Jumaat, 30 April 2010

Rumah di kampung.. :(


Sejak bapa sakit dan dibawa ke Kuala Lumpur lebih setahun yang lalu, rumah ini agak terbiar. Semalam Along balik kampung dan sempat merakamkan beberapa keping gambar. :(

Ke pejabat semula

 
gambar di ambil dari : sini

Sepatutnya hari ini (30/4/2010) aku masuk ke pejabat semula selepas bercuti sakit hampir 2 bulan.  Memandangkan hari ini adalah hari kerja terakhir bagi bulan ini, aku mengambil cuti tahunan untuk sehari.  Alang-alang ada orang lain yang 'menanggung kerja' aku, biarlah aku bagi dia peluang untuk mendapat elaun sebulan penuh bagi bulan ini.  Insya Allah, aku akan masuk kerja Isnin depan.  Ingatkah lagi agaknya diriku cara-cara membancuh air???   Aduhai..  kalaulah boleh, rasanya aku ingin pencen sahaja. 

Khamis, 29 April 2010

Aduhai isteri..

(sudah beberapa hari aku berfikir untuk mencoretkan catatan ini..)

Andainya suamimu seorang yang amat peramah, suka bergurau tak kira tempat dan masa (kadang-kadang tanpa mengambil kira situasi dan keadaan orang yang dibawa bergurau), apakah kau harus cemburu?? 

Engkau mengenali suamimu bukan sehari dua.  Bukan kau kenali dirinya selepas akad nikah sahaja.  Malah kau telah mengenalinya bagi tempoh puluhan tahun.  Betul - CURIGA KENA ADA.  Tapi, perlukan kau cemburu membabi buta?? 

Melihat suamimu beramah mesra (di hadapan khalayak dan juga dirimu sendiri) dengan wanita yang pertama kali dikenali, engkau sudah mula memuncungkan bibir.  Resah dan gelisah. Wanita itu bukanlah pula seorang gadis.  Wajahnya juga bukanlah secantik Dato' Siti (tapi, mungkin dia agak menarik berbanding dirimu!).  Wanita itu juga tidak mengenepikan dirimu semasa berbual dengan suamimu.  Tapi, cemburumu memungkinkan 'darah memancut dari ubun-ubunmu' yang telah keras itu.

Hanya kerana kau tidak menerima kad nama yang dihulurkan wanita itu (yang kebetulan lebih hampir dengan suamimu), kau menjadi cacing kepanasan.  Hingga kau sanggup mengeluarkan kata-kata 'kalau tak fikirkan penjara, dah lama saya tembak saja!'  Aduhai.... 

Mungkin kerana kau lebih mengenali suamimu, kau tahu sikapnya bagaimana.  Pantang berjumpa perempuan, tak kira gadis, janda, isteri orang - suamimu akan bersikap 'terlebih ramah'.  Itu dirinya yang kau kenali.  Jadi, pantau sahajalah suamimu itu.  Mengapa harus kau humbankan rasa cemburumu ke atas orang yang tak tahu apa-apa?  Renunglah kembali ke dalam dirimu sendiri.  Kau takut bersemuka dengan suamimu, tapi kau ganggu orang lain dengan karenahmu....

Aku 'letih' untuk menghadapi situasi begini.  Kalaulah aku juga bersikap seperti dirimu... entah bagaimanalah suamiku hendak memacu kehidupan sebagai ketua keluarga dan perlu sering ke sini ke sana..

gambar sekadar hiasan

Rabu, 28 April 2010

Selamat malam..



Jom makan..






**     Makanlah sewaktu lapar dan berhentilah sebelum kenyang.
** Mulakan dengan BISMILLAH dan akhiri dengan ALHAMDULILLAH.
**    Ingatlah sewaktu kita gembira dan kekenyangan, ada yang    derita dan kelaparan.

Selamat pagi..


Syukur kehadratNya kerana masih diberi peluang untuk terus bernafas dan mengecapi segala nikmat kurniaanNya. Semoga mentari pagi ini bersinar cerah tanpa memancarkan bahang amarah dan bayu berpuput lembut menyamankan tubuh para pejuang kehidupan...

Isnin, 26 April 2010

Aku tak pernah sempurna

Sebenarnya, aku sendiri tak pasti bagaimana mahu mencoretkan apa yang bermain-main di benakku saat ini.  

Kebelakangan ini, dapat kurasakan (atau sebenarnya aku yang teramat perasa!) kehadiranku di dunia maya ini, tak lebih dari 'penyesak ruang'.  Kedatanganku sebenarnya langsung tidak dialu-alukan.  Walaupun pada asalnya, aku ke sini hanya sebagai pelarian - yang ingin menyepi dan membawa diri sendiri.  Bagaimanapun, kehadiranku kiranya disedari dan aku punya teman-teman tersendiri.  Yang sudi menyambut salam dan sudi berkongsi cerita.  

Tapi ... tiba-tiba, semuanya menjadi seolah-olah sepi.  Bagaikan berada dalam satu terowong yang panjang dan gelap tanpa sebarang bunyi atau cahaya.  Andainya ada lintasan angin, ianya tak lebih dari angin yang menerbangkan debu-debu beracun yang boleh menyesakkan dada dan melumpuhkan deria.

Aku tahu dan amat insaf, bahawa aku bukanlah manusia sempurna dan tak akan pernah sempurna.  Pasti ada salah silapku di sini sana yang mana mungkin membuatkan orang lain menjadi jengkel dan 'geli geleman' hatta untuk menyebut namaku.  Malangnya, aku sendiri sama sekali tidak mengetahui apakah salah atau silap yang telah kulakukan!  Puas aku berpusing, merenung kembali dan mencari sisa-sisa yang mungkin telah kucicirkan di mana-mana.  Aku hampa!  Tiada yang kujumpa.  Bukan beerti aku menafikan yang aku telah melakukan kesalahan. Cuma, sebagai manusia yang alpa - aku gagal mengutip sebarang ingatan tentang apa yang memungkinkan aku disisihkan.

Mungkin juga agaknya, ada jurang antara lembah dan gunung.  Antara sungai yang lesu dan tawar dengan laut yang ganas dan masin.  Atau, mungkin juga permata tidak sama sekali dapat diadun dengan kaca!  Wallahuaklam... Hanya Dia juga Yang Maha Mengetahui.  

Sekali lagi - AKU TAK PERNAH SEMPURNA.

Rabu, 21 April 2010

Dapat cek

Sedang sibuk ke sana ke sini di dalam rumah sambil mengesat peluh yang berjejeran.. tiba-tiba terdengar pintu rumah di ketuk dengan kuat sekali.  Ooo.. rupa-rupanya seseorang dari syarikat kurier.  Apa pulak ni?  Suruh tandatangan slip, aku tandatangan sahajalah. Tergesa-gesa buka sampul sambil hati tertanya-tanya.  Apa agaknya ya?  Kad kredit ke??  Hehehe.. ini yang aku dapat rupanya..

.
.
.
.
.
Ingatkan boleh dapat kereta.. tapi.. dapat hadiah mingguan pun, jadilah.. Alhamdulillah.


Selasa, 20 April 2010

Air Asia

Baru sekejap tadi aku terbaca catatan seseorang kepada Air Asia di facebook.  Beliau menghamburkan kemarahannya kepada petugas di bahagian bagasi  syarikat penerbangan tambang murah tersebut.  Beliau yang baru balik dari bercuti ke Indonesia mendapati beg berharga RM200 yang baru dibelinya telah dirosakkan kuncinya. 

Aduh.. kenapa jadi begitu, ya?  Bimbang juga, kerana aku bersama ES, Adik dan Bangcik akan menggunakan lagi perkhidmatan penerbangan itu pada Khamis dan Sabtu nanti.  Harap-harap kejadian ini tidak terkena kepada kami dan kepada penumpang lain juga.

Isnin, 19 April 2010

Nak sediakan apa untuk sarapan?

Adik sedang menggoreng roti bersama keju kesukaannya


        Atau kita makan nasi goreng bodoh kosong sahaja.

Ahad, 18 April 2010

Dapat tengok gambar sahaja..


ES dah balik dari mencandat sotong.. bukan kata seekor, ekor sotong pun tak ada dibawanya balik.. yang ada gambar sahaja.. huhuhu.. Tak mengapalah.. yang penting, beliau dan kawan-kawannya selamat pergi dan selamat balik ke rumah.

Jom jalan-jalan



beli kek banyak-banyak, makan dan tambahkan lemak tepu dalam badan tanpa ragu-ragu.. :)

Sabtu, 17 April 2010

Jumaat, 16 April 2010

Jom Makan

roti cecah kari.. (takkan gemuk punya..)

Lirik Nasyid Teman Sejati (Brothers)

Selama ini
Kumencri-cari
Teman yang sejati
Buat menemani
Perjuangan suci

Bersyukur kini
PadaMu Illahi
Teman yang dicari
Selama ini
Telah kutemui

Dengannya di sisi
Perjuangan ini
Senang diharungi
Bertambah murni
Kasih Illahi
KepadaMu Allah
Kupanjatkan doa
Agar berkekalan
Kasih sayang kita

Kepadamu teman
Ku pohon sokongan
Pengorbanan dan pengertian
Telah kuungkapkan
Segala-galanya...

KepadaMu Allah
Kupohon restu
Agar kita kekal bersatu
Kepadamu teman
Teruskan perjuangan
Pengorbanan dan kesetiaan
Telah kuungkapkan
Segala-galanya
Itulah tandanya
Kejujuran kita

Rabu, 14 April 2010

S vs XXL..

Insya Allah, hujung minggu depan aku, adik dan bangcik akan mengikut ES ke suatu tempat.  Semalam, aku terima panggilan dari kawanku di sana.  Dia meminta aku membelikannya sepasang baju.  Aku tanya saiz apa?  Dia kata, saiz M.. sebenarnya dia dah boleh pakai saiz S, tapi kainnya saiz M walaupun terpaksa dipendekkan.  Sempat lagi dia gelak dan berkata padaku, 'jangan cemburu yaaaa...'

Huhuhu... aku tahulah... walaupun dah duduk kat rumah lebih dari sebulan, aku masih tak berjaya nak menurunkan berat badan waima sekilogram pun!  Nak buat macam mana?  Mungkin tahap pembakaran lemak dalam tubuhku sudah turun ke angka sifar...

Selasa, 13 April 2010

Kena tinggal lagi..

ES baru sahaja menaiki teksi menuju lapangan terbang untuk ke Kota Bharu, Kelantan.  Macamlah nak kena tinggal setahun..hehehe.. Insya Allah, malam nanti dia sampailah ke rumah semula.  Hujung minggu ini, dia nak mencandat sotong bersama rakan-rakan pejabatnya di Pulau Kapas, Terengganu pulak.  Hmmmm.. kalau aku tak sakit belakang, dah tentu aku ikut.  Pertama kali nak merasa pengalaman mencandat sotong.  Perjalanan dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas yang di sewa khas tentu akan membuatkan belakangku tidak selesa sama sekali.


Tak apa.. hujung minggu depan, aku bersama adik dan bangcik, Insya Allah akan ikut juga ES keluar daerah.  Ke mana?  Hehehe...

Isnin, 12 April 2010

Telur masak kicap

Entah kenapa, hari rasa teringin sangat nak makan telur masak kicap.  Punya teringin sampai dah terasa-rasa  kat tekak.  Tapiiiii... malas kurang rajinlah pulak nak membuatnya.  Masa Along keluar nak ke masjid, pesan tolong belikan telur masak kicap.

                              (gambar dari pakcik google - nak muatnaik gambar dari kamera pun mmmmm... ish..ish..ish)
 
Sebagai anak yang patuh, memang Along tidak akan menghampakan maknya!  Tapi, sayangnya apa yang diidamkan tidaklah sama dengan apa yang didapati (Padan muka - malas  kurang rajinlah lagi!)

Berangan nak makan telur masak kicap macam dalam gambar tu.. tapi, yang dapat macam masak paprik pun ada..  tak kisahlah.. janji telur!

12/04/2010

Catatan pertama ku di sini.  Tiada apa yang ingin kuluahkan selain rasa hati yang berbagai-bagai....

Ada rasa pahit manis yang tak terungkai.

Rasa sepi yang tak berbingkai.

Rasa terpinggir yang tak bersangkar....