Kawan-kawan kakcik

Isnin, 31 Mac 2014

Betapa kerdilnya kita...

...sehingga diperkotak-katik sebegini rupa
kita iyakan kata mereka
kemudian mereka kata itu bukan kata-kata mereka
sebaliknya mereka cuba memperlekehkan kita
seolah-olah kita langsung tak punya daya upaya

Mungkin agaknya mereka cuba mengajar kita
untuk tidak mempersoalkan kuasa yang mereka ada
di mata mereka kita tak ubah seorang peminta
yang tak punya dan kurang ilmunya

Kalaulah kita bisa bersatu
di bawah nama bangsa yang satu
bukan bangsa cina iban india atau melayu
tapi bangsa Malaysia yang bersatupadu
ketepikan segala kefahaman yang tidak perlu
barulah kita dihormati sedari dulu

#prayformh370 #doauntukmh370

#MH370 - Janganlah dedahkan hasil siasatan yang mengaibkan...

...betul, mungkin ia ada kaitan dengan kes, tapi kalau hal 'dalam kain' yang belum tentu sahihnya eloklah disimpan dulu.

Agama juga melarang kita mendedahkan aib orang, kan?

Jangan tambah kesedihan orang dengan soalan-soalan yang merobek hati mereka demi meraih populariti media yang kita wakili.

Ahad, 30 Mac 2014

Jumaat, 28 Mac 2014

Salam Jumaat kawan2ku...

Aku bercuti hari ini untuk beberapa urusan dengan doa dan harapan semoga segalanya dipermudahkan...

Khamis, 27 Mac 2014

Kita tak pernah takut dengan bencana...

...mungkin kerana kita belum pernah terkena
mungkin juga beranggapan ia tak akan terjadi kepada kita
mungkin kerana kita lebih selesa untuk bergembira
mungkin bagi kita syurga dan neraka hanya bayangan sahaja

Kita dihidupkan bukan untuk diri kita semata-mata
banyak tanggungjawab dibekalkan bersama
kalaupun ada dalam kehidupan ini yang kita tak suka
bukan sewenangnya kita mencipta noda dan dosa

Bencana yang datang
mungkin tidak dituju kepada kita seorang
kadangkala Allah masih beri kita peluang
lalu dikiaskan balasan di lain ruang
selagi berkesempatan pintu taubat dibuka lapang
KEMBALILAH KEPADA HUKUM ALLAH YANG MAHA PENYAYANG...

Rabu, 26 Mac 2014

Mudahnya berurusan dengan Zalora...

Pertama kali berurusan dengan Zalora aku mendapat pengalaman yang sangat mengujakan.

Aku membuat tempahan sebuah beg tangan setelah mendapat kupon dan dengan sedikit tambahan tunai.   Tempahan dibuat pada petang Khamis dan pada hari Isnin tempahan itu sampai dengan khidmat syarikat kurier.  Malangnya tiada sesiapa di rumahku untuk menerima barang yang dihantar.

Sewaktu balik ke rumah, aku melihat ada slip penghantaran dari syarikat kurier tersebut yang tercatat pesanan bahawa mereka akan datang kembali.  Tepat sebagaimana yang dijanjikan,  kiriman selamat sampai ke tanganku pada hari Selasa.

Aku suka dengan cara Zalora berniaga.   Bersama barang yang dipesan, mereka menitipkan juga sampul poslaju lengkap dengan borang poslaju dan borang aduan sekiranya pelanggan tidak berpuas hati dengan apa yang diterima.  Mungkin strategi berniaga begini elok dijadikan contoh oleh para peniaga dalam talian yang lain.  Cara begini membuatkan pelanggan rasa di hargai dan tidak tertipu.   Cara begini juga boleh memikat dan mengikat hati pelanggan untuk terus berurusniaga di masa akan datang.

Gedung fesyen Zalora bukan sahaja menawarkan pelbagai fesyen keperluan lelaki dan wanita,  malahan harganya yang ditawarkan juga sangat berpatutan mengikut kemampuan pelanggan.

Kepada yang belum ada ppengalaman membeli-belah di Zalora,  mungkin anda patut mencubanya sekarang.  :)

Bila stesyen televisyen mengubah jadual rancangannya...

...mungkin ada yang tak suka
tapi sudah terlalu lama kita menjadi leka
dihidangkan dengan rancangan hiburan yang entah apa-apa
drama-drama yang kononnya memberi pengajaran
hingga waktu Maghrib pun diabaikan...

Selasa, 25 Mac 2014

#MH370 - berat hatiku untuk menerima hakikat ini...

Suram di mana-mana
pergerakan bagai terhenti
langit kelabu tanpa awan
matahari juga bagai tiada cahaya...

Selepas tujuh belas hari
selepas pelbagai spekulasi
selepas jari di tuding ke sana sini
selepas doa dipohon tanpa henti
selepas menanti dan menanti
kini segalanya jadi sepi

Jangan
jangan teruskan spekulasi
kerana kita tak tahu apa sebenarnya yang terjadi

Jangan
jangan pernah doa terhenti
hanya itu penyambung antara di sana dan di sini

#MH370
sangat perit hatiku untuk mengaku
tentang dirimu yang tak akan kembali
tapi sesungguhnya hanya Allah yang Maha Mengetahui
apa yang terbaik untuk kamu

Saudara-saudaraku
betapa kasih kita kepada yang pergi
mereka bukanlah milik kita yang abadi
berdoalah agar di sana kita bertemu kembali...

Isnin, 24 Mac 2014

#MH370 - doa dariku yang tiada kepandaian apa-apa...

...kita tak pernah saling mengenali
walau mungkin kita pernah berselisih bahu
namun tika dan saat ini
bagai ada satu ikatan
yang sukar untuk dimengertikan

Saat kau tiada daya dan upaya
untuk menepis segala tohmahan mereka
kiranya mereka lagi suka
untuk mencipta kisah dan berpura-pura

Kembalilah
buangkan segala nista
bersihkan segala kepalsuan dalam cereka
jangan bagi peluang kepada mereka
untuk menyebut hukum dan akta
atas kesalahan yang tak pernah kau cipta

Hanya Allah jua yang Maha Tahu
di mana kini persembunyianmu
biar seluruh dunia meneka dan menerpa
kembalimu atas kekuasaanNya jua

Keluarga yang tidurnya tidak lena
makan sekadar untuk menyambung nyawa
setiap detik memanjatkan doa
bagaimanapun keadaanmu asalkan kau kembali semula

#pulanglah
#prayformh370
#doauntukmh370

Makanlah dari makanan yang bersih dan halal...

....gambar dirakam di Hentian Rehat dan Rawat Rawang arah Utara...

Sabtu, 22 Mac 2014

Aku tahu bagaimana rasanya...

...berada dalam kelompok atau khalayak di mana aku terpaksa berpura-pura...

...berlagak bagaikan aku juga pandai seperti mereka sedangkan hakikatnya aku tak tahu apa-apa.   Kalaupun tahu sedikit cuma.  Mujur juga bila semua mereka sibuk, kekuranganku dapat dikaburkan.  

Diam-diam aku berdoa agar Allah SWT membimbing hati dan diriku untuk menjadi lebih baik...

Jumaat, 21 Mac 2014

Semoga teka teki segera berakhir...

...tak sanggup lagi rasanya ternanti-nanti...

Sedangkan aku yang bukan siapa-siapa ini berdebar hari ke hari, apatah lagi mereka yang ada kaitan persaudaraan dan pertalian yang rapat.

Mungkin mereka hanya melelapkan mata tanpa sedar, makan bila perut benar-benar lapar.   Berdoa tak kira masa.   Tersenyum bagai dipaksa.   Memendam kelukaan yang maha dalam.

Ya Allah,  padaMu juga kami berserah dan berharap.

#pulanglah #doauntukmh370 #prayformh370

Sepinggan kongsi berdua...

(Status ini telah diletak di facebook malam tadi)

Hujung dahan sarang tempua
Turut menumpang sang rama-rama
Sepinggan kongsi berdua
Susah senang biar bersama

#prayformh370 #doauntukmh370

Khamis, 20 Mac 2014

Jubah Muslimah...

(sponsored post)

Kebelakangan ini, jubah merupakan pakaian sering dipakai oleh kaum wanita tidak kira di mana.  Jubah tidak lagi hanya dipakai untuk ke masjid atau majlis agama.  Bahkan jubah yang diubahsuai sebagai kaftan mendapat tempat dalam majlis-majlis mewah bila ia dipadankan dengan pelbagai aksesori.

Pemakaian jubah tidak lagi dimomokkan sebagai pakaian orang tua.  Remaja juga tidak segan silu untuk berjubah kerana potongannya dimodenkan seakan peplum, kurung moden dan sebagainya.   Begitu juga jubah bukan hanya menjadi pakaian wanita Muslim. Selain selesa dipakai,  jubah juga menyerlahkan kesopanan seorang wanita.
Pemakaian jubah bersama tudung yang sempurna,  memperlihatkan keanggunan yang tidak boleh dipertikaikan.  Tidak perlu tambahan renda, labuci atau manik yang berlebihan,  jubah 'kosong' juga manis disarungkan ke tubuh.

Dalam kehidupan yang serba pantas dan sibuk, memungkinkan kita tidak punya masa untuk keluar bersesak membeli-belah.  Selain terpaksa membuang masa untuk memilih, mengeluarkan belanja sama ada untuk tambang kenderaan awam mahupun mengisi minyak kereta sendiri, badan juga mungkin menjadi lesu.

Bagi memenuhi keinginan mereka yang sibuk, Zalora ada jawapannya untuk anda.  Dengan 'kuasa hujung jari', kita boleh membeli-belah hanya sambil duduk mahupun berbaring sahaja.  Pelbagai pilihan corak dan fesyen boleh didapati di JUBAH MUSLIMAH.  Dengan harga serendah di bawah RM60.00 untuk sehelai jubah, pastinya tiada lagi masalah untuk kita melaram dengan gaya yang kita suka.

Jadi bukan sahaja kepada kaum hawa, kaum adam juga jangan berlengah untuk berkunjung ke JUBAH MUSLIMAH.   Dapatkan sekurang-kurangnya sehelai jubah untuk yang tersayang.

Isnin, 17 Mac 2014

Apakah 'Agama Rasmi Negara' melambangkan anutan penduduk negara itu sepenuhnya? ...

...pastinya tidak kan?  Kerana dalam negara yang penduduknya berbilang bangsa pasti agama yang dianuti juga berbeza.

Walaubagaimanapun, bila 'agama rasmi negara' telah diisytiharkan,  mungkin bermaksud majoriti pemimpin dan penduduk negara berkenaan menganut 'agama negara' tersebut.

Sepatutnya bila agama rasmi diisytiharkan,  pegangan terhadapnya adalah sepenuhnya tanpa tolak ansur.  Tidak perlu ada tunjuk perasaan atau jerit pekik serta fitnah dan adu domba bila pegangan agama dipegang dengan kukuh.

Lihat sekeliling kita sekarang.  Benarkah kita sangat sayang dan berpegang teguh kepada ajaran agama?

Ingat - Islam adalah agama dan bukan bangsa.  Melayu adalah bangsa dan bukan agama.   Singkirkan fikiran ortodok bahawa Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam walaupun di kad pengenalan,  bila Melayu automatik agamanya Islam.

Lihatlah anak-anak Melayu yang sangat kucar-kacir kehidupan mereka sekarang.  Yang sangat-sangat membuatkan hati seorang ibu seperti aku rasa takut untuk melepaskan anak keluar rumah! Benar, pendidikan bermula dari rumah.  Ibubapa yang mencorakkan anak-anak mereka.  Namun sekarang,  dunia luar lebih terbuka.  Lebih menarik untuk anak-anak meneroka.

Tanpa menyebut nama, kalau ada yang masih ingat tentang seorang gadis (sekadar satu contoh) yang lancar membaca Al Quran dan memahami tafsirnya boleh terpesong akidah dek kuatnya tarikan 'dunia luar', bagaimana pula anak-anak yang hanya ada asas mengucap Syahadah dan hafal surah Al Fatihah?

Tak payahlah kita menuding kepada para pemimpin yang sangat sibuk memikirkan hal negara dan dunia hingga mereka pun tak sempat hendak  meminta isteri mereka mencapai tudung kepala apalagi untuk memakainya.

'Agama rasmi negara' nampaknya tak mampu hendak mencegah kemungkaran yang berleluasa kerana agama itu tidak dipakai dan disayangi oleh penganutnya.

Baru-baru ini aku melalui Bintang Walk di Kuala Lumpur pada jam 2.00 pagi.   Bintang Walk ini khabarnya dibina untuk 'orang asing'.  Ada sesiapa yang dapat memastikan bahawa tiada orang tempatan yang bangsanya Melayu dan agamanya Islam tidak berpeleseran di situ?

Wanita jadi-jadian dengan pakaian yang menjolok mata bersidai di tepi jalan mencari apa?

Apakah tempat begitu tidak memerlukan pemantauan Jabatan Agama? 
Apakah sehingga terjadinya bencana baru mata hendak dibuka?

Wallahuaklam.

Ahad, 16 Mac 2014

#MH370 - selepas lebih seminggu kehilangannya..

...harapan bagai ada sinarnya...

Namun...

bagi kita yang tak tahu apa-apa
jangan memandai-mandai berspekulasi sama
dari menyebarkan berita yang belum tentu sahihnya
mahu pun turut sama memanjangkan apa yang dikatakan jenaka
selamilah perasaan ahli keluarga
yang belum mampu untuk tersenyum apalagi ketawa

marilah...

Kita terus sama-sama berdoa
agar yang hilang segera dijumpa...

#prayformh370 #doauntukmh370

Jumaat, 14 Mac 2014

Cubit paha kanan, paha kiri turut terasa...

...dengan kelucuan yang entah apa-apa
adakah terdetik ingatan kita
pada mereka yang tidurnya tak lena
hatinya resah sentiasa
harapannya sekejap hilang sekejap ada...

Mungkin kita tak bermaksud apa-apa
sekadar bertindak mengikut apa yang kita rasa
tanda kita masih punya deria
orang lain bersedih takkanlah pula kita tak boleh bergembira

Mari pepatah ini jadikan pegangan kita
'cubit paha kanan paha kiri turut terasa'
dunia ini bukan milik mutlak kita
ianya kepunyaan Yang Maha Berkuasa
perlakuan kita dalam pemerhatianNya
elak-elakkanlah dari terus menempah dosa...

#prayformh370 #doauntukmh370

Khamis, 13 Mac 2014

Allahhu Rabbi, amaran apa lagi yang akan Kau beri...

...cuaca terang kelihatan gelap
tanpa api tapi sekeliling berbau asap
dalam pendingin hawa boleh terasa panas meruap...

...di sini hujan tak turun
di gurun salji melimpah...

...betapa Kau tunjukkan kuasaMu
tapi manusia masih juga sikapnya begitu
khurafat dan kesyirikan dibiarkan bersatu
memohon kepadaMu hendak difikirkan-fikirkan dulu...

Rabu, 12 Mac 2014

Selasa, 11 Mac 2014

Bila kita tahu orang itu bodoh, adakah kita ingin turut menjadi bodoh...

...biarlah dia nak tulis apa pun sesuka hatinya...

tak perlu kita panjang-panjangkan konon untuk mengutuk tindakan bodoh mereka...

sebenarnya kita tak sedar bahawa secara langsung kita turut memperkenalkan mereka dengan terbuka...

dan sebenarnya juga itulah yang mereka mahu.

Daripada kita bertindak bodoh lebih baiklah secara diam-diam kita berdoa dan terus berdoa.

MH370 - kami hanya mampu berdoa...

...agar Yang Maha Kuasa
membuka jalan agar kau segera kembali
pulanglah kepada kami yang menanti
hentikan tangisan ini
hentikan segala spekulasi
hentikan kata-kata dari mereka yang enggan mengerti

Dunia sedang memerhati
dunia juga menghantar pertolongan tanpa henti

Ibu bapa anak isteri mahupun suami
adik beradik saudara mara rakan taulan
saban waktu setiap ketika
memanjatkan doa bagaimana pun cara
pinta mereka cuma satu -
KEMBALILAH...

Isnin, 10 Mac 2014

#SBB2014 - Sempat bergambar dengan mereka...

...bersama Suria Amanda, Hazwan Hairy, Ajumohit dan Hidayahbach, rakan -rakan baru di Meja 29 dan juga bersama Memey Suhaiza beserta anaknya Awish...

Doa buat MH370...

Bagaimana hendak menjana pendapatan melalui blog?...

...rata-rata pesanan yang kudengar 'menulislah dengan ikhlas dan dari hati.  Menulis dengan ilham sendiri dan jangan menjadi penulis 'copy paste'.

Selama ini pun rasanya aku memang menulis seperti yang disarankan itu.  Selepas empat tahun, aku masih juga di takuk lama.  Hendak menjana pendapatan melalui blog?   Jauh pizza dari ketuhar gelombang mikro!

Jangankan hendak mendapat tajaan,  Nuffnang sendiri telah lama menyingkirkan blog ini dari Glitterati kepada Non-Glitterati tanpa sebab.

Tak mengapalah,  sekurang-kurangnya melalui bog ini aku mendapat ramai kawan dari pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya.

Jujurnya aku merasa sangat kecil bila menghadiri pertemuan blogger. Apatah lagi mereka yang 'ada nama' berpura-pura tidak mengenali kita walaupun sering bersapa di maya dan pernah beberapa kali bersua muka.

Opsss!!!

Ahad, 9 Mac 2014

#SBB2014 - ianya atas dasar percaya dan keikhlasan...

...Alhamdulillah. Penerima hadiah yang dipanggil,  tidak perlu menunjukkan bukti nama dan barang-barang yang ditinggalkan atas meja sementara tuannya ke mana-mana,  terjamin keselamatannya atas izin Allah juga.

Sabtu, 8 Mac 2014

#SBB2014 - bersama blogger di Saloma Bistro...

Majlis ini adalah anjuran Denaihati Network dengan mendapat tajaan daripada pelbagai syarikat.   Penaja utama adalah syarikat pengeluar minuman terkemuka - Yeo's.

Jumaat, 7 Mac 2014

Kenapa doktor Melayu di Hospital Kerajaan ramai yang sombong?...

...bukan semua ya...

Tapi dah banyak kali jumpa...

muka kelat
bahasa kesat
tak sentuh tapi bagi ubat

mungkin sebab rasa mereka hebat
orang lain semuanya bangsat
kita senyum dia buat muka meluat

...dulu aku pernah buat laporan ke KKM tentang layanan buruk yang diterima oleh bapaku (Allahyarham) di sebuah hospital.   Berkali-kali Pengarah Hospital itu menelefonku meminta maaf.  Aku khabarkan kepadanya, rajin-rajinlah memantau perilaku anak buahnya...


Khamis, 6 Mac 2014

Dulu aku sangat susah...

...kehidupan dalam keadaan yang serba payah
Orang mandi di paip aku mandi jauh di lembah
Orang bersuluh cahaya letrik aku berpelita minyak tanah
Orang berlauk serba mewah aku tertunduk memandang tanah
Orang berpakaian cantik dan baru aku bergaya dengan pakaian sedekah

Dan kini...

Walaupun mampu menikmati hidangan yang mewah dirasakan
Sering kuterkenang kicap dan minyak lebihan goreng ikan
Satu ketika dulu ia padanan nasi yang sangat menyelerakan

Sekarang...

Bila sesekali berlauk sardin tumis dan telur mata
Bagiku ia sudah cukup membuka selera
Tapi anak-anakku boleh memalingkan muka
Andai dihidangkan lauk yang itu berkali berkala...

Pekeliling tentang larangan penjawat awam (wanita) berjubah ke pejabat...

...pagi ini, sampai ke pejabat aku terus membuat carian di internet sekiranya ada pekeliling berkaitan.   Tapi tidak pula aku berjumpa.

Ada sesiapa yang tahu sama ada ianya ujud atau tidak?

Semalam aku 'ditegur' oleh seorang orang atasan Jabatan kerana memakai jubah.  Katanya 'jubah adalah dilarang untuk dipakai ke pejabat di sektor ini'.  Tak mungkin dia bergurau kerana dia pun baru mengenaliku walaupun sudah lebih setahun aku di sini.

Hmmmm... lepas ini aku kena keluarkan semula baju-baju kurung lama yang dah hampir tak muat untuk dipakai...

Rabu, 5 Mac 2014

Dari sedikit ujian yang dilakukan, nampaknya kisah artis lebih menarik perhatian...

...semalam aku buat satu catatan
tajuk yang biasa aku letakkan
pengunjung yang datang tidaklah begitu menggalakkan
mungkin mereka hanya kawan-kawan yang sering bertandang

Menjelang tengahari tajuk kutukarkan
nama Erra aku selitkan
tiba-tiba terdapat peningkatan
dari dua menjadi lapan
sedangkan tidak berubah isi kandungan
jelaslah tajuk memainkan peranan

Tidak mengapalah wahai kawan-kawan
kesukaan kita, kita yang tentukan
tapi jangan suka menjadi beban
kita makhluk yang bertanggungjawab kepada Tuhan...

Selasa, 4 Mac 2014

Cerita tentang artis bernama Erra...


aku teringin untuk turut bercerita...

tapi bila kufikir-fikirkan semula
mungkin banyak buruk dari baiknya
kerana penerimaan manusia sering tidak sama
lain yang kita maksudkan lain yang mereka fahamkan

 jadi...

 bila ia boleh menimbulkan persoalan
malah mungkin perbalahan
 maka lebih baiklah kita diam-diamkan

 jangan kita cuba menjadi tikus
 labu dibaikinya lebur tak berbekas
 jangan kita menjadi dalang
 seronok melaga-lagakan di sebalik bayang
jangan juga cuba menjadi hakim
kalau bukti dan saksi mereka yang diragui...

Isnin, 3 Mac 2014

Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain juga...

...sebab itulah agaknya, bila kita makan di restoran atau kedai makan, selalu ada orang minta derma.

Tapi kalau dalam setengah jam, tiga empat orang/kumpulan yang datang hingga hati kita berkata-kata, nak kira macam mana ya?

Best juga cakap campur-campur ni kot. Let's try...

...pedulikan tentang ejaan atau past tense ke present tense ke... janji ada bunyi, kan?

Tengok je kat tv, ahli politik ke ahli akademik ke, kalau tak cakap campur aduk tu nampak macam tak cerdik gamaknya...

Jangan esok-esok, di sekolah pun Bahasa Melayu jadi tak sah kalau tak dicampuradukkan.

Well, at least you know what I mean...

Up to you whatever you want to do... I don't care...

Ahad, 2 Mac 2014

Goreng pisang untuk makan pisang goreng..

Sudah lama aku teringjn hemdak makan pisang tanduk goreng.  Untuk lebih kepuasan dan kebersihan yang terjamin (masa tengah rajin sebenarnya ), aku beli dua biji pisang tanduk dan aku goreng sendiri.