Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 28 Februari 2014

Bercuti dan bergembira cara kami suami isteri...

Kami memang tidak berkemampuan untuk bercuti ke luar negara mahupun ke tempat-tempat mewah di dalam negara.

Aku dan suami kebelakangan ini suka mengambil cuti di hari bekerja dan anak-anak bersekolah.   Bukan bermakna kami tak suka bercuti bersama anak-anak.   Cuma, ada waktunya kami perlu masa berdua-duaan dan melakukan apa yang kami suka bersama.   Kalau bawa anak-anak,  kadangkala kami terpaksa mengikut kemahuan mereka dan mengenepikan kehendak sendiri.  

Contohnya,  kami suka berhenti dan memerhati sesuatu perkara tapi ia jadi terhalang bila anak-anak tidak menyukainya.

Bila kami bercuti berdua, kami akan keluar rumah pagi-pagi lagi.   Kemudian tetapkan ke mana kami hendak pergi.  Selalunya,  kami akan menghala ke Teluk Intan di mana ibu mertuaku tinggal.

Sama ada melalui Lebuhraya Utara Selatan dan masuk melalui Sungkai atau keluar di Rawang Selatan dan masuk pula ke Lebuhraya LATAR dan keluar di Ijok untuk melalui jalan lama Kuala Selangor - Sabak Bernam - Teluk Intan.

Kami akan berhenti di mana-mana sama ada untuk membeli makanan dan minuman atau untuk melelapkan mata seketika.   Solat di mana-mana masjid bila masuk waktu.

Peluang begitu adalah masa untuk kami bersembang santai tentang pelbagai perkara tanpa gangguan.   Setakat ini kami rasa gembira dengan 'percutian sehari' kami itu.   Perjalanan dua hingga tiga jam sehala dan singgah di rumah mertua seketika walaupun penat tapi besar maknanya.   Apatah lagi bila dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada wajah tua itu.

Semoga masih banyak masa dan kesihatan yang diizinkan oleh Allah SWT buat diriku dan suami sebelum sampai hujung usia kami.

Cerita 'dalam kain' di petang Khamis dan pagi Jumaat...

Opssssss...

Jangan berangan nak baca cerita lucah di blog ini!!!

Cuma yang aku tak faham kenapa ada orang yang suka sangat nak 'mengada-ngada mencuit' hal ehwal suami isteri ini ya?

Nak tunjuk kegagahan atau sebenarnya nak menyembunyikan kelemahan?

Patutlah banyak sangat iklan 'entah apa-apa' wujud di media.
Ishhhhh...  sudah-sudahlah.  Bawa berzikir dapat juga pahala.

Jahitan sudah dibuka...

...jangan seram tengok kulit yang terbuka itu. Kata doktor kulit tapak tangan agak tebal dan memakan masa untuk bercantum semula.  Tak mengapa,  nanti aku siat sendiri kulit yang dah mati itu...

Khamis, 27 Februari 2014

'Aku nak buka 7 Eleven'...

Sebenarnya aku tak ada perancangan khusus bila aku buat keputusan untuk bersara awal.

Lagipun,  aku fikir paling cepat aku akan bersara lebihkurang dua setengah tahun lagi iaitu di usiaku 55 tahun (Ogos 2016).  Tak sangka pula tiba-tiba suamiku bersuara mengizinkan aku bersara lebih awal dari tarikh itu.  Lalu aku membuat dan menghantar surat permohonan untuk bersara pilihan sendiri mulai 1/1/2015.

Ada yang bertanya aku nak buat apa bila sudah bersara nanti.  Selalunya jawapan yang aku beri 'nak jaga cucu', walaupun jawapan itu hanyalah sekadar 'pemati kata'.

Entah macam mana,  semalam tiba-tiba terpacul jawapan 'nak buka 7 Eleven' bila aku ditanya lagi.

Huhuhu.... keluar masuk 7 Eleven untuk menghabiskan duit bolehlah.   Nak buka 7 Eleven sendiri mungkin satu impian yang nampaknya sukar untuk dijadikan kenyataan!

Tapi, kalau Allah nak beri rezeki,  pastinya ada jalan,  kan?  :)

Rabu, 26 Februari 2014

Dik, hukum Tuhan tu untuk semua, ya...

Tak kisahlah anda artis ke ustaz ke...

Jangan bangga sangat mengeluarkan kata-kata tanpa berfikir akan akibatnya.

Mudah2an hidayah itu segera datang buat kita semua.

Selasa, 25 Februari 2014

Jom buat pembedahan untuk kecantikan...

Ishhhhh... idok le teman.  Mana nak cekau duit.   Kalau ada duit pun baik le buat benda lain yang lebih berfaedah.   Cantik pun bukannya tak mati,  kan?

(Gambar dari Harian Metro Online)

Sabtu, 22 Februari 2014

Bersegeralah dalam menjaring rezeki...

...setiap Sabtu,  aku dan suami akan pergi ke Pasar Tani Taman Tasik Permaisuri.   Seawal jam 7.00pagi kami sudah berada di.   situ.  Kalau lewat pun, dalam 7.30pagi.

Dari minggu ke minggu aku dapati peniaga di situ makin lambat memulakan perniagaan mereka.   Mungkinkah kerana waktu Subuh kian lewat masuknya?

Tapi, kalau kita yang 'mengatur kerja mengikut masa', mungkin tiada alasan untuk kita berlewat-lewatan, kan?

Bila pembeli dah mula datang sedangkan peniaga masih belum nampak muka, maka jangan mengeluh bila jualan kita agak lambat larisnya...

Khamis, 20 Februari 2014

Amaran - hanyalah sekadar amaran...

...kalau dah ketegaq bak kata oghang Utagha, mailah amaran lagu mana, ada depa nak kisah!

Haram ka harus ka...main membujoq lalu melintang patah ...

Aku berada dalam kereta di perkarangan Masjid Sulltan Abdul Samad (Masjid KLIA) sambil menanti ketibaan keluarga adik iparku yang akan pergi mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci.

Di hadapan keretaku ada sekumpulan lelaki sedang bersembang.   Kemudian seorang demi seorang mengeluarkan rokok dan menghisap serta menghembuskan asap dengan 'nikmatnya'.  Salah seorangnya kemudian terbatuk-batuk dan terus memudahkan kahak dengan selamba.

Suamiku beristighfar berkali-kali.   Tiba-tiba dalam jarak semeter sahaja dari kumpulan lelaki itu aku terlihat sekeping papan tanda berdiri tegap.  Tanpa teragak-agak aku turun merakamkan gambar papan tanda itu.  Kumpulan lelaki itu hanya memerhatikan tingkahku.  Kemudian seorang demi seorang beredar dan tidak lagi kelihatan mereka menghisap rokok.

BIASA TENGOK TAK PAPAN AMARAN BERTULIS 'DILARANG MEMBUANG SAMPAH DI SINI. DENDA RM500'?  Selalunya di bawah papan tanda itulah sampah dilonggokkan,  kan?

Rabu, 19 Februari 2014

Kalau tak sakit kenapa nak berpura-pura sakit...

...lagipun kesakitan (walau sekadar lakonan) akan membuatkan kita kelihatan tua! Hahaha.

Aku bertemu doktor pada tarikh temujanji genap seminggu selepas pembedahan 'carpal tunnel'.  Doktor terkejut bila aku kata aku tak sakit cuma ada rasa berdenyut dan aku minta buka benang jahitan.

Aku siap tunjuk pada doktor yang aku boleh menggenggam jari jemari tanpa masalah. Doktor kata lukaku belum betul-betul sembuh dan benang hanya boleh dibuka seminggu lagi.

Yang membuatkan aku rasa 'kembang kuncup' bila doktor kata aku yang paling 'kuat' berbanding pesakitnya yang lain.

Ada pesakit berusia 30an yang 'merengek-rengek' tangannya masih sakit walaupun sudah bercuti sakit selama sebulan.   Ada yang minta cuti sakit sampai hampir dua bulan untuk kes yang sama seperti aku.

Bercuti memang seronok tapi kita yang bekerja terikat dengan peraturan. Jangan sebab keseronokan sementara kita akan menanggung akibatnya di hari kemudian.

DAN JUJURNYA JUGA AKU DAH TAK SABAR HENDAK BERSARA!!!

Mengidam kek keju leleh Mrs. Faizie @ Daddy Ziyyad...

Nak buat tempahan macam ada masalah nak pergi ambil...huhuhu.

Mula-mula rasa kek ini adalah pemberian SiRibenMerah yang buat tempahan.   Memang sedap sangat.  Budak Sepet makan sampai tak toleh kiri kanan.   Kalau toleh kiri kanan mahu tersuap ke lubang hidung pula!

Saiz yang agak besar dengan harga yang berpatutan memang langsung tidak mengecewakan.

Semalam cuba beli di tempat lain tapi saiznya kecil dengan harga yang agak mahal dan kurang rasa keju memang mendatangkan rasa terkilan.

Kalau ada yang tergoda dan ingin buat tempahan setelah tengok gambar-gambar di bawah ni, cubalah bertanya dengan Daddy Ziyyad di blognya (alwaqiahalmulk.blogspot) ya...

Selasa, 18 Februari 2014

Kaya dan ternama serta rupawan tidak semestinya bahagia ...

... tapi yang peliknya mereka yang hidup sederhana serta 'bahagia' kadangkala cemburu pula dengan kekayaan dan keternamaan serta keindahan paras rupa orang lain!

Ajaran agama bukan untuk digunakan sekadar penyedap kata-kata tapi untuk diaplikasikan sepenuhnya dalam kehidupan.

Bersederhana dalam semua keadaan dan tidak mengagung-agungkan harta dunia yang tentunya bukan milik mutlak kita mungkin itu lebih baik buat kita.

Wallahuaklam.

Sendiri dalam kesepian...

...namun aku suka begini
kerana bagiku sunyi itu mendamaikan...

Ada orang suka hiruk pikuk
dan lebih suka andai kehadiran menjadi perhatian.

Masing-masing ada kesukaan tersendiri namun bagi aku saat aku selesa dalam kesunyian janganlah hendaknya ada yang cuba-cuba hendak bermanja.

Ada masa kita suka hendak gembira bersama dan ada ketikanya sunyi itu lebih menenangkan.

Saat aku bercuti, memang sebolehnya aku ingin bersendiri apatah lagi bila beramai itu membuatkan aku kehilangan waktu rehat....

Aku selesa begini...

Biar pahit biar perit, kemanisan sebenar hanya lahir bersama suami, anak-anak dan menantu.

Adik-beradikku juga adalah kekuatan dan kelemahan dalam jatuh bangun kehidupanku.

Kawan-kawan hanyalah warna kehidupan yang boleh pudar mengikut peredaran masa.

Dalam detik menuju titik, aku hanya inginkan ketenangan dalam redha Tuhanku Yang Satu.

Ahad, 16 Februari 2014

Carpal tunnel...

...sila tanya pakcik google apakah bendanya itu ya....

Sekarang makcik sedang bercuti sakit.  Boleh berehat atau tidak tak tahulah...

Sabtu, 15 Februari 2014

Melihat ke dada langit...

Kulihat bulan bersendirian
perlahan-lahan ditutup awan
lalu kubayangkan satu wajah sedang bersedih
dan airmatanya jatuh setitis demi setitis

Jumaat, 14 Februari 2014

Tanyalah Ustaz di TV9 - ianya berkaitan dengan sikap...

Alhamdulillah.   Pagi ini berkesempatan menonton rancangan Tanyalah Ustaz bersama Ustaz Syed Norhisham.

Topiknya berkaitan dengan sikap...

1.   Kebiasaan berjanji dengan mengucapkan kata 'InsyaAllah' sedangkan di hati telah terdetik untuk menggunakan perkataan InsyaAllah itu sebagai penyedap kata semata2.   (Orang yang memungkiri janji adalah termasuk dalam golongan orang munafik)

2.  Menghormati hak jiran.  Ada yang bersikap tidak peduli.   Mentang2 ada banyak kereta.   Suka-suka meletakkan kereta di kawasan jiran sehingga menyusahkan orang lain.

3.   Bersikap samseng bila memandu.   Sanggup memaki hamun dan jadi pemarah.

4.  Meletak kenderaan di tempat letak kereta dengan sesuka hati sehingga tempat yang sepatutnya boleh masuk dua kereta diletakkan satu kereta sahaja.

5.   Datang lambat ke masjid dan kemudian menghalang kenderaan orang lain.  Waktu keluar, sengaja melambat2kan dengan kononnya memperbanyakkan solat sunat tanpa peduli orang lain nak mengeluarkan kereta.

Kesemua sikap di atas adalah sikap yang tidak disukai oleh Rasulullah SAW.

Doktor terkejut bila aku minta cuti sakit dua hari...

Aku baru saja menjalani pembedahan di tapak tangan.  Aku jadi orang kurang upaya buat sementara kerana tangan kananku menjadi kebas dan sukar untuk melakukan apa-apa kerja.  Sampai nak menaip dan mengenakan pin pada tudung pun tidak berupaya.

Selepas pembedahan,  aku beritahu doktor yang aku hanya hendak cuti sakit selama dua hari sahaja.   Maknanya, termasuk Sabtu dan Ahad aku boleh bercuti selama empat hari.

Nyata doktor terkejut.   Katanya, biasanya orang yang menjalani pembedahan begini akan bercuti sekurang-kurangnya sebulan.

Hmmmm...tengoklah macam mana.  Luka di tangan nampak berbalut, luka di hati siapa yang tahu,  kan?

Khamis, 13 Februari 2014

Teatar Bidasari - jujurnya pelakon tambahan lebih menyerlah...

Mungkin sebab aku dah tua, babak percintaan bukanlah sesuatu yang boleh mengujakan.  

Aku lebih teruja melihat lakonan 'jahat' yang begitu menjadi oleh Raja Azura @ Kak Engku.   Begitu juga dengan lakonan inang dan dayang-dayang yang amat menghiburkan.

Aku juga terpesona dengan susun atur pentas di Istana Budaya yang kelihatan hebat. 

Kerana aku 'suka' dengan  Hairul Azreen,  lakonannya juga antara yang menarik perhatianku.

Terima kasih kepada 'anak-anakku' yang membawa dan menemaniku ke pementasan teater ini.

Rabu, 12 Februari 2014

Sebenarnya anak-anak itu memang didera?...

Andainya berita itu benar, alangkah sedihnya.  Semoga ianya hanya khabar yang diada-adakan sedang hakikatnya tidak begitu.

Pangkat dan harta hanya pinjaman semata dan bersifat sementara.

Wallahuaklam. 

'Warkah' dari ibu Allahyarham Adam Syukri...

Masih ingat tak kepada Adik Adam Syukri?  Anak kecil yang rosak saraf otak dan telah meninggalkan segala2nya hampir setahun yang lalu...

Kakcik menerima warkah ini melalui ruangan komen di catatan kakcik tentang Adam Syukri yang lalu (buat catatan melalui Note ll ini kakcik tak pandai nak buat pautan).  Kakcik salin semula tulisan dari Nora (Ibu arwah Adam) tanpa mengubah bahasa atau susunan ayat.  Cuma kakcik tulis penuh perkataan-perkataan yang Nora pendekkan...


Assalamualaikum.
Terima kasih kak kerana share kisah arwah anak saya.  4.3.14 genap dua tahun umur arwah dan 7.2.14 genap setahun arwah meninggal.   Terima kasih juga kepada mereka yang membantu. 

Alhamdulillah setahun tanpa arwah macam2 pahit getir kehidupan saya lalui. Memang agak payah.   Apabila mula untuk berdiri saya pula jatuh sakit teruk dan 12.12.13 saya dimasukkan ke wad separa ICU MHDW HKL kerana severe ovarian hyper stimulation sindrom stage 4.

Saat berada di wad saya dapat rasakan penderitaan arwah di mana saya sendiri merasa  operation 2 kali emergency dan tebuk perut 2 kali yang hanya bius setempat.  Kesakitannya amatlah perit.

Bila saat nafas saya kurang elok kerana sakit, saya terpaksa bergantung pada oksigen dan saya merasa ventilator yang untuk pernafasan arwah anak saya melalui mulut itu.  SubhanAllah sangatlah sakit.  Saya yang bersuara tak tahan sakit ventilator inikan arwah Adam yang tidak bersuara menahan kesakitan.

Di situ timbul seribu satu hikmah saya dapat melalui sakit saya dan sakit arwah anak saya. 3 minggu pertama di MHDW saya disahkan mengandung 8 minggu dan baby saya twin.  Sekarang dah 3 bulan lebih dan baru keluar wad.


SEMOGA ALLAH SWT MEMPERMUDAHKAN PERJALANAN HIDUP SETERUSNYA BUAT NORA DAN SUAMI SERTA BAYI YANG AKAN DILAHIRKAN.  INSYAALLAH

Selasa, 11 Februari 2014

Dua seringgit dua seringgit...

Suamiku tergelak besar bila roti canai yang dipesannya tiba di meja. 

Kugelarkan roti canai ini sebagai 'roti canai nampak seberang'.  Aku tak pasti harganya.   Tak mungkin dua seringgit kot.   Kalau seringgit dua puluh sen satu, harus juga....

Aiman Hakim Redza, Nur Fathia dan Tengku Puan Pahang...

Aku letak gambar di bawah ini (yang aku ambil dari Utusan Malaysia Online) di akaun instagramku. 

Gambar ini sebagai intro kepada teater Bidasari di Istana Budaya yang mungkin akan kutonton nanti.

Tak sangka pula rupa-rupanya Tengku Puan Pahang sudi singgah meninggalkan komen di akaunku...

Mengejar sinar matahari pagi...

Bila hari cuti, aku suka keluar sekitar jam 7 hingga 8 pagi kerana pada waktu itu aku akan dapat menikmati keindahan sinaran matahari pagi sekiranya cuaca cerah...

Isnin, 10 Februari 2014

Memendam rasa dalam diam...

10/2/2014 - 54 ya, bukan 45...

Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik serta rezeki yang berkat buat suamiku.

Semoga juga segala impian dan harapan baiknya akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Selamat hari ulangtahun kelahiran,  En. Mustapha @ Mr. Bob...

Jumaat, 7 Februari 2014

"Dia seorang blogger"...

Itu adalah kata-kata suamiku kepada kawan-kawannya yang belum tahu.  

Nadanya macam bangga dengan aktiviti 'entah apa-apa' isterinya ini.

Macamlah isterinya seorang blogger terkenal yang ada sumbangan kepada masyarakat.

Bila dia memperkenalkan aku begitu, yang pastinya aku akan rasa malu kerana apalah yang boleh dibanggakan dengan tulisan yang langsung tidak memberi manfaat kepada sesiapa juga pun.

Apa-apa pun aku bersyukur kerana suamiku sentiasa memberi sokongan dan sentiasa bersamaku dalam aktiviti-aktiviti blogger yang kusertai.

Khamis, 6 Februari 2014

Selasa, 4 Februari 2014

#masakmasakblogger di Abuain Kitchen Studio, Bukit Mahkota

Tarikh : 8/2/2014 (Sabtu)
Waktu : 9.00 pagi - 5.00 petang
Tetamu Undangan : Chef Adu Amran dan Izyan MasterChef.
Lokasi : Bukit Mahkota, Nilai.

(Kakcik tak ada pelan lokasi - sila bertanya Tuan Tanah di www.kuahkari.com)