Kawan-kawan kakcik

Selasa, 31 Disember 2013

Soseh-soseh Cikgu Sekolah...

Hari ini aku dan suami masih bercuti.

Budak Sepet sudah masuk ke Tingkatan 1.  Dah remaja anak bongsu ku ini.

Sewaktu bersarapan tadi aku perasan ada sekumpulan wanita di meja belakang.   Dari perbualan mereka, aku dapat mengagak mereka adalah guru sekolah.

Salah seorang dari mereka bercakap dengan agak jelas ke pendengaran ku 'pengawas yang jaga kat pintu pagar tu bukan tahu nak senyum.  Terpacak macam kayu.  Tak tahu nak hormat cikgu.  Tak pandai nak ucap salam atau Selamat pagi'

Tiba tiba aku terfikir 'adakah pengawas yang masih anak-anak itu sudah diberi tunjuk ajar oleh para guru? '

Kenapa cikgu itu menjadi begitu kecil hati?

Eh! Waktu persekolahan mula pukul berapa?  Mungkin sebab hanya hari orientasi,  jam 8.45 pagi, guru guru itu masih enak makan-makan dan berbincang hal ehwal semasa termasuk mengkritik peraturan sekolah!

Isnin, 30 Disember 2013

Bertemu dengan blogger Insan Marhaen...

Alhamdulillah, tertunai juga harapan kakcik nak bertemu dengan IM.  Bagaimanapun ibu_suri tiada bersama.

Terima kasih kepada En. Suami yang sangat rajin melayan kemahuan kakcik bertemu rakan-rakan...

Jumaat, 27 Disember 2013

27/12/2013 = ulangtahun pernikahan yang ke 27...

Di usia ini kami masih boleh bergelak ketawa dan bergurau senda serta rasa masih saling memerlukan.

Semoga keakraban ini walau diwarnai juga dengan perbalahan kecil akan berpanjangan ke akhir hayat kami.  InsyaAllah.

Adakah sesiapa nak taja kami bercuti dengan menaiki penerbangan MAS ini?  Kau ingat kau artisss???


Selasa, 24 Disember 2013

Melentur buluh biarlah dari rebungnya...

..seperti anak ini yang diasuh untuk mengerjakan solat dari awal usia.  Mungkin dia mengikut ibunya yang solat di Surau Tingkat 5, Pusat Beli Belah Pavilion,  Kuala Lumpur.

Tapi,  bila dah akil baligh nanti, kena masuk bersolat di surau lelaki ya nak...

Ahad, 22 Disember 2013

Kebanggaan apakah yang akan kita bawa akhirnya nanti...

Di dunia
kita seorang ketua
lalu semua anak buah diarah ikut suka

Kita seorang hartawan
kemewahan diperaga selamba
kita lupa ianya pinjaman semata

Kita seorang bangsawan
orang lain dipandang hina
berselisih dipalingkan muka

Kita seorang ilmuan
orang bertanya tak kita hiraukan
sedangkan ilmu pun kurniaan Tuhan

Di penamat kehidupan
mampukah ke kuburan bergolek sendirian?

IDONTGOTOTHEUNIVERSITY...

...jadi, maafkanlah andainya segala yang saya tulis tidak mencapai tahap yang pembaca inginkan...

Sabtu, 21 Disember 2013

Rimas...

...bila tak boleh mandi untuk tempoh 24 jam hingga hidung rasa terseksa dengan bau badan sendiri...

Semoga alat yang kupakai ini memberi keputusan yang baik tentang kesihatanku hendaknya nanti.

Jumaat, 20 Disember 2013

Aku masih di sini...

Jika diizinkan Allah SWT,  hari ini mungkin dapat keluar.  Bacaan tekanan darah pun sudah semakin 'baik'.

Rabu, 18 Disember 2013

Bertemu dengan blogger CITARASA RINDUAN...

Alhamdulillah.   Akhirnya kami bertemu juga...

Siti Ruhayu Ab Rahman,  ibu dan isteri yang gigih.   Menguruskan kedai makan di Felda Sg. Sayong, Kulai.

Selasa, 17 Disember 2013

Bertemu dengan blogger TITISAN NURANI...

Hjh Zakie Purvit - seorang wanita comel yang sangat ramah mesra.  Seorang ibu kepada 3 anak gadis yang comel dan santun seperti ibu mereka.   Suaminya juga sangat ramah tamah.   Pertemuan kami bagaikan pertemuan sahabat lama yang sudah saling mengenali.

Hidangan makan malam yang disajikan juga sangat enak dan mengenyangkan.   Alhamdulillah.

Terima kasih juga kepada blogger GADISBUNGA yang sudi mengambil mak dan ayah di hotel dan menghantar kami balik semula.

Semoga pertemuan ini bukanlah yang pertama dan terakhir...

Ahad, 15 Disember 2013

Bercanda di majlis makan-makan...

Tarikh : 14/12/2013...

Majlis Pertama : Garden Avenue, Seremban.
Majlis berendoi anak kepada blogger Marya Yusof yang baru balik dari Peru.

Majlis kedua : Bandar Baru Bangi.
Majlis kesyukuran sempena hari lahir anak blogger Dr Hanie.

Layan gambar-gambar saja lah ya...

Buku Warkah Buat Isteri...

Buku ini adalah kumpulan tulisan Abil Fikri Ahmad dari blog beliau 'Warkah Buat Isteri'.

Buku ini harus dimiliki oleh sesiapa sahaja terutama mereka yang menghadapi dugaan dalam kehidupan.

Untuk memiliki buku ini, silalah berkunjung ke facebook Dana Sinar Fauziah...

P

Rabu, 11 Disember 2013

Sebelas duabelas tigabelas (111213)...

angka tetap angka
akan kau lalui kalau kau terus mengira
akan juga kau tinggalkan bila kau terus melaluinya

apalah ada pada angka
walaupun dikira hingga berjuta
hanya sekadar menunjukkan keupayaan mengira
sedang manfaatnya entah di mana

usia juga sekadar angka
pergi detik demi detik tanpa berpatah semula
penamatnya tetap akan tiba
soalnya apakah kita sentiasa bersedia...

Isnin, 9 Disember 2013

Sakit dan menyakitkan...

Kita selalu rasa sakit bila membaca / mendengar / melihat sesuatu yang tidak seiring dengan kehendak kita...

Kita juga selalu lupa bahawa ada tulisan / percakapan / perbuatan kita yang menyakitkan orang lain.

Jadi, kesimpulannya : kalau kita tak mahu disakiti,  janganlah kita menyakiti.

Mulakan perubahan dengan diri kita sendiri.   Kita mampu mengubahnya.

Pesanan ini dibawakan oleh Kakcik Seroja untuk dirinya yang selalu lupa.

Sabtu, 7 Disember 2013

Awan, bila tangismu menjadi raungan...


...insan mula tak keruan
dalam resah dan lelah
jari ingin ditudingkan

'Mereka tiada ehsan, mereka tidak merasakan'

Seakan kita jauh dari Tuhan
kata-kata bertabur dituturkan
terlatah bagai kita tiada kesalahan

Yang terselamat
jangan memandai buat andaian
hukum Tuhan tak mengenal sasaran
kalau kita pun tak ingin membuat pembetulan
maka yang salah mungkin jadi jangkitan...

Khamis, 5 Disember 2013

Cutiku hanya tinggal 4 hari...

...tapi macam tak cukup untuk dibahagi-bahagi...

15 hingga 17 nanti akan ke Johor Baharu di selatan

28 hingga 31 pula akan ke Seberang Jaya di utara

Teringin hendak berjumpa dengan kawan-kawan maya, tapi ada sesiapakah yang sudi agaknya?

Isnin, 2 Disember 2013

Antara Johan Asari, Shila Amzah dan Lana Nordin...

...sedang enak kita berbicara tentang mereka, sudahkah kita merenung kembali kepada diri kita dan keluarga kita?

Sudah sangat sempurnakah amal ibadat kita.  Sudah sangat lengkapkah cara pemakaian kita?  Sudah terdidik sepenuhnyakah anak-anak kita?
Jangan lupa, dengan kehendak Allah SWT,  yang buruk boleh jadi elok dan begitu juga sebaliknya.

Kita jijik melihat apatah lagi menyentuh anjing dan babi dan tapi kita seronok memakan daging saudara sendiri (mengumpat)...

Sekadar ingatan buat diri sendiri di pagi 1/12/2013 yang akan  juga berlalu pergi.