Isnin, 31 Januari 2011

Mari mengarang (ada hadiah untuk anda)...

Pengumuman ini melekat di sini sehingga 31/1/2011 jam 12 tengahmalam. Untuk catatan terbaru, sila jenguk ke bawah. :)

Penyertaan mesti menggunakan kata kunci di atas secara berturutan
PERADUAN INI BUKANLAH BERTUJUAN UNTUK MENARIK ALIRAN KEMASUKAN PENGUNJUNG YANG MELIMPAH-LIMPAH KE BLOG INI DAN BUKAN JUGA UNTUK MENAMBAHKAN BILANGAN PENGIKUT KERANA KAKCIK TIDAK MELETAKKAN SYARAT SUPAYA ANDA MENGENAKAN TAG KEPADA RAKAN-RAKAN LAIN ATAU MESTI MENJADI PENGIKUT BLOG INI!!!! TUJUAN KAKCIK HANYA UNTUK ANDA MENGASAH BAKAT MENGARANG ANDA WALAUPUN KAKCIK BUKAN PENGARANG YANG BAIK. 

Syarat-syarat :

-  terbuka kepada semua yang 'terjumpa' dengan peraduan ini - tak kisah sama ada anda pengikut blog ini atau tidak.  Kalau anda baru pertama kali singgah pun, anda layak untuk menyertainya.

- letak kepala (header) blog ini bersama alamat : http://kakciknurseroja.blogspot.com di penyertaan anda

- penyertaan hanya dari mereka yang mengunakan alamat rumah/alamat pos di Malaysia sahaja.

- anda boleh mengarang sama ada dalam bentuk puisi, pantun, seloka atau karangan biasa.

- mesti ada kesinambungan dari satu perkataan kepada perkataan yang lain.  Contohnya ....  Cik Peah pergi ke warung Cik Mat untuk membeli TEPUNG TALAM tetapi tidak menduga beliau akan menjadi mangsa GANGGUAN SEKSUAL semasa dalam perjalanan...... dan seterusnya sehingga ke perkataan JIKA TERDENGAR SUARA AZAN BERGEMA SAYUP MENJELANG PAGI.  Apapun bentuk karangan, ianya adalah merupakan sebuah cerita yang boleh difahami...

-  karangan dibuat di blog anda sendiri tetapi TINGGALKAN LINK mengenai catatan tersebut di ruangan komen blog ini.

-  keputusan akan dibuat oleh kakcik sendiri

-  hadiahnya merupakan bekas makanan (senang nak bawa bekal) jenama TUPPERWARE 

- tarikh tutup ialah pada 31/01/2011 dan keputusan akan diumumkan kemudian.

-  sekurang-kurangnya 2 (dua) hadiah disediakan (mungkin lebih)

BERMINAT???  Mulalah mengarang.. :)

Penyertaan di terima  dari:

1) Kakpah

Adakah aku kelihatan muda?...

Ish... jangan nak beranganlah kakcik oiii...

Beberapa bulan sahaja lagi, kalau masih ada usia - genaplah umurku 50 tahun.  Kalau duduk di kampungku 20 atau 30 tahun lalu, usia 50 itu adalah nenek-nenek yang tahunya duduk di muka pintu.  Bersembang dengan jiran-jiran.  Bergosip entah apa-apa.  Atau yang masih kuat bekerja, mungkin ke sawah atau menoreh getah. Bukan tiada yang agak berpelajaran dan bekerja - mungkin sebagai guru sekolah.  Namun, bilangannya boleh dibilang dengan jari tangan tak perlu campur jari kaki.

Semalam (Ahad = 30/1/2011), aku bersama suami dan BS menghadiri majlis perkahwinan adik kepada kawan Along.  Along pergi dahulu dengan keretanya.  Sampai di tempat kenduri kelihatan Along dan para jemaahnya sedang duduk di sebuah meja.  Mana yang mengenali suami, menghulurkan tangan dan bertanya khabar.  Selepas mengambil nasi dan lauk, Along memanggil kami duduk bersamanya kerana tetamu yang lain telah pun selesai makan dan pulang.

Seorang wanita tiba-tiba duduk sebelahku.  Aku tersenyum dan menegurnya.  Kemudian dia bertanya kepadaku sambil menunjuk kepada BS, 'anak seorang saja ke?' (jangan-jangan dia segan nak bertanya 'cucu ke ni?' - ish! tak baik pula aku berprasangka).  Dia juga berkata dia biasa melihat Along di masjid.  Aku menjawab sambil menunjuk kepada Along, ' ini anak sulung saya' kemudian merujuk kepada BS 'ini anak bongsu saya'.  Wanita itu terus terdiam bagai tercekik nasi.  Mungkin dia tak menyangka sama sekali Tok Imam yang sebesar alam itu anakku.  Along memang kelihatan lebih dewasa dari usianya yang hanya akan menjangkau 24 tahun September nanti (InsyaAllah).  Atau aku kelihatan masih muda untuk mengaku sebagai emak kepada Along dan terlalu tua untuk menjadi ibu kepada BS?   Hehehe... apa-apa sahajalah....

Sebenarnya - aku tiada ilham yang baik untuk bercerita!

Along (dalam bulatan) sewaktu mengetuai bacaan Tahlil dan Doa di rumah ibu saudaranya.

Mari Mengarang - hari terakhir...

Telah ada 32 penyertaan setakat ini.  Ada sesiapa lagi ingin turut memeriahkan peraduan pertama anjuran kakcik ini???.  Masih ada masa sehingga tengahmalam ini.   Tapi, kakcik tiada hadiah yang 'menggiurkan'.  Hanya setakat suka-suka sahaja.  Kepada yang telah menyertai, kakcik ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. 

Tunggu pengumuman-pengumuman seterusnya yang akan kakcik war-warkan di blog ini.  Keputusan tentang siapakah pemenang hadiah TUPPERWARE (bukan TIPUWARE) mungkin akan lewat sedikit diumumkan....  Bukan senang mencari pemenang tau... (*_*)



Ahad, 30 Januari 2011

Jumaat, 28 Januari 2011

Esok pagi...

InsyaAllah, akan berada di sini bersama rombongan 'Cik Kiah'.  Kunjungan kali ini bagiku, mungkin yang ke 6.  Kalau sempat, ingin rasanya hendak berjumpa dengan YAN dan juga Pn. Liza Mahmood...





Bagaimana kita ingin dihormati...

... kalau kita sendiri tidak tahu menghormati?

Jangan bicara hak orang.  Kita bicara hak kita.  Sepatutnya kita junjung hak kita.  Sebelum minta orang lain hormati hak kita, kita terlebih dahulu kena menghormatinya.  Kalau kita sendiri menginjak-injak maruah kita, bagaimana kita menyangka orang lain boleh menyanjungnya pula???

Wah ... apa yang makcik bebelkan menjelang tengahari Juma'at ini?  Memang sebenarnya makcik sangat sakit hati.  Bukan kerana makcik seorang yang berilmu tinggi.  Kalau orang berilmu tinggi dia akan ada hujah untuk menyokong perbuatan atau perkataannya.  Makcik tidak ada apa-apa.  Makcik cuma nak meluahkan rasa sakit hati makcik sahaja.

Petang semalam  menjelang Maghrib, makcik masih di ruang tamu yang tiada tetamu  di rumah makcik.  Kuala Lumpur masih belum Maghrib.  Lagi lebihkurang sepuluh minit sebelum azan.  Makcik 'terlihat' (sebab makcik bukan sedang menonton tv) satu saluran televisyen yang sedang menyiarkan siaran berita jam 7.

Terdengar azan sedang berkumandang dengan kuatnya dari tempat siaran langsung itu disiarkan.  Tetapi yang menyedihkan, makcik sangat pasti bahawa lelaki yang sedang ditemuramah secara langsung itu adalah lelaki Melayu yang beragama Islam.  Wah! bukan main bersemangat melontarkan pandangan dan pendapat (bukan senang nak keluar secara langsung di kaca tv, kan?).   Kalau kita benar-benar ingin menunjukkan bahawa kita sangat prihatin dan sayang dengan agama dan segala yang berkaitan dengan agama, tidak adakah cara untuk mengelak dari berkata-kata dengan lantang (mengatasi suara azan) saat azan sedang dilaungkan??

Wallahhuaklam.



Sarapan apa pagi ini? ...

Kuih Dangai - belum dimakan lagi

Lontong - dah selamat masuk dalam perut

Milo panas - dah hampir jadi milo ais sebab belum habis minum

Semua ini - termasuk HM itu hanya RM6.00 sahaja.  Berbaloi tak?

Khamis, 27 Januari 2011

Bedah...


Bedah ini adalah pembantu rumah adikku lebihkurang empat atau lima tahun yang lalu. Kerajinannya dan kebaikannya menyebabkan bukan sahaja adikku yang menjadi majikannya itu menyayanginya. Aku dan keluarga serta adik perempuanku yang seorang lagi pun tak pernah 'berkira' dengannya.





Rupa-rupanya (sebagaimana kebanyakan rakan senegaranya yang mencari makan di sini), kebaikan Bedah adalah topeng semata-mata.  Dia tega meninggalkan anak saudaraku yang ketika itu berusia lebihkurang 8 bulan (yang dipegangnya dalam gambar di atas) yang sedang tidur bersama seorang lagi anak saudara perempuanku yang berusia 8 tahun.  Alasannya hendak membuang sampah. Plastik sampah yang dibawanya itu mengandungi pakaiannya dan juga sedikit 'harta curian' (berupa wang dan sedikit barang kemas) serta pasportnya yang tersimpan dalam bilik tidur adikku.  Bagaimana agaknya dia masuk ke bilik yang berkunci itu tanpa meninggalkan kesan?

Entah di mana agaknya Bedah sekarang?  Ada sesiapa yang tahu? 

Lupa pula, Bedah lari dari rumah adikku dengan mengikut seorang lelaki (juga warga asing).



Alahai jiranku...

tempat tersedia dibiarkan kosong

kereta ini diletak begini sehingga mengambil separuh ruang jalan

Nak cakap salah, tak dicakap pun serba salah.  Kenapalah 'sampai hati' meletak kereta begitu?  Tidak terfikirkah kesusahan yang ditanggung oleh jiran sebelah menyebelah?  Sebelum ini pun seringkali beliau ini meletakkan kereta sesuka hati.  Memanglah di hadapan pagar sendiri.  Tapi, ruang hadapan pagar itu berkongsi dengan jiran-jiran.  Sampai susah jiran hendak mengundurkan kereta.  Kenderaan yang lalu lalang pun tidak boleh hendak 'berselisih'

Mungkin agaknya takut kereta tersebut dilarikan?  Beberapa minggu lepas, kereta Toyota Fortuner jiran yang sebelah lagi dibawa lari antara jam 4.00 - 5.00 pagi.  Kereta tersebut diletak dalam pagar.  Memang cekap betul orang yang melarikan kereta itu.  Tapi, kalau takut dilarikan pun, janganlah sampai menyusahkan orang lain.  Fikirkan bagaimana cara yang paling baik untuk mempastikan keselamatan kereta itu!


Rabu, 26 Januari 2011

Bahagiakah dia...



andainya ia boleh bersuara
apakah ia akan berkata-kata
jauh dari hujan dan cahaya suria
apakah benar nasibnya terbela

di sudut itu berdiri kaku
tidak dihirau orang yang lalu
kalau ada pun yang lepas laku
menarik daunnya satu persatu
~~~~~~~~~~~~~~


Jangan marah tau...

... nanti kena jual!

Waktu balik kerja semalam, jalan sekitar Kuala Lumpur sangat sesak tanpa kuketahui puncanya.  Aku dan suami  melalui  'jalan pintas yang tidak berapa pintas' -  juga sangat sesak.  Selalunya jalan ini hanya ada beberapa buah kenderaan yang lalu pada sesuatu masa.  Tetapi semalam, kesesakannya di luar kebiasaan.  Ramai juga pemandu yang membuat pusingan U untuk keluar dari kesesakan tersebut.

Aku telah siap mengeluarkan kamera, manalah tahu kalau-kalau ada kemalangan di hadapan.  Boleh juga aku merakamkan gambar (macamlah berani sangat!).  Tiada pula kemalangan yang terlihat.  Tapi..... aku sempat merakamkan gambar yang di bawah ini...


Manalah rupa padi yang merah tu ya? 

Hahaha.... perasan tak???  'Siapa' yang memancing tu???  Kalau sesiapa yang suka memancing tu, ibaratnya macam yang dalam gambar itulah, ya?

Kanda Al Lavendari, Echam dan sesiapa yang suka memancing tu jangan marah tau.... nanti kena jual!




Selasa, 25 Januari 2011

Aku sangat tertekan...

Ada sesiapa ingin menaja untukku sebuah percutian
agar dapat lelah ini kulepas dan bebaskan

bernafas juga tersekat-sekat
di rengkung bagai ada tulang yang melekat

bercanda memujuk hati sendiri
walau serasa menelan bara dan duri

jangan ada yang tertanya-tanya
kerana aku hanya manusia biasa
ada jiwa ada rasa
ada bahagia tak terlepas derita




Kecewa...

melihat jalan yang agak lengang
hati di dalam menyanyi riang
hasratnya bolehlah singgah dan bertandang
ke rumah kawan-kawan mana yang terang

dengan teruja terus merempit
di jalan yang luas tidaklah sempit
walau sesekali terasa sakit
kerana jalan agak berbukit

terus merempit dengan bersemangat
tidak menghirau panas dan berkeringat
tapi tetap juga beringat-ingat
manalah tahu ada lebah datang menyengat

memang malang tidak berbau
ada rintangan sekeras batu
rumah kawan-kawan walaupun terbuka pintu
hatiku kecewa kerana tak dapat lalu!

Isnin, 24 Januari 2011

Minda mempengaruhi diri...


Semalam (atau kelmarin?) - Ahad, 23/01/2009, aku bersama suami dan adik perempuanku bersama anak kecilnya 'membawa' bapaku ke satu kawasan perumahan di Puncak Alam, Selangor.  Jarak perjalanan berkereta dengan kelajuan 100km/j memakan masa lebih kurang satu jam sehala.  Tujuan kami adalah menurut kehendak bapa yang mahu 'berurut' dengan seseorang.

Sebelum ini, adik perempuanku telah beberapa kali membawa bapa ke tempat tersebut.  Tapi, kasihan adikku terpaksa memekakkan telinga sepanjang perjalanan kerana bapa akan sentiasa berkeluh kesah.  Ada sahaja yang tidak kena.  Kereta Honda City adikku tidak cukup selesa buatnya.  Kerana itulah semalam adikku meminta tolong dariku dan suami agar dapat membawa bapa dengan menggunakan van kopi kami.  Alhamdulillah, boleh kata sepanjang perjalanan bapa diam sahaja.  Cuma sesekali sahaja dia mengeluh.

Tiba di tempat yang dituju, aku dan suami agak terperanjat.  Yang dikatakan 'berurut' itu, rupa-rupanya hanyalah rawatan urutan tapak kaki (refleksologi).  Punyalah jauh tempat dituju.....  Di Pandan Indah sendiri pun ada beberapa tempat urut kaki sebegitu.  Tapi, aku kenal bapaku.  Janganlah memandai-mandai hendak membawa dia ke tempat lain selain dari yang dia mahu.  Sakitnya tidak akan bertambah baik, malah silap haribulan akan bertambah-tambah lagi.  Tapi, kalau dibawa ke tempat yang dia suka - diberi air kosong pun dia akan merasa sangar segar!

Layankan sahajalah.  Aku sendiri tak dapat menduga bagaimana agaknya karenahku di suatu masa nanti....



Pakar Motivasi...

Catatan ini hanya pandangan peribadiku semata-mata berdasarkan pengalaman yang aku lalui sendiri.

Dua tahun yang lepas, aku mengikuti satu 'kursus'.  Sewaktu menghadiri kursus tersebut, emosiku memang tidak begitu stabil.  Banyak yang kufikir dan kurisaukan.  Tapi aku tetap menghadirkan diri ke kursus tersebut 'kerana malas untuk bersoal jawab'.

Di tempat kursus, aku ikuti juga jadual yang diatur dengan sebaik mungkin hingga tiba satu peringkat aku bagai tidak dapat mengawal lagi kerisauan yang sedang bersarang di jiwaku.  Anakku sedang sakit di hospital.  Bapaku juga sedang 'berperang' dengan kesakitannya dan mungkin terpaksa menjalani pembedahan.  Aku sendiri saat itu menanggung sakit akibat tulang belakangku yang perlukan rawatan yang sewajarnya.  Kesakitan-kesakitan termasuk kesakitan minda yang kutanggung menyebabkan aku menjadi murung dan mengundang sakit kepala yang amat sangat serta semput yang memaksa aku mengambil sedutan ventolin berkali-kali.  

Kursus yang kuhadiri itu turut mengundang seorang Perunding (Pakar?) Motivasi yang sangat terkenal.  Sering muncul di media-media.  Aku tahu dia memerhatikanku.  Walaupun aku sedang bersedih, tapi aku tidak buta dan deriaku yang di anugerah Ilahi masih berfungsi dengan baik.

Sewaktu dia berceramah (memberikan motivasi?), aku tahu aku menjadi salah satu bahan ceramahnya.  Kononnya, kalau kita ada masalah, jangan duduk sahaja memerhati aktiviti rakan-rakan dan kemudia menangis sendiri.  Eh! kalau dia benar-benar seorang pakar, kenapa dia tidak mendekatiku, bertanyakan apa masalahku dan cuba menenangkanku? Oh! mungkin sebab aku TIDAK MAMPU MEMBAYAR PERKHIDMATANNYA ITU?  SEBAB DIA SEORANG PAKAR, KHIDMATNYA BUKAN PERCUMA?  

Kadangkala aku melihat kelibatnya berceramah di kaca televisyen, rasanya isi kandungan ceramahnya - 'yang itu ... itu juga'.  Cuma diolah-olah begitu begini dengan kepakaran dan kepetahannya berkata-kata.

Begitulah manusia, seronok bercerita tentang kepakaran masing-masing.  Seronok dapat memberikan kaunseling kepada selebriti dan kepada mereka yang bergelar.  Seronok membuat keuntungan atas kesusahan yang ditanggung orang lain.  Tapi tidakkah merasa seronok kalau dapat mengurangkan kesedihan mereka yang tidak punya apa-apa secara percuma?  Bukan kena keluar modal kalau setakat cuba mendengar, kan?  Tapi mungkin disebabkan masa itu emas, maka ianya tidak perlu disia-siakan dengan hanya mendengar resah hati mereka yang tiada apa-apa kepentingan!  Lebih baik waktu itu diisi dengan minum petang bersama mereka yang punya kedudukan kerana itu mungkin akan membawa pulangan...

Wallahuaklam.



Ahad, 23 Januari 2011

Kesuntukan masa menjelajah maya...

Minta maaf ya kawan-kawan
suntuknya masa untuk kakcik menjengah kalian
sibuk dengan tugas-tugas seharian
banyak juga masa terbuang di jalanan


dari kelmarin dan kelmarin dulu
sejak semalam dan semalam yang berlalu
ada sahaja urusan yang kena didahulu
di atas jalan ke hilir dan ke hulu

memenuhi jemputan dan urusan anak-anak
kena diutamakan bukan hendak tak hendak
walaupun tiada siapa yang mendesak
sebab dan akibat kena difikirkan masak-masak

esok masih lagi ada urusan
kehendak bapa kena turutkan
jangan sampai terjadi penyesalan
masa yang berlalu tak guna ditangiskan...





Sabtu, 22 Januari 2011

Jendela...


masih dapat menatap ke luar sana
sejauh mana mampunya mata
tetap juga tidak akan sama
burung yang bebas terbang di angkasa

apa ertinya pandangan yang luas
andai tubuh tak kenal bebas
terperangkap dalam bilik yang luas
tapi hati lenguh dan kebas

udara di dalam kedap dan pedar
tidak sesegar angin di luar
tapi kalau diri di luar sedar
berjalan sendirian jangan dibiar