untuk membeli kepercayaan dalam perniagaan.

Adakah sikap tamak atau kononnya rasa cinta membuatkan kita hilang pertimbangan?

Rabu, 9 April 2014

Kita popular ke?...

Iye la kot
sebab ramai yang kenal kita

bila ramai yang kenal
maknanya kita popular

bila kita popular
boleh ke kita berlagak ikut suka?

tak boleh kot
sebab nanti jadi caci nista

eh peduli apa
kita kan orang popular?

seorang tak suka
ramai lagi terhegeh-hegeh nak mendekati kita

bila popular
apa dibuat mesti orang buka mata

bila orang buka mata
itu pun salah satu cara nak jana duit juga

seeloknya bila kita popular
kita gunakan kepopularan itu ke jalan yang Allah suka

bila Allah suka
pintu rezeki lebih terbuka

jangan bila kita popular
kita ambil kesempatan ke atas orang yang suka kita...

Selasa, 8 April 2014

Kalau aku tak jemu menanti, keluarga mereka apatah lagi...

Ya Allah Ya Tuhanku
hanya Engkau Yang Maha Tahu

Berikanlah petunjukMu
walau sehebat mana jalan berliku

Biar apa pun rencana manusia
KuasaMu tetap tiada tandingannya

Biar bagaimanapun keadaan mereka
kembalikanlah agar persoalan terungkai segera...

#masihmengharap #pulanglah #doauntukmh370 #prayformh370

Isnin, 7 April 2014

#MH370 - genap sebulan kehilanganmu...

...saban hari kami terus menunggu
saban hari juga kami mendengar kononnya ada petunjuk baru
tapi bila hari terus berlalu
harapan yang berbunga terus menjadi layu...

#masihmengharap #pulanglah #doauntukmh370 #prayformh370

Ahad, 6 April 2014

Selamat berhujung minggu...

...kepada yang bertugas,  selamat menjalankan tugas.

Pagi ini anak-anak minta sarapan yang berat  Singgah di restoran Nasi Lemak Royale,  Taman Dagang,  Ampang.

Bila anak-anak masih kenyang, mak rasa malas pula nak masak cepat-cepat.  ;-)

Jumaat, 4 April 2014

03-2178 8888

Pernah terima tak panggilan dari nombor ini.

Kakcik pernah!  Tapi kakcik tak layan pun.  Dengar sekejap dan kakcik putuskan talian.  Kebetulan kakcik pun tak pernah buka akaun sama ada simpanan atau kad kredit dengan Ambank.

Kepada sesiapa yang pernah menerima panggilan dari nombor di atas,  tak usahlah dilayan.

4/4/2014 - Jumaat : aku dah lupa untuk mengira...

#MH370
hari ini hari yang ke berapa?
orang ramai sudah tak sabar menanti kesudahannya

ramai juga yang jadi sakit hati
bukan kepada menteri atau perdana menteri
kerana mereka sudah berusaha sepenuh jiwa dan hati
sehingga tiada masa untuk diri sendiri...

tapi khalayak jadi sakit hati
bila banyak yang dirancang terpaksa ditolak ke tepi
ramai yang sudah tak ambil peduli
berkejar ke sana sini tapi tiada apa didapati

keluarga yang mengharap dan menanti -
ibu bapa anak isteri
suami mahupun hanya saudara tiri
sangat dalam kelukaan yang mereka alami
mana mungkin dapat dibalutkan lagi
selagi tiada perkhabaran yang tulus dan pasti
sama ada hidup atau pun mati

Khamis, 3 April 2014

Aku isteri yang 'senang kira'...

Aku tahu kemampuan suamiku setakat mana
kalau dia tidak memberi tidaklah aku meminta-minta
kerana itulah secebis perhiasan pun aku tiada
jangan kerana kehendakku suami menjadi gila

pendapatan sendiri banyak pula hendak diguna
anak-anak tahunya ada apa yang diminta
zaman mereka dengan zamanku dulu jauh berbeza
waktu sekarang berlari dengan selaju-lajunya

syukur juga suamiku jenis tak banyak minta
apa yang terhidang dijamah seadanya
sedap atau tidak boleh dibaca dari raut muka
setelah sekian lama bahasa tubuhnya tak sukar dijangka

mengajar anak-anak sekarang bukan dengan kata cerca
tapi dengan bahasa berhemah yang tersirat makna
bukanlah pula bahasa yang berbunga-bunga
kelak lain maksud lain fahamannya

biarlah kami hidup tak semewah mana
makan pakai cukup seadanya
yang penting kami bahagia
redho dan kasih Ilahi itu yang utama

Rabu, 2 April 2014

MH370 : walaupun makin 'sepi' tapi kian mengundang spekulasi...

...mula-mula kata begitu
kemudian kata begini

awal-awalnya radio dan tv pasang mengaji
pengacara wanita siap bertudung hitam nampak rambut tapi
selepas minggu ketiga yang asal telah kembali

diumumkan konsert nyanyi-nyanyi ditolak ke tepi
senyap-senyap di hotel mewah penyanyi luar menunjukkan kaki
ah... sedih orang lain buat apa nak peduli
keluar nanti pura-puralah kesat pipi
bukan orang boleh baca apa ada dalam hati

kalau semua dibatalkan susah pula yang lain nak jana rezeki
setidak-tidaknya boleh juga kita tumpang sekaki dua kaki
Amaran Allah turun atas sikap kita sendiri
buat hukum dan tindakan ikut suka hati
Al Quran dan Sunnah Nabi tidakkah memadai
untuk kita jadikan panduan dan pegangan selagi belum mati...


Aku #masihmengharap #pulanglah #doauntukmh370 #prayformh370

Biji aprikot lawan barah payudara...

Sudah lama kita dengar tentang biji aprikot menentang barah, kan?
Satu artikel telah diterbitkan di Harian Metro tentang perkara ini  (klik pautan). 

Secara peribadi,  kakcik mengenali Pn. Zuraida ini.  Melihatnya sekarang,  tiada siapa menyangka beliau pernah bertarung dengan panyakit barah yang dihidapinya.   Allah SWT telah menjanjikan bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya. Selagi belum tiba ajal, kita disarankan untuk berikhtiar atas penyakit yang kita hidapi.

Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang kapsul D'Apprikot yang diambil dan diusahakan oleh Pn. Zuraida ini bolehlah klik pautan INI.

Selasa, 1 April 2014

Pemantauan ke atas Penjawat Awam yang berniaga atas talian...

...pada waktu bertugas...

Sejuk hati melihat empat beradik ini...


Mohamad Hafas bin Ali : mendapat ppendidikan Ijazah Sarjana Muda Universiti Al Azhar, Usuluddin (Tafsir dan Ulum Al Quran).  Mewakili negara dalam Tilawah Quran peringkmendapatrabangsa ke 20 di Tehran (2003).  Juara tilawah Quran peringkat negeri Terengganu pada tahun 2002, 2003, 2007, 2008 dan 2009.  Naib Johan Tilawah Quran Kebangsaan tahun 2002 serta naib juara Akademi Quran (AQ) 2007.

Ahmad Tarmizi bin Ali  :  Ijazah Sarjana Muda Qiraat dan Diploma Tahfiz Quran dan Qiraat. Johan AQ4 dan Johan Hafazan Al Quran Peringkat Kebangsaan 2010.  Mewakili Malaysia untuk acara hafazan dan tilawah di Morocco 2011.

Mohamad Muslim bin Ali  : Ijazah Sarjana Muda Qiraat dan Diploma Tahfiz Quran.  Tempat ke 3 AQ2 dan Johan Tilawah Al Quran peringkat Kebangsaan Sekolah2.

Yahya bin Ali : mendapat pendidikan di Institut Pengajian Islam Terengganu.  Tempat ke 3 AQ.  Naib Johan Tilawah Al Quran Daerah Kemaman 2010.



Sumber :  CD Terbitan Inteam Records Sdn Bhd 2011